Tuesday, December 31, 2013

'Wishlist' Tahun 2014

Setiap kali hujung tahun mesti ada yang bertanya, "Tahun depan hendak travel ke mana?"

Stres betul kalau dapat soalan sebegini. Kalau memang sudah ada pelan yang sudah tetap, tidaklah terasa stres sangat. Ini...hmm...

Walaupun belum ada pelan hendak ke mana-mana pada tahun hadapan, tetapi itu tidak bermakna tiada apa-apa yang berlegar dalam kepala saya sekarang. Oleh sebab itu saya tuliskan entri ini untuk merekodkan travel wishlist saya untuk tahun 2014.

Semoga, apabila saya berjaya merealisasikan impian/impian-impian saya itu, bolehlah saya tuliskan di entri yang lain lalu tidaklah blog yang hidup-segan-mati-tak-mahu ini terus bersawang seperti tebalnya sawang lelabah Mirkwood dalam filem "The Hobbit: The Desolation of Smaug."

Baiklah, tanpa membuang masa merepek meraban tak tentu hala, berikut adalah senarai-senarainya....

1. KL - berjalan atas kaki sendiri

Semenjak dua menjak ini macam mengidam hendak berjalan kaki keliling KL. Semua ini gara-gara seorang minah saleh yang menahan saya untuk bertanya arah ke KLCC (kami berada di Jalan Tun HS Lee pada waktu itu). Saya beria-ia suruh dia naik LRT dari stesyen Masjid Jamek kerana saya rasa dari tempat kami ke KLCC boleh tahan jauh juga. Tetapi dia beria-ia cakap dia mahu berjalan kaki. Dua-dua degil hingga akhirnya dia tersenyum kelat sambil mengucapkan terima kasih atas saranan saya.

Sambil berlalu pergi, kepala saya ligat membayangkan arah jalan dari tempat saya berdiri tadi sehingga ke KLCC. Ala-ala peta minda. Tidaklah susah sangat sebenarnya untuk berjalan kaki ke sana - walaupun jaraknya tetaplah jauh. Kemudian timbul pula rasa bersalah kepada minah saleh tadi. Entah-entah dia memang ada misi untuk berjalan kaki keliling KL...saya pula seperti tidak memberikan kerjasama seperti yang diharap-harapkan. Sudahlah dia seorang diri ketika itu. Teruk betul saya rasa.

Jadi, sejak dari itu saya mula terfikir untuk melakukan perkara yang sama. Sekurang-kurangnya dapat ikut 'jejak' minah saleh itu dari Jalan Tun HS Lee ke KLCC pun jadilah...

2. Kembara ke negara yang menjadi juara Eropah 2 kali berturut-turut dan sekali Piala Dunia

Saya sudah memasang angan-angan untuk menjejakkan kaki ke negara ini sejak mereka menjadi juara dunia pada tahun 2010. Tetapi sampai hujung tahun 2013, masih belum lagi tertunai hajat saya yang satu ini.

Mungkinkah dalam edisi Piala Dunia 2014 mereka akan menang lagi? Kalau menang lagi...memanglah. Memang kena pergi juga. Kalau tidak, sia-sialah saya download apps Duolingo semata-mata mahu belajar bahasa Sepanyol...thehehehe!

Insya-Allah, jika ada rezeki sampai juga. Kalau tidak...redho... 

3. United Kingdom - antara Bolasepak, Buku, dan Sejarah

Ada 2 tempat di UK yang saya kepingin sangat mahu lawati.

Pertama; Liverpool di England. Kalau sebut nama Liverpool, saya yakin ramai yang akan terfikirkan Liverpool FC (jangan lupa juga Everton FC. Tapi kalau lupa juga itu lebih baik...kuikui) dan kadang-kadang The Beatles mungkin terlintas juga di fikiran. Sebagai penyokong tegar Liverpool FC, sudah pastilah Stadium Anfield menjadi sasaran utama saya. >.<

Selain Anfield dan Muzium The Beatles, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa masjid pertama yang dibina di England (ada yang kata mungkin yang pertama juga di UK) terletak di Liverpool. Ia hasil usaha seorang muallaf (mungkin juga orang Inggeris yang pertama memeluk Islam) iaitu William Abdullah Quilliam a.k.a Sheikh Abdullah Quilliam. Mungkin dengan berkunjung ke sana nanti, saya dapat mengkaji sejarah perkembangan Islam di Liverpool khasnya dan England amnya walaupun sejarah adalah antara subjek yang saya paling lemah sejak dari zaman sekolah. *Sedih*

Lagi satu istimewanya Liverpool ini adalah kerana masjid utama dan terbesar di sana diberi nama Al-Rahma Mosque. Kembang rasa hati dibuatnya. 

Kedua; Hay-on-Wye iaitu sebuah perkampungan buku yang terletak di sempadan England dan Wales. Malulah saya hendak mengaku sebagai pecinta buku jika belum lagi melawat ke sana kerana jika tidak silap saya, inilah perkampungan buku yang pertama di dunia.

Dan...jangan main-main, Hay-on-Wye mempunyai seorang raja yang bernama Richard Booth. Saya tidak pasti sama ada beliau...eh 'baginda' masih hidup lagi ataupun tidak. Kali terakhir saya bertemu beliau adalah pada tahun 2011 semasa 'baginda' turut serta dalam program baca@lrt.

Selain kedua-dua tempat di atas, sudah pastilah saya mahu mengembara ke seluruh UK...kalau bolehlah...Kalau tidak, kita kayuh pelan-pelan...

4. Doraemon, tolong bawa saya ke Jepun!

Hajat travel untuk tahun ini yang tidak kesampaian. Maka, saya bawa kehadapan untuk tahun 2014 pula. Cemburu sebab dua orang teman rapat saya sudah jejakkan kaki ke Jepun pada tahun ini.

Jadi, saya perlu menyamakan kedudukan dengan mereka berdua. Saya pantang kalau mereka lebih daripada saya...humpphh!!

