Sunday, June 10, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 4

KUALA LUMPUR - CHRISTCHURCH

"I'm absolutely strict about it. When I land, I put my watch right, and I don't care what I feel like, I will go to bed at half past eleven. If that means going to bed early or late, that's what I live by. As soon as you get there, live by that time (Dalam hal ini saya sangat tegas. Setelah mendarat, saya betulkan jam tangan saya, tanpa hiraukan keadaan saya pada waktu itu, saya akan tidur pada pukul sebelas setengah. Jika ia bermakna saya perlu tidur cepat atau lambat, itulah cara saya. Sebaik sahaja kamu tiba di sesuatu tempat, biasakan diri dengan masa di sana)" - David Attenborough

Aduhai...dalam kepala saya sudah terpampang tajuk akhbar pada hari lusa (kerana waktu pada masa itu sudah menunjukkan tengah malam, mustahil berita tentang kami akan keluar pada pagi nanti): 

"Two Malaysians found frozen in motel compound"

Kalau kami tidak dapat masuk ke bilik, memang ada kemungkinan kami akan beku kerana terpaksa menahan kesejukan di luar motel.

Namun, dalam kesuraman saya terpandang satu kertas kecil bertulisan tangan berwarna putih yang dilekatkan di bahagian bawah cermin pintu. Di situ tertulis:

"<Nama penuh Chik> please go to room 6"

Alhamdulillah. Nampaknya kami tidak akan kebekuan malam ini. Begitu rupanya cara self check-in jika tiba selepas pukul 9:00 malam. Lega betul saya rasa.

Kami ke depan semula untuk mencari bilik nombor 6. Motel itu ada dua tingkat. Atas bawah kami tengok. Yang nampak hanya bilik nombor 3 hingga nombor 9. Mana bilik nombor 6? Puas kami mengelilingi motel, tetapi tidak berjumpa juga dengan bilik nombor 6. Kecewa betul. Tiba-tiba saya terbayang semula tajuk akhbar tadi. Ini tidak boleh jadi!

Saya mengajak Chik ke pejabat motel semula. Mahu cuba cari dari sana kerana pencarian kami tadi tidak termasuk kawasan belakang motel. Saya berdiri di hadapan pejabat dengan menghadap motel. Itu dia!

Rupa-rupanya bilik nombor 6 terletak di tingkat 2 di belakang pejabat. Ada tangga untuk naik ke bilik. Rasanya semasa mencari tadi kami sudah berdiri di hadapan tangga ini. Tetapi dari hadapan tangga memang kita tidak akan nampak bilik dan nombornya. Perlu berdiri di hadapan pejabat barulah boleh nampak. Saya daki tangga itu terlebih dahulu dengan meninggalkan Chik yang terkial-kial mengangkat begnya sambil menaiki tangga.

"Eh, mana kunci?" Sekali lagi saya kehairanan. Namun saya tetap cuba membuka sliding door bilik tersebut. Tidak berkunci. Oh wow! Kalau di Malaysia rasanya tiada pemilik hotel yang berani berbuat begitu. Kagum sungguh saya dengan tahap kepercayaan mereka di sini.

Ah, leganya dapat masuk bilik. Bertambah lega apabila melihat biliknya yang cantik dan kemas. Bolehlah kami tidur lena malam ini. 

Gambar 1: Inilah bilik kami di Avalon Court Motel.
Gambar 2: Full kitchenette di bilik kami.

Selepas membersihkan diri, saya mengeluarkan tudung labuh berwarna hitam untuk menunaikan solat.

"Eh, Siti pun bawa tudung ni? Orang pun sama," tegur Chik apabila melihat saya mengeluarkan tudung itu. Hahaha! Kelakar pula saya rasa. Macam mana kami boleh terfikir untuk membawa tudung labuh sahaja pada percutian kali ini? Mungkin sebab sudah biasa pergi bercuti bersama-sama, jadi cara berfikir pun sudah lebih kurang sama walaupun bukan seratus peratus.

Malam itu walaupun mata belum begitu mengantuk, saya tetap melelapkan mata pada lebih kurang jam 1:00 pagi waktu New Zealand. Kalau di Malaysia saya pasti belum tidur pada waktu ini. Alarm dikunci pada pukul 6:30 pagi. Harap-harapnya saya tidak akan mengalami kesulitan untuk bangun pada pukul 2:30 pagi waktu Malaysia itu nanti.

Selamat malam Christchurch. Tidak sabar saya hendak menempoh hari esok.

