Sunday, March 2, 2014

Itinerary: Beijing - Xi'an

Sudah hampir 4 tahun berlalu, baru tahun ini saya terfikir hendak kongsikan jadual perjalanan semasa mengembara ke Beijing dan Xi'an, China.

Harap dapat membantu kepada sesiapa yang sedang membuat perancangan untuk ke dua-dua ataupun salah satu tempat ini.

On your mark. Get set. Fly! 
Lokasi gambar: Di atas Gunung Hua (Hushan), Xi'an, China.
(Penafian: Botol air mineral itu bukan saya yang punya. Harap maklum).

Hari Pertama
  • Terbang ke Tianjin dari LCCT. Air Asia. 
    • Bertolak: 8:30 pagi
    • Tiba di Tianjin: 2:35 petang.
    • Tempoh penerbangan: 6 jam 5 minit.
  • Dari lapangan terbang (Binhai International Airport), naik shuttle bus ke Stesyen Keretapi Tianjin. Kaunter dan tempat menunggu bas terletak di hadapan pintu keluar/masuk dewan ketibaan. 
    • Tambang bas: RMB10
    • Tempoh perjalanan lebih kurang dalam 30 - 45 minit (agaknya...tak ingat...haha!)
  • Naik Bullet Train ke Beijing (Beijing South Railway Station).
    • Bertolak: 4:35 petang
    • Tiba di Beijing: 5:05 petang
    • Tambang tren: RMB69 seorang (Business Class)
    • Tempoh perjalanan: 30 minit 
  • Dari stesyen keretapi, naik teksi ke hotel/hostel
  • Check-in hotel: Qianmen Cafe & Hostel yang terletak di Qianmen Street. Lokasi agak strategik - terletak di tepi jalan (senang nampak). Berdekatan dengan perhentian bas dan juga stesyen Subway Qianmen (dalam 200 - 300 meter mungkin) serta boleh berjalan kaki ke Tiananmen Square/Forbidden City.
    • Sewa bilik en-suite: RMB180 x 2 malam = RMB360. Deposit (dipulangkan) = RMB100 
  • Makan malam di restoran halal yang terletak berdekatan dengan hostel.
  • Malam; bersiar-siar di sekitar Houhai Lake. Pergi dan balik dengan teksi.

Hari Kedua
  • Seawal 7 pagi berjalan kaki ke Tiananmen Square dari hostel.
  • Dari Tiananmen Square terus ke The Palace Museum atau lebih dikenali sebagai Forbidden City.
    • Tiket masuk: RMB60 seorang.
  • Bergerak ke Beijing Zoo dengan menaiki bas. Perhentian bas terletak di hadapan Forbidden City (seberang jalan).
    • No. bas: 103
    • Tambang bas: RMB1 seorang
    • Turun di hentian terakhir. Beijing Zoo terletak di seberang jalan.
      • Tiket masuk: RMB20 seorang.
  • Bergerak ke Stadium Olimpik Beijing (Bird's Nest) dengan menaiki Subway dari Stesyen Beijing Zoo yang terletak di sebelah stesyen bas yang dinaiki tadi.
    • Ambil laluan Anheqiaobei dan turun di Stesyen Olympic Sports Centre
  • Dari stesyen, berjalan kaki ke Stadium Olimpik.
  • Melawat Bird's Nest
    • Bayaran masuk: RMB50 seorang
  • Stadium Akuatik atau dikenali juga sebagai Water Cube terletak bersebelahan dengan Bird's Nest (tak masuk).
  • Bergerak ke Xidan Commercial Centre (kawasan pusat membeli-belah yang mewah). Naik subway dari Stesyen Olympic Sports Centre dan turun di Stesyen Xidan.
  • Bergerak ke Wangfujing Street (kawasan pusat membeli-belah ). Dari Stesyen Xidan turun ke Stesyen Wangfujing.
  • Balik hostel. Naik subway dari Wangfujing ke Stesyen Qianmen.
  • Makan malam di restoran halal yang sama seperti semalam.

Hari Ketiga
  • Melawat Great Wall of China - bahagian Badaling
    • Ambil Subway ke Beijing North Railway Station. Turun di Stesyen Xizhimen.
    • Beli tiket keretapi ke Badaling:
      • Tambang keretapi: RMB17 seorang (kelas pertama); tambang untuk kelas kedua ialah RMB14 seorang.
      • Bertolak: 9:33 pagi
      • Tiba di Badaling: 10:42 pagi
      • Tempoh perjalanan: 1 jam 9 minit
    • Dari stesyen keretapi Badaling, jalan kaki ke Great Wall (jarak: 800 meter). Sebelum itu beli tiket pulang ke Beijing terlebih dahulu.
    • Dari Badaling ke Beijing:
      • Tambang keretapi: sama seperti di atas.
      • Bertolak: 1:10 petang
      • Tiba di Beijing: 2.29 petang
      • Tempoh perjalanan: 1 jam 19 minit
  • Check-out hostel.
  • Makan tengahari di restoran yang sama.
  • Membeli-belah di Silk Market (Xiushui Sinchang). Pergi dengan menaiki teksi, manakala balik semula ke hostel (simpan beg di sana) dengan menaiki Subway dari stesyen Yong'anli.
  • Seterusnya ke Beijing West Railway Station untuk menaiki keretapi ke Xi'an.
    • Tiket keretapi telah ditempah melalui kaunter hostel:
      • Tambang keretapi: RMB237 seorang (untuk 'soft seat'); pihak hostel mengenakan tambahan caj untuk tempahan melalui mereka: RMB60 seorang.
    • Naik beca ke stesyen keretapi. Tambang: RMB100 (kena tipu sebab harga sebenar yang diminta pada awalnya adalah RMB25).
    • Bertolak: 9:24 malam
    • Tempoh perjalanan: lebih kurang 11 jam

Hari Keempat
  • Tiba di Xi'an Railway Station pada pukul 8:25 pagi.
  • Guna khidmat pemandu pelancong yang menunggu di hadapan bangunan stesyen keretapi.
    • Pemandu pelancong: Melanie (English speaking).
      • Tel.: 13060392825 (rasanya belum tambah kod IDD lagi).
      • E-mel: mami_melanie@hotmail.com
    • Pemandu mini van: Qing Kang (dia seorang sahaja yang sebenarnya 'menemani' kami sepanjang tour di Xi'an ini).
    • Harga pakej: RMB500 seorang - melawat tiga tempat menarik di Xi'an iaitu
      • Huaqing Hot Springs
      • Terracota Warriors & Horses Museum
      • Huashan (Mount Hua)
      • Pakej tidak termasuk bayaran masuk ke tempat-tempat tersebut dan hotel.
    • Persinggahan pertama adalah Moslem Street untuk ronda-ronda, makan, dan beli makanan.
    • Tengahari bertolak ke Huaqing Hot Springs
      • Tiket masuk: RMB70 seorang.
    • Kemudian dibawa ke Terracota Factory. Tempat di mana replika-replika terracota dibuat dan dijual. Cenderamata juga ada dijual di sini.
    • Seterusnya ke Terracota Warriors & Horses Museum.
      • Tiket masuk: RMB90 seorang.
    • Petang bertolak ke Huashan. Tempoh perjalanan lebih kurang 3 jam.
    • Check-in hotel (tak ingat nama hotel. Hotel misterius/berhantu mungkin).
      • Sewa bilik: RMB100 x 1 malam.

Hari Kelima
  • Pagi, check-out hotel.
  • Teruskan dengan pergi mendaki Mount Hua.
    • Tiket untuk naik gunung: RMB100 seorang.
    • Tiket bas ke stesyen kereta kabel: RMB40 seorang; pergi balik.
    • Tiket kereta kabel: RMB150 seorang; pergi balik.
    • Daki gunung hingga hampir ke puncak: percuma (guna kaki sendiri).
  • Turun semula dari gunung pada tengahari.
  • Bergerak pulang ke Xi'an.
  • Membeli-belah dan makan di Moslem Street.
  • Melawat Great Mosque yang terletak bersebelahan dengan bazaar di Moslem Street.
  • Bergerak ke Stesyen Keretapi Xi'an dengan menaiki beca.
    • Tambang beca: RMB25
  • Bertolak ke Beijing pada pukul 8:10 malam.
    • Tambang keretapi: RMB237 seorang (untuk 'soft seat').
    • Tempoh perjalanan: lebih kurang 11 jam.

Hari Keenam
  • Tiba di Beijing West Railway Station pada pukul 7:30 pagi.
  • Ambil teksi ke Beijing South Railway Station.
  • Naik Bullet Train ke Tianjin Railway Station.
    • Bertolak: 9:40 pagi
    • Tiba di Tianjin: 10:15 pagi
    • Tambang tren: RMB58 seorang (2nd class)
    • Tempoh perjalanan: 35 minit
  • Tiba di Tianjin, ambil teksi ke lapangan terbang.
  • Terbang ke Malaysia.

Nota:
  1. RMB = Renmibi
  2. Kadar tukaran wang: RMB1 lebih kurang dalam 50 sen...masa pergi nilah. Sekarang tak berapa pasti sebab tiada kepentingan untuk ambil tahu...haha~
  3. Tambang Subway adalah sama untuk semua destinasi (flat rate) - RMB2
  4. Teksi di Beijing menggunakan meter. Ada tambahan caj RMB1 yang dicampur dengan harga tambang sebenar.
  5. Harga tiket masuk ke tempat-tempat tumpuan pelancong adalah berbeza mengikut musim.  
Tip:

Sekiranya tidak pandai berbahasa Mandarin, ada baiknya dapatkan staf hotel/hostel atau sesiapa sahaja yang sudi menolong, untuk menuliskan nama tempat yang hendak dituju dalam tulisan cina bagi memudahkan komunikasi.

*****

Itu sahaja yang dapat saya kongsikan pada kali ini. Sekiranya ada apa-apa kekurangan harap maaf. Sekiranya ada perubahan pada harga tiket/tambang, itu diluar kawalan saya. Segala yang tercatat di atas adalah benar pada tahun 2010.

Sekian.

Saturday, February 22, 2014

Perasaanku Ketika Ini

Jiwang betul tajuk entri hari ini.

Tapi apa boleh buat kerana inilah yang saya sedang rasakan ketika ini --

Wanderlust.

Sumber gambar: Curi dalam FB. Maafkan saya.

Entah bilalah dapat melepaskan kegianan ini?

Seksa betul!

T_T

Sunday, February 9, 2014

Kembara Berdua di Bumi Maori 14

OAMARU - DUNEDIN

"A dead end can never be a one way street; you can always turn around and take another road (Jalan mati tidak sama seperti jalan sehala; kita sentiasa boleh berpatah balik dan pilih jalan yang lain)" - Bo Bennett

"Chik, peta tadi mana?" tanya saya kepada Chik dengan merujuk kepada peta yang diberikan oleh Tuan Rob tadi. Susah hati (sebenarnya sudah hilang sabar...haha!) pula saya lihat Chik yang masih gagal mencari lokasi Yellow-Eyed Penguin Colony dalam GPS.

Kalau tadi terkial-kial cari lokasi dalam GPS, sekarang kalut pula Chik mencari peta tersebut. Namun akhirnya lokasi peta itu disimpan dapat dikesan. Lega!

Apabila melihat peta tersebut, bertambah lega saya rasa. Jalan ke Yellow-Eyed Penguin Colony dari precinct agak senang berdasarkan kepada 'contengan' Tuan Rob di atas peta tersebut. Dari sana kami hanya perlu melalui Bushy Beach Road (rujuk kepada peta di bawah) yang lurus jalannya; bermaksud kami tidak perlu menyimpang ke mana-mana.


View Larger Map

Berdasarkan peta di tangan (saya), Chik meneruskan pemanduan manakala saya menjadi navigator yang berdedikasi.

Untuk beberapa ketika, perjalanan kami lancar sehinggalah kami sampai di satu persimpangan - ada dua cabang jalan di hadapan kami. Satu jalan terus dan satu lagi ada jalan susur ke kiri yang menaiki bukit.

Chik berhenti di hadapan simpang. Salah satu kelebihan memandu di New Zealand adalah hampir tiada kereta yang mengekor di belakang. Jadi kami boleh berhenti lama-lama sambil memikirkan jalan mana yang perlu ditempuh (walaupun peta terang-terang menunjukkan Bushy Beach Road adalah 'jalan terus' itu).

Saya pandang Chik, Chik pandang saya. Chik tanya saya, saya tanya dia balik. Masing-masing keliru. Keliru dengan papan tanda 'No Exit' yang terdapat pada jalan lurus di hadapan kami. Pada hemat kami (atau sebenarnya saya seorang), jalan lurus itu tidak boleh dimasuki; takut nanti tiada jalan keluar pula.

Akhirnya kami sepakat mengambil jalan susur kiri. Masuk sahaja ke situ, yang kami nampak hanyalah rumah-rumah orang di kiri dan kanan jalan.

"Orang rasa kita dah salah jalan ni, Siti. Macam mana? Kita patah balik?"

"Jomlah. Ikut jalan tadi."

Chik membuat u-turn. Dan dengan tawakalnya kami melalui jalan yang berpapan tanda 'No Exit' itu.

Setelah memandu beberapa minit, maka sampailah kami ke Bushy Beach. Berbeza dengan Oamaru Blue Penguin Colony, kawasan pantai ini lengang. Semasa kami sampai cuma ada sebuah van sahaja yang diparkirkan di situ. Tiada sesiapa yang kelihatan kecuali seorang budak lelaki dalam lingkungan 8 - 9 tahun yang berada di dalam van tersebut. Dia hanya duduk sambil merenung kami berdua. Misteri sungguh. Dalam kepala sudah fikir macam-macam...kalau di Malaysia budak ini ada kemungkinan besar akan jadi mangsa culik.... Budak ini manusia atau...

Ok, abaikan. Budak itupun kami abaikan lalu berjalan ke arah pantai. Di sini, aras laut lebih rendah daripada darat. Jadi, perlu menuruni tebing jika mahu ke tepi pantai. Sepanjang tebing dipasang dengan pagar kayu. Ada pintu kecil untuk keluar pagar. Sesuai dengan namanya, kawasan tebing dikelilingi tumbuhan renek dan rumput yang menjadikan kawasan ini bersemak. Tetapi ia tidaklah 'mencacatkan' pemandangan.

Dari tebing ini kami memerhati air laut yang juga 'bersemak'. Mungkin dari situlah pantai ini mendapat nama - Bushy Beach.

Misi kami untuk melihat anjing laut nampaknya tidak kesampaian. Puas memerhati dari tebing, jangankan anjing laut, bayangnya pun tidak kelihatan. Penguin apatah lagi. Hendak turun ke pantai, rasa malas. Malas hendak mendaki bukit untuk balik ke kereta nanti sebenarnya.

Sudahnya kami hanya bergambar sebentar sebelum bergerak ke perhentian seterusnya iaitu Oamaru Public Gardens untuk berpiknik.

Oamaru Public Gardens terletak di antara Severn Street dan Chelmer Street. Memandangkan kami sudah biasa melalui Chelmer Street untuk pergi dan balik ke hotel yang terletak di jalan yang sama, maka kami memasuki taman dari jalan ini.

Dari Bushy Beach tadi cuaca sudah kelihatan mendung. Jadi, ketibaan kami di Oamaru Public Gardens disambut dengan gerimis. Namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk meneroka taman yang dikatakan antara yang tertua di New Zealand ini.

Ternyata taman ini sangat cantik. Tidak sia-sia kami berpatah balik semata-mata untuk ke sini. Bagi saya suasana di sini lebih tenang dan mendamaikan jika dibandingkan dengan Hagley Park di Christchurch.

Sebelum jalan-jalan, kita makan dulu!

Terasa seperti berada di China.


Kalau tidak silap saya di sini terletaknya patung yang diberi mana 'Wonderland' [menggambarkan Peter Pan (dengan Wendy?) dan pari-pari dan entah makhluk apa lagi] tapi saya terlupa pula hendak mengambil gambarnya. Pffftt!



Saya bukanlah minah bunga, tetapi apabila melihat bunga-bunga yang kelihatan segar dan berkembang mekar serta besar-besar saiznya ini terasa geram juga.  

   Itik di mana-mana.

Setelah puas berjalan-jalan di taman, kami pun mula bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Dunedin!

-Bersambung-

Tip 1: Jangan jadi keliru seperti saya (atau memang saya sahaja yang keliru sebenarnya?) dengan papan tanda 'No Exit.' Ia sama maksud dengan dead end atau jalan mati dan bukanlah bermaksud tiada jalan keluar seperti yang saya sangka (rasa macam kurang bijak pula...kuikui).

Tip 2: Jika mahu ke Yellow-Eyed Penguin Colony di Oamaru, jangan taip Yellow-Eyed Penguin Colony dalam GPS. Memang tak akan jumpa. Mungkin lebih baik cari dengan kata nama Bushy Beach atau Bushy Beach Road. Ini kesimpulan yang saya dapat semasa cuba mencari Yellow-Eyed Penguin Colony menggunakan Google Map seperti yang tertera di atas. Yang saya dapat asyik-asyik menunjukkan ke Yellow-Eyed Penguin Colony, Dunedin, Central Otago; bukannya Oamaru. Mungkin Bushy Beach dikenali sebagai Yellow-Eyed Penguin Colony hanya di kalangan penduduk Oamaru sahaja. Agaknyalah. Eh, panjang pula cerita. Ok, bai.

Sunday, February 2, 2014

Tiga Jenis Pengembara

Baru-baru ini saya tertengok sebuah filem Mandarin berjudul "Runaway Woman" di saluran A-List (Astro).

Kisah lima orang wanita yang lari daripada kesibukan kota dan keluar mengembara (berjalan kaki, ok!) di sempadan China (mungkin sempadan China - Mongolia) untuk pergi ke Tasik Shengyu. Menurut kepercayaan orang-orang termpatan, sesiapa yang sampai ke Tasik Shenyu akan mendapat ketenangan. Apa lagi kalau dapat bermandi hujan di tasik tersebut yang dianggap sebagai hujan 'suci'.

Pemandangan dalam filem ini pula...subhanallah...memang cantik! Buatkan saya mahu pergi lagi ke China.

Terasa hendak pergi ke Tasik Shengyu juga. Tapi...sudah puas bertanya dengan Prof. Google, tak jumpa-jumpa tasik di China yang bernama Shengyu. Sudah juga cuba cari tasik yang berdekatan dengan Gurun Gobi. Masih lagi mendapat hasil yang sama. Mungkin kerana ejaan berbeza...maklumlah saya ikut ejaan seperti dalam sari kata filem tersebut...sebab itu agaknya tak jumpa *menangis*

Ok, panjang pula intro saya. Sebenarnya saya cuma hendak tulis tentang salah satu babak permulaan dalam filem ini di mana seorang watak yang dipanggil 'Gila' (gila punya nama) menyenaraikan jenis-jenis pengembara mengikut pendapat 'gila' beliau. Katanya ada tiga jenis pengembara, iaitu pengembara yang:

1. Hilang impian
2. Hilang cinta
3. Hilang arah

Hilang arah...hahaha... Sayalah agaknya tu...

Apa-apa pun mari kita layan trailer "Runaway Woman." Untuk dijadikan sebagai sumber inspirasi destinasi pengembaraan yang seterusnya.

Jangan sampai hilang arah!



It's not about the destination, it's the journey that matters - kesimpulan yang boleh dibuat selepas menonton filem ini.

3.5 bintang untuk cerita dan watak.

5 bintang pula untuk lokasi filem.

Saturday, January 18, 2014

The Hobbit di Lake Tekapo

Ada satu babak dalam filem "The Hobbit: The Desolation of Smaug" di mana kamera menunjukkan 'bird's eye view' dari Laketown ke Lonely Mountain. Di antara kedua-dua tempat itu, terbentang sebuah tasik.

Hati ini tercuit sedikit. Hmmm...seperti pernah dilihat, tetapi di mana? Di mana?

Setelah difikir-fikir, saya hampir pasti ia adalah sebuah tasik yang terletak di Lake Tekapo. Tasik yang saya lihat dari atas Mount John pada suatu malam selepas kejadian 'Super Moon.'

Ya, saya rasa saya tidak salah (kalau salah pun, saya pasti ia boleh jadi mana-mana tasik yang saya pernah lihat di New Zealand...heheh). Tasik itu adalah Tasik Alexandrina!

Mahu tahu bagaimana rupa Tasik Alexandrina?

Nasib baik saya ada mengambil gambarnya. Jadi, bolehlah saya kongsikan di sini.

Tadaaa...!!



 
Saya rasa sang cengkerik sedang berkoir dalam kepala pembaca yang melihat gambar-gambar di atas - krik...krik...krik...

Maaflah, ya.

Kalau entri saya semasa berada di Mount John itu sudah dibaca, pasti anda faham mengapa gambar-gambar di atas gelap gelita. Perlu berada di sana untuk melihat sendiri keindahan tasik walaupun di waktu malam. Lagipun saya tidak memiliki kamera yang canggih.

Apa-apa pun, tiada 'kamera' yang paling sempurna melainkan mata yang dianugerahkan Allah ini. Gambarnya pula sentiasa terpahat dalam ingatan.

Ewah...

Selain Tasik Alexandrina, ada beberapa perkara lain lagi yang saya rasa menarik dalam filem "The Hobbit" kali ini:

1. Saya tak tahu kalau ada sesiapa yang perasan - tuan pengarah iaitu Peter Jackson ada melakukan kemunculan 'cameo' pada permulaan cerita untuk beberapa saat. Perasan tak? Beliau keluar dari sebuah bangunan yang terletak di sebelah kiri sudut pandang kamera. Keluar sahaja dari pintu, beliau berhenti sekejap di hadapan 'kamera' sambil tersenyum sebelum berlalu pergi. Kalau tak silap saya 'sudut pandang kamera' itu adalah mewakili sudut pandang Thorin Oakenshield pada permulaan cerita - sebab itulah beliau tersenyum.

2. Legolas nampak tembam berbanding dalam trilogi "Lord of the Rings" (LOTR), walaupun kejadian dalam "The Hobbit" berlaku lebih kurang 60 tahun sebelum kejadian dalam LOTR. Misteri sungguh. Saya syak Legolas frust menonggeng dengan Tauriel sehinggakan dia jadi kurus dalam LOTR...hihihi~

3. Suara Smaug dipinjamkan oleh Benedict Cumberbatch; aktor yang dilahirkan dalam tahun naga. Suratan ataupun kebetulan? Renung-renungkan...ahaks!

4. Rupa Bard The Bowman hampir seiras dengan Legolas. Sekali pandang ingatkan orang yang sama...tetapi sebenarnya bukan. Bard ialah Luke Evans, manakala Legolas ialah Orlando Bloom.

5. Selain Smaug, Benedict Cumberbatch juga meminjamkan suaranya kepada watak Necromancer. Ini membuktikan betapa macho-nya suara beliau sehingga diperlukan untuk dua watak yang berbeza. Ataupun sebenarnya Peter Jackson mahu jimat kos? Wallahu'alam...

6. Filem ini ditamatkan dengan cliffhanger. 'Baik' punya cliffhanger. Tak sabar mahu tunggu sambungannya....T_T

Sekian.