Kalau saya perlu guna 'pintu ke mana sahaja' kepunyaan Doraemon untuk ke Jepun, saya akan guna. Janji sampai.

Semoga berjaya diucapkan kepada diri saya. Ganbate! Yosshhh....

Dengan pintu ini bukan setakat Jepun, seluruh dunia pun saya boleh pergi. Tak perlu susah-susah tulis wishlist ini, duh!

Sebenarnya senarai masih panjang lagi. Tetapi saya kongsikan apa yang masih tertangguh sejak sekian lama. Oh, oh...sebenarnya ada satu lagi yang tertinggal. Saya teringin hendak merasa bagaimana sambutan Hari Raya AidilAdha di Turkiye.

Hmm...tulis senarai bukan main. Macam orang banyak duit. Tak mengapalah, tak perlukan duitpun untuk berangan-angan.

Dan, tak perlukan duitpun kiranya tuan yang membaca entri ini mendoakan agar saya berjaya mengejar impian-impian tersebut (macam paksa pula...hehe...).

Selamat Tahun Baru!

Tuesday, October 15, 2013

Hari Ini Dalam Sejarah

Setahun yang lalu pada waktu ini saya sedang duduk dengan mata tidak berkelip-kelip di depan laptop sambil menonton secara langsung sebuah kapsul angkasa sedang terbang menegak (kerana dipasang dengan belon helium) menuju ke angkasa raya.

Bukan. Saya bukan sedang menulis sebuah kisah pengembaraan bertemakan sai fai. Apa yang saya lihat itu adalah peristiwa yang benar-benar berlaku. Saya sedang melihat sebuah sejarah sedang tercipta pada waktu itu.

'Penerbangan' yang mengambil masa lebih daripada 2 jam itu memang boleh dikatakan agak membosankan. Tetapi pada masa yang sama agak mengujakan. Misi penerbangan ini adalah untuk mencipta rekod terjun bebas dari paras yang paling tinggi dan paling laju pernah dilakukan oleh manusia. Dan manusia yang begitu berani menyahut cabaran itu ialah Felix Baumgartner, seorang warga Austria.

Pada ketinggian 39 km (dalam kawasan stratosfera) daripada muka bumi, tibalah masa yang ditunggu-tunggu. Walaupun bukan saya yang akan melakukan penerjunan, jantung saya tetap berdegup dengan laju. Berdebar dan teruja menantikan saat Felix Baumgartner melakukan penerjunan. Apa sahaja boleh berlaku kerana misi ini juga boleh dikatakan adalah satu eksperimen untuk menguji sejauh mana tahannya tubuh manusia jatuh pada kelajuan yang tinggi.

Jantung terasa terhenti seketika apabila beliau mula melakukan terjunan bebas. Pada awalnya beliau kelihatan berpusing-pusing sebelum memasuki ruang udara bumi. Ada sedikit masalah juga yang beliau hadapi tetapi perkara itu dapat diatasi dengan segera. Selama lebih kurang 4 minit beliau terjun secara bebas sebelum akhirnya beliau membuka payung terjun. Dan setelah 11 minit memulakan terjunan, beliau mendarat dengan selamatnya di atas muka bumi.

Mahu tahu apa yang beliau capai hasil daripada penerjunan itu? Felix Baumgartner menjadi manusia yang pertama berjaya mengatasi kelajuan bunyi; lebih tepat lagi beliau telah mencapai kelajuan 1.25 mach (1.25 kali lebih laju daripada kelajuan bunyi) tanpa menggunakan kenderaan berenjin. Beliau juga berjaya memecahkan beberapa lagi rekod yang boleh dibaca di sini.

Tidak sia-sia rasanya saya bersengkang mata menonton siaran langsung itu. Dari pukul 8 malam, 14 Oktober 2012, hingga pukul 2 pagi, 15 Oktober 2012 saya menahan mata daripada kantuk. Dapat juga saya melihat sebuah sejarah sedang dicipta. Bangga wooo~

Tapi, apa faedahnya terjunan itu dilakukan? Saya petik kata-kata Dr. Jonathan Clark, Pengarah Perubatan bagi projek penerjunan tersebut,

"We'll be setting new standards for aviation. Never before has anyone reached the speed of sound without being in an aircraft. Red Bull Stratos is testing new equipment and developing the procedures for inhabiting such high altitudes as well as enduring such extreme acceleration. The aim is to improve the safety for space professionals as well as potential space tourists."

Nampak tak di situ? Space tourists.

Buat masa ini Virgin Air sudah memulakan projek pelancongan angkasanya sendiri. Mana tahu Air Asia juga akan mengikut jejak langkah Virgin Air. Lagipun Tan Sri Tony Fernandes bersahabat baik dengan Sir Richard Branson (apa kena-mengenanya pun tak tahu...haha).

Saya bayangkan pada waktu itu beliau akan menubuhkan anak syarikat baru - Air Asia Space. Now everyone can fly...into space.

Hmm...angan-angan itukan percuma.

Baiklah, kita tinggalkan angan-angan dan kembali semula ke alam realiti...ke tahun lepas. Mari kita tonton bersama-sama terjunan yang bersejarah itu.



* Felix Baumgartner telah melakukan pengorbanan bukan sahaja semata-mata untuk mencipta rekod, tetapi untuk kajian saintifik. Apa pula pengorbanan kita?

** Selamat Hari Raya Aidiladha.

Tuesday, August 13, 2013

Berita Baik

Alhamdulillah...

Akhirnya ada juga aplikasi khas untuk pelancong/pengembara/frequent flyer Muslim untuk kemudahan mendirikan solat dalam kapal terbang. Berita penuh boleh baca di sini.

Masalah yang selalu timbul apabila berada dalam penerbangan yang panjang adalah apabila hendak menentukan waktu masuk solat dan juga arah kiblat. Terpaksa guna cara manual seperti melihat panjang dan kedudukan bayang-bayang dan juga kedudukan matahari. Jenuh juga hendak mengingat langkah-langkah tersebut. Jadi, dengan adanya aplikasi sebegini saya percaya masalah ini akan dapat diselesaikan dengan mudah.

Buat masa ini, aplikasi solat dalam kapal terbang ini hanya boleh didapati dalam iPhone App. Tapi jangan bimbang...aplikasi ini akan diperluaskan kepada pengguna telefon pintar Androids pula nanti. Tunggu sahajalah, ya.

Eh...yang saya terlebih excited ni, macamlah saya ada iPhone. Jangan kata iPhone, apa-apa smartphone pun saya belum ada. Kasihannya saya dengan diri sendiri...  

Sunday, July 21, 2013

Catatan Kembara K-Pop: Tentang Warga Emas

"Nenek, nenek 
Si bongkok tiga
Siang mengantuk, malam berjaga
Mencari cucu di mana ada
Nenekku kahwin dengan anak raja"

Lagu di atas terus bergema dalam kepala (buruk perangai) sebaik sahaja saya terpandang seorang nenek sedang menuruni anak-anak tangga di salah satu stesyen Subway (tidak ingat pula stesyen mana. Sebenarnya bukan setakat nama, malah perkataan-perkataan dalam Bahasa Korea juga sangat susah untuk saya ingat) di Seoul. Jarang benar dapat melihat warga tua yang sudah 'bongkok tiga' (dengan darjah kebongkokan sebanyak 90 darjah) berjalan-jalan seorang diri di sebuah bandaraya yang besar. Jika di Kuala Lumpur, jangan haraplah. Saya sungguh berasa 'inspired' (bak kata slogan Tourism Korea - Korea: Be Inspired) dengan pemandangan ini sehingga tidak terfikir langsung hendak menolong nenek tersebut yang jelas sedang terkial-kial menuruni anak-anak tangga. Haih!

Tidak pernah saya membayangkan Seoul dipenuhi dengan warga emas. Ok, mungkin saya membesar-besarkan cerita, tetapi itulah sebahagian daripada hakikat sebenar masyarakat di Seoul. Sebelum ke Seoul, apa yang saya bayangkan - jika sampai di sana - pastilah saya akan melihat kebanjiran orang-orang muda dengan gaya K-Pop. Di mana-mana hanya ada perempuan-perempuan cantik dan jejaka-jejaka 'jambu.' Nampaknya saya tertipu dengan drama-drama dan rancangan hiburan terbitan Korea yang hanya sekali-sekala dijeling-jeling tetapi tidak ditonton dengan khusyuk.

Tetapi, itulah. Apa yang difikirkan tidak semuanya betul, walaupun Tuan Ramlee Awang Murshid pernah berkata dalam novel Rayyan Fantasi, "apa yang difikirkan itu ada." *Tetiba* 

Kagum saya rasa dengan kehadiran warga emas ini. Di mana-mana sahaja dapat dilihat golongan tua ini berada, terutama sekali di stesyen-stesyen Subway. Entah mengapa mereka seperti berkumpul beramai-ramai di situ...terutama sekali apabila hari menjelang malam. Adakah mereka ini golongan gelandangan? Masih lagi merupakan satu teka-teki bagi saya.

Apa yang membuatkan saya kagum juga, jumlah mereka ini rasanya lebih ramai daripada jumlah kanak-kanak yang saya jumpa sepanjang saya berada di Seoul (adakah saya membesar-besarkan cerita sekali lagi? Saya pun tak tahu...haha!).

Agaknya, apa rahsia mereka ini berumur panjang?

Dalam bertanyakan soalan ini, saya teringat satu artikel atau mungkin juga sebuah dokumentari yang saya tonton (tidak ingat pula yang mana satu betul...Melayu memang mudah lupa, Nak) beberapa tahun yang lepas. Rahsia umur panjang warga Korea terletak pada cara pemakanan mereka. Mereka bukan sahaja memakan makanan yang sihat seperti kimchi. Tetapi cara mereka makan juga memainkan peranan yang penting. Mereka mengunyah dengan perlahan, lebih daripada 20 kali mengunyah barulah makanan itu ditelan. Ini bertepatan dengan sunnah Nabi Muhamad SAW yang mengunyah makanan sebanyak 40 kali sebelum makanan itu ditelan.

Sebab lain, mungkin kerana banyaknya tangga (di stesyen-stesyen Subway) terdapat di Seoul. Cara murah dan mudah untuk bersenam. Namun bagi sebuah negara maju, agak menghairankan juga kerana mereka masih lagi menggunakan tangga.

Saya juga mendapati golongan inilah yang paling mudah menghulurkan bantuan, walaupun hampir semua mereka ini tidak boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris apalagi dalam Bahasa Melayu. Apa kena mengena umur panjang dengan sifat mudah menghulurkan bantuan? Entahlah. Mungkin mereka memang ikhlas menolong dan berhati baik. Maka dengan itu jiwa mereka lebih tenang lalu menyebabkan usia mereka panjang. Berkemungkinan juga, ya. Ajumma (makcik) dan ahjussi (pakcik) Korea memang bagus! 

Namun hairan juga, belum ada kawasan di Korea yang menjadi Blue Zones lagi walaupun warga emasnya agak ramai. Mungkin belum ada yang usia mereka melebihi 100 tahun. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana pemandangan di kawasan yang sudah diisytiharkan sebagai Blue Zones ini. Oh, untuk pengetahuan  ada 5 tempat telah dikenal pasti sebagai Blue Zones (tidak menurut aturan):

1. Ikaria, Greece
2. Nicoya, Costa Rica
3. Okinawa, Jepun
4. Sardinia, Itali
5. Loma Linda, California, Amerika Syarikat

Itu dia...senarai tempat-tempat yang bakal saya kunjungi (jika ada rezeki) nanti. *Berangan*

Gambar hiasan: 
Salah seorang ahjussi Korea yang sudi bergambar dengan pasangan ajumma dan ahjussi dari Malaysia. Ahaks!

Wednesday, May 22, 2013

Kembara Solo

Saya sebenarnya cemburu dengan orang-orang yang berani mengembara secara solo. Apalagi jika yang mengembara itu perempuan. Berkali-kali ganda rasa cemburu itu datang.

Saya, self-acclaimed "perempuan pengembara" tapi belum berani mengembara secara solo. Sedih, kan?

Dalam pada saya hendak mengumpul keberanian itu, saya pun membeli sebuah buku tulisan Wan Hassan Wan Ismail bertajuk 60 Tip Mengembara. Salah satu tip yang dikongsi oleh beliau adalah tip no. 25: Elakkan  mengembara seorang diri. Hah!

Kalau hendak disenaraikan, rasanya ada banyak sebab mengapa mengembara seorang diri itu tidak digalakkan. Yang pasti, sebab utama adalah faktor keselamatan. Jika tidak, masakan Rasulullah SAW memberi peringatan akan hal ini dalam hadis beliau yang bermaksud: 

"Jika manusia mengetahui bahaya musafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir walau satu malam sendirian." - Riwayat Bukhari no. 2776 (60 Tip Mengembara m/s 54).

Jadi, kesimpulannya di sini, jika hendak melancong atau mengembara, eloklah pergi bersama-sama teman. Teman yang dibawa itu pula seelok-eloknya sesuai dengan diri kita dan yang sanggup menghadapi segala rintangan dan cabaran sepanjang pengembaraan. Jika didapati dia/mereka tidak menepati ciri-ciri yang kita mahukan, bolehlah 'diceraikan' daripada aktiviti melancong/mengembara di masa hadapan.

Nota: Entri ini sebagai lanjutan jawapan atas pertanyaan tetamu blog ini yang telah meninggalkan jejak di 'Shoutbox' lebih kurang sebulan yang lepas. Maaf ya lambat bagi respons. Apa-apa pun terima kasih atas pertanyaan dan secara tidak langsung memberi 'writing prompt' untuk saya update blog ini :))  

Sunday, February 24, 2013

Pada Masa Saya Sepatutnya Berada di HCMC...

...saya masih lagi terperap dalam bilik sambil membaca novel-novel terbitan Buku Fixi secara marathon.

Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa membatalkan rancangan bercuti pada kali ini. Saya memohon maaf kepada seorang penulis komentar di entri Cara-cara Melancong Ke Luar Negara yang meminta saya membuat posting selepas pulang dari HCMC (Ho Chi Minh City) nanti. Nampak gayanya perkara itu tidak dapat direalisasikan buat masa ini. Mungkin saya pula yang akan merujuk kepada beliau nanti (kalau ada rezeki menjejakkan kaki ke HCMC).

Sedih juga, tetapi tidaklah berasa terlalu menyesal.  

Baiklah, saya mahu sambung membaca novel-novel Fixi. Perlu serahkan segera kepada tuan yang empunya apabila selesai membacanya.

Wednesday, February 13, 2013

Kuman Di Seberang Laut Nampak, Gajah Di Depan Mata Tak Nampak

Rindukan tasik-tasik di New Zealand...dapat lepak depan tasik di belakang rumah pun jadilah. Cantik juga rupanya.



*Kadang-kadang kita terlepas pandang apa yang ada di belakang rumah...

Sunday, January 27, 2013

Kembara Sastera Perempuan Pengembara: Masjid Jamek - Kelana Jaya - Taman Jaya

#Tajuk tak boleh blah...kononnya ala-ala Kembara Sastera Nisah Haron: UK & Dublin :P

Sudah lama Baca@LRT menyepi daripada sebarang aktiviti. Tahun ini ia dihidupkan kembali (harap tidak 'mati' semula selepas ini). Temanya kali ini membuatkan saya berasa teruja (baca: thrill) kerana melibatkan seorang penulis tersohor di Malaysia ini. Penulis yang dilabel sebagai no. 1 di kalangan penulis - penulis novel bergenre thriller tanahair. Siapa lagi kalau bukan Tuan Ramlee Awang Murshid. Maka dengan itu, tercetuslah Baca@LRT: RAM. Idea ini sudah dizahirkan kalau tidak silap saya dari tahun 2010 (atau 2011?) lagi. Dan sebenarnya ia sudah diuar-uarkan untuk diadakan pada bulan Jun 2010 (atau 2011?). Tetapi malang sungguh terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Terus terang, saya bukanlah peminat tegar Tuan Ramlee Awang Murshid (baca: Tuan RAM). Tetapi yang pasti novel "Tombiruo" yang dibeli lebih sedekad yang lalu telah memperkenalkan saya kepada corak penulisan beliau. Masih teringat lagi perasaan saya setelah habis membaca novel tersebut. Kagum. Selepas itu saya tidak lagi membeli novel-novel tulisan beliau kerana tidak mengikuti langsung perkembangan industri buku di negara sendiri dan kerana kecewa "Tombiruo" saya itu hilang. Lagipun Tuan RAM belum begitu dikenali pada waktu itu. Namun nama beliau sudah terpahat sebagai salah seorang penulis Malaysia yang saya kagumi selain Tuan Ahmad Patria Abdullah. 

Saya teringat beberapa lama selepas saya membaca novel "Tombiruo" pihak penerbit telah mengadakan promosi novel terbaru Tuan RAM (tidak ingat novel yang mana) dan sesi tanda-tangan di bahagian ruang legar bawah tanah Stesyen LRT Masjid Jamek. Saya yang sudah beberapa hari tahu tentang hari 'kejadian' tersebut, sengaja keluar untuk melihat-lihat sambil mengambil peluang berjalan-jalan. Sampai sahaja di sana saya lihat lengang sungguh meja di mana tempat Tuan RAM duduk. Saya jadi malu-malu untuk menghampiri meja untuk membeli novel dan seterusnya mendapatkan tanda-tangan beliau. Malang sungguh waktu itu teknik 'nekad sesaat memasuki bilik mayat' belum diperkenalkan oleh Tuan Bahruddin Bekri - dalam "Diari Mat Despatch" - yang belumpun menjadi seorang penulis novel lagi. Sekiranya sudah, saya pasti akan menggunakan teknik tersebut untuk mendapatkan tanda-tangan Tuan RAM. Tidak berjaya menahan rasa segan dan ragu-ragu, sudahnya saya membawa diri ke KLCC.

Baik, kita tinggalkan cerita lebih sedekad yang lalu dan kembali kepada tarikh 19 Januari. Oleh kerana bimbang tidak sempat (baca: terlambat) berkumpul pada masa dan tempat yang telah ditetapkan iaitu pada jam 10:00 pagi di Stesyen LRT Gombak, maka saya mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Stesyen LRT Masjid Jamek dengan menaiki bas (hidup public transport!). Bagaikan perjalanan direstui olehNya, cuaca begitu baik sekali pada pagi itu; tidak terlalu panas dan tidak pula sejuk. Redup. Alhamdulillah.

Setelah melalui perjalanan hampir sejam tanpa diiringi dengan aktiviti membaca (teruk betul!), saya turun di Masjid India. Kemudian berjalan kaki dengan kelajuan yang entah berapa kilometer sejam, saya berjaya sampai di platform tren tepat pada pukul 10:45 pagi. Saya kira para peserta yang bergerak dari Gombak pasti akan sampai sebentar lagi kerana mengikut rancangan asal, mereka akan menaiki tren pada pukul 10:30 pagi. Namun, saya masih belum mendapat apa-apa petunjuk (baca: SMS) daripada pemberi maklumat kepercayaan saya iaitu Penasihat RAMFC; Tuan AttOkz Dikulgai.

Tidak berapa lama kemudian saya menerima SMS daripada sahabat saya, Puan Azrina yang bertanyakan saya berada di mana. Beliau kata beliau sudah bergerak dari Stesyen Gombak dan pada masa itu sudah berada di Wangsa Maju. Beliau tidak turun di Stesyen Gombak tadi kerana menyangkakan para peserta Baca@LRT sudah menaiki tren yang sama dengannya. Namun beliau hairan, kenapa tidak ramai orang. Eh?

Saya menuntut penjelasan daripada pemberi maklumat saya yang masih lagi diam seribu bahasa. Rupa-rupanya para peserta masih lagi berada di Gombak. Mereka belum menaiki tren lagi. Patutlah! Cepat-cepat saya khabarkan berita tersebut kepada Puan Azrina dan meminta beliau sekeluarga turun di Stesyen Masjid Jamek untuk menyertai saya di sana.

Puan Azrina tiba tidak lama kemudian bersama-sama dengan rombongan beliau yang terdiri daripada seorang Maryam (baca: anak perempuan) dan tiga orang Sunan (baca: seorang suami dan dua orang anak lelaki). Saya rasa Puan Azrina pula adalah Ratna, si ratu hati Sunan. Setuju, Puan Azrina? Hehe!

Apabila tren yang membawa para peserta yang bertolak dari Gombak sudah bergerak dan kemudian hampir tiba di Masjid Jamek, Tuan AttOkz menghantar mesej supaya kami bersedia. Tren yang dinaiki mereka tiba dalam pukul 11:15 pagi.

Ah, leganya. Masih banyak tempat duduk. Saya duduk sebaris dengan Ratna, Maryam dan dua orang Sunan. Sementara Sunan yang paling tua duduk di kerusi berhadapan dengan si Ratna (romantik gitu..boleh bertentangan mata). Di sebelah saya duduk seorang gadis Melayu. Tiada bahan bacaan yang dipegang. Jadi, saya beranggapan dia bukan salah seorang peserta. Sepanjang masa dia banyak tertunduk. Mungkin gelisah kerana ramai penumpang di sekelilingnya sedang membaca sedangkan dia tidak. Sah, dia bukan salah seorang peserta dan rasanya kami telah berjaya 'mengusik' gadis tersebut.

Saya pula, hanya membawa novel "9 Nyawa" kerana hanya novel inilah yang ada di rumah yang diduduki sekarang sedangkan novel-novel tulisan Tuan RAM yang lain sudah diangkut ke rumah baru (yang sudah tidak baru lagi). Nasib baik Tuan AttOkz sempat menghulurkan novel terbaru Tuan RAM berjudul "Aku Bercerita" - yang telah dipesan awal-awal - semasa saya baru menaiki tren.

Sampai di Stesyen Kelana Jaya, kami semua pun keluar dari tren. Ada sesi taklimat ringkas yang disampaikan oleh Tuan Penasihat RAMFC, dan sesi yang wajib iaitu bergambar beramai-ramai sambil memegang buku masing-masing. Kemudian kami diberikan masa beberapa minit untuk aktiviti bebas (baca: bergambar dan beramah mesra) sebelum sama-sama menaiki tren yang akan membawa kami ke Stesyen Taman Jaya.  

Sementara menunggu tren, sempat saya memberikan buku percuma kepada Ratna (baca: Puan Azrina) iaitu buku Sailang Magnum Opus RAM. Buku yang memuatkan karya saya yang berupa sebuah certot (cerita kontot) yang berjudul "Sailang - 9 Nyawa." Ia sebuah cerita cross-over daripada salah satu kejadian dan watak misteri dalam novel "9 Nyawa" (sebab itu hanya ada novel ini dalam tangan). Rugi sesiapa yang tidak memiliki buku tersebut. Bukan senang hendak pujuk perempuan ini menulis, hatta menulis certot sekalipun...ehekk!

Terpancar kegembiraan di wajah Ratna apabila diberi buku percuma. Di sebelah beliau ialah Maryam. Manakala di belakang Maryam ialah Sunan paling tua.

Tren sampai, kami pun naik. Sampai di Stesyen Taman Jaya, kami berjalan kaki pula menuju ke taman yang terletak bersebelahan dengan bangunan TNB. Nama taman itu ialah Taman Jaya. Duh! Sudah dua, tiga kali saya ke bangunan TNB atas urusan tidak rasmi, tidak perasan pula ada taman tasik di sebelahnya. Memang benarlah, jauh perjalanan (baca: berjalan kaki) luas pemandangan yang selama ini disekat oleh bangunan TNB itu.

Aktiviti pertama di tepi tasik adalah - makan! Waktu pun sudah menginjak ke tengah hari, maka memang patutlah kami makan dahulu. Ada pulut kuning, rendang ayam, bihun, nasi lemak bungkus, dan cupcakes coklat. Om nom nom nom...

Aktiviti seterusnya, permainan Ice Breaking yang sebenarnya bukan permainan tetapi sesi memperkenalkan diri. Saya tidak turut serta kerana saya tidak suka publisiti...hihihi! Selepas itu Tuan RAM pula yang melakukan Ice Breaking (baca: ucapan alu-aluan) sebelum acara permainan RAMtasia dimulakan.

Ucapan alu-aluan oleh Tuan RAM yang tidak memakan masa dua jam...nasib baik...

Namun, belumpun sempat bermain, kami semua dipanggil untuk sesi bergambar beramai-ramai bersama-sama dengan Tuan RAM.

Gambar beramai-ramai. Tidak perlulah dicari mana Perempuan Pengembara...'hijab' tidak terbuka.
Gambar kredit: Puan Azrina.

Walaupun keseorangan, 'hijab'nya masih belum terbuka. Maka, jadilah dia si muka buku.
Gambar kredit: Puan Azrina.

Permainan disambung selepas sesi bergambar. Selesai permainan kedua ini, Puan Azrina pun meminta diri untuk pulang. Namun sebelum itu saya diberikan sebuah buku percuma oleh beliau. Buku bertajuk "Bergaduh & Menari" tulisan Alif Firdaus Azis. Terima kasih, Rin! Nanti bagilah lagi...hehe!

Setelah Puan Azrina sekeluarga pulang, tinggallah saya seorang diri bagi meneruskan permainan yang ketiga iaitu "Manggala Mengganas." Manggala ialah serigala jadian yang mengganas di sebuah perkampungan. Setiap malam ia akan membunuh seorang mangsa. Apabila hari siang, orang-orang kampung diminta untuk mencari siapakah Manggala daripada kalangan mereka, lalu membunuhnya untuk mengembalikan keamanan kampung. Untuk bermain permainan ini, setiap pemain diminta untuk mencabut watak yang telah ditulis pada cebisan kertas. Hanya mereka sahaja yang tahu watak apa yang dipegang oleh diri masing-masing. Watak yang saya dapat - ibu mithali. Nasib baik saya tidak tergelak kuat semasa melihat kertas yang saya cabut itu. Ibu mithali? Ya, saya mengaku saya ibu mithali - 'ibu' mithali kepada kucing-kucing saya :D

Akhirnya, dua orang Manggala berjaya 'dibunuh.' Sebenarnya ada tiga orang Manggala. Manggala yang  ketiga terselamat kerana 'orang-orang kampung' sudah kepenatan hendak meneruskan permainan.

Acara disambung lagi untuk permainan yang terakhir iaitu "Panggilan Zonan" yang merupakan permainan menyampaikan mesej. Permainan ini yang paling banyak mengundang ketawa. Manakan tidak, daripada mesej yang panjang lima baris, apabila sampai kepada orang terakhir yang tinggal cuma satu baris. Kelakar betul. Nasib baik juga kami hanya bermain sebanyak dua daripada tiga pusingan. Saya mendapat tahu pusingan ketiga adalah yang paling mencabar kerana ada diselitkan mesej dalam bahasa Jawa. OMG!

Habis permainan, tibalah acara penyampaian cenderahati yang disampaikan sendiri oleh Tuan RAM. Kemudian, acara yang paling dinanti-nantikan oleh para peserta. Sesi mendapatkan tanda-tangan Tuan RAM. Walaupun ramai yang sudah pulang, tetapi itu tidak bermakna tiada sesiapa yang beratur untuk mendapatkan tanda-tangan beliau. Berbeza sungguh dengan situasi yang saya lihat lebih kurang sedekat yang lepas. Kini Tuan RAM sudah ada ramai pengikut. Kalau tidak, mana mungkin RAMFC boleh wujud seperti sekarang.

Gembira rasa di hati setelah mendapat tanda-tangan Tuan RAM pada novel "9 Nyawa" dan "Aku Bercerita" Tidak ketinggalan, salah satu cenderahati yang berupa penanda buku juga ditanda-tangani oleh beliau. Sebenarnya saya ingin meminta beliau menulis kata-kata "You'll Never Walk Alone" atau cukup setakat "YNWA" dalam kedua-dua novel tersebut kerana saya tahu Tuan RAM seorang penyokong pasukan Liverpool dan memandangkan Tuan AttOkz telah memberitahu beliau saya juga penyokong Liverpool. Namun tidak terucap jua...malu...hihi! Semasa sedang menanda-tangan, sempat juga beliau memberikan pendapat bahawa Liverpool agak lemah di bahagian pertahanan. Juga kisah beliau anak beranak ketika menonton perlawanan antara Liverpool dengan Manchester United (baca: MU) pada pertengahan bulan ini. Mereka diberi amaran agar tidak bergaduh apabila isteri beliau mendapat tahu MU telah menjaringkan gol (anak tunggal mereka merupakan peminat MU). Sweet :D 

Setelah mendapat apa yang dihajati, saya pun meninggalkan taman tasik lebih kurang pada pukul 3:30 petang dengan perasaan gembira yang mengebu-gebu dalam hati. Cewah!

Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tim RAMFC di atas kejayaan mereka mengatur acara dengan begitu baik sekali. Ini adalah antara siri Baca@LRT yang terbaik pernah saya turut serta.

Saya juga membayangkan akan ada lagi tema Baca@LRT yang melibatkan para penulis yang lain. Antara yang saya paling impikan adalah Baca@LRT: APA. APA? Bukan apa-apa...APA di sini merupakan kependekkan bagi nama penulis fantasi dan sains fiksyen no. 1 di Malaysia - Tuan Ahmad Patria Abdullah. Namun, mungkin ia sukar dijadikan kenyataan kerana dengar khabarnya Tuan APA tidak sukakan publisiti yang luas. *Bunyi cengkerik*

APA pun tak boleh...APA kata kita cuba pelan B pula - Baca@ LRT: BB (Baca: Tuan Bahruddin Bekri). Atau...buat tema gabungan penulis-penulis yang meminati Liverpool (tetiba) - antara yang saya tahu, Tuan RAM, Tuan APA (itupun jika beliau sudi...uhuhu), Tuan BB, Tuan Web Sutera, dan Es Rahmaniza. Eh? Siapa Es Rahmaniza? *Bunyi cengkerik*

Apa-apapun, diharapkan Baca@LRT atau Baca@ yang lain akan terus hidup subur di bumi Malaysia ini. Memetik kata-kata Puan Azrina, "Saya harap lambaian kelmarin bukanlah lambaian terakhir. Malahan, ia adalah lambaian menjemput delegasi Baca@LRT yang lebih besar selepas ini." Well said, my friend.

Nota: Dengar khabar Es Rahmaniza juga tidak sukakan publisiti. Jadi, bolehlah diabaikan. Lagipun, dia ini entah siapa-siapa (dan cengkerik pun berbunyi...krik...krik...krik...).

Sunday, January 6, 2013

Kembara Berdua di Bumi Maori 13

OAMARU - DUNEDIN

Meneliti himpunan buku-buku tentang buku, kedai buku dan industri buku dunia, saya berpendapat, perlu ada satu pakej kembara tentang buku berbanding kembara yang sering dikaitkan dengan aktiviti membeli-belah, makan-makan atau melawat tempat-tempat yang popular - Nisah Haron

Pagi hari ke-empat, seawal pukul 7:00 Chik sudah bergegas ke dapur komuniti yang terletak di seberang bilik kami. Menu pagi ini - nasi goreng. Itulah kerja enteng seorang tukang masak bernama Chik. Ahaks!

Satu perkara yang saya suka tentang dapur komuniti di sini adalah terdapat rak buku khas bagi para penginap untuk bertukar-tukar buku yang terletak di ruang santai. Idea yang sangat bagus dan sudah tentunya saya berasa teruja melihatnya.

Jawapan bagi soalan pertama: Mestilah.
Jawapan bagi soalan kedua: Ya, ya!
Soalan: Kalau tukar buku dengan nasi goreng, boleh tak? Chik punya portion. Bolehlah...bolehlah...

Namun draf keterujaan menurun sedikit apabila saya mendapati tidak banyak buku yang berterabur dalam rak. *Bunyi cengkerik*

Dan tiada pula buku yang menarik perhatian saya. *Bunyi cengkerik*

Kalau ada pun, tidak mungkin saya akan menukarkannya dengan buku "Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom dan Dublin" yang dibeli sehari sebelum terbang ke sini, yang bertanda-tangan penulis, dan yang saya masih belum habis mengkhatamnya lagi.

*Bunyi cengkerik*

Apa-apa pun, ruang santai dan dapur boleh tahan luas. Nama pun dapur komuniti. Haruslah besar bagi menampung kami berdua dan sebuah keluarga Cina yang masuk ke dalam dapur setelah kami memulakan operasi memasak.

Selesai memasak dan mengemas, kami angkut makanan dan bersarapan di dalam bilik. Selepas bersarapan, kami bersiap-siap pula untuk check-out.

Lebih kurang pukul 9:30 pagi dan setelah selesai urusan check-out, barulah kami bergerak ke destinasi pertama iaitu - pejabat pos. Poskad-poskad yang sudah siap ditulis, perlu dihantar dengan segera. Harapan saya semoga poskad-poskad boleh sampai sebelum saya pulang ke tanah air.

Sampai di pusat bandar Oamaru, kami berhenti berdekatan dengan pasaraya Countdown kerana menurut GPS yang begitu setia menunjukkan jalan kepada kami, pejabat pos terletak di sebelah kanan jalan iaitu betul-betul bertentangan dengan pasaraya tersebut. Saya lihat barisan bangunan di sebelah kanan jalan. Di hujung bangunan nampak seperti pejabat pos. Tetapi tiada pula papan tanda menunjukkan itu adalah pejabat pos. Yang ada hanya papan tanda "Post Shoppe." Untuk kepastian, Chik bertanya kepada seorang wanita yang sedang memunggah barang-barang yang baru dibeli ke dalam keretanya di kawasan parkir pasaraya. Dia menunjukkan ke arah bangunan yang tadi kami syak adalah pejabat pos. Memang tidak syak lagi itulah pejabat pos yang dicari.

Maka, kami pun cuba masuk ke dalam pejabat pos tanpa mengesyaki apa-apa. Tetapi pintu yang kami tolak itu tidak pula mahu terbuka. Rupa-rupanya salah pintu. Lain kali masuk melalui pintu utama, bukan pintu tepi yang mungkin hanya untuk staf, ya...pppfffttt!

Disebabkan keputusan last minute untuk menghantar satu lagi poskad ke tanah air, Chik kekurangan satu setem lalu dia beratur untuk membelinya di kaunter. Sampai giliran, sempat dia bertanya kepada staf di kaunter berapa hari poskad boleh sampai ke Malaysia. Menurut staf tersebut, dalam masa seminggu boleh sampai. Fuh! Sempat juga poskad sampai sebelum kami balik (sebenarnya poskad sampai lebih kurang tiga minggu selepas saya balik ke Malaysia. Cheh!).

Selesai urusan di pejabat pos, alang-alang sudah sampai di pasaraya Countdown, kami singgah sebentar untuk membeli...cokelat Whittaker's. Cokelat Whittaker's, memang sedap. Percayalah (iklan tidak berbayar).

Setelah mendapat habuan yang dihajati, barulah kami berjalan ke Harbour & Tyne Historic Precint. Kawasan ini dipenuhi dengan bangunan-bangunan lama dan bersejarah. Berada di sini membuatkan saya berasa seperti berada di zaman Victorian (walaupun saya tidak tahu bagaimana rasanya berada dalam zaman Victorian...haha...).

Kereta putih lagi comel itulah kereta sewa kami. 

Time traveling.

Orang-orang zaman dahulu memang suka berpantun...termasuklah orang putih. Sungguh tidak kusangka!

Kami menyusuri celah-celah bangunan dan tepi-tepi jalan sehingga sampai ke sebuah gereja lama yang terletak di atas bukit.

Sedang mata melilau-lilau melihat sekeliling, tiba-tiba saya terpandangkan sebuah syurga yang terletak bertentangan dengan gereja. Sebuah barisan kedai-kedai kecil yang salah satunya tertera papan tanda "Almost All New Zealand Books." Itulah syurga yang saya maksudkan. Saya mesti pilih untuk masuk ke syurga itu. Nasib baiklah Chik pilih untuk ikut sama.

Himpunan buku-buku sastera...Ini barulah boleh dinamakan sebagai kembara sastera (*_*)

Membaca perlu tekun walaupun ia hanyalah lakonan semata-mata.

Puas bergambar dalam kedai buku, Chik sempat beramah mesra dengan tuan punya kedai yang memperkenalkan dirinya sebagai Rob (nama penuh tidak diketahui...yang pastinya bukan Rob Thomas. Hehe...). Semasa kami sibuk bergambar dan membelek-belek buku, beliau sedang tekun membaca di kaunter. Tidak sangka pula beliau sangat peramah orangnya. Beliau memberitahu bahawa buku-buku di kedai itu adalah milik beliau sendiri. Teruja sungguh saya mendengarnya - daripada minat kepada buku boleh pula beliau jadikan sebagai sumber pendapatan. Saya kagum!

Apabila ditanya apakah tempat menarik yang boleh kami kunjungi sebelum kami bertolak ke Dunedin, Tuan Rob mencadangkan agar kami pergi ke Yellow-Eyed Penguin Colony untuk melihat anjing laut. Katanya dua tiga hari lepas beliau dan isteri telah ke sana dan mereka dapat melihat beberapa ekor anjing laut sedang melepak di tepi pantai. Tuan Rob menunjukkan arah ke sana pada peta yang memang tersedia di atas meja. Sebelum meninggalkan kedai, helaian peta itu diberikan kepada kami.

Kami berjalan-jalan lagi di sekitar Historic Precint sebelum bertolak ke Yellow-Eyed Penguin Colony. Lagipun Chik mahu ke tandas. Semasa sedang menunggu Chik di luar, saya lihat para pelancong - yang terdiri daripada warga emas - sedang dibawa ke sebuah 'kedai kopi' di seberang jalan oleh seorang makcik yang berpakaian zaman Victorian. Para pekerja di 'kedai kopi' pula berpakaian seperti pelayan/pembantu rumah di zaman Victorian - berbaju gaun hitam dengan apron dan topi putih.

'Kedai kopi' di seberang jalan.

Tidak lama kemudian, makcik yang membawa rombongan tadi keluar dari situ dan berjalan semula ke arah bangunan tempat saya berdiri. 

Alololo makcik...sopannya dia jalan.

Setelah Chik keluar, kami sempat bergambar dan beramah mesra dengan makcik berpakaian zaman Victorian itu. Sebagai salah seorang petugas di bahagian pelancongan, beliau dikehendaki berpakaian begitu supaya pelancong dapat merasai pengalaman gaya hidup di zaman Victorian. Yang paling saya tidak tahan beliau sangat jakun melihat Chik mengambil gambar menggunakan tablet. Siap dibelek-beleknya. Makcik...makcik...memang ketinggalan zaman betullah. Ahaks!

Setelah puas bergambar dan berbual, kami meminta diri daripada makcik itu lalu berjalan menuju ke Steampunk HQ. Terdapat replika kepala kereta api di hadapan bangunan. Menurut penerangan yang tertulis di risalah yang saya ambil di hotel sebelum ini, Steampunk adalah:

"a sub-genre of science fiction, fantasy, alternate history, and speculative fiction that came into prominence during the 1980s and early 1990s"

Lagi ditulis, "head back to an imaginary Victorian time when steam power is King, a place where the petroleum age never arrived and the world continued to grow and develop - here you have Steampunk - History meets Punk."

Menarik bukan? History meets Punk. How cool is that!

Ini gaya punk sakit lutut. Anda dibenarkan untuk meniru gaya ini.

Kedatangan kami disambut oleh seorang pakcik yang bertugas di situ. Setelah menceritakan serba sedikit tentang Steampunk, beliau bertanya sama ada kami mahu melihat kereta api itu beraksi. Sudah tentulah kami mahu. Dengan bayaran NZD2.00 yang dimasukkan ke dalam slot duit syiling yang terletak di hadapan kereta api, ia mula 'hidup.'

Sudah tentu kereta api itu tidak bergerak. Ia cuma mengeluarkan bunyi dan serombongnya mengeluarkan api dan asap seolah-olah ia sedang bergerak.

Kereta api sedang 'bergerak'...choo choo!

Aksi itu berlangsung lebih kurang dalam 5 minit, sebelum ia kembali senyap seperti biasa. Setelah mengucapkan terima kasih kepada pakcik itu, barulah kami bergerak ke arah kereta.

Sebelum memulakan perjalanan, seperti lazimnya, Chik akan mengeset alamat/arah ke destinasi seterusnya dalam GPS. Malangnya, setelah beberapa kali mencuba dengan pelbagai cara, arah ke Yellow-Eyed Penguin Colony tidak dapat diset. Hairan betul. Bukankah sepatutnya tempat itu termasuk dalam salah satu Places of Interest di Oamaru? Aduhai GPS...hendak Guna Pun Susah...

-Bersambung-