Sunday, October 3, 2010

Cuti-cuti China: Hari Ketiga - Bahagian 3

Hari Ketiga - 25/4/2010

Selamat Tinggal Badaling

Kalau orang bertanya apa yang bagusnya tentang China selain daripada tempat-tempat yang menarik, saya akan jawab saya sangat suka dengan sistem pengangkutan awamnya terutama tren. Sangat menepati masa. Begitu juga dengan perjalanan pulang ke Beijing. Tren bergerak tepat pada masa yang dijadualkan. Jadi, tidak sia-sialah saya dan Chik berkejar-kejar menuju ke stesyen tadi. Tapi apabila kami masuk ke koc dan menuju ke tempat duduk seperti yang tertulis dalam tiket, kami dapati tempat kami telah diduduki oleh orang lain. Bukan kami sahaja, malah tempat duduk dua orang gadis China yang di sebelah kerusi kami juga telah diduduki oleh orang lain. Tidak mahu memanjangkan cerita, dua orang gadis tadi pergi duduk di tempat lain yang masih kosong. Saya dan Chik juga duduk di kerusi di hadapan orang yang duduk di tempat kami. Dalam hati berkata-kata, "kalau tak ada apa-apa yang terjadi memang tak sah!"

Perjalanan pulang akan mengambil masa sejam lebih kerana kami dijangka akan tiba di Beijing pada pukul 14:29. Awal-awal perjalanan Chik sudah melelapkan mata. Saya pula seperti biasa berada dalam keadaan berjaga-jaga. Takut ada pemandangan yang menarik lagi, saya harus menangkap gambarnya. Namun, tidak banyak gambar yang dapat saya tangkap melainkan pemandangan Great Wall dari jauh pada awal perjalanan tersebut. Semakin jauh kami meninggalkan kawasan pergunungan di Great Wall, pemandangan menjadi biasa-biasa sahaja.

Hot Pot Terakhir

Sebaik sahaja sampai di Beijing North Station, kami terus ke stesyen Subway untuk pulang ke hostel. Kami perlu mengambil tiket keretapi ke Xi'an yang ditempah semalam dan seterusnya check out dari hostel. Jadi, sebaik sampai di hostel saya terus ke kaunter penyambut tetamu untuk mengambil tiket.  Sambil-sambil itu saya bertanya cara hendak ke stesyen keretapi  daripada  staf yang bertugas di kaunter. Selain daripada teksi, kami boleh menaiki bas untuk ke Beijing West Railway Station. Nombor bas ialah  673 dan menurut katanya, stesyen keretapi tersebut merupakan perhentian terakhir bas 673. Saya juga meminta dia menulis nama stesyen keretapi dalam tulisan China agar mudah untuk kami meminta pemandu teksi menghantar kami ke sana jika kami tidak menaiki bas.

Sementara saya berurusan di kaunter, Chik pula sibuk melayari internet untuk mencari restoran halal yang ada menghidangkan menu Peking Duck. Perut sudah lapar, tetapi Chik tidak berjaya mencari Peking Duck-nya. Saya pun cuba cari setelah selesai urusan tetapi tidak berjaya juga. Nampak gayanya kami terpaksa makan Hot Pot sekali lagi. Oleh itu, sebaik check out, kami meninggalkan beg di ruang tempat menyimpan bagasi di lobi hostel.  Mula-mula kami ingat hendak pergi ke Summer Palace dahulu, tetapi staf hostel kata kami tidak akan sempat ke sana kerana Summer Palace akan ditutup pada pukul 17:00 dan jaraknya dari hostel pula agak jauh. Jadi kami teruskan niat kami untuk mengisi perut dan terus berjalan menuju ke restoran yang biasa kami kunjungi untuk kali terakhir.

Seperti biasa apabila sampai di sana, kami disambut dengan senyuman mesra. Dan untuk kali terakhir kami berada di Beijing, kami memesan hidangan Hot Pot. Entah mengapa saya rasa hidangan kali ini tidak sesedap semasa pertama kali kami datang ke sini. Mungkin sebab salah memilih hidangan utama atau sebab salah memilih kuah cicah. Kuah cicah mengandungi kisaran bawang putih. Bayangkan betapa pedas kuah tersebut. Pedas cili saya boleh tahan, tapi pedas bawang putih buatkan saya rasa seperti hendak jelirkan lidah. Tapi tak boleh, nanti Chik ingat saya sudah buang tebiat pula jelirkan lidah depan dia. Atau lebih teruk dia ingat saya mengejek dia pula. Maka terpaksalah saya berlagak 'macho' dan menghabiskan makanan yang ada di depan mata. Orang kata rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Betul tak?

