Sunday, July 15, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 10

LAKE TEKAPO - OAMARU

"New Zealand is a country of thirty thousand million sheep, three million of whom think they are human (New Zealand mempunyai tiga puluh ribu juta kambing biri-biri, di mana tiga juta daripadanya menyangka mereka adalah manusia)" - Barry Humphries

Sebelum memulakan perjalanan ke Oamaru, haruslah meronda-ronda di sekitar Lake Tekapo terlebih dahulu. Sebenarnya, malam tadi kami merancang untuk naik semula ke Mount John untuk melihat pemandangan Tasik Alexandrina dari atas gunung tersebut pada pagi ini. Maklumlah malam tadi tidak nampak apa-apa dan Adrian pula mengapi-apikan kami dengan mengatakan pemandangan amat cantik pada waktu siang. Tetapi hasrat itu terpaksa dibatalkan atas andaian mungkin suhu di atas sana lebih sejuk berbanding suhu di bawah. Sedangkan suhu di bawah ini kami tidak tahan, apalagi dengan suhu di atas gunung itu nanti. Rasa terkilan ada juga, namun apalah yang boleh saya buat melainkan terpaksa menerima hakikat bahawa kami ini orang Malaysia yang tidak biasa dengan cuaca yang melampau sejuk.

Tidak dapat naik gunung, saya mengajak Chik pergi melawat sebuah bangunan yang sudah menjadi ikon di Lake Tekapo iaitu "Church of the Good Shepherd." Gereja kecil ini terletak di tepi persisiran tasik dan tidak jauh dari hostel YHA.

Gambar hiasan semata-mata. 

 
Di tepi gereja, seorang perempuan kelihatan jakun melihat rumput yang merimbun.

Di situ kami hanya bergambar. Ada masuk sekejap dan melihat-lihat cenderamata seperti poskad yang dijual berdekatan dengan pintu masuk gereja.

"Kalau kita beli poskad ni, tak apa ke?" tanya saya kepada Chik. "Rasanya kalau kita beli kita dah macam tolong dia orang maintain church ni. Baik tak payah, kan?" saya tanya, saya juga yang menjawab.

"Ha'ah Siti, baik tak payah."

Kami pun keluar dari gereja lalu berjalan pula menuju ke tugu seekor anjing yang saya kira 'good shepherd' itu. Ia terletak beberapa meter dari gereja.

Semua orang memandang tinggi kepada anjing ini. Tidak hairanlah ia berhidung tinggi. 'Good shepherd' konon...

Setelah puas meronda-ronda dan bergambar, barulah kami betul-betul memulakan perjalanan ke Oamaru. Seperti biasa Chik akan set dahulu alamat tempat penginapan kami di destinasi seterusnya ke dalam GPS. Tempat penginapan kami di Oamaru ialah "Oamaru Top 10 Holiday Park."

Tidak berapa lama kami memulakan perjalanan, Chik berhenti untuk membeli kopi apabila dia ternampak sebuah 'warung' kopi di tepi jalan. Ubat mengantuk katanya kerana hari ini Chik masih mahu memandu. Kami melepak sekejap di kedai "Three Creeks Arts & Crafts" yang terletak bersebelahan dengan 'warung' kopi tersebut.

Tempat melepak. Pemilik kedai ini adalah juga pemilik 'warung' kopi.

Puas melepak, kami meneruskan semula perjalanan. Dalam perjalanan kali ini kami banyak berhenti untuk mengambil gambar. Pantang nampak ladang kambing biri-biri, mulalah saya mengajak Chik untuk berhenti bagi meninjau-ninjau kemungkinan untuk bergambar.

Gembira tidak terkata!

Agak-agak ada tempat untuk memarkir kereta yang bagus, kami berhenti di tepi sebuah ladang kambing biri-biri. Sekadar untuk mengambil gambar kerana melawat ladang kambing biri-biri tidak termasuk dalam jadual perjalanan kami. Dapat mengambil gambar dari luar pagar pun sudah cukup bagi kami.

Buah cempedak di luar pagar, kambing biri-biri di dalam pagar. Eh?

Apa yang membuatkan kami terhibur sepanjang kami berhenti itu adalah apabila melihat keletah kambing biri-biri yang kelihatan sungguh 'berminat' memandang kami. Kalau manusia, kambing-kambing tersebut boleh dikategorikan sebagai manusia yang jakun. Jakun pula bukan jakun yang biasa, tetapi jakun tahap dewa. Jakunnya kambing-kambing tersebut sehingga tidak berkelip mata memandang kami.

 "Kawan-kawan, ada manusia tangkap gambar kitalah. Posing cepat!"

Wajah suci seekor kambing biri-biri.

Setelah puas bergambar, kami meneruskan perjalanan melalui State Highway 8. Walaupun dikira sebagai lebuh raya, jalannya sentiasa sunyi daripada kenderaan.

State Highway 8

Perjalanan melalui lebuh raya ini membawa kami sekali lagi ke daerah Fairlie (semasa ke Lake Tekapo juga kami melalui Fairlie). Dari dalam kereta saya ternampak sebuah muzium kecil berwarna merah di tepi jalan. Nama muzium tersebut ialah "Fairlie Museum & Colonial Heritage." Kami singgah untuk melawat muzium tersebut. Bayaran masuk yang dikenakan adalah NZD5 seorang. Tiada apa yang menarik sangat (pada pandangan saya yang bukan 'hantu' sejarah ini) dalam muzium tersebut. Ia hanya mempamerkan barang-barang tinggalan zaman kolonial dan justifikasi mereka akan kepentingan barang-barang atau harta-harta tersebut kepada apa yang membentuk New Zealand amnya dan Fairlie khususnya; terutama sekali tentang sejarah pengembalaan lembu dan kambing biri-biri.

      Peta muzium.

Setelah puas menelusuri sejarah Fairlie, kami meneruskan semula perjalanan ke Oamaru. Perjalanan kali ini agak mencabar walaupun bukan saya yang memandu. Jalan yang dilalui berbukit-bukau. Ada jalan yang sempit. Ada jalan yang curam dan terletak betul-betul di lereng bukit. Walaupun di tepi lereng, jalannya tidak dipasang penghadang jalan langsung. Kalau kereta terbabas alamat boleh meninggal dunia di tempat kejadian. Tetapi Chik tetap memandu dengan cool.

"Cakap, jalan macam mana yang orang tak pernah lalu. Rasanya semua dah lalu. Terer tak aku?" lebih kurang begitulah kata Chik yang kagum dengan dirinya sendiri...hehehe! Dalam kecut-kecut perut, saya mengakui Chik memang seorang pemandu wanita yang saya kagumi. Bukan sebab kami berkawan baik, maka saya berkata begitu. Tetapi saya kagum disebabkan keyakinan tingginya sewaktu memandu. Apatah lagi beberapa hari sebelum kami berangkat ke New Zealand, Chik telah mengalami kemalangan kecil. Keretanya terbabas sewaktu melalui selekoh tajam. Alhamdulillah dia tidak mengalami apa-apa kecederaan. Kalau orang lain pasti sudah mengalami trauma. Chik, walaupun dia mengaku bahawa dia sedikit trauma disebabkan kejadian tersebut - tetapi seperti yang saya kata tadi - dia tetap memandu dengan cool.

Akhirnya, kami tiba di Oamaru pada lebih kurang pukul 4:00 petang, walaupun dalam perjalanan tadi kami banyak berhenti.

Akhirnya tiba di Oamaru.

Berpandukan kepada GPS, terus sahaja kami menuju ke tempat penginapan. Check-in kali ini lebih mudah. Kami tidak lagi terbiar mencari bilik sendirian. Penyambut tetamu dengan baik hatinya membawa kami terus ke bilik yang telah disediakan untuk kami.

 Tada!! Cantik tak bilik ini?

Kami tidak berehat lama di bilik. Lebih kurang pukul 5:00 petang, kami keluar semula untuk aktiviti seterusnya. Setelah puas melihat kambing biri-biri di sepanjang perjalanan tadi, kali ini kami ingin melihat haiwan-haiwan comel berwarna biru pula yang akan memunculkan diri apabila dijemput kegelapan malam.

