Showing posts with label Travel tips. Show all posts
Showing posts with label Travel tips. Show all posts

Sunday, February 1, 2015

Menyewa Kereta di Pulau Jeju

Jangan tak percaya, untuk ke Pulau Jeju pada bulan November tahun lepas, aku telah menyewa kereta di sana. Bukanlah apabila sampai di sana baru aku menyewa kereta. Bukan.

Persediaan sudah dilakukan sebelum berlepas ke Korea lagi. Jadi, kepada yang ingin menyewa kereta apabila hendak ke sana nanti tetapi tidak tahu bagaimana, jangan risau. Aku akan terangkan satu persatu dalam entri ini. Semoga kalian tidak bosan membacanya kerana aku akan bersyarah secara panjang lebar sempena Hari-Wilayah-dan-cuti-panjang-gila-tapi-aku-tak-pergi-ke-mana-mana-ini.

Baik. Perkara paling utama dan paling penting sebelum kalian mengambil keputusan untuk menyewa kereta adalah tanya kepada diri sendiri - 'adakah aku benar-benar yakin dengan keputusan ini?' Aku kata paling utama dan penting kerana kita akan memandu bukan di sebelah kanan sebagaimana biasa, tetapi di sebelah kiri. Jalan yang perlu dilalui pula bukan di sebelah kiri, tetapi di sebelah kanan. Jadi, kebarangkalian untuk berlaku kekeliruan dan kesilapan adalah amat tinggi sekiranya kita tidak fokus dan berhati-hati.

Aku sendiri sebenarnya tidak berapa yakin pada mulanya. Dan memandu sendiri tidak termasuk dalam perancangan awal. Namun disebabkan ahjussi teksi yang aku beremel sebelum ini tidak membalas pertanyaan aku tentang siapa yang akan menjadi pemandu kami bagi menggantikan beliau (sebab ahjussi itu telah fully-booked pada tarikh kami ke sana), aku merasakan ini mungkin petunjuk dari-Nya untuk aku memandu sendiri. Secara automatiknya aku menjadi yakin. Ditambah pula dengan keyakinan travel partner yang aku boleh melakukannya. Aku tak tahulah sama ada dia benar-benar yakin ataupun buat-buat yakin. Namun 'keyakinannya' itu telah menjadikan aku semakin yakin walaupun pada hakikatnya kali terakhir aku memandu adalah pada hari raya haji yang lepas!

Jadi, bermulalah pencarian aku untuk syarikat kereta sewa yang mana untuk dipilih. Aku banyak membaca di blog-blog travel yang lain tentang pengalaman memandu di Pulau Jeju. Kebanyakan yang aku baca, mereka menyewa kereta dengan KT Kumho. Kalau kalian tercampak di blog ini secara sengaja ataupun tidak sengaja dan masih tidak dapat membuat keputusan hendak menyewa dengan siapa; dengarlah nasihat aku. Daftar keahlian dan sewa sahaja dengan KT Kumho. Pautan pun sudah diberikan di atas.

Tapi nanti dulu. Sebelum mendaftar menjadi ahli (yang menawarkan diskaun yang tidak masuk akal berbanding jika kita tidak menjadi ahli), ada satu langkah yang perlu diikuti. Kalian perlu dapatkan Permit Memandu Antarabangsa (PMA) atau dalam Bahasa Inggerisnya, International Driving Permit (IDP). Permohonan boleh dibuat di mana-mana cawangan JPJ dan AAM (Automobile Association of Malaysia). Aku buat permohonan di JPJ, UTC Pudu.

Di JPJ nanti kalian perlu sediakan:

  1. Sekeping gambar berukuran pasport.
  2. Salinan kad pengenalan (depan dan belakang dalam satu mukasurat).
  3. Salinan lesen memandu (depan dan belakang dalam satu mukasurat).
Tidak perlu mengisi apa-apa borang. Beritahu sahaja hendak buat PMA. Pegawai bertugas akan minta dokumen-dokumen di atas dan bayaran sebanyak RM150. Proses menunggu PMA siap tidak lama. Dalam masa lebih kurang 15 minit urusan selesai. Tempoh sahlaku PMA - setahun sahaja dari tarikh permohonan. Mudah, kan?

Inilah rupa PMA aku.

Sudah dapat PMA, bolehlah mulakan operasi mendaftar keahlian dengan KT Kumho. Kenapa aku beria-ia suruh dapatkan PMA dulu? Kerana no. PMA perlu diberikan sebagai salah satu syarat keahlian diterima.

Kalian juga mesti tertanya-tanya kenapa aku beria-ia suruh menyewa dengan KT Kumho? Daripada pengalaman, aku dapati terdapat banyak kemudahan dan kelebihan jika kita menyewa dengan KT Kumho. Apalagi bila sudah menjadi ahlinya.

Sudah jadi ahli bolehlah mula pilih kereta mana yang hendak disewa. Disebabkan aku travel berdua sahaja, aku memilih kereta jenis kompak iaitu Kia Morning (di sebelah sini dipanggil Picanto, katanya). Harga sewa sebelum diskaun adalah sebanyak RM600++ untuk 3 hari. Aku jangkakan akan diberi diskaun sebanyak 60% seperti yang tertulis di website KT Kumho dan juga di kebanyakan blog yang aku baca. Tapi mungkin nasib aku agak baik hari itu, aku telah diberi diskaun sebanyak 75%! Jadi, jumlah sewa (termasuk insurans dengan perlindungan penuh) yang kami perlu bayar cuma lebih kurang RM200 (KRW63,200) bersamaan dengan RM100 seorang. Yang bestnya kita tidak perlu bayar apa-apa lagi. Booking sahaja dulu. Bagus, kan?