Sediakan Payung Sebelum Hujan

Sedang kami asyik menikmati hidangan makanan, hujan tiba-tiba turun. Patutlah cuaca mendung dari pagi tadi. Rupa-rupanya hujan hendak turun pada waktu petang. Risau pula rasa. Saya berharap hujan ini cuma sekejap. Janganlah membawa hingga ke malam. Susah pula kami hendak ke stesyen keretapi nanti. Sudahlah saya tidak membawa payung. Selalunya kalau kemana-mana, termasuk kalau travel ke luar negara saya sentiasa membawa payung setiap kali keluar berjalan-jalan. Entah kenapa kali ini saya tidak membawanya langsung. Saya tidak sangka pula bumi Beijing akan ditimpa hujan kerana sekarang ia sedang berada dalam fasa peralihan dari musim bunga ke musim panas. Nampaknya saya tidak boleh membuat andaian sendiri. Sekarang saya perlu belajar daripada kesilapan ini - saya perlu sentiasa sediakan payung sebelum hujan walau di mana bumi dipijak dan di mana langit dijunjung (walaupun saya rasa tiada sesiapa boleh menjunjung langit).

Hujan masih juga tidak berhenti walaupun kami telah lama berhenti makan.  Tidak mahu menunggu lama, Chik mengajak saya meredah hujan. Lalu kami berdua pun meredah hujan yang hendak kata lebat tidak juga, hendak kata  gerimis tidak juga. Sejuk tidak boleh cakaplah...sebab kalau bercakap bibir mengigil-gigil. Nasib baiklah jarak antara restoran dengan hostel tidak berapa jauh. Kata orang putih within walking distance walaupun saya tidak tahu berapa jarak maksimum walking distance yang sebenarnya. Ah, abaikan sahajalah persoalan tersebut kerana belum sempat saya memikirkan berapa jaraknya, kami sudahpun sampai di hostel.

Di lobi hostel sekali lagi kami terserempak dengan pasangan dari Malaysia yang menginap di hostel yang sama. Nampak seperti mereka hendak keluar. Kami bertegur sapa. Chik bertanya kepada wanita Malaysia tersebut (entah mengapa kami tidak teringat hendak bertanya namanya dan nama suaminya) sama ada dia tahu bagaimana hendak ke Silk Market. Tetapi dia tersalah memberitahu kami cara hendak ke Pearl Market dengan merujuk kepada guide book yang dipegangnya. Nasib baik dia menyedarinya tidak lama selepas itu. Kami pula tidaklah seratus peratus berpandu kepada apa yang diberitahunya kerana kami ada juga bertanya kepada staf hostel yang menjaga kaunter dari tadi. Chik juga sempat melayari internet untuk mencari bukan sahaja di mana dan bagaimana hendak ke Silk Market, tetapi dia juga mencari tempat-tempat membeli-belah di Tianjin kerana kononnya dia hendak shopping dahulu di Tianjin sebelum naik kapal terbang balik nanti.

Di luar, hujan masih turun mencurah-curah tanpa ada tanda-tanda menunjukkan ia akan berhenti. Kami bertanya kepada staf hostel di mana kami boleh membeli payung. Mula-mula dia tidak berapa faham apa yang kami mahu. Pelik juga saya rasa...mungkin perkataan umbrella tidak begitu popular di China sehinggakan wanita Malaysia yang berbangsa Cina itu terpaksa masuk campur.

"Ohhh...sal...sal..." kata staf hostel sambil terangguk-angguk. "You can buy it next door," sambungnya lagi.

Bagus juga dia tidak faham. Sekurang-kurangnya sekarang saya tahu dalam bahasa Mandarin, payung disebut sebagai sal (mungkin kena belajar cara sebutan yang betul). Maka kami pun terus ke kedai sebelah untuk membeli payung. Kepada jurujual kami memberitahu hajat kami hendak membeli payung. Dia terpinga-pinga tidak faham apa yang kami mahu kerana Chik menyebut umbrella. Saya rasa lagu Rihanna yang bertajuk 'Umbrella' tidak mendapat tempat langsung di China kerana jurujual tersebut merupakan orang China yang kedua yang tidak faham apa maksud perkataan ini. Kemudian masuk pula orang ketiga yang saya kira tauke kedai tersebut yang juga tersengih-sengih tidak faham apa yang dimaksudkan dengan umbrella. Kemudian saya teringat perkataan 'sal'. Sebaik sahaja saya menyebut perkataan magik tersebut, serta-merta kedua-dua mereka tertawa girang dan menyebut-nyebut perkataan yang sama sambil menunjuk ke arah depan pintu kedai. Rupa-rupanya koleksi payung diletakkan di pintu masuk kedai. Macam manalah kami boleh terlepas pandang semasa masuk tadi sedangkan saya rabun jauh bukan rabun dekat. Manakala Chik pula telah menjalani pembedahan Lasik untuk mengubati masalah rabunnya. Mungkin ini yang dikatakan - kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak. Kasihan...