-Bersambung-

Sunday, July 8, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 9

LAKE TEKAPO - OAMARU

"There is always a best way of doing everything if it be to boil an egg (Setiap perkara itu ada cara terbaik untuk melakukannya, termasuklah cara merebus telur)" - Ralph Waldo Emerson

Pagi itu sebaik bangun daripada tidur Chik terus sahaja mengadu kepada saya, "Siti, orang rasa nak demam."

Oh, tidak. Pemandu merangkap tukang masak utama demam. Ini tidak boleh jadi!

"Pergilah mandi air panas," saya memberikan saranan kepada Chik. Ya, ubat mujarab bagi demam yang biasa-biasa adalah mandi. Kalau demam tidak kebah-kebah walaupun sudah mandi beberapa kali, itu demam luar biasa namanya. Perlu dapatkan rawatan doktor sebelum ia melarat.

Chik akur dengan saranan saya. Ya, selepas mandi, keadaannya lebih baik. Malah, dia begitu bersemangat hendak memasak nasi goreng di communal kitchen dengan bantuan penolong tukang masak iaitu sayalah, siapa lagi. Tolong potong-potong bawang sahaja pun. Maklumlah, wanita berkerjaya seperti saya ini manalah reti memasak. Ahaks.

Sedang Chik sibuk mengacau nasi goreng di atas dapur dan saya pula buat-buat sibuk di dapur, tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu bunyi letupan.

POM!

Ingatkan apa. Rupa-rupanya sebiji telur yang direbus dalam sebuah kuali leper di atas dapur yang satu lagi telah pecah lalu meletup. Saya, Chik dan seorang wanita mat saleh yang berada di dapur saling berpandangan. Dari mula-mula masuk ke communal kitchen lagi saya dan Chik sudah tertanya-tanya; siapalah yang bijak sangat merebus telur dalam kuali leper. Kami lihat airnya sudah hampir kering, tetapi tiada siapa pun yang menjaganya.

Pertanyaan kami terjawab apabila seorang wanita cina yang sedang makan di dewan makan bergegas ke dapur sebaik mendengar bunyi letupan. Dia rupanya orang yang bijak itu. Dengan pipi kemerah-merahan ala-ala Snow White, dia meminta maaf kepada kami atas kelalaiannya lalu dengan pantas membersihkan kawasan tempat kejadian letupan itu berlaku. Nasib baik tiada sesiapa yang tercedera. Yang cedera hanyalah telur yang direbus itu. Kasihan.

Selesai memasak, kami bersiap-siap untuk berpiknik di tepi tasik. Nasi goreng telah siap-siap dibahagi dua dalam bekas plastik. Kami lihat tiada sesiapa pun yang bersarapan di luar walaupun ada beberapa bangku dan meja disediakan yang menghadap ke tasik. Semuanya bersarapan di dewan makan sahaja. Apa kelas sarapan dalam dewan makan. Dengan rasa keterujaan yang tinggi kami berdua melangkah keluar dari bangunan hostel.

Di tepi tasik - pemandangan yang menakjubkan inilah yang menggamit kami untuk berpiknik di luar hostel.

Sebaik sahaja melangkah keluar, tahulah kami kenapa tiada sesiapa pun yang bersarapan di luar hostel. Sejuk, kata kau! Ditambah pula dengan angin yang bertiup bukan sepoi-sepoi bahasa; menambahkan lagi kesejukan di luar. Akibat angin yang kuat, kami membatalkan niat untuk bersarapan di bangku di hadapan tasik (seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di atas). Tetapi kami tidak pula membatalkan niat untuk bergambar terlebih dahulu...hehehe!

Setelah puas bergambar dalam kesejukan, saya mengajak Chik untuk bersarapan di bangku yang terdapat di tepi bahagian tengah hostel. Walaupun masih di luar, tetapi kami terlindung daripada tiupan angin. Ini adalah kerana hostel YHA itu berbentuk 'U.'

Sarapan saya - nasi goreng dan susu coklat. Nyum, nyum!