Bayaran pula hanya boleh dibuat di pejabat KT Kumho di Pulau Jeju nanti. Sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju, terus sahaja pergi ke kaunter KT Kumho. Serahkan reservation slip dan PMA kepada petugas kaunter untuk diperiksa. Setelah diperiksa, bolehlah terus keluar ke Gate 5. Di luar biasanya sudah menunggu shuttle bus yang akan membawa kita ke pejabat KT Kumho secara percuma. Perjalanan mengambil masa lebih kurang lima minit.

Sampai sahaja di pejabat KT Kumho, terus ambil no. giliran. Setelah no. kita dipanggil, terus ke kaunter untuk urusan pembayaran. Perlu aku tekankan di sini, cara pembayaran hanya boleh dilakukan dengan menggunakan kad kredit. Kalau hendak sewa portable wifi atau dipanggil 'egg', juga perlu menggunakan kad kredit. Bayaran tunai tidak akan dilayan langsung. Jadi, jangan sesekali lupa atau sengaja tidak membawa kad kredit. Aku ulang, jangan sesekali lupa atau sengaja tidak membawa kad kredit. Kalau tiada, 'Allah selamatkan kamu' aku ucapkan kepada kalian, ya. Aku serius ni.

Setelah membuat pembayaran, maka kereta akan diserahkan kepada kita. Jangan lupa ambil gambar kereta terlebih dahulu. Manalah tahu, kan...kalau apa-apa terjadi, sekurang-kurangnya kita ada bukti. Petugas bahagian penyerahan ini akan ajar bagaimana menggunakan GPS. Aku sangkakan GPS kami dalam Bahasa Korea. Aku telah bersedia dengan segala macam tip yang aku baca sebelum ini tentang cara-cara menggunakan GPS tersebut. Tapi sekali lagi aku salah kerana GPS kami telah disetkan kepada Bahasa Inggeris. Tak mengapalah. Aku reda.

Setelah diberi penerangan sikit-sikit dalam Bahasa Inggeris dan banyaknya dalam bahasa ayam dan itik, kita akan diminta untuk menurunkan tandatangan pada borang persetujuan sewa kereta. Dan kereta pun akan diserahkan.

Sebelum memulakan pemanduan, jangan lupa untuk periksa perkara-perkara asas seperti hendak pasang wiper belah mana. Tidaklah nanti apabila tiba-tiba hujan turun kita tersilap memasang signal walaupun niat sebenar hendak memasang wiper. Sentiasa setkan di minda juga yang kotak gear terletak di sebelah kanan, bukan kiri seperti di Malaysia. Nasib baiklah kedudukan pedal minyak dan brek adalah sama. Kalau tidak, naya juga...huhu~  
    
Sudah selesai periksa apa-apa yang patut, bolehlah mulakan pemanduan dan seterusnya berfoya-foya di Pulau Jeju.

Ikut putaran jam: 1. keadaan trafik di Jeju-si, 2. urusan pembayaran, 3. inilah rupa kereta sewa kami, dan 4. PP sedang beraksi :P

Bila tiba masa untuk pulangkan semula kereta, pastikan isi semula minyak sehingga penuh. Ada banyak juga stesyen minyak semasa dalam perjalanan ke pejabat KT Kumho. Bolehlah singgah di mana-mana yang berkenan di hati. Untuk mengetahui anggaran harga minyak di Pulau Jeju (atau mana-mana negara pun di dunia ini) bolehlah rujuk di sini.

Jika kereta dipulangkan dalam keadaan yang baik dan minyak pula penuh, kita akan dilepaskan tanpa banyak soal. Dan sebagaimana kita datang dengan shuttle bus, begitu juga semasa balik. Kita akan dibawa ke lapangan terbang tanpa dikenakan apa-apa bayaran.
   
Begitulah cara-caranya untuk menyewa kereta di Pulau Jeju. Untuk pengalaman memandu di sana, aku akan kongsikan dalam entri yang lain. Terlalu banyak drama. Kalau diceritakan sekali di sini, 3 hari 3 malam pun aku tak akan habis menulis. Maunya jadi novel terus...koh koh koh~

Sunday, March 2, 2014

Itinerary: Beijing - Xi'an

Sudah hampir 4 tahun berlalu, baru tahun ini saya terfikir hendak kongsikan jadual perjalanan semasa mengembara ke Beijing dan Xi'an, China.

Harap dapat membantu kepada sesiapa yang sedang membuat perancangan untuk ke dua-dua ataupun salah satu tempat ini.

On your mark. Get set. Fly! 
Lokasi gambar: Di atas Gunung Hua (Hushan), Xi'an, China.
(Penafian: Botol air mineral itu bukan saya yang punya. Harap maklum).

Hari Pertama
  • Terbang ke Tianjin dari LCCT. Air Asia. 
    • Bertolak: 8:30 pagi
    • Tiba di Tianjin: 2:35 petang.
    • Tempoh penerbangan: 6 jam 5 minit.
  • Dari lapangan terbang (Binhai International Airport), naik shuttle bus ke Stesyen Keretapi Tianjin. Kaunter dan tempat menunggu bas terletak di hadapan pintu keluar/masuk dewan ketibaan. 
    • Tambang bas: RMB10
    • Tempoh perjalanan lebih kurang dalam 30 - 45 minit (agaknya...tak ingat...haha!)
  • Naik Bullet Train ke Beijing (Beijing South Railway Station).
    • Bertolak: 4:35 petang
    • Tiba di Beijing: 5:05 petang
    • Tambang tren: RMB69 seorang (Business Class)
    • Tempoh perjalanan: 30 minit 
  • Dari stesyen keretapi, naik teksi ke hotel/hostel
  • Check-in hotel: Qianmen Cafe & Hostel yang terletak di Qianmen Street. Lokasi agak strategik - terletak di tepi jalan (senang nampak). Berdekatan dengan perhentian bas dan juga stesyen Subway Qianmen (dalam 200 - 300 meter mungkin) serta boleh berjalan kaki ke Tiananmen Square/Forbidden City.
    • Sewa bilik en-suite: RMB180 x 2 malam = RMB360. Deposit (dipulangkan) = RMB100 
  • Makan malam di restoran halal yang terletak berdekatan dengan hostel.
  • Malam; bersiar-siar di sekitar Houhai Lake. Pergi dan balik dengan teksi.

Hari Kedua
  • Seawal 7 pagi berjalan kaki ke Tiananmen Square dari hostel.
  • Dari Tiananmen Square terus ke The Palace Museum atau lebih dikenali sebagai Forbidden City.
    • Tiket masuk: RMB60 seorang.
  • Bergerak ke Beijing Zoo dengan menaiki bas. Perhentian bas terletak di hadapan Forbidden City (seberang jalan).
    • No. bas: 103
    • Tambang bas: RMB1 seorang
    • Turun di hentian terakhir. Beijing Zoo terletak di seberang jalan.
      • Tiket masuk: RMB20 seorang.
  • Bergerak ke Stadium Olimpik Beijing (Bird's Nest) dengan menaiki Subway dari Stesyen Beijing Zoo yang terletak di sebelah stesyen bas yang dinaiki tadi.
    • Ambil laluan Anheqiaobei dan turun di Stesyen Olympic Sports Centre
  • Dari stesyen, berjalan kaki ke Stadium Olimpik.
  • Melawat Bird's Nest
    • Bayaran masuk: RMB50 seorang
  • Stadium Akuatik atau dikenali juga sebagai Water Cube terletak bersebelahan dengan Bird's Nest (tak masuk).
  • Bergerak ke Xidan Commercial Centre (kawasan pusat membeli-belah yang mewah). Naik subway dari Stesyen Olympic Sports Centre dan turun di Stesyen Xidan.
  • Bergerak ke Wangfujing Street (kawasan pusat membeli-belah ). Dari Stesyen Xidan turun ke Stesyen Wangfujing.
  • Balik hostel. Naik subway dari Wangfujing ke Stesyen Qianmen.
  • Makan malam di restoran halal yang sama seperti semalam.

Hari Ketiga
  • Melawat Great Wall of China - bahagian Badaling
    • Ambil Subway ke Beijing North Railway Station. Turun di Stesyen Xizhimen.
    • Beli tiket keretapi ke Badaling:
      • Tambang keretapi: RMB17 seorang (kelas pertama); tambang untuk kelas kedua ialah RMB14 seorang.
      • Bertolak: 9:33 pagi
      • Tiba di Badaling: 10:42 pagi
      • Tempoh perjalanan: 1 jam 9 minit
    • Dari stesyen keretapi Badaling, jalan kaki ke Great Wall (jarak: 800 meter). Sebelum itu beli tiket pulang ke Beijing terlebih dahulu.
    • Dari Badaling ke Beijing:
      • Tambang keretapi: sama seperti di atas.
      • Bertolak: 1:10 petang
      • Tiba di Beijing: 2.29 petang
      • Tempoh perjalanan: 1 jam 19 minit
  • Check-out hostel.
  • Makan tengahari di restoran yang sama.
  • Membeli-belah di Silk Market (Xiushui Sinchang). Pergi dengan menaiki teksi, manakala balik semula ke hostel (simpan beg di sana) dengan menaiki Subway dari stesyen Yong'anli.
  • Seterusnya ke Beijing West Railway Station untuk menaiki keretapi ke Xi'an.
    • Tiket keretapi telah ditempah melalui kaunter hostel:
      • Tambang keretapi: RMB237 seorang (untuk 'soft seat'); pihak hostel mengenakan tambahan caj untuk tempahan melalui mereka: RMB60 seorang.
    • Naik beca ke stesyen keretapi. Tambang: RMB100 (kena tipu sebab harga sebenar yang diminta pada awalnya adalah RMB25).
    • Bertolak: 9:24 malam
    • Tempoh perjalanan: lebih kurang 11 jam

Hari Keempat
  • Tiba di Xi'an Railway Station pada pukul 8:25 pagi.
  • Guna khidmat pemandu pelancong yang menunggu di hadapan bangunan stesyen keretapi.
    • Pemandu pelancong: Melanie (English speaking).
      • Tel.: 13060392825 (rasanya belum tambah kod IDD lagi).
      • E-mel: mami_melanie@hotmail.com
    • Pemandu mini van: Qing Kang (dia seorang sahaja yang sebenarnya 'menemani' kami sepanjang tour di Xi'an ini).
    • Harga pakej: RMB500 seorang - melawat tiga tempat menarik di Xi'an iaitu
      • Huaqing Hot Springs
      • Terracota Warriors & Horses Museum
      • Huashan (Mount Hua)
      • Pakej tidak termasuk bayaran masuk ke tempat-tempat tersebut dan hotel.
    • Persinggahan pertama adalah Moslem Street untuk ronda-ronda, makan, dan beli makanan.
    • Tengahari bertolak ke Huaqing Hot Springs
      • Tiket masuk: RMB70 seorang.
    • Kemudian dibawa ke Terracota Factory. Tempat di mana replika-replika terracota dibuat dan dijual. Cenderamata juga ada dijual di sini.
    • Seterusnya ke Terracota Warriors & Horses Museum.
      • Tiket masuk: RMB90 seorang.
    • Petang bertolak ke Huashan. Tempoh perjalanan lebih kurang 3 jam.
    • Check-in hotel (tak ingat nama hotel. Hotel misterius/berhantu mungkin).
      • Sewa bilik: RMB100 x 1 malam.

Hari Kelima
  • Pagi, check-out hotel.
  • Teruskan dengan pergi mendaki Mount Hua.
    • Tiket untuk naik gunung: RMB100 seorang.
    • Tiket bas ke stesyen kereta kabel: RMB40 seorang; pergi balik.
    • Tiket kereta kabel: RMB150 seorang; pergi balik.
    • Daki gunung hingga hampir ke puncak: percuma (guna kaki sendiri).
  • Turun semula dari gunung pada tengahari.
  • Bergerak pulang ke Xi'an.
  • Membeli-belah dan makan di Moslem Street.
  • Melawat Great Mosque yang terletak bersebelahan dengan bazaar di Moslem Street.
  • Bergerak ke Stesyen Keretapi Xi'an dengan menaiki beca.
    • Tambang beca: RMB25
  • Bertolak ke Beijing pada pukul 8:10 malam.
    • Tambang keretapi: RMB237 seorang (untuk 'soft seat').
    • Tempoh perjalanan: lebih kurang 11 jam.

Hari Keenam
  • Tiba di Beijing West Railway Station pada pukul 7:30 pagi.
  • Ambil teksi ke Beijing South Railway Station.
  • Naik Bullet Train ke Tianjin Railway Station.
    • Bertolak: 9:40 pagi
    • Tiba di Tianjin: 10:15 pagi
    • Tambang tren: RMB58 seorang (2nd class)
    • Tempoh perjalanan: 35 minit
  • Tiba di Tianjin, ambil teksi ke lapangan terbang.
  • Terbang ke Malaysia.

Nota:
  1. RMB = Renmibi
  2. Kadar tukaran wang: RMB1 lebih kurang dalam 50 sen...masa pergi nilah. Sekarang tak berapa pasti sebab tiada kepentingan untuk ambil tahu...haha~
  3. Tambang Subway adalah sama untuk semua destinasi (flat rate) - RMB2
  4. Teksi di Beijing menggunakan meter. Ada tambahan caj RMB1 yang dicampur dengan harga tambang sebenar.
  5. Harga tiket masuk ke tempat-tempat tumpuan pelancong adalah berbeza mengikut musim.  
Tip:

Sekiranya tidak pandai berbahasa Mandarin, ada baiknya dapatkan staf hotel/hostel atau sesiapa sahaja yang sudi menolong, untuk menuliskan nama tempat yang hendak dituju dalam tulisan cina bagi memudahkan komunikasi.

*****

Itu sahaja yang dapat saya kongsikan pada kali ini. Sekiranya ada apa-apa kekurangan harap maaf. Sekiranya ada perubahan pada harga tiket/tambang, itu diluar kawalan saya. Segala yang tercatat di atas adalah benar pada tahun 2010.

Sekian.

Sunday, February 9, 2014

Kembara Berdua di Bumi Maori 14

OAMARU - DUNEDIN

"A dead end can never be a one way street; you can always turn around and take another road (Jalan mati tidak sama seperti jalan sehala; kita sentiasa boleh berpatah balik dan pilih jalan yang lain)" - Bo Bennett

"Chik, peta tadi mana?" tanya saya kepada Chik dengan merujuk kepada peta yang diberikan oleh Tuan Rob tadi. Susah hati (sebenarnya sudah hilang sabar...haha!) pula saya lihat Chik yang masih gagal mencari lokasi Yellow-Eyed Penguin Colony dalam GPS.

Kalau tadi terkial-kial cari lokasi dalam GPS, sekarang kalut pula Chik mencari peta tersebut. Namun akhirnya lokasi peta itu disimpan dapat dikesan. Lega!

Apabila melihat peta tersebut, bertambah lega saya rasa. Jalan ke Yellow-Eyed Penguin Colony dari precinct agak senang berdasarkan kepada 'contengan' Tuan Rob di atas peta tersebut. Dari sana kami hanya perlu melalui Bushy Beach Road (rujuk kepada peta di bawah) yang lurus jalannya; bermaksud kami tidak perlu menyimpang ke mana-mana.


View Larger Map

Berdasarkan peta di tangan (saya), Chik meneruskan pemanduan manakala saya menjadi navigator yang berdedikasi.

Untuk beberapa ketika, perjalanan kami lancar sehinggalah kami sampai di satu persimpangan - ada dua cabang jalan di hadapan kami. Satu jalan terus dan satu lagi ada jalan susur ke kiri yang menaiki bukit.

Chik berhenti di hadapan simpang. Salah satu kelebihan memandu di New Zealand adalah hampir tiada kereta yang mengekor di belakang. Jadi kami boleh berhenti lama-lama sambil memikirkan jalan mana yang perlu ditempuh (walaupun peta terang-terang menunjukkan Bushy Beach Road adalah 'jalan terus' itu).

Saya pandang Chik, Chik pandang saya. Chik tanya saya, saya tanya dia balik. Masing-masing keliru. Keliru dengan papan tanda 'No Exit' yang terdapat pada jalan lurus di hadapan kami. Pada hemat kami (atau sebenarnya saya seorang), jalan lurus itu tidak boleh dimasuki; takut nanti tiada jalan keluar pula.

Akhirnya kami sepakat mengambil jalan susur kiri. Masuk sahaja ke situ, yang kami nampak hanyalah rumah-rumah orang di kiri dan kanan jalan.

"Orang rasa kita dah salah jalan ni, Siti. Macam mana? Kita patah balik?"

"Jomlah. Ikut jalan tadi."

Chik membuat u-turn. Dan dengan tawakalnya kami melalui jalan yang berpapan tanda 'No Exit' itu.

Setelah memandu beberapa minit, maka sampailah kami ke Bushy Beach. Berbeza dengan Oamaru Blue Penguin Colony, kawasan pantai ini lengang. Semasa kami sampai cuma ada sebuah van sahaja yang diparkirkan di situ. Tiada sesiapa yang kelihatan kecuali seorang budak lelaki dalam lingkungan 8 - 9 tahun yang berada di dalam van tersebut. Dia hanya duduk sambil merenung kami berdua. Misteri sungguh. Dalam kepala sudah fikir macam-macam...kalau di Malaysia budak ini ada kemungkinan besar akan jadi mangsa culik.... Budak ini manusia atau...

Ok, abaikan. Budak itupun kami abaikan lalu berjalan ke arah pantai. Di sini, aras laut lebih rendah daripada darat. Jadi, perlu menuruni tebing jika mahu ke tepi pantai. Sepanjang tebing dipasang dengan pagar kayu. Ada pintu kecil untuk keluar pagar. Sesuai dengan namanya, kawasan tebing dikelilingi tumbuhan renek dan rumput yang menjadikan kawasan ini bersemak. Tetapi ia tidaklah 'mencacatkan' pemandangan.

Dari tebing ini kami memerhati air laut yang juga 'bersemak'. Mungkin dari situlah pantai ini mendapat nama - Bushy Beach.

Misi kami untuk melihat anjing laut nampaknya tidak kesampaian. Puas memerhati dari tebing, jangankan anjing laut, bayangnya pun tidak kelihatan. Penguin apatah lagi. Hendak turun ke pantai, rasa malas. Malas hendak mendaki bukit untuk balik ke kereta nanti sebenarnya.

Sudahnya kami hanya bergambar sebentar sebelum bergerak ke perhentian seterusnya iaitu Oamaru Public Gardens untuk berpiknik.

Oamaru Public Gardens terletak di antara Severn Street dan Chelmer Street. Memandangkan kami sudah biasa melalui Chelmer Street untuk pergi dan balik ke hotel yang terletak di jalan yang sama, maka kami memasuki taman dari jalan ini.

Dari Bushy Beach tadi cuaca sudah kelihatan mendung. Jadi, ketibaan kami di Oamaru Public Gardens disambut dengan gerimis. Namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk meneroka taman yang dikatakan antara yang tertua di New Zealand ini.

Ternyata taman ini sangat cantik. Tidak sia-sia kami berpatah balik semata-mata untuk ke sini. Bagi saya suasana di sini lebih tenang dan mendamaikan jika dibandingkan dengan Hagley Park di Christchurch.

Sebelum jalan-jalan, kita makan dulu!

Terasa seperti berada di China.


Kalau tidak silap saya di sini terletaknya patung yang diberi mana 'Wonderland' [menggambarkan Peter Pan (dengan Wendy?) dan pari-pari dan entah makhluk apa lagi] tapi saya terlupa pula hendak mengambil gambarnya. Pffftt!



Saya bukanlah minah bunga, tetapi apabila melihat bunga-bunga yang kelihatan segar dan berkembang mekar serta besar-besar saiznya ini terasa geram juga.  

   Itik di mana-mana.

Setelah puas berjalan-jalan di taman, kami pun mula bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Dunedin!

-Bersambung-

Tip 1: Jangan jadi keliru seperti saya (atau memang saya sahaja yang keliru sebenarnya?) dengan papan tanda 'No Exit.' Ia sama maksud dengan dead end atau jalan mati dan bukanlah bermaksud tiada jalan keluar seperti yang saya sangka (rasa macam kurang bijak pula...kuikui).

Tip 2: Jika mahu ke Yellow-Eyed Penguin Colony di Oamaru, jangan taip Yellow-Eyed Penguin Colony dalam GPS. Memang tak akan jumpa. Mungkin lebih baik cari dengan kata nama Bushy Beach atau Bushy Beach Road. Ini kesimpulan yang saya dapat semasa cuba mencari Yellow-Eyed Penguin Colony menggunakan Google Map seperti yang tertera di atas. Yang saya dapat asyik-asyik menunjukkan ke Yellow-Eyed Penguin Colony, Dunedin, Central Otago; bukannya Oamaru. Mungkin Bushy Beach dikenali sebagai Yellow-Eyed Penguin Colony hanya di kalangan penduduk Oamaru sahaja. Agaknyalah. Eh, panjang pula cerita. Ok, bai.

Tuesday, August 13, 2013

Berita Baik

Alhamdulillah...

Akhirnya ada juga aplikasi khas untuk pelancong/pengembara/frequent flyer Muslim untuk kemudahan mendirikan solat dalam kapal terbang. Berita penuh boleh baca di sini.

Masalah yang selalu timbul apabila berada dalam penerbangan yang panjang adalah apabila hendak menentukan waktu masuk solat dan juga arah kiblat. Terpaksa guna cara manual seperti melihat panjang dan kedudukan bayang-bayang dan juga kedudukan matahari. Jenuh juga hendak mengingat langkah-langkah tersebut. Jadi, dengan adanya aplikasi sebegini saya percaya masalah ini akan dapat diselesaikan dengan mudah.

Buat masa ini, aplikasi solat dalam kapal terbang ini hanya boleh didapati dalam iPhone App. Tapi jangan bimbang...aplikasi ini akan diperluaskan kepada pengguna telefon pintar Androids pula nanti. Tunggu sahajalah, ya.

Eh...yang saya terlebih excited ni, macamlah saya ada iPhone. Jangan kata iPhone, apa-apa smartphone pun saya belum ada. Kasihannya saya dengan diri sendiri...  

Wednesday, May 22, 2013

Kembara Solo

Saya sebenarnya cemburu dengan orang-orang yang berani mengembara secara solo. Apalagi jika yang mengembara itu perempuan. Berkali-kali ganda rasa cemburu itu datang.

Saya, self-acclaimed "perempuan pengembara" tapi belum berani mengembara secara solo. Sedih, kan?

