Showing posts with label 3rd Day: NZ. Show all posts
Showing posts with label 3rd Day: NZ. Show all posts

Sunday, October 21, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 12

LAKE TEKAPO - OAMARU

"I've a grand memory for forgetting (Saya mempunyai daya ingatan yang kuat untuk lupa)" - Robert Louise Stevenson

Semasa kami meninggalkan Oamaru Blue Penguin Colony, hujan turun renyai-renyai. Dan hujan masih lagi renyai semasa kami sampai di Dilaan Turkish Cafe. Untuk sampai ke sana, berpusing-pusing jugalah. Sekejap belok kanan, sekejap belok kiri, lepas itu belok kanan lagi. Itulah 'untungnya' ada GPS. Kalau ada jalan pintas, jalan jauh juga yang akan ditunjukkan. Nasib baik pemandu kereta a.k.a. Chik sangat tabah dan gigih memandu. Jika tidak, dia terpaksa memasak pada malam itu. Hihihi~

Sebaik memasuki kafe, teragak-agak juga hendak membuat pesanan. Saya manalah biasa makan makanan dari negara Timur Tengah. Dan, rasanya itu kali pertama kami makan di luar sejak sampai ke bumi Maori ini. Saya tidak ingat nama makanan yang kami pesan. Chik memilih untuk makan kebab ayam yang diletakkan dalam roti pita bersama dengan sayur-sayuran. Dia juga diberikan pilihan dua jenis sos. Saya pula memilih kebab kambing yang ditaburkan di atas selonggok kentang goreng yang kemudian disirami sos barbeku dan...oh, tiada dan-dan. Saya cuma boleh pilih satu jenis sos sahaja. Sedih! (Maaf tiada gambar untuk menunjuk-nunjuk. Jadi bayangkanlah menu kami itu mengikut daya imaginasi masing-masing).

Harga keseluruhan makanan termasuk air dalam tin adalah NZD33. Mahal? Memang mahal tetapi saiz makanan sangat besar. Tidak padan langsung dengan saiz perut kami yang rasanya cuma boleh muat lebih kurang separuh daripada jumlah keseluruhan makanan yang dihidangkan.
 
Tuan punya kafe yang bernama Abdullah begitu ramah melayan semasa kami sedang makan. Macam-macam perkara yang diceritakannya. Daripada kisah bagaimana dia memulakan perniagaan di Oamaru sehinggalah kepada keluh kesah beliau terhadap beberapa orang rakan senegara dan seagama yang menetap di New Zealand yang sudah terpesong daripada ajaran agama. Tidak dapat hendak saya menceritakannya satu persatu di sini kerana jika saya ceritakan juga mahunya catatan saya ini akan bertukar menjadi novel pula nanti.

Di samping Tuan Abdullah, ada seorang lagi yang kami lihat bekerja di kafe tersebut. Seorang gadis manis yang kami rasa dia merupakan orang Turki juga. Mungkin anak perempuan Tuan Abdullah. Isteri rasanya tidak mungkin kerana gadis itu kelihatan terlalu muda jika dibandingkan dengan beliau. Untuk mendapatkan kepastian, Chik bertanya, "Is she your daughter?" sambil menunjuk ke arah gadis tersebut.

"Oh, Aishah? No, no. She's my staff. I'm not married yet."

Hahaha! Rupa-rupanya sangkaan kami meleset sama sekali. Tuan Abdullah belum berkahwin lagi rupanya. Patutlah ramah betul dengan kami.

"Dia tengah cari calon tu, Siti. Siti kan suka New Zealand...boleh la tu...hehehe!"

Pandai betul Chik mahu padankan saya dengan Tuan Abdullah. Sebenarnya saya rasa Chik yang berminat sebab dia yang paling rajin melayan Tuan Abdullah bercakap, manakala saya lebih rajin melayan makanan...hehehe! 

Disebabkan kesudian kami mendengar dan melayan cerita Tuan Abdullah, beliau dengan baik hatinya membelanja kami teh Turki (tetapi bukan Apple Tea Turki yang terkenal itu..uhuk!). Apa-apapun saya tetap bersyukur dengan rezeki yang diberikan; walaupun saya syak beliau sebenarnya mahu mengorat Chik...hahaha!