Selepas bersarapan kami melepak sekejap di lounge hostel sambil menikmati keindahan tasik dari dalam bangunan.

Orang tidak pandai ambil gambar, beginilah hasilnya - pemandangan tasik dari ruang santai (lounge) hostel. Yang duduk di tengah itu ialah wanita cina yang telurnya meletup tadi (no pun intended).

Di mana-mana tempat penginapan di New Zealand ini, waktu check-out adalah pada pukul 10:00 pagi. Jadi setelah habis mengemas, kami pun check-out dari hostel mengikut masa yang ditetapkan itu untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Oamaru.

-Bersambung-

Saturday, July 7, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 8

CHRISTCHURCH - LAKE TEKAPO

"Di Mana Terangnya Bulan" - Bahruddin Bekri

Itu dia shuttle bus kami sudah sampai. Ia sampai tepat pada masanya. Maka, terpaksalah saya melupakan hasrat untuk bergambar kenangan di hadapan pintu hostel. 

Sebaik kami masuk ke dalam shuttle bus, driver bertanya, "Siti Bakar?"

"Yes," jawab saya ringkas. Sesungguhnya saya redha dipanggil sebagai Siti Bakar.

Shuttle bus terus bergerak meninggalkan hostel. Di dalamnya sudah ada beberapa orang peserta tour yang telah dijemput terlebih dahulu. Selepas kami, tiada lagi peserta yang dijemput. Kami terus dibawa ke ibu pejabat Earth & Sky yang terletak lebih kurang 5 minit perjalanan dari hostel.

Setelah sampai, kami diminta untuk menunggu di dalam bangunan pejabat kerana ada beberapa orang lagi peserta yang datang sendiri ke situ yang belum sampai lagi. Di situ ada dijual pelbagai jenis cenderamata. Tetapi saya hanya mampu melihat sahaja kerana harganya yang agak mahal. Lagipun kami baru sahaja sehari tiba di New Zealand, jadi tidak perlu lagi membeli apa-apa cenderamata.

Apabila semua peserta telah berkumpul, driver tadi yang bernama Adrian meminta kami untuk mengambil setiap seorang sehelai jaket tebal (yang disediakan oleh pihak Earth & Sky) walaupun masing-masing telahpun siap memakai jaket tebal masing-masing. Ini adalah kerana suhu di atas gunung sana berada di bawah paras beku iaitu -5 darjah selsius! Rasanya inilah kali pertama saya akan merasai suhu di bawah paras beku. Gementarnya rasa...

Setelah mendapat jaket tebal, kami semua masuk semula ke dalam shuttle bus. Sebelum bertolak, Adrian memberi taklimat kepada kami.

Menurut Adrian (atau lebih layak dipanggil pakcik Adrian), di Mount John Observatory itu terdapat para pelajar University of Canterbury membuat kajian astronomi dan mencari planet-planet dan bintang-bintang baru di cakerawala. Disebabkan itu, mereka ada meletakkan peraturan yang wajib dipatuhi oleh pihak Earth & Sky dan juga para pelawat di waktu malam iaitu tidak boleh menyalakan apa jenis lampu yang berwarna putih (white lights) di atas sana. Disebabkan itu, apabila kami hampir sampai ke Mount John Observatory nanti, beliau akan memandu tanpa memasang headlights. Biar betul! Secara berseloroh beliau meminta agar kami tidak menjerit apabila beliau menutup lampu nanti kerana beliau akan berasa gementar untuk meneruskan pemanduan.

Setelah menyampaikan taklimat tersebut, kami dibawa oleh Adrian menuju ke Mount John Observatory. Walaupun waktu baru sahaja menunjukkan pukul 6:30 petang, tetapi keadaan sekeliling sudah gelap gelita. Dalam perjalanan, Adrian memberitahu bahawa semua lampu yang terdapat di kawasan Lake Tekapo menggunakan sodium yellow light. Selain tidak mencemarkan langit, ia juga menjimatkan. Seperti yang telah saya perhatikan semasa mula-mula sampai di sini, saya dapati hampir tiada lampu jalan di Lake Tekapo ini. Kalau ada pun, lampu-lampu tersebut betul-betul dihalakan ke jalan, tidak ada yang melimpah ke langit. Sebab itulah langit di sini dihiasi dengan bintang-bintang pada waktu malam kerana tiada pencemaran cahaya.

Rasanya sudah sepuluh minit perjalanan yang kami lalui apabila Adrian membelok ke kanan dan berhenti di hadapan sebuah pagar. Beliau turun untuk membuka pagar tersebut. Kemudian beliau memandu shuttle bus masuk sebelum turun semula untuk menutup pagar itu kembali. Dan kemudian lampu shuttle bus pun dipadamkan...arghh!!

Jangan bimbang. Tiada sesiapapun yang menjerit kerana kawasan itu sebenarnya diterangi oleh lampu semulajadi iaitu bulan.

Semasa mendaki gunung, Adrian meminta kami melihat ke kanan. Nun di bawah sana - melalui pantulan cahaya bulan di permukaan air - dalam samar-samar kami dapat melihat Tasik Alexandria (kalau tidak silap telinga ini mendengar penerangan Adrian) yang menjadi lokasi penggambaran filem The Hobbit! Alamak...kenapalah saya tidak datang semasa Peter Jackson sedang membuat penggambaran? Kalau tidak, boleh saya mohon jadi pelakon tambahan. Pasti beliau dapat menjimatkan kos kerana tidak perlu menggunakan banyak mekap dan teknik CGI untuk membuatkan saya kelihatan seperti seorang Hobbit. Ataupun kalau dapat pegang watak sebagai makwe Legolas pun jadilah. Hmmm...

Daripada mod berangan, tiba-tiba keadaan saya berubah kepada mod geram. Di sebelah kiri iaitu di sebalik bukit yang terdapat di situ - dari pandangan sipi - saya nampak seperti ada sebuah lampu bulat besar yang mengeluarkan cahaya putih yang sangat terang. Silau mata saya dibuatnya. Dalam hati tertanya-tanya dari mana datangnya lampu tersebut sedangkan daripada apa yang saya faham daripada penerangan Adrian, tiada satu lampu putih pun boleh dinyalakan di kawasan itu.

Apabila kami hampir sampai ke Mount John Observatory, barulah saya perasan. Rupa-rupanya 'lampu bulat' yang bersinar terang itu adalah bulan! Subhanallah! Pertama kali saya melihat bulan bersinar dengan begitu terang. Ia juga kelihatan begitu besar sekali (kebetulan fenomena bulan berada paling dekat dengan bumi atau dipanggil sebagai Super Moon baru sahaja berlaku sebelum tarikh kami mengikuti stargazing tour itu).

Sebaik sampai di Mount John Observatory, kami dibawa ke Astro Cafe. Kafe sudah ditutup, tetapi 'kafe' ilmu astronomi masih dibuka. Di luar kafe, guide di observatory yang kalau tidak silap saya namanya Chris (maaflah, saya terlupa hendak mencatat nama beliau) menghidangkan kami dengan penerangan-penerangan tentang planet, bintang, buruj, galaksi dan yang 'sewaktu' dengannya. Beliau menunjukkan kedudukan setiap planet, bintang, dan buruj yang boleh dilihat dengan mata kasar dengan menggunakan laser yang berwarna hijau. Sungguh mengagumkan!

Sambil mendengar penerangan daripada Chris, kami dihidangkan dengan hot chocolate. Pada saat itu dirasakan tiada yang lebih nikmat dalam dunia ini selain daripada menghirup secawan hot chocolate dalam cuaca yang sangat sejuk. Kalau boleh mahu tambah lagi. Tetapi malangnya seorang cuma diberikan secawan hot chocolate sahaja. Tiada istilah top up di atas gunung ini, ya.

Setelah 'kuliah' tentang astronomi tamat, kami semua diberi peluang untuk menggunakan teleskop yang ada di sana. Satu teleskop hanya digunakan untuk melihat bulan. Satu lagi teleskop untuk melihat bintang dan planet. Yang lagi satu lebih tinggi kuasanya dan terletak di dalam bangunan berbentuk kubah untuk melihat bintang dan planet yang lebih jauh.

