Saturday, February 22, 2014

Perasaanku Ketika Ini

Jiwang betul tajuk entri hari ini.

Tapi apa boleh buat kerana inilah yang saya sedang rasakan ketika ini --

Wanderlust.

Sumber gambar: Curi dalam FB. Maafkan saya.

Entah bilalah dapat melepaskan kegianan ini?

Seksa betul!

T_T

Sunday, February 9, 2014

Kembara Berdua di Bumi Maori 14

OAMARU - DUNEDIN

"A dead end can never be a one way street; you can always turn around and take another road (Jalan mati tidak sama seperti jalan sehala; kita sentiasa boleh berpatah balik dan pilih jalan yang lain)" - Bo Bennett

"Chik, peta tadi mana?" tanya saya kepada Chik dengan merujuk kepada peta yang diberikan oleh Tuan Rob tadi. Susah hati (sebenarnya sudah hilang sabar...haha!) pula saya lihat Chik yang masih gagal mencari lokasi Yellow-Eyed Penguin Colony dalam GPS.

Kalau tadi terkial-kial cari lokasi dalam GPS, sekarang kalut pula Chik mencari peta tersebut. Namun akhirnya lokasi peta itu disimpan dapat dikesan. Lega!

Apabila melihat peta tersebut, bertambah lega saya rasa. Jalan ke Yellow-Eyed Penguin Colony dari precinct agak senang berdasarkan kepada 'contengan' Tuan Rob di atas peta tersebut. Dari sana kami hanya perlu melalui Bushy Beach Road (rujuk kepada peta di bawah) yang lurus jalannya; bermaksud kami tidak perlu menyimpang ke mana-mana.


View Larger Map

Berdasarkan peta di tangan (saya), Chik meneruskan pemanduan manakala saya menjadi navigator yang berdedikasi.

Untuk beberapa ketika, perjalanan kami lancar sehinggalah kami sampai di satu persimpangan - ada dua cabang jalan di hadapan kami. Satu jalan terus dan satu lagi ada jalan susur ke kiri yang menaiki bukit.

Chik berhenti di hadapan simpang. Salah satu kelebihan memandu di New Zealand adalah hampir tiada kereta yang mengekor di belakang. Jadi kami boleh berhenti lama-lama sambil memikirkan jalan mana yang perlu ditempuh (walaupun peta terang-terang menunjukkan Bushy Beach Road adalah 'jalan terus' itu).

Saya pandang Chik, Chik pandang saya. Chik tanya saya, saya tanya dia balik. Masing-masing keliru. Keliru dengan papan tanda 'No Exit' yang terdapat pada jalan lurus di hadapan kami. Pada hemat kami (atau sebenarnya saya seorang), jalan lurus itu tidak boleh dimasuki; takut nanti tiada jalan keluar pula.

Akhirnya kami sepakat mengambil jalan susur kiri. Masuk sahaja ke situ, yang kami nampak hanyalah rumah-rumah orang di kiri dan kanan jalan.

"Orang rasa kita dah salah jalan ni, Siti. Macam mana? Kita patah balik?"

"Jomlah. Ikut jalan tadi."

Chik membuat u-turn. Dan dengan tawakalnya kami melalui jalan yang berpapan tanda 'No Exit' itu.

Setelah memandu beberapa minit, maka sampailah kami ke Bushy Beach. Berbeza dengan Oamaru Blue Penguin Colony, kawasan pantai ini lengang. Semasa kami sampai cuma ada sebuah van sahaja yang diparkirkan di situ. Tiada sesiapa yang kelihatan kecuali seorang budak lelaki dalam lingkungan 8 - 9 tahun yang berada di dalam van tersebut. Dia hanya duduk sambil merenung kami berdua. Misteri sungguh. Dalam kepala sudah fikir macam-macam...kalau di Malaysia budak ini ada kemungkinan besar akan jadi mangsa culik.... Budak ini manusia atau...

Ok, abaikan. Budak itupun kami abaikan lalu berjalan ke arah pantai. Di sini, aras laut lebih rendah daripada darat. Jadi, perlu menuruni tebing jika mahu ke tepi pantai. Sepanjang tebing dipasang dengan pagar kayu. Ada pintu kecil untuk keluar pagar. Sesuai dengan namanya, kawasan tebing dikelilingi tumbuhan renek dan rumput yang menjadikan kawasan ini bersemak. Tetapi ia tidaklah 'mencacatkan' pemandangan.

Dari tebing ini kami memerhati air laut yang juga 'bersemak'. Mungkin dari situlah pantai ini mendapat nama - Bushy Beach.

Misi kami untuk melihat anjing laut nampaknya tidak kesampaian. Puas memerhati dari tebing, jangankan anjing laut, bayangnya pun tidak kelihatan. Penguin apatah lagi. Hendak turun ke pantai, rasa malas. Malas hendak mendaki bukit untuk balik ke kereta nanti sebenarnya.