Disebabkan saiz makanan yang besar dan kami tidak dapat menghabiskannya, kami meminta Tuan Abdullah membungkus saki baki makanan yang masih belum dijamah. Semasa kami hendak meninggalkan kafe, sempat Tuan Abdullah mengucapkan, "See you again."

"Macamlah kita akan jumpa dia lagi," kata Chik dengan penuh yakin.

Maka, kami pun pulang ke hotel dengan rasa kekenyangan yang amat. Sampai sahaja di hotel, tidak sabar-sabar saya hendak mengeluarkan poskad-poskad dari dalam beg sandang. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini saya ada membeli poskad untuk dihantar kepada diri sendiri, kakak di rumah dan rakan sekerja. Sedang saya seronok-seronok membelek dan memikirkan apa yang hendak ditulis di dalam poskad-poskad itu, tiba-tiba Chik bertanya, "Siti ada nampak beg orang tak?"

Tidak perasan pula saya. Mungkin dalam kereta, tetapi Chik kata tiada. Yang saya ingat semasa balik dari Oamaru Blue Colony tadi Chik ada membawa beg sandangnya itu. Jadi, besar kemungkinan beg Chik tertinggal di kafe tadi. Chik...Chik...'penyakit' pelupanya menyerang lagi. Aduhai...

Namun, dalam hati saya terasa lucu juga. Nampaknya, kuat betul jodoh Chik dengan Tuan Abdullah...ahaks!

"Siti kena teman orang pergi sana balik," pinta Chik dengan penuh harapan lalu memadamkan rasa kelucuan dalam hati saya. Sudah semestinya saya akan temankan Chik. Sebagai seorang sahabat yang baik (puji diri sendiri) tidak mungkin saya biarkan dia memandu seorang diri di bumi yang asing ini.

Namun apabila sampai di kafe, saya tidak menemani Chik masuk ke dalam. Saya cuma melihat apa yang berlaku melalui dinding kaca kafe tersebut. Tidak lama kemudian Chik keluar dari kafe dengan wajah berseri-seri sambil menyandang begnya yang memang sah tertinggal di sana.

Sebaik masuk semula ke dalam kereta, Chik memberitahu bahawa dia telah 'dipermainkan' oleh Tuan Abdullah. Pada mulanya beliau beria-ia kata tidak nampak beg Chik. Setelah nampak Chik gelabah barulah dia mengaku yang beg Chik memang tertinggal di sana dan pergi mengambilnya di belakang kafe. Tidak fasal-fasal Chik terkena penangan gurauan orang Turki...hahaha!

Sebaik sampai di hotel, saya sambung kembali aktiviti yang tergendala tadi.

Ini poskad untuk rakan sekerja di department saya. Saya suka poskad ini sebab...

...ada multiple choice. Jadi tandakan sahaja apa yang hendak disampaikan. Tidak perlu peningkan kepala fikir apa yang hendak ditulis. Hewhewhew~

Dua poskad di atas untuk dikirimkan kepada diri sendiri (atas) dan kakak (bawah).

Setelah berpuas hati dengan apa yang ditulis dan menampal setem untuk kiriman poskad antarabangsa yang setiap satunya bernilai NZD2, saya pun membersihkan diri dan kemudian solat.

Kemudian saya makan makanan yang dibungkus tadi. Tetapi tidak juga dapat dihabiskan. Disebabkan tiada apa yang hendak dibuat - televisyen pun tiada rancangan menarik - kami tidur awal malam itu.

Namun, sukar sungguh hendak tidur kerana badan terasa panas. Saya sangka saya diserang hot flush (salah satu kesan sampingan rawatan yang saya terima pada waktu itu). Tetapi saya perasan Chik pun macam gelisah. Saya periksa heater. Oh, patutlah. Lupa pula semasa mula-mula sampai bilik hotel pada petang tadi, saya telah memasang heater ke laras maksimum. Patutlah panas menggila. Setelah saya turunkan laras suhu, barulah boleh tidur dengan lena...

-Bersambung-

Sunday, October 7, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 11

LAKE TEKAPO - OAMARU

"It's practically impossible to look at a penguin and feel angry (Secara praktikalnya, rasa marah boleh hilang setelah melihat seekor penguin)" - Joe Moore

Agak-agaknya apakah haiwan comel yang berwarna biru itu, ya? Kalau ada yang jawab Doreamon...memanglah. Memang salah jawapan itu. Haiwan comel yang berwarna biru yang ingin kami lihat itu ialah...penguin!

Nanti dulu. Penguin berwarna biru? Penguin comel? Buang tebiat? Tolong ya. Ini penguin bukan sebarang penguin. Penguin yang dimaksudkan ialah blue penguin yang merupakan spesis penguin yang paling kecil di dunia. Sudah lumrah dunia...apa-apa yang dikaitkan dengan apa sahaja yang kecil pastilah ia comel. Termasuklah penulis "Perempuan Pengembara" ini. Eh? *Tetiba*

Dengan berpandukan GPS, Chik memandu ke Oamaru Blue Penguin Colony. Tidak sabar rasanya hendak melihat blue penguin. Kalau boleh, mahu sahaja saya melompat-lompat dalam kereta. Tetapi dalam kereta mana boleh melompat-lompat. Jadi, duduk diam-diam sahaja sambil mata bergilir-gilir mengerling GPS dan jalan di hadapan; jalan di hadapan dan GPS. Nasib baik tidak sampai sepuluh minit kami sudah sampai di sana, kalau tidak boleh juling mata saya dibuatnya.

Bayaran masuk untuk 'Evening Viewing' adalah NZD25.00 seorang. Seperti biasa Chik akan bayarkan dahulu. Memandangkan acara mengintai penguin hanya akan bermula pada pukul 5:30 petang, kami menghabiskan masa melihat-lihat cenderamata yang dijual di dalam kedai cenderamata. Saya membeli beberapa keping poskad. Kononnya untuk dihantar kepada rakan sekerja, untuk diri sendiri, dan untuk kakak di rumah. Itu pun saya mendapat idea daripada blog-blog kaki jalan yang lain. Tidak lupa juga saya membeli bookmark. Saya mahu beritahu (walaupun mungkin tiada siapa pun yang mahu tahu) bahawa sebelum sampai New Zealand, saya sudah menanam azam untuk mengumpul bookmark dari setiap negara yang saya akan kunjungi nanti. Ini baru namanya pengembara yang cintakan buku. Ewah! Dan kepada rakan-rakan yang pergi ke luar negara dan mahu memberikan saya cenderamata, cukuplah dengan memberikan bookmark kepada saya. Terima kasih. *Tetiba*

Dalam pukul 5:15 petang, kami mula bergerak ke viewing deck yang terletak di belakang bangunan Oamaru Blue Penguin Colony.

Pemandangan di tepi pantai itu memang cantik. Air laut kelihatan berwarna biru. Laut biru dan penguin biru (yang belum muncul)...langit pun biru...ahhh...menarik, bukan? Cuma satu sahaja yang saya kurang senang (mungkin juga Chik) pada masa itu iaitu suhu yang sejuk. Boleh jadi 'biru' kami dibuatnya. *Tetiba*

Sementara menunggu penguin naik ke darat, kami dan juga para pengunjung yang lain bersiar-siar (bukan boleh bersiar-siar jauh pun, depan viewing deck sahaja) sambil menikmati keindahan pantai. Kelihatan beberapa ekor anjing laut yang gemuk-gemuk sedang bersantai di atas batuan yang terdapat di tepian pantai. Jangan risau, faktor kegemukan anjing laut-anjing laut tersebut bukan disebabkan mereka menjadikan penguin yang akan naik ke darat sebagai hidangan mereka. Tidak sama sekali. Itu seperti yang diberitahu oleh petugas di situ. Tidak mengapa. Kita tunggu dan lihat. Sementara menunggu, kami bergambar dan mengambil gambar anjing laut-anjing laut tersebut.  

Pemandangan pantai dari viewing deck.

Cari benda tersembunyi: Di manakah anjing laut?

Cari benda tersembunyi 2: Di manakah anjing laut?

Cari benda tersembunyi 3: Di manakah anjing laut? Kalau tak nampak juga, tak tahulah hendak kata apa.

Tepat pada pukul 5:30 petang, juru acara yang bernama Elaine (merangkap cashier di kedai cenderamata tadi) mula memberikan kata-kata aluan kepada para pengunjung. Juga mengingatkan kami agar tidak menggunakan sebarang alat elektronik yang mengeluarkan cahaya putih. Cahaya putih lagi. Saya ingat di Lake Tekapo sahaja cahaya putih tidak dibenarkan. Rupa-rupanya di sini juga tidak dibenarkan. Cahaya putih akan mengganggu dan menakutkan penguin, katanya. Itu bermakna kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar semasa penguin naik ke darat nanti. Hmm...