Melalui teleskop, saya berpeluang untuk mengambil gambar bulan secara dekat. Namun agak terlambat gambar itu diambil kerana kedudukan bulan telah lari daripada fokus teleskop. Jadi, saya cuma dapat imej bulan separuh sahaja. Kalau saya ambil semasa bulan masih nampak penuh dalam teleskop pasti gambar akan jadi lebih cantik.

Inilah dia Super Moon, bukan Sailor Moon.

Antara beberapa planet dan bintang yang dapat dilihat dalam teleskop, tiada yang lebih meninggalkan kesan dalam jiwa (chewah) saya selain daripada planet Zuhal (Saturn). Seperti yang kita semua sedia maklum, dalam sistem solar, hanya planet ini yang mempunyai 'cincin.' Dan sebaik mata ini melihat planet Zuhal melalui teleskop yang terdapat dalam bangunan berbentuk kubah itu, terasa jantung saya terhenti sebentar (sebentar sahaja, kalau lama-lama boleh meninggal dunia). Masya-Allah...sukar saya hendak menerangkannya secara kata-kata. Yang boleh saya terangkan, planet itu kelihatan kecil dan berwarna putih keseluruhannya jika dilihat dalam teleskop tersebut. Rasa seperti tidak percaya tetapi masakan saya tidak percaya kerana ia benar-benar berada di hadapan mata atau lebih tepat lagi berada dalam pandangan mata. 'Cincin' yang mengelilinginya memang nampak jelas dan nyata dan kelihatan begitu indah sekali. Tepat sekalilah kata-kata ini - you've got to see it to believe it.

Stargazing tour itu mengambil masa lebih kurang dua jam. Pada pukul 8.30 iaitu beberapa minit selepas Chik mengadu kepada saya bahawa kakinya sudah terasa kebas akibat kesejukan, kami diminta untuk berkumpul semula di tempat parkir shuttle bus. Semasa kami sedang berjalan ke sana, satu kumpulan pelancong dari Jepun pula baru sampai untuk mengikuti tour yang sama. Kalau ikutkan hati, saya mahu menyertai kumpulan tersebut. Namun bahasa perantaraan yang digunakan adalah bahasa Jepun. Lagipun saya tidak tahan kesejukan. Daripada saya ternganga-nganga dan mengigil-gigil nanti, lebih baik saya balik sahaja.

Setelah semua berkumpul, kami pun bergerak pulang. Pada mulanya saya dan Chik berasa agak risau sekiranya Adrian tidak menghantar kami pulang ke hostel. Namun hampir separuh perjalanan beliau bertanya kepada semua penumpang adakah sesiapa yang mahu dihantar terus ke tempat penginapan masing-masing sambil dia menyebut beberapa nama hotel/hostel. Apabila dia menyebut sahaja YHA, dengan pantas kami menyahut. Fuh! Lega.

Malam itu walaupun kepenatan, tetapi saya tidak dapat tidur awal. Agak terganggu dengan suara dua tiga orang penyewa yang sedang berbual-bual di dewan makan. Tidak bertimbang-rasa langsung! Tengah malam barulah dapat melelapkan mata. Itupun sebab sudah tidak kedengaran suara mereka lagi.

-Bersambung-  

Sunday, July 1, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 7

CHRISTCHURCH - LAKE TEKAPO

"And I think to myself, what a wonderful world" - Louis Armstrong

Baru beberapa minit perjalanan, Chik sudah menunjukkan ciri-ciri orang-yang-kalau-disorongkan-bantal-pada-ketika-itu-dalam-sekelip-mata-dia-akan-tertidur atau dalam ayat pendeknya; mengantuk. Saya bertanya adakah dia tidak apa-apa, Chik menjawab dia masih okey lagi.

"Kalau orang tak tahan nanti orang bagitau," sambung Chik.