Sudahnya kami hanya bergambar sebentar sebelum bergerak ke perhentian seterusnya iaitu Oamaru Public Gardens untuk berpiknik.

Oamaru Public Gardens terletak di antara Severn Street dan Chelmer Street. Memandangkan kami sudah biasa melalui Chelmer Street untuk pergi dan balik ke hotel yang terletak di jalan yang sama, maka kami memasuki taman dari jalan ini.

Dari Bushy Beach tadi cuaca sudah kelihatan mendung. Jadi, ketibaan kami di Oamaru Public Gardens disambut dengan gerimis. Namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk meneroka taman yang dikatakan antara yang tertua di New Zealand ini.

Ternyata taman ini sangat cantik. Tidak sia-sia kami berpatah balik semata-mata untuk ke sini. Bagi saya suasana di sini lebih tenang dan mendamaikan jika dibandingkan dengan Hagley Park di Christchurch.

Sebelum jalan-jalan, kita makan dulu!

Terasa seperti berada di China.


Kalau tidak silap saya di sini terletaknya patung yang diberi mana 'Wonderland' [menggambarkan Peter Pan (dengan Wendy?) dan pari-pari dan entah makhluk apa lagi] tapi saya terlupa pula hendak mengambil gambarnya. Pffftt!



Saya bukanlah minah bunga, tetapi apabila melihat bunga-bunga yang kelihatan segar dan berkembang mekar serta besar-besar saiznya ini terasa geram juga.  

   Itik di mana-mana.

Setelah puas berjalan-jalan di taman, kami pun mula bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Dunedin!

-Bersambung-

Tip 1: Jangan jadi keliru seperti saya (atau memang saya sahaja yang keliru sebenarnya?) dengan papan tanda 'No Exit.' Ia sama maksud dengan dead end atau jalan mati dan bukanlah bermaksud tiada jalan keluar seperti yang saya sangka (rasa macam kurang bijak pula...kuikui).

Tip 2: Jika mahu ke Yellow-Eyed Penguin Colony di Oamaru, jangan taip Yellow-Eyed Penguin Colony dalam GPS. Memang tak akan jumpa. Mungkin lebih baik cari dengan kata nama Bushy Beach atau Bushy Beach Road. Ini kesimpulan yang saya dapat semasa cuba mencari Yellow-Eyed Penguin Colony menggunakan Google Map seperti yang tertera di atas. Yang saya dapat asyik-asyik menunjukkan ke Yellow-Eyed Penguin Colony, Dunedin, Central Otago; bukannya Oamaru. Mungkin Bushy Beach dikenali sebagai Yellow-Eyed Penguin Colony hanya di kalangan penduduk Oamaru sahaja. Agaknyalah. Eh, panjang pula cerita. Ok, bai.

Sunday, February 2, 2014

Tiga Jenis Pengembara

Baru-baru ini saya tertengok sebuah filem Mandarin berjudul "Runaway Woman" di saluran A-List (Astro).

Kisah lima orang wanita yang lari daripada kesibukan kota dan keluar mengembara (berjalan kaki, ok!) di sempadan China (mungkin sempadan China - Mongolia) untuk pergi ke Tasik Shengyu. Menurut kepercayaan orang-orang termpatan, sesiapa yang sampai ke Tasik Shenyu akan mendapat ketenangan. Apa lagi kalau dapat bermandi hujan di tasik tersebut yang dianggap sebagai hujan 'suci'.

Pemandangan dalam filem ini pula...subhanallah...memang cantik! Buatkan saya mahu pergi lagi ke China.

Terasa hendak pergi ke Tasik Shengyu juga. Tapi...sudah puas bertanya dengan Prof. Google, tak jumpa-jumpa tasik di China yang bernama Shengyu. Sudah juga cuba cari tasik yang berdekatan dengan Gurun Gobi. Masih lagi mendapat hasil yang sama. Mungkin kerana ejaan berbeza...maklumlah saya ikut ejaan seperti dalam sari kata filem tersebut...sebab itu agaknya tak jumpa *menangis*

Ok, panjang pula intro saya. Sebenarnya saya cuma hendak tulis tentang salah satu babak permulaan dalam filem ini di mana seorang watak yang dipanggil 'Gila' (gila punya nama) menyenaraikan jenis-jenis pengembara mengikut pendapat 'gila' beliau. Katanya ada tiga jenis pengembara, iaitu pengembara yang:

1. Hilang impian
2. Hilang cinta
3. Hilang arah

Hilang arah...hahaha... Sayalah agaknya tu...

Apa-apa pun mari kita layan trailer "Runaway Woman." Untuk dijadikan sebagai sumber inspirasi destinasi pengembaraan yang seterusnya.

Jangan sampai hilang arah!



It's not about the destination, it's the journey that matters - kesimpulan yang boleh dibuat selepas menonton filem ini.

3.5 bintang untuk cerita dan watak.

5 bintang pula untuk lokasi filem.