"Di Mana Terangnya Bulan" - Bahruddin Bekri
Itu dia shuttle bus kami sudah sampai. Ia sampai tepat pada masanya. Maka, terpaksalah saya melupakan hasrat untuk bergambar kenangan di hadapan pintu hostel.
Sebaik kami masuk ke dalam shuttle bus, driver bertanya, "Siti Bakar?"
"Yes," jawab saya ringkas. Sesungguhnya saya redha dipanggil sebagai Siti Bakar.
Shuttle bus terus bergerak meninggalkan hostel. Di dalamnya sudah ada beberapa orang peserta tour yang telah dijemput terlebih dahulu. Selepas kami, tiada lagi peserta yang dijemput. Kami terus dibawa ke ibu pejabat Earth & Sky yang terletak lebih kurang 5 minit perjalanan dari hostel.
Setelah sampai, kami diminta untuk menunggu di dalam bangunan pejabat kerana ada beberapa orang lagi peserta yang datang sendiri ke situ yang belum sampai lagi. Di situ ada dijual pelbagai jenis cenderamata. Tetapi saya hanya mampu melihat sahaja kerana harganya yang agak mahal. Lagipun kami baru sahaja sehari tiba di New Zealand, jadi tidak perlu lagi membeli apa-apa cenderamata.
Apabila semua peserta telah berkumpul, driver tadi yang bernama Adrian meminta kami untuk mengambil setiap seorang sehelai jaket tebal (yang disediakan oleh pihak Earth & Sky) walaupun masing-masing telahpun siap memakai jaket tebal masing-masing. Ini adalah kerana suhu di atas gunung sana berada di bawah paras beku iaitu -5 darjah selsius! Rasanya inilah kali pertama saya akan merasai suhu di bawah paras beku. Gementarnya rasa...
Setelah mendapat jaket tebal, kami semua masuk semula ke dalam shuttle bus. Sebelum bertolak, Adrian memberi taklimat kepada kami.
Menurut Adrian (atau lebih layak dipanggil pakcik Adrian), di Mount John Observatory itu terdapat para pelajar University of Canterbury membuat kajian astronomi dan mencari planet-planet dan bintang-bintang baru di cakerawala. Disebabkan itu, mereka ada meletakkan peraturan yang wajib dipatuhi oleh pihak Earth & Sky dan juga para pelawat di waktu malam iaitu tidak boleh menyalakan apa jenis lampu yang berwarna putih (white lights) di atas sana. Disebabkan itu, apabila kami hampir sampai ke Mount John Observatory nanti, beliau akan memandu tanpa memasang headlights. Biar betul! Secara berseloroh beliau meminta agar kami tidak menjerit apabila beliau menutup lampu nanti kerana beliau akan berasa gementar untuk meneruskan pemanduan.
Setelah menyampaikan taklimat tersebut, kami dibawa oleh Adrian menuju ke Mount John Observatory. Walaupun waktu baru sahaja menunjukkan pukul 6:30 petang, tetapi keadaan sekeliling sudah gelap gelita. Dalam perjalanan, Adrian memberitahu bahawa semua lampu yang terdapat di kawasan Lake Tekapo menggunakan sodium yellow light. Selain tidak mencemarkan langit, ia juga menjimatkan. Seperti yang telah saya perhatikan semasa mula-mula sampai di sini, saya dapati hampir tiada lampu jalan di Lake Tekapo ini. Kalau ada pun, lampu-lampu tersebut betul-betul dihalakan ke jalan, tidak ada yang melimpah ke langit. Sebab itulah langit di sini dihiasi dengan bintang-bintang pada waktu malam kerana tiada pencemaran cahaya.
Rasanya sudah sepuluh minit perjalanan yang kami lalui apabila Adrian membelok ke kanan dan berhenti di hadapan sebuah pagar. Beliau turun untuk membuka pagar tersebut. Kemudian beliau memandu shuttle bus masuk sebelum turun semula untuk menutup pagar itu kembali. Dan kemudian lampu shuttle bus pun dipadamkan...arghh!!
Jangan bimbang. Tiada sesiapapun yang menjerit kerana kawasan itu sebenarnya diterangi oleh lampu semulajadi iaitu bulan.
Semasa mendaki gunung, Adrian meminta kami melihat ke kanan. Nun di bawah sana - melalui pantulan cahaya bulan di permukaan air - dalam samar-samar kami dapat melihat Tasik Alexandria (kalau tidak silap telinga ini mendengar penerangan Adrian) yang menjadi lokasi penggambaran filem The Hobbit! Alamak...kenapalah saya tidak datang semasa Peter Jackson sedang membuat penggambaran? Kalau tidak, boleh saya mohon jadi pelakon tambahan. Pasti beliau dapat menjimatkan kos kerana tidak perlu menggunakan banyak mekap dan teknik CGI untuk membuatkan saya kelihatan seperti seorang Hobbit. Ataupun kalau dapat pegang watak sebagai makwe Legolas pun jadilah. Hmmm...
Daripada mod berangan, tiba-tiba keadaan saya berubah kepada mod geram. Di sebelah kiri iaitu di sebalik bukit yang terdapat di situ - dari pandangan sipi - saya nampak seperti ada sebuah lampu bulat besar yang mengeluarkan cahaya putih yang sangat terang. Silau mata saya dibuatnya. Dalam hati tertanya-tanya dari mana datangnya lampu tersebut sedangkan daripada apa yang saya faham daripada penerangan Adrian, tiada satu lampu putih pun boleh dinyalakan di kawasan itu.
Apabila kami hampir sampai ke Mount John Observatory, barulah saya perasan. Rupa-rupanya 'lampu bulat' yang bersinar terang itu adalah bulan! Subhanallah! Pertama kali saya melihat bulan bersinar dengan begitu terang. Ia juga kelihatan begitu besar sekali (kebetulan fenomena bulan berada paling dekat dengan bumi atau dipanggil sebagai Super Moon baru sahaja berlaku sebelum tarikh kami mengikuti stargazing tour itu).
Sebaik sampai di Mount John Observatory, kami dibawa ke Astro Cafe. Kafe sudah ditutup, tetapi 'kafe' ilmu astronomi masih dibuka. Di luar kafe, guide di observatory yang kalau tidak silap saya namanya Chris (maaflah, saya terlupa hendak mencatat nama beliau) menghidangkan kami dengan penerangan-penerangan tentang planet, bintang, buruj, galaksi dan yang 'sewaktu' dengannya. Beliau menunjukkan kedudukan setiap planet, bintang, dan buruj yang boleh dilihat dengan mata kasar dengan menggunakan laser yang berwarna hijau. Sungguh mengagumkan!
Sambil mendengar penerangan daripada Chris, kami dihidangkan dengan hot chocolate. Pada saat itu dirasakan tiada yang lebih nikmat dalam dunia ini selain daripada menghirup secawan hot chocolate dalam cuaca yang sangat sejuk. Kalau boleh mahu tambah lagi. Tetapi malangnya seorang cuma diberikan secawan hot chocolate sahaja. Tiada istilah top up di atas gunung ini, ya.
Setelah 'kuliah' tentang astronomi tamat, kami semua diberi peluang untuk menggunakan teleskop yang ada di sana. Satu teleskop hanya digunakan untuk melihat bulan. Satu lagi teleskop untuk melihat bintang dan planet. Yang lagi satu lebih tinggi kuasanya dan terletak di dalam bangunan berbentuk kubah untuk melihat bintang dan planet yang lebih jauh.
Melalui teleskop, saya berpeluang untuk mengambil gambar bulan secara dekat. Namun agak terlambat gambar itu diambil kerana kedudukan bulan telah lari daripada fokus teleskop. Jadi, saya cuma dapat imej bulan separuh sahaja. Kalau saya ambil semasa bulan masih nampak penuh dalam teleskop pasti gambar akan jadi lebih cantik.
Inilah dia Super Moon, bukan Sailor Moon.
Antara beberapa planet dan bintang yang dapat dilihat dalam teleskop, tiada yang lebih meninggalkan kesan dalam jiwa (chewah) saya selain daripada planet Zuhal (Saturn). Seperti yang kita semua sedia maklum, dalam sistem solar, hanya planet ini yang mempunyai 'cincin.' Dan sebaik mata ini melihat planet Zuhal melalui teleskop yang terdapat dalam bangunan berbentuk kubah itu, terasa jantung saya terhenti sebentar (sebentar sahaja, kalau lama-lama boleh meninggal dunia). Masya-Allah...sukar saya hendak menerangkannya secara kata-kata. Yang boleh saya terangkan, planet itu kelihatan kecil dan berwarna putih keseluruhannya jika dilihat dalam teleskop tersebut. Rasa seperti tidak percaya tetapi masakan saya tidak percaya kerana ia benar-benar berada di hadapan mata atau lebih tepat lagi berada dalam pandangan mata. 'Cincin' yang mengelilinginya memang nampak jelas dan nyata dan kelihatan begitu indah sekali. Tepat sekalilah kata-kata ini - you've got to see it to believe it.
Stargazing tour itu mengambil masa lebih kurang dua jam. Pada pukul 8.30 iaitu beberapa minit selepas Chik mengadu kepada saya bahawa kakinya sudah terasa kebas akibat kesejukan, kami diminta untuk berkumpul semula di tempat parkir shuttle bus. Semasa kami sedang berjalan ke sana, satu kumpulan pelancong dari Jepun pula baru sampai untuk mengikuti tour yang sama. Kalau ikutkan hati, saya mahu menyertai kumpulan tersebut. Namun bahasa perantaraan yang digunakan adalah bahasa Jepun. Lagipun saya tidak tahan kesejukan. Daripada saya ternganga-nganga dan mengigil-gigil nanti, lebih baik saya balik sahaja.
Setelah semua berkumpul, kami pun bergerak pulang. Pada mulanya saya dan Chik berasa agak risau sekiranya Adrian tidak menghantar kami pulang ke hostel. Namun hampir separuh perjalanan beliau bertanya kepada semua penumpang adakah sesiapa yang mahu dihantar terus ke tempat penginapan masing-masing sambil dia menyebut beberapa nama hotel/hostel. Apabila dia menyebut sahaja YHA, dengan pantas kami menyahut. Fuh! Lega.
Malam itu walaupun kepenatan, tetapi saya tidak dapat tidur awal. Agak terganggu dengan suara dua tiga orang penyewa yang sedang berbual-bual di dewan makan. Tidak bertimbang-rasa langsung! Tengah malam barulah dapat melelapkan mata. Itupun sebab sudah tidak kedengaran suara mereka lagi.
-Bersambung-
1 comment:
Ralat: Nama betul tasik yang kami nampak dari atas Mount John ialah Alexandrina, bukan Alexandria...nampaknya telinga saya perlu dikorek lagi..
Sumber rujukan nama tasik: Wikipedia
Post a Comment