-Bersambung-

Kembara Berdua Di Bumi Maori 3

KUALA LUMPUR - CHRISTCHURCH

"We know it's been a struggle, but through that struggle we've seen the strength and perseverance of the people of Christchurch (Kita tahu ia satu perjuangan yang sukar, tetapi melalui perjuangan itulah kita dapat melihat kekuatan dan ketabahan penduduk Christchurch)" - Hillary Clinton

Semasa menunggu di dalam shuttle bus tersebut Chik terperasankan sesuatu. Dia baru perasan bahawa di sini mereka memandu di sebelah kanan sama seperti kita di Malaysia.

"Memanglah. New Zealand kan negara Commonwealth macam kita juga," kata saya kepada Chik. Saya memang sudah tahu akan perkara tersebut. Dalam banyak hal mereka agak sama dengan kita di Malaysia. Pengetahuan geografi dan sejarah saya tidaklah teruk sangat, ya.

"Nasib baik. Orang dah risau fikir macam mana nak drive sebelah kiri. Eeeiii...bestnya!"

Kini Chik tidak perlu risau lagi. Akan hal memandu ini, saya juga tidak berasa risau sangat. Semasa Chik mencadangkan agar kami memandu sendiri sepanjang bercuti di New Zealand, saya terus sahaja bersetuju. Memandu di New Zealand? Alah, kacang je! Lagipun kami sudah mengidam untuk melakukannya sejak tahun 2007 lagi. Peluang yang datang ini tidak akan kami sia-siakan.

Berbalik kepada Elsie, setelah berjaya mendapatkan penumpang lain dia mengumumkan bahawa kami akan berangkat sebentar lagi. Shuttle bus tersebut dapat memuatkan 8 orang penumpang. Sebelum bergerak, Elsie membacakan semula senarai hostel/motel yang akan menjadi persinggahan untuk menurunkan pelanggannya termasuk kami berdua nanti. Setelah semua mengiyakan senarai itu betul, Elsie pun mula memandu.

Pertama kali saya melihat persekitaran Christchurch di luar kawasan lapangan terbang. Ada sedikit persamaan dengan Malaysia. Di sini juga 'kaya' dengan pokok-pokok. Namun, penglihatan saya dan yang lain sebenarnya agak terbatas kerana suasana yang gelap. Tidak terdapat banyak lampu jalan didirikan untuk menerangi daerah Christchurch ini. Kalau ada pun, lampunya agak suram.

Jadi, apabila Elsie bercerita (kepada tiga orang backpackers yang duduk di hadapan saya dan Chik) dan menunjukkan kesan gempa bumi kuat yang melanda Christchurch pada 4 September 2010 (dengan magnitud 7.2 pada skala Richter), dan 22 Februari 2011 (dengan magnitud 6.3 pada skala Richter) di sepanjang perjalanan, kami tidak dapat melihatnya dengan jelas. Menurutnya banyak tempat dan jalan yang tidak dapat dilalui akibat tanah yang mendap. Dalam kesamaran itu saya dapat melihat beberapa kawasan yang ditutup dengan tali tape. Beberapa kawasan jalan juga ditutup untuk dibaik pulih.

Tidak cukup dengan itu, ada kawasan di hujung bandar yang tidak boleh dimasuki langsung akibat mengalami kerosakan yang teruk.

"This is the farthest that we can go," kata Elsie sambil menunjukkan kawasan yang ditutup itu.

Elsie menambah, banyak bangunan terpaksa diruntuhkan disebabkan kerosakan yang dialami akibat gempa bumi tersebut. Apa yang boleh saya katakan di sini; Christchurch sedang dibangunkan semula dan saya bersimpati dengan nasib penduduknya. Walaupun diuji sebegitu, mereka tetap meraikan tetamu dan memberikan mereka layanan yang baik. Pada masa yang sama, saya bersyukur kerana kita di Malaysia berada dalam zon bebas gempa, walaupun ada masa kita dapat juga merasai gegaran jika negara jiran mengalami gempa bumi yang kuat.

Tiba-tiba Elsie berkata, "Whose has been naughty? I'll put you into jail!"

"Me!" jawab seorang pemuda kaukasia yang duduk di belakang kami.

Semua orang ketawa kerana singgahan pertama kami adalah Jailhouse Hostel Christchurch. Hostel ini adalah bekas penjara yang diubahsuai menjadi hostel. Pasti menarik kalau dapat menyewa di sana. Saya juga ada berkira-kira hendak menyewa bilik di Jailhouse Hostel untuk malam terakhir kami nanti, tetapi akhirnya saya mengambil keputusan untuk menyewa bilik di Amber Park kerana sewanya yang lebih murah. Mungkin lain kali...Chewah!

Selepas Jailhouse Hostel, Elsie menurunkan 2 orang penumpang di YMCA Hostel pula. Singgahan seterusnya adalah tempat penginapan kami - Avalon Court Motel.

Setelah turun, barulah kami diminta untuk membayar sewa shuttle bus. Selesai urusan pembayaran, Elsie meninggalkan kami untuk menghantar 3 orang lagi pelanggannya ke hostel masing-masing.

Suram. Itu yang saya lihat di sekeliling kami. Begitu jugalah perasaan saya pada waktu itu. Masih lagi risau dengan masalah untuk check-in. Saya dan Chik berjalan beriringan menuju ke pejabat motel berpandukan kepada papan tanda yang terdapat di bangunan motel. Pejabat terletak di bahagian belakang. Dan seperti yang dijangka ia sudah ditutup. Chik cuba menolak pintu pejabat. Berkunci. Alamak! Bagaimana hendak masuk bilik?

-Bersambung-

EURO 2012 Yang Tidak Mengujakan

Diam tak diam sudah dua hari EURO 2012 berlangsung dengan empat perlawanan yang berkesudahan dengan 1 seri dan 3 kemenangan.

Namun, saya masih lagi tidak berasa teruja seperti tahun-tahun yang sudah. Sebenarnya tiada satu perlawanan pun yang saya tonton. Kecuali perlawanan antara Belanda dan Belgium yang ditonton pada masa kecederaan.

Tahun ini juga saya tidak melekatkan jadual perlawanan di belakang pintu bilik seperti tahun-tahun yang sudah. Saya tidak mencari pun jadual perlawanan yang biasanya diselit di dalam akhbar-akhbar harian beberapa hari sebelum acara bermula, seperti yang lazim saya buat menjelang kejohanan.

Saya rasa mungkin sebab saya masih rindukan kemeriahan EURO 2008. Siapa yang boleh lupa dengan pasukan Turki yang menyerikan acara dengan semangat mereka yang luar biasa. Kalau pasukan Turki berjaya melayakkan diri pada kejohanan kali ini, pasti perasaan saya bertukar kepada 360 darjah.

Jadi, untuk menghilangkan kegundahan, saya menghantar SMS kepada abang angkat saya di Turki. Begini bunyinya:

"Salamualaikum, brother. How r u? Just thinking abt u since EURO 2012 had already started..Too bad Turkey didn't qualify. Hope all is well in Turkey.."

Ini balasan beliau:

"My sweet sister selamualeykum..long time no news..hope all ur family fine..yes we didnt join 2012..Destiny :) ..wait ur gd news always..Allah bless my sweet sister"

Alahai...bilalah dapat pergi ke Turki sekali lagi? Eh, terkeluar tajuk pula. Maafkan saya.

Baiklah, kita sambung semula.

Sebab yang lain mungkin kerana saya masih terlalu kecewa dengan tindakan Fernando Torres meninggalkan Liverpool dulu. Jadi, tahun ini saya tidak mahu menyokong Sepanyol. Kalau saya sokong pun, sebab ada pemain-pemain lain yang saya masih kagumi. Saya tidak mengharapkan Sepanyol menang lagi pada tahun ini. Tetapi kalau menang juga, itu petanda untuk saya betul-betul plan dan kumpul duit untuk mengembara ke Sepanyol pula nanti...heheh!

Atau mungkin juga sebab perubahan hormon. Saya rasa seperti perempuan tua yang sudah menopaus. Tidak teruja langsung dengan bolasepak. Saya tidak suka betul dengan perasaan ini. Stresnya!

Apa-apa pun saya akan terus menyokong acara-acara besar bolasepak. Mungkin tidak seaktif dulu, tapi sekurang-kurangnya dengan mengikuti perkembangan setiap perlawanan, saya masih dapat merasakan bahangnya lagi. Yang pasti saya masih akan menonton perlawanan akhir EURO 2012 nanti, insya-Allah. 

May the best team wins! 

Saturday, June 9, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 2

KUALA LUMPUR - CHRISTCHURCH

"Kosong, kosong" - Najwa Latif

Oh...ada lagi penumpang lain di belakang saya rupanya. Jadi, saya bukanlah orang yang terakhir...sehinggalah orang itu memotong saya. Patutlah hujan turun renyai-renyai. Mungkin hujan sedang menangisi nasib saya kerana menjadi orang yang paling lembab berjalan.

Saya lihat Chik sudah sampai di kaki tangga. Namun, dia tidak terus naik ke dalam pesawat. Kelihatan Chik sedang menudingkan jarinya ke arah saya sambil bercakap-cakap dengan petugas AirAsia. Saya tahu kenapa Chik menunggu saya. Ya, pasport dan boarding pass-nya ada pada saya. Hahaha!

Sampai sahaja di kaki tangga, saya serahkan kedua-dua dokumen saya dan Chik kepada petugas tadi. Akhirnya orang yang paling lembab juga yang menang; seperti kisah arnab dengan kura-kura (eh, ada kena-mengenakah? Hahaha!).

Dipendekkan cerita, kami duduk bersama-sama dengan seorang lelaki mat saleh. Saya yang duduk di tepi aisle berasa sedikit hairan kerana melalui tinjauan saya, banyak kerusi kosong dalam pesawat.

"Eh, banyaknya kerusi kosong," kata saya kepada Chik.

"Ye ke? Nanti bolehlah kita pindah tempat," jawab Chik.

Saya pun mempunyai hasrat yang sama. Jadi, tidak lama selepas pesawat berlepas, kami bertanya kepada seorang pramugari sama ada boleh atau tidak jika kami berpindah tempat. Dia jawab boleh.

Sudah dapat lampu hijau, maka kami pun berpindah tempat. Mula-mula kami duduk berdua. Selepas makanan diedarkan, setiap seorang memilih untuk duduk di kerusi 3-seater masing-masing. Boleh pilih mana-mana kerusi. Ini barulah boleh dikatakan mewah! Tidak lama kemudian, bukan kami sahaja malah para penumpang yang lain juga mula memenuhkan barisan kerusi-kerusi yang kosong. Kami dapat tidur dengan lena dan dapat bergerak dengan bebas. Tidak perlu risau dengan masalah thrombosis.

Kosong! Baru saya faham mengapa Airasia menghentikan laluan ke Christchurch - untuk elakkan kerugian yang lebih besar akibat kenaikan harga minyak.

Tempoh penerbangan kami adalah lebih kurang 9 jam 15 minit. Kami sampai di Christchurch International Airport pada pukul 10:55 malam. Beza waktu antara Malaysia dengan New Zealand adalah 4 jam. Jadi, jika waktu di New Zealand menunjukkan pukul 10:55 malam, maka waktu di Malaysia pada masa itu adalah pukul 6:55 petang.

Tiba masa untuk urusan imigresen, saya berasa sedikit gusar. Namun, segala-galanya berjalan dengan lancar sehingga sukar untuk saya dan Chik mempercayainya. Maklumlah Chik dengan bekalan makanan berpaket dan periuk nasinya, jadi kami menyangka pasti beg-beg kami akan 'diselongkar' oleh pegawai imigresen. Tetapi perkara begitu tidak berlaku langsung. Pegawai imigresen yang memeriksa dokumen perjalanan juga melayan kami dengan ramah. Alhamdulillah.

Selepas melalui pemeriksaan imigresen, kami terus menuju ke Arrival Hall. Hall-nya tidaklah besar dan tidak pula sibuk. Mungkin kerana waktu itu sudah lewat malam.

Kerana sudah lewat malam maka kami perlu memikirkan bagaimana cara untuk pergi ke tempat penginapan kami iaitu Avalon Court Motel. Di luar saya lihat ada deretan van. Mungkin kami boleh menyewanya untuk ke motel. Chik keluar untuk bertanya sementara saya menjaga bagasi kami.

Chik masuk semula dan memberitahu yang kami boleh menaiki shuttle bus tersebut dengan bayaran NZD29.00. Menurut Chik jika kami mahu menyewa teksi, sewanya lebih mahal iaitu lebih kurang NZD30++

Setelah berbincang secara ringkas dan bersetuju untuk menggunakan perkhidmatan shuttle bus tersebut, kami keluar untuk menyimpan bagasi dalam tempat menyimpan bagasi yang disambung di belakang shuttle bus. Suhu di luar agak sejuk iaitu lebih kurang 10 darjah selsius seperti yang diumumkan oleh juruterbang semasa pesawat hampir mendarat tadi. Pemandu yang bernama Elsie mempelawa kami masuk dahulu ke dalam shuttle bus sementara menunggu dia menarik penumpang agar ia penuh.

"Just get inside. I'll turn up the heater for you," kata Elsie.

Selesai satu masalah, ada masalah lain pula yang mengganggu fikiran. Sebenarnya saya agak risau bagaimana kami mahu check-in motel nanti. Setahu saya kebanyakkan kaunter hotel/hostel/motel di New Zealand akan ditutup selepas pukul 9.00 malam. Saya ada bertanya Chik sama ada pihak motel ada menghubunginya untuk memberitahu cara-cara check-in sekiranya kami sampai lewat. Chik jawab tiada. Bertambah-tambah risau saya dibuatnya. Macam mana kalau kami tidak dapat masuk bilik nanti? Oh tidak!

-Bersambung-       

Friday, June 8, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 1

KUALA LUMPUR - CHRISTCHURCH

"Perjalanan seribu batu itu bermula daripada langkah pertama" - Lao Tzu

Langkah pertama saya ke New Zealand telah 'dipimpin' oleh kakak dan abang ipar yang sudi menghantar saya ke LCCT. Kami keluar sebelum waktu Subuh iaitu lebih kurang pukul 5:30 pagi. Sepanjang perjalanan, perasaan saya bercampur baur antara gembira dan berdebar.

Setelah lebih sejam perjalanan - dengan diiringi oleh hujan yang turun sekali sekala - kami akhirnya sampai di LCCT. Mereka berdua menurunkan saya di Terminal Pelepasan Antarabangsa. Err...sebenarnya mereka telah terlajak sedikit di Terminal Pelepasan Domestik. Tetapi disebabkan LCCT itu bukannya besar sangat, jadi ia tidaklah menjadi masalah kepada saya. Setelah bersalaman dengan kakak, saya ditinggalkan berseorangan di terminal.

Sementara menunggu ketibaan Chik, saya menunaikan kewajipan terlebih dahulu. Setelah selesai, saya menunggu Chik di hadapan kaunter pemeriksaan dokumen. Disebabkan saya telah melakukan web check-in untuk diri sendiri dan Chik, maka kami tidak perlu untuk check-in sekali lagi di kaunter. Namun, dokumen yang telah dicetak masih perlu disahkan di kaunter seperti yang disebutkan tadi.

Chik sampai selepas pukul 7:00 pagi bersama-sama dengan kakak dan abang iparnya. Kami berdua ke kaunter terlebih dahulu untuk mengesahkan dokumen dan sekaligus check-in bagasi. Disebabkan saya tidak membuat tambah-nilai untuk bagasi semasa menempah tiket tempohari, maka kami 'ditekan' untuk membayar sebanyak RM130.00 (RM65.00 untuk 20 kg yang pertama dan RM65.00 lagi untuk 20 kg yang kedua) kerana jumlah berat bagasi yang melebihi 20 kg! 'Panas' satu badan dibuatnya. Bertambah 'panas' apabila pegawai di kaunter tiada wang kecil untuk memulangkan baki wang kami. Alasan yang diberikan adalah sekarang waktu pagi dan kami antara penumpang yang paling awal check-in bagasi. Nasib baiklah setelah bertanya dengan rakan-rakannya di kaunter bersebelahan, ada salah seorang daripada mereka yang mempunyai wang kecil yang boleh dibuat tukaran. Lega kami dibuatnya.

Selesai urusan dokumen dan bagasi, kami pergi bersarapan di Restoran Asian Kitchen bersama-sama kakak dan abang ipar Chik. Sarapan kami bukan ditaja oleh AirAsia, tetapi ditaja oleh Chik. Terima kasih, Chik. Lain kali belanjalah lagi, ya...!

Usai bersarapan dan bersalaman dengan kakak Chik - iaitu lebih kurang pada pukul 8:15 pagi - barulah kami terhegeh-hegeh berjalan menuju ke balai berlepas walaupun waktu untuk masuk ke sana adalah pada pukul 8:00 pagi. Semasa melalui pemeriksaan polis, salah seorang daripada dua orang polis yang bertugas bertanya kami hendak ke mana. Secara serentak kami menjawab Christchurch.

Sambil memeriksa pasport dan boarding pass kami, dia bertanya lagi, "Christchurch? Christchurch dekat mana? Australia ke?"

"Australialah kot," jawab rakannya memandai-mandai.

Masih lagi dalam mod bertanya, "Christchurch...Australia ke New Zealand?"

"Christchurch, New Zealand," jawab Chik.

Dengan wajah innocent dan senyuman pahit yang tidak lekang daripada bibir, dia menyerahkan semula dokumen-dokumen tadi kepada kami. Hairan juga saya, mengapa dia bertanya begitu? Memang dia tidak tahu atau buat-buat tidak tahu? Mungkin dia cuba menguji kerana melihat kami seperti budak baru belajar atau mungkin juga hari itu merupakan hari pertama dia bertugas di bahagian pelepasan antarabangsa.

Entahlah. Malas saya hendak fikir terlalu mendalam walaupun Chik sudah ada persepsinya sendiri yang diluahkan kepada saya, "Teruk benar geografi dia." Saya hanya tergelak kecil mendengar komen Chik itu.

Sebaik sahaja kami sampai di pintu T16, para penumpang sedang beratur untuk pemeriksaan akhir sebelum menaiki pesawat. Merasakan masih ada banyak masa lagi, kami mengambil keputusan untuk ke tandas terlebih dahulu. Namun, jangkaan kami itu meleset kerana sebaik sahaja kami berada di luar tandas, terdengar pengumuman panggilan akhir untuk menaiki pesawat. Lebih mengharukan lagi, kami hanya ada masa lima minit lagi sebelum pintu akan ditutup!

Menggelabah saya dibuatnya. Saya mengambil keputusan untuk bergegas ke pintu T16 semula sementara Chik masih mahu meneruskan hajatnya. Saya lihat masih ada beberapa orang lagi yang sedang beratur di sana. Lega sedikit rasa hati. Jadi, saya duduk dahulu sambil menunggu Chik. 

Tidak lama kemudian Chik kembali semula. Kami sama-sama beratur untuk pemeriksaan akhir. Semasa hendak beratur, Chik menerima satu panggilan. Chik menjawab panggilan tersebut walaupun sepatutnya telefon bimbit sudah tidak boleh digunakan lagi pada waktu itu. Beberapa kali petugas AirAsia dan pegawai polis menyuruh Chik menghentikan perbualan. Tetapi Chik masih juga bercakap sehinggakan mereka menyuruh saya beritahu Chik untuk tidak berbual lagi. Serba-salah saya dibuatnya. Apa yang boleh saya buat adalah membantu mengambilkan dokumen Chik daripada pegawai polis yang memeriksa dan sekaligus memegangnya bagi pihak Chik.

Keluar sahaja daripada pintu, petugas AirAsia menunjukkan dan memberitahu kedudukan pesawat kami - di baris ketiga dan yang paling hujung. Lemah kepala lutut saya dibuatnya.

Dalam hati membebel-bebel, 'Jenuhlah hendak menapak. Kenapalah suka sangat parking jauh-jauh. Cubalah parking depan pintu...'

"Dik, dik...jalan ikut sana. Di sini tak boleh," tegur seorang linesman yang menjaga landasan.

Terbantut 'bebelan' saya. Oh, rupa-rupanya saya dan Chik (yang sudah habis berbual) telah tersasar dari laluan yang sebenar. Laluan yang sepatutnya dilalui adalah laluan yang bercat belang putih. Sudah beberapa kali menaiki pesawat AirAsia di LCCT, saya masih juga tidak boleh ingat perkara ini.

Di kejauhan itu juga kami melihat pintu belakang pesawat telah ditutup dan tangga telah dialihkan. Melihatkan itu Chik mempercepatkan langkah lalu meninggalkan saya di belakangnya. Saya pula semenjak dibedah, pergerakan menjadi sedikit terbatas. Jadi, saya terpaksa membiarkan Chik di hadapan sementara saya cuba memanjangkan langkah untuk sampai sebelum pintu hadapan pula ditutup. Untuk memastikan bahawa saya bukanlah orang yang terakhir, saya menoleh ke belakang...

-Bersambung-                      

Monday, June 4, 2012

Backpacker Personality Quiz

Secara tidak sengaja saya terjumpa "Backpacker Personality Quiz" ini di laman web Beyond the Vacation. Menarik juga kuiz ini. Cubalah jika ingin mengetahui backpacker sangatkah anda.

Saya sudah mencubanya. Apa keputusan yang saya dapat? Rahsia...hehehe!



Sunday, May 27, 2012

Cara-cara Melancong ke Luar Negara

Saya mendapat permintaan daripada salah seorang sahabat baik kakak saya yang mahukan saya berkongsi cara-cara untuk melancong ke luar negara. Untuk tidak menghampakan harapan beliau, saya dengan rasa senang hati ingin berkongsi cara-cara tersebut menurut apa yang saya selalu buat.

Cara-cara Melancong ke Luar Negara, gaya Perempuan Pengembara...lah sangat...

1. Perkara pertama yang penting bagi saya adalah ada orang yang mengajak atau saya yang mengajak orang. Selalunya orang yang mengajak saya kerana saya ini seorang yang pantang diajak - mesti mahu punya. Kalau saya yang ajak rasanya banyak yang tidak berjaya. Contohnya, saya pernah mengajak Chik pergi ke Bali, tetapi dia jawab, "Bali? Tak mahulah. Macam tak best jer."

Selang beberapa bulan kemudian, tiba-tiba dia memberitahu saya yang dia mahu pergi ke Bali bersama-sama dengan rakan-rakan sekelasnya. Apabila pulang, dia menelefon saya dan berkata, "Sitiii...bestnya pergi Bali!" Waktu itu saya rasa seperti mahu melempar kasut kepada Chik seperti gaya seorang wartawan melempar kasut kepada bekas presiden Amerika, George W Bush pada suatu masa dahulu. Nasib baik dia hanya menelefon saya.  Jadi, dia selamat. Huh!

Oh, maafkan saya. Saya bukan mengungkit (mata pandang ke atas, tangan di dada). Saya cuma memberi salah satu contoh ajakan yang tidak berjaya itu.

2. Apabila telah diajak atau sudah berjaya mengajak orang, langkah seterusnya kena tentukan kita mahu melancong atau mengembara ke negara mana. Saya beri contoh, mahu melancong ke Beijing, China.

Namun selalunya kalau kita yang diajak, orang yang mengajak pasti sudah memberitahu destinasi yang ingin dikunjungi. Jarang sekali kita terjumpa dengan situasi begini:

Aku: Mahukah kau pergi melancong dengan aku?
Kau: Mahu melancong ke mana?
Aku: Entah. Aku pun tak tahu. Kau tahu?
Kau: ?

Jadi, saya rasa dalam kebanyakan situasi, destinasi perlu difikirkan terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti mengajak orang melancong. Itu lebih afdal.

3. Sudah ada destinasi, sekarang boleh fikirkan kaedah melancong yang bagaimana yang sesuai dengan jiwa atau poket kita. Mahu melancong sendiri? Atau mahu menggunakan khidmat agensi pelancongan? Pilihan di tangan kita. Setakat ini, saya banyak melancong sendiri daripada menggunakan khidmat agensi pelancongan. Setiap satu ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jadi, banyak-banyaklah berfikir mana yang sesuai.

4. Jika melancong sendiri atau hanya mengambil ground arrangement daripada agensi pelancongan, kita perlu tentukan mahu menaiki kenderaan apa. Biasanya para pelancong akan memilih untuk menaiki kapal terbang jika destinasinya jauh seperti contoh di atas iaitu Beijing, China. Jarang sekali para pelancong memilih untuk menaiki kereta api untuk ke sana. Orang yang menaiki kereta api untuk ke sana adalah pengembara yang berhati kering. Mengapa saya kata orang itu pengembara yang berhati kering? Janganlah ditanya. Saya pun tidak tahu mengapa.

Baik, kita tinggalkan pengembara yang berhati kering itu dengan menaiki kapal terbang. Syarikat mana mahu pilih? Sekali lagi, pilihan di tangan kita. Sekarang ini bukan tangan sahaja, di hujung jari pun kita boleh memilih! Hebat, bukan? Apa lagi jika syarikat-syarikat penerbangan ini berlumba-lumba untuk mengadakan promosi tambang murah bagi menarik orang ramai menggunakan perkhidmatan mereka. Masa inilah yang paling sesuai jika kita mahu 'shopping' tiket kapal terbang secara online.

5. Research, research, research! Inilah antara perkara penting yang perlu dilakukan sebelum kita melancong ke mana-mana terutama sekali jika kita memilih untuk melancong secara independent tanpa terikat dengan agensi pelancongan.

Antara perkara-perkara yang perlu dikaji:
  • purata suhu dan cuaca di negara tersebut (termasuklah pada tarikh kita melancong negara tersebut berada dalam musim apa).
  • bahasa pertuturan penduduk negara yang ingin dilawati.
  • kadar tukaran mata wang. Saya sering merujuknya di laman web xe.com.
  • tempat-tempat menarik di negara tersebut yang ingin dilawati. Di sini perlu juga dikaji sekiranya ada bayaran masuk yang perlu dibayar, waktu lawatan, masa yang disarankan untuk melawat tempat tersebut, pakaian yang sesuai dipakai, dan lain-lain yang berkaitan.
  • budaya dan cara hidup penduduk. Contohnya di China, kebanyakkan tandasnya tidak berselak, ya. Mungkin sukar untuk kita mendapat maklumat tersebut. Tetapi kalau rajin mengkaji dan mencari, mungkin akan terjumpa dengan travelog saya yang ada menceritakan akan hal tersebut...hehehe!
  • lokasi restoran makanan halal; jika takut kelaparan sepanjang berada di negara orang. Boleh cuba cari di zabihah.com. Saya selalu merujuk di laman web ini untuk mencari lokasi restoran makanan halal tetapi selalu juga terlupa untuk mencatat alamat restoran sebelum terbang ke negara yang ingin dilawati. Sudahnya, kalau tidak berjumpa restoran makanan halal, saya dan rakan sepelancongan (eh, ada ke perkataan rakan sepelancongan? Hehe...) akan makan di restoran yang menghidangkan menu vegetarian. Atau makan roti/buah-buahan. Jadi, janganlah ikut perangai yang tidak elok ini, ya.
  • waktu solat. Boleh cuba cari di laman web islamicfinder.org. Selain waktu solat, laman web begini ada juga memberi panduan arah kiblat.
  • adakah kita perlu memohon visa untuk ke negara yang ingin dilawati. Contohnya, jika mahu ke negara China, kita perlu memohon visa.     
6. Boleh mula merangka itinerary atau jadual perjalanan. Untuk ke New Zealand baru-baru ini, saya menggunakan Google Docs untuk merangka itinerary sepanjang berada di New Zealand. Sangat mudah kerana saya boleh mengongsinya dengan rakan sepelancongan saya (walaupun dia tidak pernah buka selepas saya tunjukkan kepadanya).

Kalau melancong menggunakan khidmat agensi pelancongan tidak perlulah merangka itinerary ini kerana pihak agensi yang akan menyediakannya. Cuma masalahnya kita akan terikat dengan pakej yang disediakan. Kecuali agensi pelancongan yang sedia untuk customise pakej pelancongan mengikut kehendak pelanggan.

7. Daripada itinerary, kita boleh mula mengira - atau untuk orang yang lemah matematik seperti saya - mengagak bajet/kos yang diperlukan sebelum, semasa, dan selepas melancong. Suka saya mengingatkan agar tidak menghabiskan semua wang perbelanjaan yang dibawa semasa melancong. Tinggalkan sedikit (banyak lagilah dialu-alukan) untuk hari kita akan pulang ke tanahair. Manalah tahu nanti kena bayar untuk excess baggage atau terberkenan dengan t-shirt yang dijual di airport...

8. Booking hotel sekiranya melancong sendiri. Ia boleh dilakukan secara online. Boleh terus booking daripada laman web hotel itu sendiri. Boleh juga booking melalui laman web seperti agoda.com, wotif.com, venere.com, tripadvisor.com, hostels.com... Ah, sebenarnya ada banyak laman web yang boleh dicari, saya sekadar menyebut beberapa laman web yang boleh dipercayai dan saya sendiri pernah guna.
 
9. Pasport. Kalau belum ada pasport, cepat-cepatlah pergi buat pasport. Sekarang lebih mudah kerana ada pasport yang boleh dibuat dengan harga RM100 dan sah untuk tempoh 2 tahun (tempoh sebenar: 1 1/2 tahun).

10. Persediaan material: Beg yang sesuai. Pakaian yang sesuai dan jumlah yang sesuai dibawa mengikut berapa hari kita melancong. Toiletries. Ubat-ubatan. Wang yang sudah ditukar kepada matawang negara yang ingin dilawati. Makanan dalam paket. Dan apa sahaja yang dirasakan perlu dibawa asalkan tidak membebankan; contohnya bantal busuk.  

11. Persediaan fizikal. Melancong ini memerlukan stamina yang kuat sebenarnya. Apatah lagi jika kita melancong sendiri. Perlu bersedia untuk banyak berjalan kaki. Mungkin juga perlu berlari (untuk mengejar kapal terbang, contohnya). Jadi, banyakkan bersenam. Jangan ikut saya. Saya memang malas bersenam. Tetapi saya rajin berjalan kaki...sebab saya tiada kereta. Hahaha!

12. Persediaan mental. Perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi segala kemungkinan. Dari itu, tahap kesabaran yang tinggi amat diperlukan sepanjang masa. Contohnya jika kita melancong secara berkumpulan. Perlu banyak bersabar dengan sikap ahli rombongan yang selalu lewat. Atau, kalau kita sendiri ialah orang yang selalu lewat itu, perlulah banyak bersabar sekiranya sering diperli atau lebih parah sering dimarahi.

Namun bagi saya senang sahaja. Jangan buat apa yang kita tidak suka orang buat kepada kita. Ada faham?

Fuh! Itu dia cara-cara melancong ke luar negara yang dapat saya fikirkan buat masa ini. Sekiranya apa yang saya tulis di atas terkeluar daripada tajuk, harap maafkan saya. Sekiranya ada kekurangan atau saya ada tertinggal apa-apa isi penting, harap dapatlah ditambah atau dikongsikan.

Kepada kakak yang bertanya, harap sedikit sebanyak sudah dapat gambaran bagaimana hendak melancong ke luar negara. Terima kasih juga di atas pertanyaan.

Selamat melancong!