Friday, April 8, 2016

Kembara Berdua di Bumi Maori 16

OAMARU - DUNEDIN

"I think there are ghosts. I haven't seen or heard anything. I've definitely felt something, but it's not scary (Aku rasa hantu itu wujud. Aku tak pernah nampak atau dengar apa-apa. Yang pasti, aku ada rasa sesuatu, tetapi ia tidaklah menakutkan)" - Robbie Williams.

Saya tidak pasti sama ada kami mahu bersiar-siar terlebih dahulu ataupun kami tersesat. Yang saya ingat, sebelum sampai ke hotel, kami ada melalui satu jalan berbukit yang sangat curam. Walaupun curam, di kiri kanan jalan berderet rumah-rumah yang comel. Kawasan kediaman rupanya.

Kagum saya melihat ada orang yang mahu tinggal di kawasan berbukit curam begini (tak sedar diri betul...padahal rumah di kampung saya sendiri terletak di bawah bukit yang curam. Cuma ia tidaklah tinggi seperti di sini). Ah, saya rasa mereka tidak punya banyak pilihan memandangkan bentuk muka bumi Dunedin ini memang begitu.

Oleh kerana bimbang kereta jadi bermasalah jika kami terus mendaki, kami mengambil keputusan untuk berpatah balik sahaja.

Kami tiba di hotel tidak lama kemudian. Berbekalkan peta yang telah diberi semasa check-in tadi, kami mencari kabin bernombor 24 yang akan menjadi tempat perlindungan kami pada malam ini.

Hati terasa tenang dan senang melihat suasana di sini yang tidak ubah seperti sebuah perkampungan kecil. Dan kami menemui 'rumah kampung' kami yang begitu comel terletak di atas bukit. Ya, kawasan hotel ini juga berbukit bukau tetapi tidaklah terlalu tinggi dan curam seperti jalan yang kami lalui tadi.

Kawasan sekitar hotel.

Dalam kabin pula kami berbincang; malam ini hendak masak apa. Kami tidak mengambil masa yang lama untuk mencapai kata sepakat hendak memasak sesuatu yang spesial. Mungkin tak pernah dibuat dek orang. Mungkinlah. Dan oleh kerana spesialnya masakan tersebut, kami perlu keluar semula untuk membeli bahan mentah.

Pukul 7 malam kami bersiap-siap untuk keluar. Malam ini kami membeli-belah di pasaraya Countdown. Antara pasar hiper yang utama di New Zealand.


Saya jumpa kucing ini di depan pintu semasa hendak keluar. DisebabkanChik sedang tunggu saya dalam kereta, tak dapatlah saya nak berlama-lama bermain dengan kucing yang jinak ini. Frust juga bila kami balik, dia sudah tiada di sini.

Setelah membeli bahan mentah yang dikehendaki, kami bergerak ke kereta. Semasa Chik mahu set semula route ke hotel, dia tiba-tiba berkata mahu bersiar-siar terlebih dahulu.

"Apa aje tempat yang kita boleh pergi? Kat sini semua tutup awal." Saya mempersoalkan kemahuan Chik itu.

Ke mana-mana sahaja, katanya.

Saya masih ragu-ragu. 

"Kita tengok dululah apa yang menarik dalam (GPS) ni," cadang Chik lalu terus membuka menu "Places of Interest" dalam GPS. Saya memanjangkan leher untuk melihat sekali apa tempat-tempat menarik yang disenaraikan. Saya nampak banyak tempat yang saya yakin sudah ditutup pada waktu itu. Juga perkataan Playground dan perkataan...

...cemetery!

Cemetery?

"Apalah...cemetery pun boleh masuk places of interest. Apa yang menariknya ntah," ngomel saya sebagai tanda tak puas hati. Sebenarnya saya dan Chik memang sudah perasan yang cemetery ada dimasukkan dalam menu places of interest di setiap tempat yang kami telah lawati. Cuma malam ini terkomplen pula. 

Sudah habis scroll menu, Chik ulang semula melihat dari mula. Entah mengapa dalam rasa tak puas hati, perkataan cemetery itu seolah-olah menggamit hati saya untuk ke sana.

"Jomlah kita pergi melawat kubur," laju pula mulut saya buat cadangan 'ada bran' itu. Tiba-tiba rasa bibir macam tersengih jahat.

"Jom!" Tak sangka pula Chik terus menyatakan persetujuan. Dia terus hidupkan enjin kereta sambil gelak, "hahaha...takde kerja."

Entah apa-apa. Nak pergi kubur pun boleh gelak-gelak. Gembiranya bukan main. Macam nak pergi fun fair. Saya rasa kalau di Malaysia minta maaflah kalau ada sesiapa ajak pergi kubur waktu malam-malam yang sunyi. Seram weh...(lagi sekali tak sedar diri...padahal ada kawasan perkuburan di hadapan rumah di kampung saya. Macamlah tak biasa).

Setelah beberapa minit Chik memandu, kami tiba di sebuah kawasan yang gelap dan sunyi, dan - seperti biasa - terletak di atas bukit. GPS sudah bersuara mengatakan kami telah sampai ke destinasi. Chik pun memberhentikan kereta di bahu jalan yang ada ruang untuk memarkir kenderaan.

Saya dan Chik keluar dari kereta. Dari tempat kami berdiri, iaitu di sebelah kiri jalan, kami boleh nampak bandar Dunedin sayup-sayup di bawah sana. Agak cantik pemandangan kerana di kala itu kebanyakan bangunan di sana kelihatan seolah-olah satu gugusan bintang yang menyinari langit malam. Berbeza dengan pemandangan di sebelah kanan jalan. Gelap gelita. Cahaya daripada lampu jalan pula tidak begitu membantu penglihatan. Setelah mata ini dapat disesuaikan dengan kegelapan, barulah saya perasan paras tanah di situ tinggi sedikit daripada jalan dan terdapat satu atau dua bangunan yang dikelilingi belukar atau hutan kecil.

Terpinga-pinga kami dibuatnya. Apa yang kami mahu lihat langsung tidak kelihatan. Kami sama-sama tertanya, mana kuburnya? 

Puas juga saya besarkan mata mana tahu boleh nampak kubur, tapi tetap tak berjaya. Mahu pergi lebih dekat tak berani kerana bimbang itu kawasan persendirian. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk bergambar dengan berlatar-belakangkan bandar Dunedin sahaja.

Sibuk bergambar hinggakan tak nampak kubur ada di seberang jalan.

Tak lama kami berada di situ, Chik mengajak saya balik. "Jomlah balik Siti. Seram pulak dok sini lama-lama."

Yalah. Saya pun risau kalau tiba-tiba kena 'sergah' dengan vampire ke, drakula ke (hantu-hantu Melayu mungkin tak sampai New Zealand). Boleh tahan seram juga memikirkannya. Maka, cepat-cepat kami masuk semula ke dalam kereta.

Chik membuat u-turn. Sambil itu saya melemparkan pandangan ke kawasan belukar yang sekarang berada di sebelah kiri saya. Berderau darah apabila mata saya bertembung dengan objek berwarna putih yang kurus tinggi. Rupa-rupanya yang saya nampak itu adalah batu nesan (tombstone) berbentuk salib. Kus semangat!

Cepat-cepat saya beritahu Chik. Tak tahulah dia sempat tengok kubur itu ataupun tidak. Yang peliknya ia terletak tidak jauh dari tepi jalan. Macam manalah kami tak nampak tadi?

Nasib baik tiada kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang perjalanan pulang ke kabin. Kami berdua selamat sampai. Alhamdulillah.

Masuk sahaja ke dalam kabin, kami meneruskan projek memasak makan malam iaitu--

Asam pedas ikan salmon. Spesiallah sangat...hohoho~

4 comments:

Zilla said...

gigih kalian p lawat kubur di nz :D

asam pedas salmon, kira spesiallah tu..kalau kat Msia mana dapat, kan? hehe

Siti R said...

Hehe...tak de kerja :D

Itulah...ikan salmon mahal kat sini...huhu

adam said...

Minta disambungkan blog saya ke blog ini:
biarlembuyangjadilembu.blogspot.com
Terima kasih.

Unknown said...

Bagus tu p ziarah kubur sekurang2nya kita selalu ingat mati in sya Allah