Saturday, May 30, 2015

Berjalan Seperti Tony Wheeler

Berjalan di blog kenalan aku, Cikpuan Waida yang manis telah menemukan aku dengan entri beliau yang bertajuk "Berjalan Seperti Rolf Potts." Boleh baca entrinya di sini.

Tertarik dengan kuiz yang telah beliau jawab, membuatkan aku juga teringin hendak tahu jenis pengembara yang bagaimanakah diriku ini.

Kalau Cikpuan Waida berjalan seperti Rolf Potts - and I truly believe she fits the descriptions very well - aku pula berjalan seperti...Tony Wheeler! 

I travel like Tony Wheeler !

Tony Wheeler
You are someone who others will come to rely on for their best travel advice and information. With any luck at all, you'll eventually get bought out by the BBC, so you can retire, and then keep traveling anyway.
What type of traveler are you?
Take BootsnAll's Travel Quiz to find out.

Tony dan isterinya, Maureen Wheeler adalah pengasas bersama Lonely Planet, baq hang!

Baiklah...kalau kalian ingin mencuba kuiz di atas, silalah klik pada pautan 'BootsnAll's Travel Quiz' itu, ya.

Have fun!

Saturday, May 23, 2015

Ulasan Travelog "Advantura Pulang Ke Malaya"

Buku comel ini hanya mengandungi 152 halaman. Diterbitkan oleh DuBook Press.

Travelog "Advantura Pulang Ke Malaya" (APKM) ini aku ada sebut dalam entri yang lepas. Boleh rujuk di sini.

Dalam entri tersebut juga aku ada sebut tentang 'sedikit kekecewaan' yang aku rasa selepas membacanya.

Apa dia 'sedikit kekecewaan' yang aku rasakan itu? Aku akan huraikannya di sini.

Kecewa 1. Kisah kembara tuan Badrul Hisham itu tidak ditulis dari A - Z. Untuk kembara yang boleh dianggap sebagai epik, adalah sangat merugikan jika tidak diceritakan kisah dari sebelum, semasa, dan selepas kembara secara terperinci. Maksud aku, bukanlah semua perkara - apa lagi yang remeh-temeh - hendak diceritakan. Memadailah ambil mana-mana pengalaman yang dianggap sesuai untuk bacaan umum. Jadikan ia lebih tebal. Itu sudah cukup mengembirakan bagi aku.

Kecewa 2. Aku rasa bab-bab dalam travelog ini tidak disusun secara kronologi. Aku faham jika tuan penulis hanya mahu menceritakan pengalaman-pengalaman yang menarik dan signifikan dalam kembara berbasikalnya itu. Tetapi lebih molek sekiranya cerita-cerita beliau itu disusun mengikut lokasi negara yang dilalui. Kalian faham kan maksud aku? Aku sering mendapati diri aku tersesat semasa membaca kisah-kisah pendek yang terdapat dalam travelog ini. Lalu ini membawa kepada...

...kecewa 3. Semakin jauh aku membaca, semakin banyak persoalan yang timbul dalam kepala aku. Kalau aku sebut satu persatu persoalan-persoalan yang timbul itu di sini, ia mungkin akan jadi spoiler alert pula kepada yang belum membacanya. Baik aku simpan dalam hati sahaja. Paling mengecewakan, tiada satu pun persoalan itu terjawab walaupun aku telah sampai ke titik terakhir travelog ini.        

Itulah 'sedikit kekecewaan' aku. Sedikit sahaja, kan? Ingin aku tekankan kepada pembaca entri ini dan kepada tuan penulis sendiri (bajet macamlah beliau akan terbaca entri ini...heheheh~) bahawa 'sedikit kekecewaan' yang aku rasa itu tidaklah bermaksud travelog APKM tidak best atau tidak bagus.

Sebenarnya Tuan Badrul Hisham menulis dengan sangat baik. Bahasa Melayunya disusun dengan baik dengan gaya bahasa yang indah. Ada ketikanya beliau menulis dengan gaya yang lebih santai mengikut kesesuaian cerita. Aku juga kagum dengan kebolehan beliau menggambarkan suasana dan keadaan di sekeliling beliau dengan begitu baik sekali - satu kelemahan dalam penulisan yang belum berjaya aku atasi.

Gambar-gambar yang dikongsikan dalam travelog ini juga tersangatlah cantik-cantik belaka...membuatkan aku rasa ingin terbang terus ke tempat-tempat tersebut. Maka, makin bertambahlah wishlist aku dibuatnya.  

Oleh sebab itu, janganlah terpengaruh sangat dengan 'sedikit kekecewaan' aku itu. Setiap orang ada pandangan masing-masing.

Ini cuma pandangan aku, seorang perempuan pengembara yang belum sampai suku dunia pun yang telah dijelajahinya. *face-palm*

Apa lagi nak ada travelog sendiri. *double face-palm

Sekian...izinkan aku membawa diri...(drama je lebih).

Sunday, May 17, 2015

Kembara Buku di PBAKL 2015

Satu perkembangan yang sangat menarik aku lihat dalam industri buku sekarang ini ialah semakin bertambahnya buku-buku travelog yang diterbitkan oleh rumah-rumah penerbitan tempatan. Jenuh juga hendak pilih tajuk yang mana hendak dibeli memandangkan bajet yang ciput dan kudrat yang terhad untuk mengendong bebanan buku yang boleh tahan beratnya.

Maka, setelah berenang di lautan manusia sebanyak tiga kali di PWTC, inilah buku-buku, komik-komik, dan novel travelog yang sempat aku pancing di sana.

Silalah menjamu mata.

Di antara banyak-banyak buku di atas, cuma travelog yang bertajuk "Advantura Pulang ke Malaya" tulisan Badrul Hisham yang telah habis aku baca. Perasaan aku lepas baca travelog ini? Sedikit kecewa sebenarnya. Mungkin sebab aku ada high expectation terhadapnya. Kalau rajin, aku akan ulas lebih lanjut. Kalau rajinlah...hahaha!

Ok, aku minta diri dulu. Nanti sambung cerita lagi, insya-Allah.

Ciao!

Sunday, March 29, 2015

Kembara Berdua di Bumi Maori 15

OAMARU - DUNEDIN

"I never met a chocolate I didn't like (Tak pernah aku jumpa coklat yang aku tak suka)" - Marina Sirtis sebagai Deanna Troi (Star Trek: The Next Generation).

Setelah memandu lebih kurang 21/2 jam, akhirnya kami sampai di Dunedin. Di sini sukar untuk kita tidak perasan akan bentuk muka buminya yang berbukit bukau. Ya, di New Zealand ini kawasan gunung-ganang dan bukit bukau memang dapat dilihat di mana-mana. Tetapi untuk sebuah bandar itu benar-benar berada di atas kawasan berbukit, mungkin jarang-jarang ada. Sekiranya kita potong Dunedin dan melihatnya secara keratan rentas, saya rasa kita akan mendapati bentuk muka buminya seakan-akan graf ECG (Elektrokardiogram) dengan garisan-garisan yang menaik dan menurun di antara garisan-garisan yang rata; menunjukkan seseorang itu masih bernyawa.

Begitulah suasana yang saya rasakan di sini. Lebih 'bernyawa' berbanding dengan Lake Tekapo dan Oamaru yang telah jauh kami tinggalkan. Cuma saya harapkan kereta yang kami sewa ini masih tetap bernyawa walaupun terpaksa bekerja keras mendaki setiap jalan berbukit di sekitar Dunedin ini. Ini termasuklah semasa kami menuju ke hotel penginapan iaitu "Aaron's Lodge Top Ten Holiday Park."

Kami tiba di hotel lebih kurang dalam pukul 2 petang. Chik menunggu di dalam kereta sementara saya melakukan urusan check-in di pejabat hotel. Rancangannya, dapat sahaja kunci, kami mahu langsung bergerak ke Cadbury World.

Urusan check-in berjalan dengan lancar. Selain diberi kunci, saya dibekalkan dengan peta kawasan hotel supaya senang kami mencari kabin kami nanti. Dengan senang hati saya kembali semula ke kereta untuk meneruskan rancangan kami.

Inilah Cadbury World jika dilihat dari Stesyen Keretapi Dunedin.

Perjalanan dari hotel ke Cadbury World hanya mengambil masa lebih kurang sepuluh minit. Kami membeli tiket untuk tour kilang pada harga NZ20.00 seorang. Sementara menunggu giliran untuk tour, kami menghabiskan masa di kedai Cadbury yang terletak di bahagian belakang lobi.

'Timbunan coklat' yang diletakkan bersebelahan dengan meja cashier di bahagian lobi, menyambut kedatangan para pelawat. Namun ia semua adalah palsu. Palsu!

Kami hanya melihat-lihat; orang kata 'window shopping.' Rambang mata juga melihat begitu banyak jenis coklat yang saya tidak pernah jumpa di tanah air dan cenderamata dengan aneka pilihan. Namun saya sedar bahawa saya harus bertenang terlebih dahulu kerana tour kami akan bermula pada pukul 3 petang iaitu yang terakhir untuk hari itu. Sebab itulah kami terkejar-kejar untuk ke sini. Takut tidak sempat.


Gambar atas dan bawah menunjukkan ruang dalam kedai Cadbury yang dihias secara minimalist...heh!

Apabila masa telah sampai, kami pun dipanggil untuk memulakan tour. Kami diminta keluar ke belakang kedai. Di luar sana sudah menunggu tour guide kami. Seorang wanita yang saya anggar berusia awal 50-an. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Pat. Suhu yang sejuk (mungkin kurang daripada 15Âșc), tidak menghalang dia memakai t-shirt lengan pendek dan overall jeans sahaja.

'Tough betul kulit dia,' bisik saya dalam hati, dengan penuh rasa kagum.

Tidak lama kemudian, 'Sejuknya Pat...bila nak masuk (dalam kilang) ni?'

Saya sudah mula mengomel dalam hati akibat tidak tahan sejuk walaupun cara berpakaian saya lebih tertutup dan tebal jika dibandingkan dengan Pat. Namun sebelum kami dibenarkan masuk ke dalam kilang, Pat meminta kami menyimpan beg ke dalam loker yang disediakan di situ. Semua barang tidak dibenarkan dibawa masuk. Ini termasuklah kamera dan juga telefon bimbit. Baru sahaja saya berangan-angan hendak mengambil gambar dalam kilang. Punah harapan saya dibuatnya...T_T

Setelah pasti semua orang (kami dan beberapa orang pelawat yang lain) telah bersedia, maka bermulalah tour kami.  Pat ternyata seorang yang lucu dan pandai menceriakan suasana. Setiap kali kami sampai di bahagian-bahagian tertentu kilang atau setelah berjaya memanjat tangga-tangga, kami diberi ganjaran coklat. Itu semua orang dapat. Ada cara lain untuk dapat coklat lebih iaitu sekiranya kita berjaya menjawab dengan betul soalan-soalan trivia yang akan Pat berikan pada bila-bila masa sepanjang tour berlangsung.

Setiap orang dalam grup kami berjaya mendapat coklat ekstra kecuali saya dan Chik. Pada mulanya saya tidak perasan. Sehinggalah selepas kami berhenti minum coklat panas yang Pat sediakan, Chik berbisik kepada saya, "Siti perasan tak? Kita berdua je yang belum jawab apa-apa soalan lagi?"

Kami tertawa kecil walaupun saya rasa sangat malu (saya tidak tahu sama ada Chik rasa apa yang saya rasa). Saya pandang setiap seorang ahli dalam grup kami yang datang dari pelbagai negara - Australia, Jerman, Itali, India, dan juga orang tempatan. Memang betul apa yang Chik cakap. Kami berdua sahaja yang belum menjawab apa-apa soalan.

Apa boleh buat, soalan-soalan yang ditanya Pat boleh tahan sukar untuk kami jawab. Contohnya, semasa kami dibawa melawat ke bahagian pemprosesan coklat (hanya melihat dari celah jeriji kerana pelawat tidak dibenarkan masuk), dia bertanya coklat perisa apakah yang sedang diproses (berdasarkan bau) ketika itu? Setiap perisa coklat akan diproses pada hari-hari tertentu. Pada hari tersebut, perisa yang sedang diproses ialah...Turkish Delight. Tengok...macam manalah kami boleh jawab sebab perisa itu tidak dijual di Malaysia...TT_TT


Ini sahajalah coklat-coklat yang berjaya 'disambar' daripada Pat...sob...sob....

Baik. Kita lupakan kekecewaan saya itu kerana ada sesuatu yang membuatkan hati saya melonjak-lonjak apabila tour kami sudah sampai ke kemuncaknya. Tour kami diakhiri dengan melihat 'air terjun' coklat. Yeay!

Berliter-liter coklat cair dicurahkan dari dalam sebuah bekas besar yang dipasang di siling terus ke dalam 'perigi' di bawah tempat kami berdiri. Saya rasa paras endorphine dan serotonin saya meningkat dengan mendadak. Baunya...heaven. Kalau pun saya bukan di syurga (dunia), saya terasa seperti berada di kilang coklat Willy Wonka dan saya adalah Charlie-nya. Gatal rasa hendak hulurkan tangan untuk mencalit sedikit coklat tersebut. Tapi malangnya saya rasa tangan saya tidak akan dapat mencapai walaupun tempias coklat cair tersebut. Lagipun menurut Pat, coklat yang sama telah digunakan berulang-ulang kali sejak lebih daripada setahun yang lalu. Eyeww...coklat dah expired kot! Terbantut terus khayalan saya.

Namun khayalan saya untuk membeli berkoyan-koyan coklat selepas tour tamat tidaklah terbantut. Yang sebenarnya tidaklah saya dapat membeli berkoyan-koyan coklat. Untuk beberapa jenis coklat bar, coklat candy, dan beberapa jenis cenderamata sahaja, saya sudah menghabiskan sebanyak NZ43.00 (itu belum termasuk GST lagi). Rabak poket dibuatnya...TTT_TTT

Akhirnya, setelah berpuas hati dan mendapat apa yang dihajati, maka kami berdua pun mula beredar dari Cadbury World. Masa untuk pulang ke hotel semula.

Tak sabarnya....

-Bersambung-

Sunday, March 8, 2015

Perempuan Ini Mengidamkan 'Aiskrim' Magnum Blue di Surabaya Tetapi Impiannya Punah Setelah Terlihat Iklannya di TV

Ada kalanya semasa travel, aku memang suka mencuba sesuatu makanan yang baru. Sesuatu yang tidak pernah aku jumpa di negara ini. Apalagi kalau ia daripada jenis makanan yang aku suka. Dan sudah tentunya jika ia halal dimakan. 

Masa aku berada di Surabaya pada awal bulan lepas, aku tertarik dengan papan-papan iklan Magnum Blue yang selalu aku nampak terpacak di sekitar jalan raya di sana. Melihat perkataan 'Magnum' sudah pasti aku terbayangkan aiskrim Magnum. Berbunga-bunga hati aku dibuatnya. Seingat aku, aiskrim Magnum Blue belum pernah aku nampak dijual di Malaysia. Jadi, aku memasang cita-cita untuk membeli dan merasa sendiri aiskrim tersebut.

Tertanya-tanya juga entah perisa apa agaknya aiskrim Magnum yang ini sehingga ia dinamakan sebagai Magnum Blue? Apalagi setelah melihat tagline-nya yang tertulis di papan iklan yang menambahkan lagi tanda tanya iaitu 'taste the difference.' Rasakan kelainannya. Pergh!

Namun, pelik juga apabila melihat iklannya yang tidak menunjukkan gambar aiskrim sebagaimana lazim kita tengok. Bertambah pelik apabila aku tidak pernah jumpa aiskrim ini apabila kami singgah di mana-mana kedai. Misteri sungguh!

Gambar sekadar hiasan.
Sumber: www.icecreamsource.com

Rasa pelik ini aku simpan dalam hati. Tidak aku luahkan kepada sesiapa. Sehinggalah pada hari terakhir di Surabaya, ketika aku sedang menonton TV. Keluarlah iklan Magnum Blue yang menjadi idaman hati.

Ini rupanya Magnum Blue! Patutlah tak jumpa! Cari salah tempat! Patut cari di tempat rokok!

Terbakar rasa hati. Rupa-rupanya Magnum Blue bukan aiskrim Magnum berperisa baru. Tetapi jenama rokok!

Tipah tertipu...pu...pu...puiii!!!

*Tajuk entri bajet ala-ala The Vocket...kakaka!

Sunday, March 1, 2015

This Meme Wins


Dang! Meme ni memang kena dengan batang hidung aku. Entah siapa yang bijak cipta meme ni, agaknya? Seperti biasa, aku jumpa dalam FB. Dan aku terpanggil untuk share pula dalam blog ini. Kepada sesiapa saja yang cipta meme ni, satu perkara aku nak bagitau. Kita senasib...ahhaha~

Aku rasa dari tahun lepas hingga ke tahun ini ramai orang yang aku kenal telah dan akan menyambut kelahiran cahaya mata masing-masing. Salah seorangnya termasuklah travel partner yang selalu enter frame dalam travelog China dan New Zealand (yang belum habis tulis lagi...omg!) dalam blog aku ni.

Rezeki masing-masing, kan. Aku bersyukur masih diberi rezeki untuk keluar travel walaupun tak sekerap orang lain. Semoga rezeki ini takkan putus sampai bila-bila hinggalah sampai masa Kekasih aku jemput untuk 'travel' ke dunia sana pula nanti. Aamiin...

Sunday, February 1, 2015

Menyewa Kereta di Pulau Jeju

Jangan tak percaya, untuk ke Pulau Jeju pada bulan November tahun lepas, aku telah menyewa kereta di sana. Bukanlah apabila sampai di sana baru aku menyewa kereta. Bukan.

Persediaan sudah dilakukan sebelum berlepas ke Korea lagi. Jadi, kepada yang ingin menyewa kereta apabila hendak ke sana nanti tetapi tidak tahu bagaimana, jangan risau. Aku akan terangkan satu persatu dalam entri ini. Semoga kalian tidak bosan membacanya kerana aku akan bersyarah secara panjang lebar sempena Hari-Wilayah-dan-cuti-panjang-gila-tapi-aku-tak-pergi-ke-mana-mana-ini.

Baik. Perkara paling utama dan paling penting sebelum kalian mengambil keputusan untuk menyewa kereta adalah tanya kepada diri sendiri - 'adakah aku benar-benar yakin dengan keputusan ini?' Aku kata paling utama dan penting kerana kita akan memandu bukan di sebelah kanan sebagaimana biasa, tetapi di sebelah kiri. Jalan yang perlu dilalui pula bukan di sebelah kiri, tetapi di sebelah kanan. Jadi, kebarangkalian untuk berlaku kekeliruan dan kesilapan adalah amat tinggi sekiranya kita tidak fokus dan berhati-hati.

Aku sendiri sebenarnya tidak berapa yakin pada mulanya. Dan memandu sendiri tidak termasuk dalam perancangan awal. Namun disebabkan ahjussi teksi yang aku beremel sebelum ini tidak membalas pertanyaan aku tentang siapa yang akan menjadi pemandu kami bagi menggantikan beliau (sebab ahjussi itu telah fully-booked pada tarikh kami ke sana), aku merasakan ini mungkin petunjuk dari-Nya untuk aku memandu sendiri. Secara automatiknya aku menjadi yakin. Ditambah pula dengan keyakinan travel partner yang aku boleh melakukannya. Aku tak tahulah sama ada dia benar-benar yakin ataupun buat-buat yakin. Namun 'keyakinannya' itu telah menjadikan aku semakin yakin walaupun pada hakikatnya kali terakhir aku memandu adalah pada hari raya haji yang lepas!

Jadi, bermulalah pencarian aku untuk syarikat kereta sewa yang mana untuk dipilih. Aku banyak membaca di blog-blog travel yang lain tentang pengalaman memandu di Pulau Jeju. Kebanyakan yang aku baca, mereka menyewa kereta dengan KT Kumho. Kalau kalian tercampak di blog ini secara sengaja ataupun tidak sengaja dan masih tidak dapat membuat keputusan hendak menyewa dengan siapa; dengarlah nasihat aku. Daftar keahlian dan sewa sahaja dengan KT Kumho. Pautan pun sudah diberikan di atas.

Tapi nanti dulu. Sebelum mendaftar menjadi ahli (yang menawarkan diskaun yang tidak masuk akal berbanding jika kita tidak menjadi ahli), ada satu langkah yang perlu diikuti. Kalian perlu dapatkan Permit Memandu Antarabangsa (PMA) atau dalam Bahasa Inggerisnya, International Driving Permit (IDP). Permohonan boleh dibuat di mana-mana cawangan JPJ dan AAM (Automobile Association of Malaysia). Aku buat permohonan di JPJ, UTC Pudu.

Di JPJ nanti kalian perlu sediakan:

  1. Sekeping gambar berukuran pasport.
  2. Salinan kad pengenalan (depan dan belakang dalam satu mukasurat).
  3. Salinan lesen memandu (depan dan belakang dalam satu mukasurat).
Tidak perlu mengisi apa-apa borang. Beritahu sahaja hendak buat PMA. Pegawai bertugas akan minta dokumen-dokumen di atas dan bayaran sebanyak RM150. Proses menunggu PMA siap tidak lama. Dalam masa lebih kurang 15 minit urusan selesai. Tempoh sahlaku PMA - setahun sahaja dari tarikh permohonan. Mudah, kan?

Inilah rupa PMA aku.

Sudah dapat PMA, bolehlah mulakan operasi mendaftar keahlian dengan KT Kumho. Kenapa aku beria-ia suruh dapatkan PMA dulu? Kerana no. PMA perlu diberikan sebagai salah satu syarat keahlian diterima.

Kalian juga mesti tertanya-tanya kenapa aku beria-ia suruh menyewa dengan KT Kumho? Daripada pengalaman, aku dapati terdapat banyak kemudahan dan kelebihan jika kita menyewa dengan KT Kumho. Apalagi bila sudah menjadi ahlinya.

Sudah jadi ahli bolehlah mula pilih kereta mana yang hendak disewa. Disebabkan aku travel berdua sahaja, aku memilih kereta jenis kompak iaitu Kia Morning (di sebelah sini dipanggil Picanto, katanya). Harga sewa sebelum diskaun adalah sebanyak RM600++ untuk 3 hari. Aku jangkakan akan diberi diskaun sebanyak 60% seperti yang tertulis di website KT Kumho dan juga di kebanyakan blog yang aku baca. Tapi mungkin nasib aku agak baik hari itu, aku telah diberi diskaun sebanyak 75%! Jadi, jumlah sewa (termasuk insurans dengan perlindungan penuh) yang kami perlu bayar cuma lebih kurang RM200 (KRW63,200) bersamaan dengan RM100 seorang. Yang bestnya kita tidak perlu bayar apa-apa lagi. Booking sahaja dulu. Bagus, kan?

Bayaran pula hanya boleh dibuat di pejabat KT Kumho di Pulau Jeju nanti. Sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju, terus sahaja pergi ke kaunter KT Kumho. Serahkan reservation slip dan PMA kepada petugas kaunter untuk diperiksa. Setelah diperiksa, bolehlah terus keluar ke Gate 5. Di luar biasanya sudah menunggu shuttle bus yang akan membawa kita ke pejabat KT Kumho secara percuma. Perjalanan mengambil masa lebih kurang lima minit.

Sampai sahaja di pejabat KT Kumho, terus ambil no. giliran. Setelah no. kita dipanggil, terus ke kaunter untuk urusan pembayaran. Perlu aku tekankan di sini, cara pembayaran hanya boleh dilakukan dengan menggunakan kad kredit. Kalau hendak sewa portable wifi atau dipanggil 'egg', juga perlu menggunakan kad kredit. Bayaran tunai tidak akan dilayan langsung. Jadi, jangan sesekali lupa atau sengaja tidak membawa kad kredit. Aku ulang, jangan sesekali lupa atau sengaja tidak membawa kad kredit. Kalau tiada, 'Allah selamatkan kamu' aku ucapkan kepada kalian, ya. Aku serius ni.

Setelah membuat pembayaran, maka kereta akan diserahkan kepada kita. Jangan lupa ambil gambar kereta terlebih dahulu. Manalah tahu, kan...kalau apa-apa terjadi, sekurang-kurangnya kita ada bukti. Petugas bahagian penyerahan ini akan ajar bagaimana menggunakan GPS. Aku sangkakan GPS kami dalam Bahasa Korea. Aku telah bersedia dengan segala macam tip yang aku baca sebelum ini tentang cara-cara menggunakan GPS tersebut. Tapi sekali lagi aku salah kerana GPS kami telah disetkan kepada Bahasa Inggeris. Tak mengapalah. Aku reda.

Setelah diberi penerangan sikit-sikit dalam Bahasa Inggeris dan banyaknya dalam bahasa ayam dan itik, kita akan diminta untuk menurunkan tandatangan pada borang persetujuan sewa kereta. Dan kereta pun akan diserahkan.

Sebelum memulakan pemanduan, jangan lupa untuk periksa perkara-perkara asas seperti hendak pasang wiper belah mana. Tidaklah nanti apabila tiba-tiba hujan turun kita tersilap memasang signal walaupun niat sebenar hendak memasang wiper. Sentiasa setkan di minda juga yang kotak gear terletak di sebelah kanan, bukan kiri seperti di Malaysia. Nasib baiklah kedudukan pedal minyak dan brek adalah sama. Kalau tidak, naya juga...huhu~  
    
Sudah selesai periksa apa-apa yang patut, bolehlah mulakan pemanduan dan seterusnya berfoya-foya di Pulau Jeju.

Ikut putaran jam: 1. keadaan trafik di Jeju-si, 2. urusan pembayaran, 3. inilah rupa kereta sewa kami, dan 4. PP sedang beraksi :P

Bila tiba masa untuk pulangkan semula kereta, pastikan isi semula minyak sehingga penuh. Ada banyak juga stesyen minyak semasa dalam perjalanan ke pejabat KT Kumho. Bolehlah singgah di mana-mana yang berkenan di hati. Untuk mengetahui anggaran harga minyak di Pulau Jeju (atau mana-mana negara pun di dunia ini) bolehlah rujuk di sini.

Jika kereta dipulangkan dalam keadaan yang baik dan minyak pula penuh, kita akan dilepaskan tanpa banyak soal. Dan sebagaimana kita datang dengan shuttle bus, begitu juga semasa balik. Kita akan dibawa ke lapangan terbang tanpa dikenakan apa-apa bayaran.
   
Begitulah cara-caranya untuk menyewa kereta di Pulau Jeju. Untuk pengalaman memandu di sana, aku akan kongsikan dalam entri yang lain. Terlalu banyak drama. Kalau diceritakan sekali di sini, 3 hari 3 malam pun aku tak akan habis menulis. Maunya jadi novel terus...koh koh koh~

Wednesday, January 7, 2015

Angan-angan Itu Percuma: Afrika

Aku rasa minat aku untuk travel memang telah terpupuk sejak dari zaman kanak-kanak agaknya. Tapi jangan ditanya zaman kanak-kanak aku tu berapa tahun yang lalu sebab aku tak akan jawab...hahaha!

Kalau kalian nak tahu - pada masa itu - negara yang aku teringin sangat hendak pergi ialah Afrika sebab aku mahu melawat safari. Semua ini gara-gara suka sangat menonton rancangan dokumentari 'National Geographic'. Asalkan ada dokumentari tentang haiwan yang tinggal di safari, memang aku tidak akan lepaskan peluang untuk menontonnya. Kadang-kadang aku menonton seorang diri. Kadang-kadang dengan emak.

Selain 'National Geograhic', lagu "Africa" nyanyian kumpulan Toto juga antara penyumbang minat aku untuk ke Afrika. Best tau lagu ni.

Cubalah dengar :3



Nice song, eh?

Buat masa ini, impian untuk ke sana masih tinggal impian. Belanja untuk ke Afrika bukannya sedikit. Tiket kapal terbang sahaja sudah ribu-riban, belum lagi termasuk perbelanjaan yang lain. Jadi, aku belum ada kemampuan untuk ke sana lagi. Ditambah pula dengan kebanjiran warga Afrika ke negara kita ini, rasa macam belum ada keperluan untuk ke sana (entah apa kaitannya tak tahulah...) kakaka!

Jadi, apa impian atau angan-angan kalian tentang travel pada zaman kanak-kanak dulu? Atau pada zaman remaja atau pada masa sekarang sekali pun.

Angan-angan itu kan percuma :)

Care to share?

Sunday, January 4, 2015

2.0.1.5

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar semua?

Pehhh...Lama betul perempuan ini tak menulis.

Kalau kalian perasan, entri terakhir aku adalah pada awal bulan Mac 2014 yang lalu. Beberapa hari sebelum seluruh dunia dikejutkan dengan berita kehilangan pesawat MAS MH370. Sejak kejadian malang itu, aku betul-betul hilang mood untuk menulis di sini. Entahlah kenapa. Mungkin sebab aku perempuan (pengembara...lah sangat), maka tahap empati aku terlalu tinggi. Sedih sangat.

Belum hilang sedih sepenuhnya, pada bulan Julai, kita dikejutkan lagi dengan kejadian malang yang menimpa pesawat MAS MH17 pula.

Di penghujung tahun 2014, satu lagi berita malang kita dengar. Pesawat Air Asia Indonesia QZ8501 pula terhempas.

Sesungguhnya 2014 merupakan tahun yang malang bagi dunia penerbangan :( 

Hanya doa yang mampu dikirimkan buat mereka yang terkorban; dan untuk pesawat MH370 ditemui semula walau apa jua keadaannya sekarang.

On personal note. Aku pun rasa sedih pada diri sendiri. Sebabnya, wishlist tahun 2014 aku satu pun tidak kesampaian :(

Walaupun wishlist tak tertunai, sekurang-kurangnya aku berjaya juga sampai ke tempat lain. Tahun 2014 aku ke Korea Selatan sekali lagi. Kali ini destinasi aku ialah Busan dan Pulau Jeju. Kali ini juga aku travel bersama dengan travel partner yang baru yang merupakan sahabat lama aku sendiri.

Untuk tahun 2015 ini pula?

Sudah ada satu tavel plan yang sudah pasti, insya-Allah. Satu lagi belum pasti aku mahu terima ataupun tidak, walaupun destinasinya adalah salah satu negara yang termasuk dalam wishlist tahun 2014 aku tu...huhuhu~

Dan masa bangun pada pagi tahun baru 2015 yang baru ini, aku diselubungi dengan satu perasaan yang lain macam. Aku rasa tahun ini tahun yang baik untuk aku:

- travel lebih banyak lagi.

- menulis lebih kerap lagi.

Terlalu optimistik, ataupun 'mabuk' euphoria?

Apa-apapun, semoga semangat baru aku ini bukannya jenis hangat-hangat tahi ayam. Terutama yang kedua itu :p

Doakan aku ya ;)