Dalam pada saya hendak mengumpul keberanian itu, saya pun membeli sebuah buku tulisan Wan Hassan Wan Ismail bertajuk 60 Tip Mengembara. Salah satu tip yang dikongsi oleh beliau adalah tip no. 25: Elakkan  mengembara seorang diri. Hah!

Kalau hendak disenaraikan, rasanya ada banyak sebab mengapa mengembara seorang diri itu tidak digalakkan. Yang pasti, sebab utama adalah faktor keselamatan. Jika tidak, masakan Rasulullah SAW memberi peringatan akan hal ini dalam hadis beliau yang bermaksud: 

"Jika manusia mengetahui bahaya musafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir walau satu malam sendirian." - Riwayat Bukhari no. 2776 (60 Tip Mengembara m/s 54).

Jadi, kesimpulannya di sini, jika hendak melancong atau mengembara, eloklah pergi bersama-sama teman. Teman yang dibawa itu pula seelok-eloknya sesuai dengan diri kita dan yang sanggup menghadapi segala rintangan dan cabaran sepanjang pengembaraan. Jika didapati dia/mereka tidak menepati ciri-ciri yang kita mahukan, bolehlah 'diceraikan' daripada aktiviti melancong/mengembara di masa hadapan.

Nota: Entri ini sebagai lanjutan jawapan atas pertanyaan tetamu blog ini yang telah meninggalkan jejak di 'Shoutbox' lebih kurang sebulan yang lepas. Maaf ya lambat bagi respons. Apa-apa pun terima kasih atas pertanyaan dan secara tidak langsung memberi 'writing prompt' untuk saya update blog ini :))  

Sunday, February 24, 2013

Pada Masa Saya Sepatutnya Berada di HCMC...

...saya masih lagi terperap dalam bilik sambil membaca novel-novel terbitan Buku Fixi secara marathon.

Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa membatalkan rancangan bercuti pada kali ini. Saya memohon maaf kepada seorang penulis komentar di entri Cara-cara Melancong Ke Luar Negara yang meminta saya membuat posting selepas pulang dari HCMC (Ho Chi Minh City) nanti. Nampak gayanya perkara itu tidak dapat direalisasikan buat masa ini. Mungkin saya pula yang akan merujuk kepada beliau nanti (kalau ada rezeki menjejakkan kaki ke HCMC).

Sedih juga, tetapi tidaklah berasa terlalu menyesal.  

Baiklah, saya mahu sambung membaca novel-novel Fixi. Perlu serahkan segera kepada tuan yang empunya apabila selesai membacanya.

Sunday, July 8, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 9

LAKE TEKAPO - OAMARU

"There is always a best way of doing everything if it be to boil an egg (Setiap perkara itu ada cara terbaik untuk melakukannya, termasuklah cara merebus telur)" - Ralph Waldo Emerson

Pagi itu sebaik bangun daripada tidur Chik terus sahaja mengadu kepada saya, "Siti, orang rasa nak demam."

Oh, tidak. Pemandu merangkap tukang masak utama demam. Ini tidak boleh jadi!

"Pergilah mandi air panas," saya memberikan saranan kepada Chik. Ya, ubat mujarab bagi demam yang biasa-biasa adalah mandi. Kalau demam tidak kebah-kebah walaupun sudah mandi beberapa kali, itu demam luar biasa namanya. Perlu dapatkan rawatan doktor sebelum ia melarat.

Chik akur dengan saranan saya. Ya, selepas mandi, keadaannya lebih baik. Malah, dia begitu bersemangat hendak memasak nasi goreng di communal kitchen dengan bantuan penolong tukang masak iaitu sayalah, siapa lagi. Tolong potong-potong bawang sahaja pun. Maklumlah, wanita berkerjaya seperti saya ini manalah reti memasak. Ahaks.

Sedang Chik sibuk mengacau nasi goreng di atas dapur dan saya pula buat-buat sibuk di dapur, tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu bunyi letupan.

POM!

Ingatkan apa. Rupa-rupanya sebiji telur yang direbus dalam sebuah kuali leper di atas dapur yang satu lagi telah pecah lalu meletup. Saya, Chik dan seorang wanita mat saleh yang berada di dapur saling berpandangan. Dari mula-mula masuk ke communal kitchen lagi saya dan Chik sudah tertanya-tanya; siapalah yang bijak sangat merebus telur dalam kuali leper. Kami lihat airnya sudah hampir kering, tetapi tiada siapa pun yang menjaganya.

Pertanyaan kami terjawab apabila seorang wanita cina yang sedang makan di dewan makan bergegas ke dapur sebaik mendengar bunyi letupan. Dia rupanya orang yang bijak itu. Dengan pipi kemerah-merahan ala-ala Snow White, dia meminta maaf kepada kami atas kelalaiannya lalu dengan pantas membersihkan kawasan tempat kejadian letupan itu berlaku. Nasib baik tiada sesiapa yang tercedera. Yang cedera hanyalah telur yang direbus itu. Kasihan.

Selesai memasak, kami bersiap-siap untuk berpiknik di tepi tasik. Nasi goreng telah siap-siap dibahagi dua dalam bekas plastik. Kami lihat tiada sesiapa pun yang bersarapan di luar walaupun ada beberapa bangku dan meja disediakan yang menghadap ke tasik. Semuanya bersarapan di dewan makan sahaja. Apa kelas sarapan dalam dewan makan. Dengan rasa keterujaan yang tinggi kami berdua melangkah keluar dari bangunan hostel.

Di tepi tasik - pemandangan yang menakjubkan inilah yang menggamit kami untuk berpiknik di luar hostel.

Sebaik sahaja melangkah keluar, tahulah kami kenapa tiada sesiapa pun yang bersarapan di luar hostel. Sejuk, kata kau! Ditambah pula dengan angin yang bertiup bukan sepoi-sepoi bahasa; menambahkan lagi kesejukan di luar. Akibat angin yang kuat, kami membatalkan niat untuk bersarapan di bangku di hadapan tasik (seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di atas). Tetapi kami tidak pula membatalkan niat untuk bergambar terlebih dahulu...hehehe!

Setelah puas bergambar dalam kesejukan, saya mengajak Chik untuk bersarapan di bangku yang terdapat di tepi bahagian tengah hostel. Walaupun masih di luar, tetapi kami terlindung daripada tiupan angin. Ini adalah kerana hostel YHA itu berbentuk 'U.'

Sarapan saya - nasi goreng dan susu coklat. Nyum, nyum!

Selepas bersarapan kami melepak sekejap di lounge hostel sambil menikmati keindahan tasik dari dalam bangunan.

Orang tidak pandai ambil gambar, beginilah hasilnya - pemandangan tasik dari ruang santai (lounge) hostel. Yang duduk di tengah itu ialah wanita cina yang telurnya meletup tadi (no pun intended).

Di mana-mana tempat penginapan di New Zealand ini, waktu check-out adalah pada pukul 10:00 pagi. Jadi setelah habis mengemas, kami pun check-out dari hostel mengikut masa yang ditetapkan itu untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Oamaru.

-Bersambung-

Sunday, May 27, 2012

Cara-cara Melancong ke Luar Negara

Saya mendapat permintaan daripada salah seorang sahabat baik kakak saya yang mahukan saya berkongsi cara-cara untuk melancong ke luar negara. Untuk tidak menghampakan harapan beliau, saya dengan rasa senang hati ingin berkongsi cara-cara tersebut menurut apa yang saya selalu buat.

Cara-cara Melancong ke Luar Negara, gaya Perempuan Pengembara...lah sangat...

1. Perkara pertama yang penting bagi saya adalah ada orang yang mengajak atau saya yang mengajak orang. Selalunya orang yang mengajak saya kerana saya ini seorang yang pantang diajak - mesti mahu punya. Kalau saya yang ajak rasanya banyak yang tidak berjaya. Contohnya, saya pernah mengajak Chik pergi ke Bali, tetapi dia jawab, "Bali? Tak mahulah. Macam tak best jer."

Selang beberapa bulan kemudian, tiba-tiba dia memberitahu saya yang dia mahu pergi ke Bali bersama-sama dengan rakan-rakan sekelasnya. Apabila pulang, dia menelefon saya dan berkata, "Sitiii...bestnya pergi Bali!" Waktu itu saya rasa seperti mahu melempar kasut kepada Chik seperti gaya seorang wartawan melempar kasut kepada bekas presiden Amerika, George W Bush pada suatu masa dahulu. Nasib baik dia hanya menelefon saya.  Jadi, dia selamat. Huh!

Oh, maafkan saya. Saya bukan mengungkit (mata pandang ke atas, tangan di dada). Saya cuma memberi salah satu contoh ajakan yang tidak berjaya itu.

2. Apabila telah diajak atau sudah berjaya mengajak orang, langkah seterusnya kena tentukan kita mahu melancong atau mengembara ke negara mana. Saya beri contoh, mahu melancong ke Beijing, China.

Namun selalunya kalau kita yang diajak, orang yang mengajak pasti sudah memberitahu destinasi yang ingin dikunjungi. Jarang sekali kita terjumpa dengan situasi begini:

Aku: Mahukah kau pergi melancong dengan aku?
Kau: Mahu melancong ke mana?
Aku: Entah. Aku pun tak tahu. Kau tahu?
Kau: ?

Jadi, saya rasa dalam kebanyakan situasi, destinasi perlu difikirkan terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti mengajak orang melancong. Itu lebih afdal.

3. Sudah ada destinasi, sekarang boleh fikirkan kaedah melancong yang bagaimana yang sesuai dengan jiwa atau poket kita. Mahu melancong sendiri? Atau mahu menggunakan khidmat agensi pelancongan? Pilihan di tangan kita. Setakat ini, saya banyak melancong sendiri daripada menggunakan khidmat agensi pelancongan. Setiap satu ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jadi, banyak-banyaklah berfikir mana yang sesuai.

4. Jika melancong sendiri atau hanya mengambil ground arrangement daripada agensi pelancongan, kita perlu tentukan mahu menaiki kenderaan apa. Biasanya para pelancong akan memilih untuk menaiki kapal terbang jika destinasinya jauh seperti contoh di atas iaitu Beijing, China. Jarang sekali para pelancong memilih untuk menaiki kereta api untuk ke sana. Orang yang menaiki kereta api untuk ke sana adalah pengembara yang berhati kering. Mengapa saya kata orang itu pengembara yang berhati kering? Janganlah ditanya. Saya pun tidak tahu mengapa.

Baik, kita tinggalkan pengembara yang berhati kering itu dengan menaiki kapal terbang. Syarikat mana mahu pilih? Sekali lagi, pilihan di tangan kita. Sekarang ini bukan tangan sahaja, di hujung jari pun kita boleh memilih! Hebat, bukan? Apa lagi jika syarikat-syarikat penerbangan ini berlumba-lumba untuk mengadakan promosi tambang murah bagi menarik orang ramai menggunakan perkhidmatan mereka. Masa inilah yang paling sesuai jika kita mahu 'shopping' tiket kapal terbang secara online.

5. Research, research, research! Inilah antara perkara penting yang perlu dilakukan sebelum kita melancong ke mana-mana terutama sekali jika kita memilih untuk melancong secara independent tanpa terikat dengan agensi pelancongan.

Antara perkara-perkara yang perlu dikaji:
  • purata suhu dan cuaca di negara tersebut (termasuklah pada tarikh kita melancong negara tersebut berada dalam musim apa).
  • bahasa pertuturan penduduk negara yang ingin dilawati.
  • kadar tukaran mata wang. Saya sering merujuknya di laman web xe.com.
  • tempat-tempat menarik di negara tersebut yang ingin dilawati. Di sini perlu juga dikaji sekiranya ada bayaran masuk yang perlu dibayar, waktu lawatan, masa yang disarankan untuk melawat tempat tersebut, pakaian yang sesuai dipakai, dan lain-lain yang berkaitan.
  • budaya dan cara hidup penduduk. Contohnya di China, kebanyakkan tandasnya tidak berselak, ya. Mungkin sukar untuk kita mendapat maklumat tersebut. Tetapi kalau rajin mengkaji dan mencari, mungkin akan terjumpa dengan travelog saya yang ada menceritakan akan hal tersebut...hehehe!
  • lokasi restoran makanan halal; jika takut kelaparan sepanjang berada di negara orang. Boleh cuba cari di zabihah.com. Saya selalu merujuk di laman web ini untuk mencari lokasi restoran makanan halal tetapi selalu juga terlupa untuk mencatat alamat restoran sebelum terbang ke negara yang ingin dilawati. Sudahnya, kalau tidak berjumpa restoran makanan halal, saya dan rakan sepelancongan (eh, ada ke perkataan rakan sepelancongan? Hehe...) akan makan di restoran yang menghidangkan menu vegetarian. Atau makan roti/buah-buahan. Jadi, janganlah ikut perangai yang tidak elok ini, ya.
  • waktu solat. Boleh cuba cari di laman web islamicfinder.org. Selain waktu solat, laman web begini ada juga memberi panduan arah kiblat.
  • adakah kita perlu memohon visa untuk ke negara yang ingin dilawati. Contohnya, jika mahu ke negara China, kita perlu memohon visa.     
6. Boleh mula merangka itinerary atau jadual perjalanan. Untuk ke New Zealand baru-baru ini, saya menggunakan Google Docs untuk merangka itinerary sepanjang berada di New Zealand. Sangat mudah kerana saya boleh mengongsinya dengan rakan sepelancongan saya (walaupun dia tidak pernah buka selepas saya tunjukkan kepadanya).

Kalau melancong menggunakan khidmat agensi pelancongan tidak perlulah merangka itinerary ini kerana pihak agensi yang akan menyediakannya. Cuma masalahnya kita akan terikat dengan pakej yang disediakan. Kecuali agensi pelancongan yang sedia untuk customise pakej pelancongan mengikut kehendak pelanggan.

7. Daripada itinerary, kita boleh mula mengira - atau untuk orang yang lemah matematik seperti saya - mengagak bajet/kos yang diperlukan sebelum, semasa, dan selepas melancong. Suka saya mengingatkan agar tidak menghabiskan semua wang perbelanjaan yang dibawa semasa melancong. Tinggalkan sedikit (banyak lagilah dialu-alukan) untuk hari kita akan pulang ke tanahair. Manalah tahu nanti kena bayar untuk excess baggage atau terberkenan dengan t-shirt yang dijual di airport...

8. Booking hotel sekiranya melancong sendiri. Ia boleh dilakukan secara online. Boleh terus booking daripada laman web hotel itu sendiri. Boleh juga booking melalui laman web seperti agoda.com, wotif.com, venere.com, tripadvisor.com, hostels.com... Ah, sebenarnya ada banyak laman web yang boleh dicari, saya sekadar menyebut beberapa laman web yang boleh dipercayai dan saya sendiri pernah guna.
 
9. Pasport. Kalau belum ada pasport, cepat-cepatlah pergi buat pasport. Sekarang lebih mudah kerana ada pasport yang boleh dibuat dengan harga RM100 dan sah untuk tempoh 2 tahun (tempoh sebenar: 1 1/2 tahun).

10. Persediaan material: Beg yang sesuai. Pakaian yang sesuai dan jumlah yang sesuai dibawa mengikut berapa hari kita melancong. Toiletries. Ubat-ubatan. Wang yang sudah ditukar kepada matawang negara yang ingin dilawati. Makanan dalam paket. Dan apa sahaja yang dirasakan perlu dibawa asalkan tidak membebankan; contohnya bantal busuk.  

11. Persediaan fizikal. Melancong ini memerlukan stamina yang kuat sebenarnya. Apatah lagi jika kita melancong sendiri. Perlu bersedia untuk banyak berjalan kaki. Mungkin juga perlu berlari (untuk mengejar kapal terbang, contohnya). Jadi, banyakkan bersenam. Jangan ikut saya. Saya memang malas bersenam. Tetapi saya rajin berjalan kaki...sebab saya tiada kereta. Hahaha!

12. Persediaan mental. Perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi segala kemungkinan. Dari itu, tahap kesabaran yang tinggi amat diperlukan sepanjang masa. Contohnya jika kita melancong secara berkumpulan. Perlu banyak bersabar dengan sikap ahli rombongan yang selalu lewat. Atau, kalau kita sendiri ialah orang yang selalu lewat itu, perlulah banyak bersabar sekiranya sering diperli atau lebih parah sering dimarahi.

Namun bagi saya senang sahaja. Jangan buat apa yang kita tidak suka orang buat kepada kita. Ada faham?

Fuh! Itu dia cara-cara melancong ke luar negara yang dapat saya fikirkan buat masa ini. Sekiranya apa yang saya tulis di atas terkeluar daripada tajuk, harap maafkan saya. Sekiranya ada kekurangan atau saya ada tertinggal apa-apa isi penting, harap dapatlah ditambah atau dikongsikan.

Kepada kakak yang bertanya, harap sedikit sebanyak sudah dapat gambaran bagaimana hendak melancong ke luar negara. Terima kasih juga di atas pertanyaan.

Selamat melancong!