Nampaknya Chik bertahan untuk memandu. Saya pula cuba untuk menghubungi pejabat Earth & Sky di Lake Tekapo untuk bertanya tentang stargazing tour di Mount John pada malam ini adakah jadi ataupun tidak dan pada pukul berapa. Dua tiga kali mencuba, yang menjawab panggilan saya adalah mesin penjawab telefon. Ah, sudah! Daripada saya kena bayar caj panggilan yang entah berapa harganya nanti, baik saya berhenti mencuba terlebih dahulu. Mungkin dalam pukul 2:00 atau 3:00 petang nanti saya akan cuba lagi. Harap-harap manusia yang akan menjawab panggilan saya itu nanti; bukan mesin penjawab telefon ataupun kambing biri-biri. Eh?

Dalam pada itu mata tidak lekang melihat pemandangan di sepanjang perjalanan. Bumi di sini masih kelihatan hijau, namun dalam masa yang sama saya dapat melihat dedaunan yang sudah bertukar warna kepada kuning dan oren dan menunggu masa sahaja untuk gugur ke bumi. Ladang dan padang ragut lembu dan kambing biri-biri juga banyak terdapat di sepanjang perjalanan. Indah sungguh pemandangan.

Dalam pukul 2:00 petang kami tiba di Ashburton. Kami singgah di sini untuk mencari tandas dan juga bergambar. Pantang ada peluang, bergambar sahajalah kerja kami...hahaha!

Tidak lama selepas bergerak dari Ashburton, saya mencuba sekali lagi untuk menghubungi pejabat Earth & Sky. Alhamdulillah. Percubaan kali pertama ini dijawab oleh seorang manusia. Saya bertanya pada pukul berapa driver akan datang menjemput kami di YHA Lake Tekapo nanti.

"You are Siti Bakar?"

Aik! Bagaimana nama penuh saya boleh jadi kontot pula? Hmm..apa boleh buat...redha sahajalah. Setelah saya mengaku bahawa sayalah Siti Bakar itu, dia memberitahu bahawa driver akan menjemput kami di hostel pada pukul 6:15 petang nanti. Dia juga mengingatkan saya supaya berpakaian tebal. Apa? Berpakaian tebal? Belum apa-apa saya sudah merasa seram sejuk.

Apa-apa pun, lega rasanya apabila sudah dapat menghubungi pihak Earth & Sky. Tidak sabar saya hendak mengikuti stargazing tour itu pada malam nanti.

Sebenarnya sebelum ini saya pernah terbaca bahawa di New Zealand ada satu tempat di mana bintang-bintang dapat dilihat dengan jelas di langit malamnya dan sangat sesuai untuk aktiviti stargazing ataupun 'tidur di bawah bintang.' Sejak itu saya menyimpan impian untuk ke tempat tersebut sekiranya saya berpeluang untuk datang ke New Zealand. Tetapi saya tidak ingat pula di mana tempatnya. Jadi, semasa membuat research tentang aktiviti yang boleh dilakukan di Lake Tekapo, saya mendapat tahu tentang stargazing tour tersebut. Ya, saya rasa inilah tempat yang saya pernah baca dahulu. Saya mahu cadangkan aktiviti ini kepada Chik. Sekiranya dia tidak berminat, tidak mengapalah. Saya akan pergi seorang diri. Tetapi tidak sangka pula Chik bersetuju untuk mengikuti tour tersebut apabila saya menyatakan hasrat hati saya itu. Gembiranya saya rasa. 

Dalam pada itu, GPS membawa kami melalui Inland Scenic Route (di New Zealand ini ada banyak jalan yang dikategorikan sebagai Inland Scenic Route). Jadi dari Ashburton kami dibawa melalui Geraldine. Daripada tanah rata, muka bumi tiba-tiba berubah kepada bukit bukau yang menghijau. Seperti biasa padang ragut lembu dan kambing biri-biri terdapat di sepanjang perjalanan. Bukan itu sahaja. Ladang rusa juga terdapat di sini. Ini merupakan satu pengetahuan baru bagi saya. Rupa-rupanya bukan lembu dan kambing biri-biri sahaja yang diternak di sini, ya?

Lebih kurang dalam pukul 4:00 petang kami tiba di Lake Tekapo. Lake Tekapo hanyalah sebuah perkampungan kecil (melalui Wikipedia saya mendapat tahu jumlah penduduk tetapnya hanya seramai 400 orang!). Setelah singgah sebentar di Four Square Supermarket (yang lebih layak dipanggil kedai runcit daripada supermarket), kami menuju ke YHA. Pada mulanya kami agak ragu-ragu dengan arah yang ditunjukkan oleh GPS. Tidak nampak sebarang papan tanda ke YHA pun kalau mengikut apa yang ditunjuk oleh GPS itu. Namun saya mencadangkan agar kami ikut sahaja. Rupa-rupanya memang betul arah yang ditunjukkan. Lokasi hostel tersebut agak tersorok sedikit dari jalan besar.

Inilah hostel kami. Kecil sahaja dan terletak betul-betul menghadap tasik.

Setelah memarkir kereta di hadapan hostel, kami terus sahaja check-in. Semasa pekerja hostel memberitahu arah ke bilik, saya angguk-angguk sahaja macamlah saya faham apa yang diperkatakannya. Maklumlah, slang orang New Zealand agak 'pekat' sedikit dan kebanyakkan mereka bercakap laju. Walaupun tidak berapa faham, saya buat-buat faham. Untuk ke bilik, kami perlu pergi ke belakang, kemudian kami akan jumpa dewan makan, jalan terus dan bilik kami terletak di hujung sekali. Okey, tiada masalah. Lagipun hostel YHA itu bukannya besar sangat.

Setelah mengambil beg dari dalam kereta, kami ke belakang hostel. Dewan makan sudah kami lalui, tetapi di mana pintu masuk bilik? Di sebelah kanan ada bilik dengan pintunya di luar, tetapi bilik itu bernombor 4 sedangkan nombor bilik kami adalah 1. Puas juga kami mengelilingi bahagian luar hostel, tetapi tidak berjumpa juga dengan pintu bilik kami. Bayangan malam tadi iaitu semasa kami mengagau mencari bilik menjelma kembali di ruang fikiran saya. Chik sudah give up dan meminta saya bertanya semula arah ke bilik kepada pekerja tadi. Nasib baik pekerja itu berada di luar sedang memotong kayu api. Saya bertanya sekali lagi arah ke bilik kami.

Setelah dia menerangkan kembali, saya terasa seperti mahu menepuk dahi sendiri. Saya lihat muka pekerja itu seperti sedang berkata-kata kepada saya, "Apalah bangang sangat awak ni?" walaupun dia tidak menzahirkannya. Malunya!

Rupa-rupanya kami perlu masuk ke dalam bangunan untuk pergi ke bilik kerana pintu bilik berada di dalam bangunan dan bukannya di luar. Saya asyik teringatkan motel di Christchurch semalam sehinggakan saya tidak terfikir langsung untuk masuk ke dalam.

Akhirnya, dapat juga kami masuk ke dalam bilik. Bilik kami di sini tersangatlah kecil, tidak seperti bilik kami di Avalon Court Motel yang luas itu. Tidak mengapalah. Asalkan dapat berehat, ia sudah cukup baik bagi kami. Cuma yang lecehnya tiada bilik ensuite (bilik ensuite adalah bilik yang ada kemudahan tandas dan tempat mandian di dalamnya. Jadi, jika tidak mahu berkongsi tandas atau tempat mandi dengan penyewa lain, pastikan menempah bilik yang ada perkataan ensuite) di hostel ini, jadi kami terpaksa menggunakan shared bathroom sekiranya mahu menggunakan tandas atau untuk mandi. Namun yang bagusnya, shared bathroom wanita diasingkan daripada lelaki.

Kami cuma dapat berehat sekejap di bilik. Setelah menunaikan solat jamak, perlu bersiap-sedia pula untuk menunggu driver dari Earth & Sky datang menjemput kami. Dalam sepuluh minit sebelum pukul 6:15 petang, saya sudah bersiap sedia menunggu di luar hostel sementara Chik menyusul beberapa minit kemudian.

Baru sahaja saya hendak meminta Chik mengambil gambar saya di hadapan pintu hostel, tiba-tiba kedengaran bunyi hon kenderaan di depan sana.

-Bersambung-