Mereka bukan main-main apabila mereka mengatakan tidak boleh mengambil gambar, menggunakan telefon bimbit, dan apa sahaja gajet yang mengeluarkan cahaya putih. Mereka memantau setiap pengunjung yang melanggar peraturan tersebut. Sesiapa sahaja yang didapati 'bersalah' akan ditegur dengan segera - termasuklah Chik. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati kepada Chik. Sayalah yang terpaksa mendengar luahan Chik di atas rasa ketidak-puasan hatinya itu. Saya seperti biasa hanya mampu tersenyum walaupun ada rasa tidak puas hati juga. Iyalah...tidak dapat ambil gambar. Nanti saya tiada bukti yang saya pernah datang ke situ untuk melihat blue penguin. Siapa yang akan percaya dengan saya nanti? Isk!

Dalam melayan rasa tidak puas hati, tiba-tiba Elaine memaklumkan kepada kami bahawa kumpulan pertama penguin sedang berenang menghampiri pantai untuk naik ke darat. Semua mata menyorotkan pandangan ke arah pantai. Apabila tiba di tepi pantai, kumpulan penguin itu mula keluar dari air laut dan merehatkan diri sebentar di batuan yang terdapat di tepi pantai. Waduh, waduh...mereka sangat comel! Rasa tidak puas tadi tiba-tiba hilang entah ke mana. Yang ada cuma rasa suka hati. Tersenyum-senyum saya melihat penguin-penguin tersebut seolah-olah sedang melihat kucing-kucing kesayangan saya sendiri.

Mereka bergerak mendaki tebing dengan agak perlahan. Sekejap-sekejap mereka berehat. Mungkin untuk menghilangkan lelah atau mungkin untuk memanaskan badan. Kasihan pula saya melihat penguin-penguin tersebut kerana badan masing-masing sedang menggigil dengan kuat. Anjing laut-anjing laut yang sedang bersantai hanya memandang mereka tanpa berbuat apa-apa. Memang benarlah seperti kata petugas di situ, penguin-penguin tersebut selamat daripada menjadi hidangan anjing laut.

Apabila penguin-penguin tersebut sampai di atas tebing, mereka mula terkedek-kedek berjalan dan berlari-lari penguin menuju ke arah pagar kayu yang memisahkan tebing dengan koloni tempat mereka bermalam. Pada tempat tertentu di pagar tersebut ada pintu masuk kecil. Di situlah penguin-penguin itu meloloskan diri untuk masuk ke dalam koloni mereka.

Beberapa minit kemudian kumpulan kedua pula sampai. Maka, bermulalah sekali lagi proses tadi. Begitulah seterusnya dengan kumpulan-kumpulan penguin yang lain. Pada kumpulan terakhir yang naik sebelum kami pulang, ada seekor penguin yang terpisah daripada ahli kumpulan yang lain. Entah mengapa ia naik menuju ke arah viewing deck. Masing-masing teruja apabila penguin itu masuk ke kawasan viewing deck. Aduh...cair hati saya melihatnya. Penguin itu betul-betul ada dekat dengan kami...berjalan terkedek-kedek seperti seorang kanak-kanak yang kehilangan ibunya (amboi metafora...ahaks).

Kami tidak berlama-lama memerhati penguin tersebut masuk ke dalam koloninya akibat tidak tahan kesejukan. Sebenarnya kami mahu beransur pulang semasa penguin itu masuk ke kawasan viewing deck. Lagipun sudah sejam kami menghabiskan masa di situ. Hari sudah gelap. Perut pula sudah bergelora minta diisi.

Jadi, agenda kami seterusnya adalah makan. Masak atau makan luar? Itu persoalan yang dikemukakan oleh Chik. Rasa seperti mahu makan di luar. Lagipun semasa mula-mula sampai di Oamaru tadi kami ternampak sebuah restoran Turki di pusat bandar. Kami bersetuju untuk makan di situ. Cuma kami tidak ingat di mana lokasi sebenar restoran tersebut. Nasib baik Chik mendapat idea untuk cuba mencarinya dalam GPS. Ada menu untuk Places of Interest dan sub menu Food. Dan kami jumpa satu-satunya restoran Turki di Oamaru - Dilaan Turkish Cafe. Tidak syak lagi itulah restoran yang kami nampak tadi. Maka, ke sanalah arah tujuan kami seterusnya.

