CHRISTCHURCH - LAKE TEKAPO
"When you travel, remember that a foreign country is not designed to make you comfortable. It is designed to make its own people comfortable (Apabila kamu mengembara, harus diingat bahawa negara asing itu bukan dijadikan untuk kamu berasa selesa. Ia dijadikan untuk penduduknya berasa selesa)" - Clifton Fadiman
Pukul 8:30 pagi pintu bilik kami diketuk oleh Mr. Cameron Mckenzie, tuan punya Shoestring Rentals, syarikat di mana kami menyewa kereta. Sepatutnya Chik sudah menunggu beliau di bawah. Tetapi, dia menyangka waktu itu masih pukul 8:20 pagi, jadi dia tidak turun ke bawah untuk menunggu Mr. McKenzie. Mr. McKenzie pula yang terpaksa naik mengetuk bilik kami untuk menyerahkan kunci kereta.
Chik berurusan dengan Mr. McKenzie di hadapan pintu bilik. Mr. McKenzie mengisi borang butiran pemandu, iaitu Chik dan saya. Dokumen yang diperlukan hanyalah lesen memandu yang sah. Untuk memandu di New Zealand, tidak perlulah bersusah payah memohon lesen memandu antarabangsa. Cukup dengan hanya menunjukkan lesen memandu Malaysia, kita sudah boleh memandu di sana. Senang, bukan?
Sambil-sambil mengisi borang, Mr. McKenzie memberitahu walaupun cuaca agak baik di Christchurch, namun suhunya agak sejuk sejak beberapa hari ini. Mendengarkan komennya itu, saya berasa agak pelik. Tidak dinafikan suhu pada waktu itu agak sejuk. Maklumlah masih awal pagi. Namun, saya lihat dia dengan selamba memakai seluar pendek paras lutut. Macam manalah dia boleh tahan sejuk? Tetapi apabila difikirkan semula - sebagai penduduk tempatan - beliau pasti sudah biasa dengan cuaca dan suhu sedemikian. Jadi, tiada masalah baginya untuk berpakaian begitu.
Selesai urusan mengisi borang, Mr. McKenzie meminta salah seorang daripada kami untuk turun ke bawah untuk dia memberikan taklimat tentang penggunaan kereta yang kami sewa. Sekaligus menunjukkan jalan ke pejabat di mana kami perlu drop off kereta pada hari terakhir kami di Christchurch nanti.
Memandangkan kami telah habis mengemas beg dan sudah bersiap, Chik mencadangkan agar Mr. McKenzie menunggu sekejap untuk kami check-out supaya Chik tidak perlu datang semula untuk menjemput saya nanti.
Mr. McKenzie bersetuju dengan cadangan Chik. Beliau membantu mengangkat beg kami dan memasukkannya ke dalam kereta sewa kami. Selepas memulangkan kunci di pejabat motel, kami terus bergerak keluar dari motel.
Inilah kereta sewa kami; Mazda Demio. GFJ = Girlfriends Jalan-jalan. Ahaks.
Dalam perjalanan ke 22 Parameter Road (tempat drop-off kereta), Mr. McKenzie bercerita serba sedikit tentang Christchurch. Menurutnya buat masa ini jumlah penduduk di Christchurch ada lebih kurang 350 ribu orang. Bagi saya, sebagai bandar yang kedua terbesar di New Zealand, jumlah penduduk seperti yang dinyatakan adalah terlalu sedikit. Christchurch juga dikenali sebagai The Garden City disebabkan 1/3 daripada bandar ini dikelilingi taman dan yang paling terkenal ialah Hagley Park.
Menurut Mr. Mckenzie lagi, pihak berkuasa tempatan sangat tegas dalam memelihara taman dan alam sekitar di Christchurch. Projek-projek pembangunan dikawal ketat dan mereka tidak mudah memberi kebenaran untuk sebarang projek pembangunan, apalagi jika ia dilihat boleh merosakkan taman khasnya dan alam sekitar amnya. Berbeza sungguh dengan keadaan di negara kita. Chik bercerita pula keadaan di Malaysia; asal terdapat tempat yang 'kosong' ada sahaja projek pembangunan yang dijalankan (contohnya di tempat saya, hutan ditebang, bukit ditarah semata-mata hendak membina kawasan perumahan yang baru. Sungguh saya berasa tidak puas hati dengan keadaan tersebut).
"What a shame," itulah reaksi Mr. McKenzie. Yes, what a shame...
Setelah asyik bercerita perkara serius, entah macam mana kemudian boleh terkeluar pula cerita tentang bahasa slanga orang New Zealand. Mr. McKenzie ada menyebut beberapa bahasa slanga tetapi yang paling saya ingat adalah "sweet as." Ia lebih kurang bermaksud, everything's cool and good.
"So if a Kiwi (orang New Zealand) asks you, 'How's your doing?' You should answer, 'I'm sweet as.' Then they will say, 'oh, great! You're a Kiwi!' Hahahaha!"
Dan semua orang pun ketawa. Sukanya dia...
Alahai, Mr. McKenzie. Seronok betul dia bercerita dengan Chik. Saya yang duduk di belakang jadi tukang dengar sahaja.
Sampai sahaja di 22 Parameter Road, Chik membayar harga penuh sewa kereta (termasuk insurans dan sewa GPS). Selesai urusan pembayaran, kami pun meninggalkan kawasan tersebut.
Tempat pertama yang kami tuju selepas daripada 22 Parameter Road adalah hypermarket New World untuk membeli barangan mentah dan barangan keperluan kami. Kemudian kami ke stesyen minyak Shell pula untuk mengisi minyak. Di sini lain sedikit prosedur mengisi minyak - isi dahulu, bayar kemudian. Harga minyak pula boleh berubah setiap hari.
Selepas mengisi minyak, kami bersepakat untuk bersarapan di Hagley Park. Teruja mendengar cerita Mr. McKenzie tadi, jadi kami ingin sekali bersarapan sambil menikmati keindahan taman tersebut.
-Bersambung-
2 comments:
ct,
jeles la tgk kamu berjaya jejak kaki ke NZ...sabr menanti entry yg berupdate pasal NZ...mana la tahu ada rezeki ke sana ke...
p/s: beijing pon tak sampai lagi...cmne?hehehe
Terima kasih, Emy...
Harap byk2 bersabar ye...sy menulis byk ikut mood gak..huhuhu...Tp sy akan usahakan agar cpt hbs berbanding entry pasal China hari tu..hehe
Insya-Allah...smpi la tu nnti.. :)
Post a Comment