Showing posts with label South Korea. Show all posts
Showing posts with label South Korea. Show all posts

Sunday, February 1, 2015

Menyewa Kereta di Pulau Jeju

Jangan tak percaya, untuk ke Pulau Jeju pada bulan November tahun lepas, aku telah menyewa kereta di sana. Bukanlah apabila sampai di sana baru aku menyewa kereta. Bukan.

Persediaan sudah dilakukan sebelum berlepas ke Korea lagi. Jadi, kepada yang ingin menyewa kereta apabila hendak ke sana nanti tetapi tidak tahu bagaimana, jangan risau. Aku akan terangkan satu persatu dalam entri ini. Semoga kalian tidak bosan membacanya kerana aku akan bersyarah secara panjang lebar sempena Hari-Wilayah-dan-cuti-panjang-gila-tapi-aku-tak-pergi-ke-mana-mana-ini.

Baik. Perkara paling utama dan paling penting sebelum kalian mengambil keputusan untuk menyewa kereta adalah tanya kepada diri sendiri - 'adakah aku benar-benar yakin dengan keputusan ini?' Aku kata paling utama dan penting kerana kita akan memandu bukan di sebelah kanan sebagaimana biasa, tetapi di sebelah kiri. Jalan yang perlu dilalui pula bukan di sebelah kiri, tetapi di sebelah kanan. Jadi, kebarangkalian untuk berlaku kekeliruan dan kesilapan adalah amat tinggi sekiranya kita tidak fokus dan berhati-hati.

Aku sendiri sebenarnya tidak berapa yakin pada mulanya. Dan memandu sendiri tidak termasuk dalam perancangan awal. Namun disebabkan ahjussi teksi yang aku beremel sebelum ini tidak membalas pertanyaan aku tentang siapa yang akan menjadi pemandu kami bagi menggantikan beliau (sebab ahjussi itu telah fully-booked pada tarikh kami ke sana), aku merasakan ini mungkin petunjuk dari-Nya untuk aku memandu sendiri. Secara automatiknya aku menjadi yakin. Ditambah pula dengan keyakinan travel partner yang aku boleh melakukannya. Aku tak tahulah sama ada dia benar-benar yakin ataupun buat-buat yakin. Namun 'keyakinannya' itu telah menjadikan aku semakin yakin walaupun pada hakikatnya kali terakhir aku memandu adalah pada hari raya haji yang lepas!

Jadi, bermulalah pencarian aku untuk syarikat kereta sewa yang mana untuk dipilih. Aku banyak membaca di blog-blog travel yang lain tentang pengalaman memandu di Pulau Jeju. Kebanyakan yang aku baca, mereka menyewa kereta dengan KT Kumho. Kalau kalian tercampak di blog ini secara sengaja ataupun tidak sengaja dan masih tidak dapat membuat keputusan hendak menyewa dengan siapa; dengarlah nasihat aku. Daftar keahlian dan sewa sahaja dengan KT Kumho. Pautan pun sudah diberikan di atas.

Tapi nanti dulu. Sebelum mendaftar menjadi ahli (yang menawarkan diskaun yang tidak masuk akal berbanding jika kita tidak menjadi ahli), ada satu langkah yang perlu diikuti. Kalian perlu dapatkan Permit Memandu Antarabangsa (PMA) atau dalam Bahasa Inggerisnya, International Driving Permit (IDP). Permohonan boleh dibuat di mana-mana cawangan JPJ dan AAM (Automobile Association of Malaysia). Aku buat permohonan di JPJ, UTC Pudu.

Di JPJ nanti kalian perlu sediakan:

  1. Sekeping gambar berukuran pasport.
  2. Salinan kad pengenalan (depan dan belakang dalam satu mukasurat).
  3. Salinan lesen memandu (depan dan belakang dalam satu mukasurat).
Tidak perlu mengisi apa-apa borang. Beritahu sahaja hendak buat PMA. Pegawai bertugas akan minta dokumen-dokumen di atas dan bayaran sebanyak RM150. Proses menunggu PMA siap tidak lama. Dalam masa lebih kurang 15 minit urusan selesai. Tempoh sahlaku PMA - setahun sahaja dari tarikh permohonan. Mudah, kan?

Inilah rupa PMA aku.

Sudah dapat PMA, bolehlah mulakan operasi mendaftar keahlian dengan KT Kumho. Kenapa aku beria-ia suruh dapatkan PMA dulu? Kerana no. PMA perlu diberikan sebagai salah satu syarat keahlian diterima.

Kalian juga mesti tertanya-tanya kenapa aku beria-ia suruh menyewa dengan KT Kumho? Daripada pengalaman, aku dapati terdapat banyak kemudahan dan kelebihan jika kita menyewa dengan KT Kumho. Apalagi bila sudah menjadi ahlinya.

Sudah jadi ahli bolehlah mula pilih kereta mana yang hendak disewa. Disebabkan aku travel berdua sahaja, aku memilih kereta jenis kompak iaitu Kia Morning (di sebelah sini dipanggil Picanto, katanya). Harga sewa sebelum diskaun adalah sebanyak RM600++ untuk 3 hari. Aku jangkakan akan diberi diskaun sebanyak 60% seperti yang tertulis di website KT Kumho dan juga di kebanyakan blog yang aku baca. Tapi mungkin nasib aku agak baik hari itu, aku telah diberi diskaun sebanyak 75%! Jadi, jumlah sewa (termasuk insurans dengan perlindungan penuh) yang kami perlu bayar cuma lebih kurang RM200 (KRW63,200) bersamaan dengan RM100 seorang. Yang bestnya kita tidak perlu bayar apa-apa lagi. Booking sahaja dulu. Bagus, kan?

Bayaran pula hanya boleh dibuat di pejabat KT Kumho di Pulau Jeju nanti. Sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju, terus sahaja pergi ke kaunter KT Kumho. Serahkan reservation slip dan PMA kepada petugas kaunter untuk diperiksa. Setelah diperiksa, bolehlah terus keluar ke Gate 5. Di luar biasanya sudah menunggu shuttle bus yang akan membawa kita ke pejabat KT Kumho secara percuma. Perjalanan mengambil masa lebih kurang lima minit.

Sampai sahaja di pejabat KT Kumho, terus ambil no. giliran. Setelah no. kita dipanggil, terus ke kaunter untuk urusan pembayaran. Perlu aku tekankan di sini, cara pembayaran hanya boleh dilakukan dengan menggunakan kad kredit. Kalau hendak sewa portable wifi atau dipanggil 'egg', juga perlu menggunakan kad kredit. Bayaran tunai tidak akan dilayan langsung. Jadi, jangan sesekali lupa atau sengaja tidak membawa kad kredit. Aku ulang, jangan sesekali lupa atau sengaja tidak membawa kad kredit. Kalau tiada, 'Allah selamatkan kamu' aku ucapkan kepada kalian, ya. Aku serius ni.

Setelah membuat pembayaran, maka kereta akan diserahkan kepada kita. Jangan lupa ambil gambar kereta terlebih dahulu. Manalah tahu, kan...kalau apa-apa terjadi, sekurang-kurangnya kita ada bukti. Petugas bahagian penyerahan ini akan ajar bagaimana menggunakan GPS. Aku sangkakan GPS kami dalam Bahasa Korea. Aku telah bersedia dengan segala macam tip yang aku baca sebelum ini tentang cara-cara menggunakan GPS tersebut. Tapi sekali lagi aku salah kerana GPS kami telah disetkan kepada Bahasa Inggeris. Tak mengapalah. Aku reda.

Setelah diberi penerangan sikit-sikit dalam Bahasa Inggeris dan banyaknya dalam bahasa ayam dan itik, kita akan diminta untuk menurunkan tandatangan pada borang persetujuan sewa kereta. Dan kereta pun akan diserahkan.

Sebelum memulakan pemanduan, jangan lupa untuk periksa perkara-perkara asas seperti hendak pasang wiper belah mana. Tidaklah nanti apabila tiba-tiba hujan turun kita tersilap memasang signal walaupun niat sebenar hendak memasang wiper. Sentiasa setkan di minda juga yang kotak gear terletak di sebelah kanan, bukan kiri seperti di Malaysia. Nasib baiklah kedudukan pedal minyak dan brek adalah sama. Kalau tidak, naya juga...huhu~  
    
Sudah selesai periksa apa-apa yang patut, bolehlah mulakan pemanduan dan seterusnya berfoya-foya di Pulau Jeju.

Ikut putaran jam: 1. keadaan trafik di Jeju-si, 2. urusan pembayaran, 3. inilah rupa kereta sewa kami, dan 4. PP sedang beraksi :P

Bila tiba masa untuk pulangkan semula kereta, pastikan isi semula minyak sehingga penuh. Ada banyak juga stesyen minyak semasa dalam perjalanan ke pejabat KT Kumho. Bolehlah singgah di mana-mana yang berkenan di hati. Untuk mengetahui anggaran harga minyak di Pulau Jeju (atau mana-mana negara pun di dunia ini) bolehlah rujuk di sini.

Jika kereta dipulangkan dalam keadaan yang baik dan minyak pula penuh, kita akan dilepaskan tanpa banyak soal. Dan sebagaimana kita datang dengan shuttle bus, begitu juga semasa balik. Kita akan dibawa ke lapangan terbang tanpa dikenakan apa-apa bayaran.
   
Begitulah cara-caranya untuk menyewa kereta di Pulau Jeju. Untuk pengalaman memandu di sana, aku akan kongsikan dalam entri yang lain. Terlalu banyak drama. Kalau diceritakan sekali di sini, 3 hari 3 malam pun aku tak akan habis menulis. Maunya jadi novel terus...koh koh koh~

Sunday, July 21, 2013

Catatan Kembara K-Pop: Tentang Warga Emas

"Nenek, nenek 
Si bongkok tiga
Siang mengantuk, malam berjaga
Mencari cucu di mana ada
Nenekku kahwin dengan anak raja"

Lagu di atas terus bergema dalam kepala (buruk perangai) sebaik sahaja saya terpandang seorang nenek sedang menuruni anak-anak tangga di salah satu stesyen Subway (tidak ingat pula stesyen mana. Sebenarnya bukan setakat nama, malah perkataan-perkataan dalam Bahasa Korea juga sangat susah untuk saya ingat) di Seoul. Jarang benar dapat melihat warga tua yang sudah 'bongkok tiga' (dengan darjah kebongkokan sebanyak 90 darjah) berjalan-jalan seorang diri di sebuah bandaraya yang besar. Jika di Kuala Lumpur, jangan haraplah. Saya sungguh berasa 'inspired' (bak kata slogan Tourism Korea - Korea: Be Inspired) dengan pemandangan ini sehingga tidak terfikir langsung hendak menolong nenek tersebut yang jelas sedang terkial-kial menuruni anak-anak tangga. Haih!

Tidak pernah saya membayangkan Seoul dipenuhi dengan warga emas. Ok, mungkin saya membesar-besarkan cerita, tetapi itulah sebahagian daripada hakikat sebenar masyarakat di Seoul. Sebelum ke Seoul, apa yang saya bayangkan - jika sampai di sana - pastilah saya akan melihat kebanjiran orang-orang muda dengan gaya K-Pop. Di mana-mana hanya ada perempuan-perempuan cantik dan jejaka-jejaka 'jambu.' Nampaknya saya tertipu dengan drama-drama dan rancangan hiburan terbitan Korea yang hanya sekali-sekala dijeling-jeling tetapi tidak ditonton dengan khusyuk.

Tetapi, itulah. Apa yang difikirkan tidak semuanya betul, walaupun Tuan Ramlee Awang Murshid pernah berkata dalam novel Rayyan Fantasi, "apa yang difikirkan itu ada." *Tetiba* 

Kagum saya rasa dengan kehadiran warga emas ini. Di mana-mana sahaja dapat dilihat golongan tua ini berada, terutama sekali di stesyen-stesyen Subway. Entah mengapa mereka seperti berkumpul beramai-ramai di situ...terutama sekali apabila hari menjelang malam. Adakah mereka ini golongan gelandangan? Masih lagi merupakan satu teka-teki bagi saya.

Apa yang membuatkan saya kagum juga, jumlah mereka ini rasanya lebih ramai daripada jumlah kanak-kanak yang saya jumpa sepanjang saya berada di Seoul (adakah saya membesar-besarkan cerita sekali lagi? Saya pun tak tahu...haha!).

Agaknya, apa rahsia mereka ini berumur panjang?

Dalam bertanyakan soalan ini, saya teringat satu artikel atau mungkin juga sebuah dokumentari yang saya tonton (tidak ingat pula yang mana satu betul...Melayu memang mudah lupa, Nak) beberapa tahun yang lepas. Rahsia umur panjang warga Korea terletak pada cara pemakanan mereka. Mereka bukan sahaja memakan makanan yang sihat seperti kimchi. Tetapi cara mereka makan juga memainkan peranan yang penting. Mereka mengunyah dengan perlahan, lebih daripada 20 kali mengunyah barulah makanan itu ditelan. Ini bertepatan dengan sunnah Nabi Muhamad SAW yang mengunyah makanan sebanyak 40 kali sebelum makanan itu ditelan.

Sebab lain, mungkin kerana banyaknya tangga (di stesyen-stesyen Subway) terdapat di Seoul. Cara murah dan mudah untuk bersenam. Namun bagi sebuah negara maju, agak menghairankan juga kerana mereka masih lagi menggunakan tangga.

Saya juga mendapati golongan inilah yang paling mudah menghulurkan bantuan, walaupun hampir semua mereka ini tidak boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris apalagi dalam Bahasa Melayu. Apa kena mengena umur panjang dengan sifat mudah menghulurkan bantuan? Entahlah. Mungkin mereka memang ikhlas menolong dan berhati baik. Maka dengan itu jiwa mereka lebih tenang lalu menyebabkan usia mereka panjang. Berkemungkinan juga, ya. Ajumma (makcik) dan ahjussi (pakcik) Korea memang bagus! 

Namun hairan juga, belum ada kawasan di Korea yang menjadi Blue Zones lagi walaupun warga emasnya agak ramai. Mungkin belum ada yang usia mereka melebihi 100 tahun. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana pemandangan di kawasan yang sudah diisytiharkan sebagai Blue Zones ini. Oh, untuk pengetahuan  ada 5 tempat telah dikenal pasti sebagai Blue Zones (tidak menurut aturan):

1. Ikaria, Greece
2. Nicoya, Costa Rica
3. Okinawa, Jepun
4. Sardinia, Itali
5. Loma Linda, California, Amerika Syarikat

Itu dia...senarai tempat-tempat yang bakal saya kunjungi (jika ada rezeki) nanti. *Berangan*

Gambar hiasan: 
Salah seorang ahjussi Korea yang sudi bergambar dengan pasangan ajumma dan ahjussi dari Malaysia. Ahaks!

Saturday, November 10, 2012

Catatan Kembara K-Pop: Tentang Handphone

Seoul, saya datang!

Sebenarnya saya tidak begitu teruja sangat hendak menghabiskan cuti di bumi K-Pop ini. Risaukan kucing yang tidak begitu sihat, saya hampir-hampir sahaja ingin membatalkan tiket penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon yang sudah ditempah sejak bulan Julai yang lalu. Tetapi, alang-alang menyeluk kad kredit untuk menempah tiket, biar sampai satu badan ke Seoul.

Alhamdulillah. Sampai juga saya ke Seoul pada bulan lepas walaupun dengan sedikit rasa berat hati. Satu hal yang saya fikirkan (setelah membaca beberapa travel blog yang lain), adakah perlu saya menyewa handphone apabila sampai di sana? Kenapa saya fikirkan hal yang remeh dan yang temeh ini? Kerana yang remeh dan yang temeh inilah yang berlegar di sekeliling kita. Okay, itu tidak menjawab soalan.

Ini jawapannya. Katanya bandwidth yang digunakan di Korea Selatan tidak sama dengan yang digunakan di negara ini. Tidak compatible. Ini maklumat yang saya dapat di blog BackpackerBusuk.

Disebabkan itu, sebaik sahaja sampai, saya cuba menghantar SMS ke Malaysia.

Beberapa minit kemudian...

Ada balasanlah! Yeay! Tidak payah sewa handphone! Tidak payah seluk kad kredit lagi! Fuh, selamat. Jadi kepada sesiapa yang akan ke Korea Selatan, rasanya tidak perlulah menyewa handphone kalau sudah biasa roaming di negara lain. Itu pendapat saya berdasarkan pengalaman ini. Apa-apapun, pilihan terletak di tangan masing-masing.

Baiklah. Itu cerita tentang handphone saya. Mahu cerita tentang handphone orang Seoul pula...boleh tersipu-sipu saya jadinya (saya mahu tutup muka sekejap, malu betul!).

Baik, sambung semula. Rata-rata orang Seoul menggunakan handphone berjenama Samsung (patriotik sungguh mereka ini). Kalau dalam subway, jangan ceritalah. Masing-masing menghadap handphone - Galaxy SII, SIII, Note...to name a few. Malu betul hendak keluarkan handphone saya yang dalam kategori not-so-smart-phone. Kalau ada pun yang menggunakan handphone yang sama kategori dengan saya, mereka ini tidak lain dan tidak bukan ialah...orang-orang tua atau dalam bahasa yang sedap didengar; warga emas. Toink!

Jadi, itulah catatan saya tentang handphone. Bersambung cerita tentang perkara lain pula di lain masa. Annyeong (eh, betulkah?).


Inilah salah satu contoh not-so-smart-phone. Buat rujukan andai ada yang sudah lupa bagaimana rupanya :P