-Bersambung-            

Sunday, July 15, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 10

LAKE TEKAPO - OAMARU

"New Zealand is a country of thirty thousand million sheep, three million of whom think they are human (New Zealand mempunyai tiga puluh ribu juta kambing biri-biri, di mana tiga juta daripadanya menyangka mereka adalah manusia)" - Barry Humphries

Sebelum memulakan perjalanan ke Oamaru, haruslah meronda-ronda di sekitar Lake Tekapo terlebih dahulu. Sebenarnya, malam tadi kami merancang untuk naik semula ke Mount John untuk melihat pemandangan Tasik Alexandrina dari atas gunung tersebut pada pagi ini. Maklumlah malam tadi tidak nampak apa-apa dan Adrian pula mengapi-apikan kami dengan mengatakan pemandangan amat cantik pada waktu siang. Tetapi hasrat itu terpaksa dibatalkan atas andaian mungkin suhu di atas sana lebih sejuk berbanding suhu di bawah. Sedangkan suhu di bawah ini kami tidak tahan, apalagi dengan suhu di atas gunung itu nanti. Rasa terkilan ada juga, namun apalah yang boleh saya buat melainkan terpaksa menerima hakikat bahawa kami ini orang Malaysia yang tidak biasa dengan cuaca yang melampau sejuk.

Tidak dapat naik gunung, saya mengajak Chik pergi melawat sebuah bangunan yang sudah menjadi ikon di Lake Tekapo iaitu "Church of the Good Shepherd." Gereja kecil ini terletak di tepi persisiran tasik dan tidak jauh dari hostel YHA.

Gambar hiasan semata-mata. 

 
Di tepi gereja, seorang perempuan kelihatan jakun melihat rumput yang merimbun.

Di situ kami hanya bergambar. Ada masuk sekejap dan melihat-lihat cenderamata seperti poskad yang dijual berdekatan dengan pintu masuk gereja.

"Kalau kita beli poskad ni, tak apa ke?" tanya saya kepada Chik. "Rasanya kalau kita beli kita dah macam tolong dia orang maintain church ni. Baik tak payah, kan?" saya tanya, saya juga yang menjawab.

"Ha'ah Siti, baik tak payah."

Kami pun keluar dari gereja lalu berjalan pula menuju ke tugu seekor anjing yang saya kira 'good shepherd' itu. Ia terletak beberapa meter dari gereja.

Semua orang memandang tinggi kepada anjing ini. Tidak hairanlah ia berhidung tinggi. 'Good shepherd' konon...

Setelah puas meronda-ronda dan bergambar, barulah kami betul-betul memulakan perjalanan ke Oamaru. Seperti biasa Chik akan set dahulu alamat tempat penginapan kami di destinasi seterusnya ke dalam GPS. Tempat penginapan kami di Oamaru ialah "Oamaru Top 10 Holiday Park."

Tidak berapa lama kami memulakan perjalanan, Chik berhenti untuk membeli kopi apabila dia ternampak sebuah 'warung' kopi di tepi jalan. Ubat mengantuk katanya kerana hari ini Chik masih mahu memandu. Kami melepak sekejap di kedai "Three Creeks Arts & Crafts" yang terletak bersebelahan dengan 'warung' kopi tersebut.

Tempat melepak. Pemilik kedai ini adalah juga pemilik 'warung' kopi.

Puas melepak, kami meneruskan semula perjalanan. Dalam perjalanan kali ini kami banyak berhenti untuk mengambil gambar. Pantang nampak ladang kambing biri-biri, mulalah saya mengajak Chik untuk berhenti bagi meninjau-ninjau kemungkinan untuk bergambar.

Gembira tidak terkata!

Agak-agak ada tempat untuk memarkir kereta yang bagus, kami berhenti di tepi sebuah ladang kambing biri-biri. Sekadar untuk mengambil gambar kerana melawat ladang kambing biri-biri tidak termasuk dalam jadual perjalanan kami. Dapat mengambil gambar dari luar pagar pun sudah cukup bagi kami.

Buah cempedak di luar pagar, kambing biri-biri di dalam pagar. Eh?

Apa yang membuatkan kami terhibur sepanjang kami berhenti itu adalah apabila melihat keletah kambing biri-biri yang kelihatan sungguh 'berminat' memandang kami. Kalau manusia, kambing-kambing tersebut boleh dikategorikan sebagai manusia yang jakun. Jakun pula bukan jakun yang biasa, tetapi jakun tahap dewa. Jakunnya kambing-kambing tersebut sehingga tidak berkelip mata memandang kami.

 "Kawan-kawan, ada manusia tangkap gambar kitalah. Posing cepat!"

Wajah suci seekor kambing biri-biri.

Setelah puas bergambar, kami meneruskan perjalanan melalui State Highway 8. Walaupun dikira sebagai lebuh raya, jalannya sentiasa sunyi daripada kenderaan.

State Highway 8

Perjalanan melalui lebuh raya ini membawa kami sekali lagi ke daerah Fairlie (semasa ke Lake Tekapo juga kami melalui Fairlie). Dari dalam kereta saya ternampak sebuah muzium kecil berwarna merah di tepi jalan. Nama muzium tersebut ialah "Fairlie Museum & Colonial Heritage." Kami singgah untuk melawat muzium tersebut. Bayaran masuk yang dikenakan adalah NZD5 seorang. Tiada apa yang menarik sangat (pada pandangan saya yang bukan 'hantu' sejarah ini) dalam muzium tersebut. Ia hanya mempamerkan barang-barang tinggalan zaman kolonial dan justifikasi mereka akan kepentingan barang-barang atau harta-harta tersebut kepada apa yang membentuk New Zealand amnya dan Fairlie khususnya; terutama sekali tentang sejarah pengembalaan lembu dan kambing biri-biri.

      Peta muzium.

Setelah puas menelusuri sejarah Fairlie, kami meneruskan semula perjalanan ke Oamaru. Perjalanan kali ini agak mencabar walaupun bukan saya yang memandu. Jalan yang dilalui berbukit-bukau. Ada jalan yang sempit. Ada jalan yang curam dan terletak betul-betul di lereng bukit. Walaupun di tepi lereng, jalannya tidak dipasang penghadang jalan langsung. Kalau kereta terbabas alamat boleh meninggal dunia di tempat kejadian. Tetapi Chik tetap memandu dengan cool.

"Cakap, jalan macam mana yang orang tak pernah lalu. Rasanya semua dah lalu. Terer tak aku?" lebih kurang begitulah kata Chik yang kagum dengan dirinya sendiri...hehehe! Dalam kecut-kecut perut, saya mengakui Chik memang seorang pemandu wanita yang saya kagumi. Bukan sebab kami berkawan baik, maka saya berkata begitu. Tetapi saya kagum disebabkan keyakinan tingginya sewaktu memandu. Apatah lagi beberapa hari sebelum kami berangkat ke New Zealand, Chik telah mengalami kemalangan kecil. Keretanya terbabas sewaktu melalui selekoh tajam. Alhamdulillah dia tidak mengalami apa-apa kecederaan. Kalau orang lain pasti sudah mengalami trauma. Chik, walaupun dia mengaku bahawa dia sedikit trauma disebabkan kejadian tersebut - tetapi seperti yang saya kata tadi - dia tetap memandu dengan cool.

Akhirnya, kami tiba di Oamaru pada lebih kurang pukul 4:00 petang, walaupun dalam perjalanan tadi kami banyak berhenti.

Akhirnya tiba di Oamaru.

Berpandukan kepada GPS, terus sahaja kami menuju ke tempat penginapan. Check-in kali ini lebih mudah. Kami tidak lagi terbiar mencari bilik sendirian. Penyambut tetamu dengan baik hatinya membawa kami terus ke bilik yang telah disediakan untuk kami.

 Tada!! Cantik tak bilik ini?

Kami tidak berehat lama di bilik. Lebih kurang pukul 5:00 petang, kami keluar semula untuk aktiviti seterusnya. Setelah puas melihat kambing biri-biri di sepanjang perjalanan tadi, kali ini kami ingin melihat haiwan-haiwan comel berwarna biru pula yang akan memunculkan diri apabila dijemput kegelapan malam.

-Bersambung-

Sunday, July 8, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 9

LAKE TEKAPO - OAMARU

"There is always a best way of doing everything if it be to boil an egg (Setiap perkara itu ada cara terbaik untuk melakukannya, termasuklah cara merebus telur)" - Ralph Waldo Emerson

Pagi itu sebaik bangun daripada tidur Chik terus sahaja mengadu kepada saya, "Siti, orang rasa nak demam."

Oh, tidak. Pemandu merangkap tukang masak utama demam. Ini tidak boleh jadi!

"Pergilah mandi air panas," saya memberikan saranan kepada Chik. Ya, ubat mujarab bagi demam yang biasa-biasa adalah mandi. Kalau demam tidak kebah-kebah walaupun sudah mandi beberapa kali, itu demam luar biasa namanya. Perlu dapatkan rawatan doktor sebelum ia melarat.

Chik akur dengan saranan saya. Ya, selepas mandi, keadaannya lebih baik. Malah, dia begitu bersemangat hendak memasak nasi goreng di communal kitchen dengan bantuan penolong tukang masak iaitu sayalah, siapa lagi. Tolong potong-potong bawang sahaja pun. Maklumlah, wanita berkerjaya seperti saya ini manalah reti memasak. Ahaks.

Sedang Chik sibuk mengacau nasi goreng di atas dapur dan saya pula buat-buat sibuk di dapur, tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu bunyi letupan.

POM!

Ingatkan apa. Rupa-rupanya sebiji telur yang direbus dalam sebuah kuali leper di atas dapur yang satu lagi telah pecah lalu meletup. Saya, Chik dan seorang wanita mat saleh yang berada di dapur saling berpandangan. Dari mula-mula masuk ke communal kitchen lagi saya dan Chik sudah tertanya-tanya; siapalah yang bijak sangat merebus telur dalam kuali leper. Kami lihat airnya sudah hampir kering, tetapi tiada siapa pun yang menjaganya.

Pertanyaan kami terjawab apabila seorang wanita cina yang sedang makan di dewan makan bergegas ke dapur sebaik mendengar bunyi letupan. Dia rupanya orang yang bijak itu. Dengan pipi kemerah-merahan ala-ala Snow White, dia meminta maaf kepada kami atas kelalaiannya lalu dengan pantas membersihkan kawasan tempat kejadian letupan itu berlaku. Nasib baik tiada sesiapa yang tercedera. Yang cedera hanyalah telur yang direbus itu. Kasihan.

Selesai memasak, kami bersiap-siap untuk berpiknik di tepi tasik. Nasi goreng telah siap-siap dibahagi dua dalam bekas plastik. Kami lihat tiada sesiapa pun yang bersarapan di luar walaupun ada beberapa bangku dan meja disediakan yang menghadap ke tasik. Semuanya bersarapan di dewan makan sahaja. Apa kelas sarapan dalam dewan makan. Dengan rasa keterujaan yang tinggi kami berdua melangkah keluar dari bangunan hostel.

Di tepi tasik - pemandangan yang menakjubkan inilah yang menggamit kami untuk berpiknik di luar hostel.

Sebaik sahaja melangkah keluar, tahulah kami kenapa tiada sesiapa pun yang bersarapan di luar hostel. Sejuk, kata kau! Ditambah pula dengan angin yang bertiup bukan sepoi-sepoi bahasa; menambahkan lagi kesejukan di luar. Akibat angin yang kuat, kami membatalkan niat untuk bersarapan di bangku di hadapan tasik (seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di atas). Tetapi kami tidak pula membatalkan niat untuk bergambar terlebih dahulu...hehehe!

Setelah puas bergambar dalam kesejukan, saya mengajak Chik untuk bersarapan di bangku yang terdapat di tepi bahagian tengah hostel. Walaupun masih di luar, tetapi kami terlindung daripada tiupan angin. Ini adalah kerana hostel YHA itu berbentuk 'U.'

Sarapan saya - nasi goreng dan susu coklat. Nyum, nyum!

Selepas bersarapan kami melepak sekejap di lounge hostel sambil menikmati keindahan tasik dari dalam bangunan.

Orang tidak pandai ambil gambar, beginilah hasilnya - pemandangan tasik dari ruang santai (lounge) hostel. Yang duduk di tengah itu ialah wanita cina yang telurnya meletup tadi (no pun intended).

Di mana-mana tempat penginapan di New Zealand ini, waktu check-out adalah pada pukul 10:00 pagi. Jadi setelah habis mengemas, kami pun check-out dari hostel mengikut masa yang ditetapkan itu untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Oamaru.

-Bersambung-