Friday, June 8, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 1

KUALA LUMPUR - CHRISTCHURCH

"Perjalanan seribu batu itu bermula daripada langkah pertama" - Lao Tzu

Langkah pertama saya ke New Zealand telah 'dipimpin' oleh kakak dan abang ipar yang sudi menghantar saya ke LCCT. Kami keluar sebelum waktu Subuh iaitu lebih kurang pukul 5:30 pagi. Sepanjang perjalanan, perasaan saya bercampur baur antara gembira dan berdebar.

Setelah lebih sejam perjalanan - dengan diiringi oleh hujan yang turun sekali sekala - kami akhirnya sampai di LCCT. Mereka berdua menurunkan saya di Terminal Pelepasan Antarabangsa. Err...sebenarnya mereka telah terlajak sedikit di Terminal Pelepasan Domestik. Tetapi disebabkan LCCT itu bukannya besar sangat, jadi ia tidaklah menjadi masalah kepada saya. Setelah bersalaman dengan kakak, saya ditinggalkan berseorangan di terminal.

Sementara menunggu ketibaan Chik, saya menunaikan kewajipan terlebih dahulu. Setelah selesai, saya menunggu Chik di hadapan kaunter pemeriksaan dokumen. Disebabkan saya telah melakukan web check-in untuk diri sendiri dan Chik, maka kami tidak perlu untuk check-in sekali lagi di kaunter. Namun, dokumen yang telah dicetak masih perlu disahkan di kaunter seperti yang disebutkan tadi.

Chik sampai selepas pukul 7:00 pagi bersama-sama dengan kakak dan abang iparnya. Kami berdua ke kaunter terlebih dahulu untuk mengesahkan dokumen dan sekaligus check-in bagasi. Disebabkan saya tidak membuat tambah-nilai untuk bagasi semasa menempah tiket tempohari, maka kami 'ditekan' untuk membayar sebanyak RM130.00 (RM65.00 untuk 20 kg yang pertama dan RM65.00 lagi untuk 20 kg yang kedua) kerana jumlah berat bagasi yang melebihi 20 kg! 'Panas' satu badan dibuatnya. Bertambah 'panas' apabila pegawai di kaunter tiada wang kecil untuk memulangkan baki wang kami. Alasan yang diberikan adalah sekarang waktu pagi dan kami antara penumpang yang paling awal check-in bagasi. Nasib baiklah setelah bertanya dengan rakan-rakannya di kaunter bersebelahan, ada salah seorang daripada mereka yang mempunyai wang kecil yang boleh dibuat tukaran. Lega kami dibuatnya.

Selesai urusan dokumen dan bagasi, kami pergi bersarapan di Restoran Asian Kitchen bersama-sama kakak dan abang ipar Chik. Sarapan kami bukan ditaja oleh AirAsia, tetapi ditaja oleh Chik. Terima kasih, Chik. Lain kali belanjalah lagi, ya...!

Usai bersarapan dan bersalaman dengan kakak Chik - iaitu lebih kurang pada pukul 8:15 pagi - barulah kami terhegeh-hegeh berjalan menuju ke balai berlepas walaupun waktu untuk masuk ke sana adalah pada pukul 8:00 pagi. Semasa melalui pemeriksaan polis, salah seorang daripada dua orang polis yang bertugas bertanya kami hendak ke mana. Secara serentak kami menjawab Christchurch.

Sambil memeriksa pasport dan boarding pass kami, dia bertanya lagi, "Christchurch? Christchurch dekat mana? Australia ke?"

"Australialah kot," jawab rakannya memandai-mandai.

Masih lagi dalam mod bertanya, "Christchurch...Australia ke New Zealand?"

"Christchurch, New Zealand," jawab Chik.

Dengan wajah innocent dan senyuman pahit yang tidak lekang daripada bibir, dia menyerahkan semula dokumen-dokumen tadi kepada kami. Hairan juga saya, mengapa dia bertanya begitu? Memang dia tidak tahu atau buat-buat tidak tahu? Mungkin dia cuba menguji kerana melihat kami seperti budak baru belajar atau mungkin juga hari itu merupakan hari pertama dia bertugas di bahagian pelepasan antarabangsa.

Entahlah. Malas saya hendak fikir terlalu mendalam walaupun Chik sudah ada persepsinya sendiri yang diluahkan kepada saya, "Teruk benar geografi dia." Saya hanya tergelak kecil mendengar komen Chik itu.

Sebaik sahaja kami sampai di pintu T16, para penumpang sedang beratur untuk pemeriksaan akhir sebelum menaiki pesawat. Merasakan masih ada banyak masa lagi, kami mengambil keputusan untuk ke tandas terlebih dahulu. Namun, jangkaan kami itu meleset kerana sebaik sahaja kami berada di luar tandas, terdengar pengumuman panggilan akhir untuk menaiki pesawat. Lebih mengharukan lagi, kami hanya ada masa lima minit lagi sebelum pintu akan ditutup!

Menggelabah saya dibuatnya. Saya mengambil keputusan untuk bergegas ke pintu T16 semula sementara Chik masih mahu meneruskan hajatnya. Saya lihat masih ada beberapa orang lagi yang sedang beratur di sana. Lega sedikit rasa hati. Jadi, saya duduk dahulu sambil menunggu Chik. 

Tidak lama kemudian Chik kembali semula. Kami sama-sama beratur untuk pemeriksaan akhir. Semasa hendak beratur, Chik menerima satu panggilan. Chik menjawab panggilan tersebut walaupun sepatutnya telefon bimbit sudah tidak boleh digunakan lagi pada waktu itu. Beberapa kali petugas AirAsia dan pegawai polis menyuruh Chik menghentikan perbualan. Tetapi Chik masih juga bercakap sehinggakan mereka menyuruh saya beritahu Chik untuk tidak berbual lagi. Serba-salah saya dibuatnya. Apa yang boleh saya buat adalah membantu mengambilkan dokumen Chik daripada pegawai polis yang memeriksa dan sekaligus memegangnya bagi pihak Chik.

Keluar sahaja daripada pintu, petugas AirAsia menunjukkan dan memberitahu kedudukan pesawat kami - di baris ketiga dan yang paling hujung. Lemah kepala lutut saya dibuatnya.

Dalam hati membebel-bebel, 'Jenuhlah hendak menapak. Kenapalah suka sangat parking jauh-jauh. Cubalah parking depan pintu...'

"Dik, dik...jalan ikut sana. Di sini tak boleh," tegur seorang linesman yang menjaga landasan.

Terbantut 'bebelan' saya. Oh, rupa-rupanya saya dan Chik (yang sudah habis berbual) telah tersasar dari laluan yang sebenar. Laluan yang sepatutnya dilalui adalah laluan yang bercat belang putih. Sudah beberapa kali menaiki pesawat AirAsia di LCCT, saya masih juga tidak boleh ingat perkara ini.

Di kejauhan itu juga kami melihat pintu belakang pesawat telah ditutup dan tangga telah dialihkan. Melihatkan itu Chik mempercepatkan langkah lalu meninggalkan saya di belakangnya. Saya pula semenjak dibedah, pergerakan menjadi sedikit terbatas. Jadi, saya terpaksa membiarkan Chik di hadapan sementara saya cuba memanjangkan langkah untuk sampai sebelum pintu hadapan pula ditutup. Untuk memastikan bahawa saya bukanlah orang yang terakhir, saya menoleh ke belakang...

-Bersambung-                      

No comments: