Sunday, June 24, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 6

CHRISTCHURCH - LAKE TEKAPO 

"Aal izz well" - Amir Khan sebagai Rancho (3 Idiots) 

Hagley Park. Kalau sesiapa sudah sampai di Christchurch, jangan lupa ke Hagley Park. Taman ini sangat cantik walaupun di musim luruh. Saya dan Chik bersarapan di bawah pohon Maple yang menghadap Sungai Avon (kalau tidak silap saya itulah nama sungai tersebut). Pada mulanya saya mahu mengajak Chik bersarapan di jeti kecil yang terletak di tepi sungai, tetapi pada masa yang sama ada sekumpulan pemuda dan pemudi yang lebih pantas mengambil tempat mereka di situ. Kacau daun betul!

Di tepi sungai. Tengok! Dalam cuaca sejuk pun ada di antara mereka dengan selambanya memakai baju berlengan pendek. Isk!

Sebenarnya bersarapan di bawah pohon Maple pun tidak kurang best-nya. Kami masih dapat menikmati suasana nyaman seperti bersarapan di tepi sungai. Sarapan kami pada pagi itu adalah roti bersama jem blueberri (real fruit jam, okey) dan butter yang dibeli di New World tadi. Terasa seperti orang puteh. Hahaha!

Sebenarnya kami bukan betul-betul bersarapan di bawah pohon Maple. Sengaja mahu menyedapkan ayat sahaja.

Antara pokok yang sudah togel akibat musim luruh.

Selepas bersarapan kami kembali semula ke tempat parkir kereta. Kononnya hendak meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Lake Tekapo. Tetapi kami agak curious apabila terpandangkan sebuah jambatan kecil yang terletak di sebelah kiri tempat parkir kereta (sebenarnya semasa mula-mula sampai tadi lagi kami sudah terperasankan jambatan tersebut). Saya dan Chik membatalkan hasrat untuk meneruskan perjalanan, sebaliknya kami menuju ke jambatan tersebut untuk melihat apa yang ada di seberang sana.

Sedang menuju ke seberang sungai. Banyak betul itik di sini. Comel-comel belaka.

Jambatan yang menghubungkan Hagley Park dengan kawasan seberang.

Rupa-rupanya di seberang sana adalah di mana terletaknya Christchurch Botanic Gardens!

Welcome. Welcome.

Sudah alang-alang sampai, baik kami bersiar-siar sebentar di sini sambil ber-posing maut. Hahaha...mautlah sangat. Saya kagum dengan pengunjung di sini yang saya kira adalah penduduk Christchurch. Mereka begitu ramah bertegur sapa dengan pengunjung lain termasuk kami berdua. Asalkan berselisih ada sahaja yang menegur, "Hello," "Good morning," dan "Lovely day, isn't it?"

Sukanya saya dengan suasana begitu. Lain sungguh dengan pengalaman semasa bercuti di China pada dua tahun lepas. Kebanyakan masa di sana kami dipandang seperti makhluk yang datang dari planet lain. Di sini terasa kedatangan kami sangat dihargai dan dialu-alukan oleh penduduk setempat.

 Di sini sungainya cetek.

Gambar ini sengaja diambil untuk menunjukkan betapa jernihnya air sungai di sini.

Tandas di Botanic Gardens. Gambar ini sengaja diambil untuk menunjukkan bahawa vandalisma itu ada di mana-mana tandas pun di dunia ini. Ahaks.

Setelah puas bersiar-siar, kami kembali semula ke tempat parkir kereta bagi meneruskan misi untuk sampai ke Lake Tekapo sebelum pukul 5:00 petang kerana masa itu waktu sudah menunjukkan hampir pukul 12:00 tengah hari.

Sebelum memulakan perjalanan Chik terlebih dahulu mahu set alamat hostel kami di Lake Tekapo iaitu YHA Lake Tekapo ke dalam GPS. Belum pun sempat alamat diset, ia telah memberi isyarat bahawa baterinya sudah lemah. Perlu dicaj terlebih dahulu. Tetapi saya lihat Chik terkial-kial hendak memasang charger kepada unit GPS itu. Saya bertanya mengapa. Katanya punat charger dengan unit GPS itu seperti tidak sepadan. Chik menyuruh saya pula untuk mencuba. Berkali-kali saya mencuba tetapi tetap tidak berjaya. Memang tidak sepadan.

Aduhai! Kacau sungguh. Pada waktu itu saya sudah membayangkan bahawa kami terpaksa menggunakan peta untuk ke mana-mana nanti. Ini tidak boleh jadi. Kami perlu berbuat sesuatu. Lagipun harga sewaan GPS sehari adalah sebanyak NZD10. Rugilah kalau tidak digunakan.

Chik cuba menelefon Mr. McKenzie berdasarkan no. telefon yang tertera di dalam e-mel. Tiada jawapan. Kemudian kami mengambil keputusan untuk kembali ke 22 Parameter Road. Sambil itu Chik mencuba lagi untuk menelefon Mr. McKenzie. Masih juga tiada jawapan.

Sehinggalah kami sampai di 22 Parameter Road (berpandukan kepada Google Maps...nasib baiklah Chik ada tablet), Chik masih tidak dapat bercakap dengan Mr. McKenzie. Namun, akhirnya - setelah berkali-kali mencuba - Mr. McKenzie menjawab panggilan Chik. Chik memberitahu masalah kami dan beliau meminta kami menunggunya dalam masa setengah jam kerana beliau berada di 'luar kawasan.' Memandangkan kami tiada pilihan lain, kami terpaksa bersetuju. Setengah jam bukannya lama pun.

Seperti yang dijanjikan, Mr. McKenzie sampai lebih kurang setengah jam kemudian. Terketar-ketar tangannya semasa beliau memeriksa GPS yang kami sewa itu. Tidak tahulah sebab beliau merasa sejuk atau sebab itu pertama kali beliau menerima komplen daripada pelanggannya. Entahlah. Malas pula saya hendak berteka-teki. Masalah kami jauh lebih besar daripada masalah memikirkan sama ada Mr. Mckenzie sebenarnya merasa sejuk atau berasa seram sejuk dengan kami.

Dan seperti yang dijangka, beliau juga tidak dapat memasang charger kepada unit GPS tersebut. Berkali-kali beliau meminta maaf kepada kami. Sebagai gantinya, beliau memberikan kami unit GPS yang baru untuk kami gunakan. Jadi sebelum bergerak, kami mencuba terlebih dahulu charger GPS tersebut sama ada sepadan dengan unit GPSnya. Sepadan. Alhamdulillah. Barulah lega kami rasa.

Akhirnya, dalam pukul 1:00 petang, barulah kami berjaya untuk memulakan perjalanan ke Lake Tekapo yang sejauh 226 km itu. Dugaan...

-Bersambung-

No comments: