Saturday, February 5, 2011

Cuti-cuti China: Hari Keempat - Bahagian 2

Hari Keempat - 26/4/2010

Jalan-jalan Cari Makan

Dalam perjalanan, Qing Kang tidak habis-habis mengulang perkataan "Muslin Street." Mungkin hendak pastikan bahawa kami benar-benar mahu ke sana. Kami pula terangguk-angguk apabila dia berkata begitu. Namun hendak juga saya menegur sebutan Qing Kang. Sepatutnya dia menyebut Muslim, bukan 'Muslin.' Muslin adalah sejenis kain iaitu kain kasa. Hendak sahaja saya beritahu Qing Kang. Tetapi saya diamkan sahaja. Lagipun saya tidak tahu dalam Bahasa Mandarin kain kasa disebut sebagai apa.

Qing Kang memberikan kami masa selama 2 jam (dari jam 10:00 hingga 12:00) untuk berjalan-jalan (semestinya untuk cari makan) di Moslem Street. Alangkah bahagianya dapat berjalan-jalan dan membeli makanan di sana tanpa perlu merasa was-was kerana majoriti peniaganya adalah terdiri daripada orang-orang Islam. Senang hendak mengenali mereka kerana yang lelakinya memakai kopiah, manakala majoriti wanitanya pula memakai tudung. Untuk kedai-kedai makan (dan juga runcit) pula kalau hendak tahu dimiliki oleh orang Islam atau tidak, lihat sahaja di atas pintu masuk kedai. Kalau ada papan tanda berwarna hijau bertulisan jawi (kalau tidak silap saya perkataan yang ditulis ialah 'Al-Islamiah'), memang tidak syak lagi kedai itu milik peniaga Islam.

Kawasan Moslem Street agak luas juga. Kami menyelusuri lorong-lorong kecil sambil menghidu bau-bauan makanan yang menusuk masuk ke dalam rongga hidung. Kami membeli makanan (lebih kepada memborong sebenarnya..haha) yang membangkit selera dan ada yang tidak pernah dijumpai di Malaysia. Memang benarlah, apabila sudah lapar semuanya nampak menarik dan sedap belaka. 

Sukarnya Untuk Berbicara

Sudah puas meneroka Moslem Street, kami kembali semula ke tempat kami mula-mula masuk tadi. Disebabkan sudah hampir tengahari, kami singgah di sebuah restoran untuk makan tengahari. Dengan penuh confident kami memberi isyarat kepada pelayan restoran untuk mendapatkan menu untuk kami. Apabila menu berada dalam tangan, tersengih-sengih kami dibuatnya. Terlalu 'gembira' kerana tiada apa yang kami faham kerana semuanya dalam tulisan Cina!

Tidak tahu hendak makan apa; pelayan dan tukang masak pula memang langsung tidak boleh berbahasa Inggeris, Chik mencadangkan agar kami mencuba masakan yang kami lihat di luar restoran tadi. Saya bersetuju sahaja kerana itu rasanya cara yang mudah untuk kami memesan makanan tanpa perlu berkata apa-apa kepada mereka. Maka, dengan diiringi tukang masak, Chik ke depan kedai untuk memberitahu yang kami ingin order sejenis masakan mee yang disediakan di sana.

Selesai satu masalah, 'masalah' lain pula timbul. Kenapa pelayan tidak bertanya kami mahu minum apa. Chik menunjuk ke arah botol-botol air minuman yang tersusun di atas rak bersebelahan kaunter bayaran.

"Nampak sedap aje air oren tu, kan?" kata Chik.

Saya mengiyakan. Memang nampak sedap. Tetapi kami tidak order air itu daripada pelayan kerana takut mereka tidak faham apa yang kami mahu. Lagipun kami boleh sahaja meminum air mineral yang sentiasa ada bekalannya.

Selesai makan, kami membayar harga makanan. Semangkuk mee harganya RMB6. Boleh tahan murah. 

Toilet? Wash Room? Oh, WC!

Setelah kenyang, kami kembali semula ke tempat kami diturunkan oleh Qing Kang. Lagipun masa yang diberi sudah hampir tamat (macam berlumba pula). Di sana dia sudah sedia menunggu kami.

"We go to (Huaqing) Hot Springs, " kata Qing Kang sambil mempersilakan kami masuk ke dalam mini van. Chik masuk dahulu kerana tempat duduk dia di sebelah dalam manakala tempat duduk saya di sebelah pintu. Belum sempat saya masuk, tiba-tiba Chik menyatakan hasrat hendak ke tandas. Saya tidak nampak pula tandas awam di sekitar kawasan parkir.

Lantas, Chik bertanya kepada Qing Kang, "Where is the toilet?"

Qing Kang kelihatan terpinga-pinga. Barangkali dia tidak faham. Chik mengulang lagi pertanyaan, cuma kali ini dia hanya menyebut "toilet" berulangkali dengan harapan Qing Kang akan dapat menangkap maksudnya. Namun tidak berjaya juga. Hairan juga saya kenapa dia tidak faham perkataan 'toilet', sedangkan di mana-mana tandas awam yang kami nampak di Xi'an (dan Beijing), papan tandanya diterjemahkan sebagai 'toilet.' Tetapi apabila difikirkan balik, sudah tentu mereka tidak akan melihat perkataan terjemahan kerana hanya pelancong yang tidak faham tulisan Cina sahaja yang akan mencari 'toilet.'

Berbalik kepada Qing Kang, dia masih tidak faham apa yang Chik mahu. Toilet dia tidak faham; apalagi apabila ditanya wash room. Saya sendiri sudah tidak dapat berfikir lagi apa perkataan lain yang merujuk kepada tandas selain daripada dua perkataan yang telah disebutkan oleh Chik tadi. Buntu juga kami dibuatnya. Namun kemudian, tanpa disangka-sangka, Chik turun daripada kerusi lalu duduk mencangkung di atas lantai mini van dengan muka tersipu-sipu sambil menyebut perkataan toilet. Ternganga mulut saya sekejap - terkejut ada, rasa nak tergelak besar pun ada. Apa-apa pun saya tabik Chik kerana 'bahasa isyarat'nya itu berjaya 'menepuk' kepala Qing Kang.

"Oh! WC, WC!" teruja sungguh Qing Kang apabila sudah tahu apa yang Chik maksudkan. "Ya, ya!" jawab kami serentak sambil terangguk-angguk. Saya juga rasa seperti mahu menepuk kepala sendiri kerana tidak teringat langsung perkataan WC (Water Closet = bilik air dalam bahasa Melayu? Hehe..). 

Klinik

Mini van diparkir di hadapan bangunan rumah-rumah kedai (tidak banyak bezanya dengan yang terdapat di Malaysia - tingkat bawah kedai, tingkat atas rumah). Qing Kang membawa Chik masuk ke kedai yang paling hujung. Saya pula diminta untuk menunggu di mini van.

Setelah Chik kembali ke mini van, saya pula ke sana tanpa ditemani Qing Kang. Masuk sahaja ke dalam, rupa-rupanya lot kedai itu bukanlah kedai tetapi ia sebuah klinik. Bukan klinik persendirian seperti yang terdapat di Malaysia, tetapi ia sebuah 'klinik' perubatan tradisional Cina. Bau-bauan herba/ginseng menusuk-nusuk ke hidung. Ini sesuatu yang baharu bagi saya. Tidak pula saya tahu ada klinik yang sebegini di sini. Disebabkan ia sebuah klinik perubatan tradisional, dekornya juga berciri tradisional. Di ruang tengah iaitu tempat pesakit menunggu giliran disediakan beberapa bangku kayu yang panjang. Kaunter-kaunter dan bilik-bilik rawatan juga dipisahkan dengan dinding-dinding kayu/papan. Sungguh 'old-fashion' atau 'old-school' sekali. Agak ramai juga pesakit yang sedang menunggu giliran. Pembantu-pembantu klinik juga ada beberapa orang yang kelihatan terkejar ke sana ke mari. Namun tidak seorang pun saya berani hendak bertanya di manakah tandas setelah tidak berjaya mencarinya sendiri. Terpaksalah saya menjenguk ke luar untuk memanggil Qing Kang. Rupa-rupanya tandas terletak di hujung 'lorong' pertama di sebelah kanan dari pintu masuk. Hee~ 

Huaqing Hot Springs

 Setelah hajat terlaksana, kami bertiga meneruskan perjalanan ke destinasi pertama dalam itinerary iaitu Huaqing Hot Springs. Ia tidaklah begitu jauh dari pusat bandar Xi'an. Tidak sampai satu jam pun untuk sampai ke sana. Sesampainya kami di sana, Qing Kang meminta duit untuk membeli tiket masuk ke Huaqing Hot Springs. Harga tiket ialah RMB70 seorang. Kaunter tiket terletak di sebelah kiri laluan masuk ke kawasan parkir. Untuk ke Huaqing Hot Springs, kami perlu menyeberangi jalan besar. Qing Kang mengiringi kami hingga ke pintu masuk. Masa yang diberi lebih kurang sejam.

Tiada apa yang menarik sangat di Huaqing Hot Springs pada pandangan saya. Chik juga berpandangan sama (yang sebenar-benarnya kami tidak sabar hendak melawat ke Terracotta Warriors and Horses Museum). Jadi sambil melihat-lihat apa-apa yang patut dan tidak patut (patung Yang Guifei yang topless), kami bergambar-gambar dan berposing-posing di kawasan sekitar sampai boring. Namun ada seperkara yang tidak boleh dinafikan - suasana di sana agak damai dan menenangkan.

Tidak sampai sejam, kami keluar dari sana. Rasanya tidak sampai separuh kawasan Huaqing Hot Springs yang sempat kami terokai. Kurang berminat.

Jadi, kami terus menuju ke destinasi seterusnya - Terracotta Warriors and Horses Museum. Yiiiihaa!!

Monday, January 17, 2011

Cuti-cuti China: Hari Keempat - Bahagian 1

Hari Keempat - 26/4/2010

Xi'an 

Kereta api tiba di Xi'an Railway Station pada pukul 08:25. Sebaik sahaja  saya dan Chik keluar daripada perut kereta api, kami dihampiri oleh seorang lelaki China dalam lingkungan usia 50-an di platform. Demi sahaja mendengar suaranya, saya menjadi amat terpegun sekali. Seakan-akan tidak percaya dengan apa yang saya dengar.

Pakcik tersebut merupakan seorang pemandu teksi. Jadi tidak hairanlah dia menghampiri kami dan bertanya kami hendak ke mana dengan ramahnya. Oh ya! Pasti kalian tertanya-tanya apa yang membuatkan saya terpegun dengan pakcik tersebut, bukan? Bukan kerana giginya yang hitam berkarat (ok, ok, saya memang tidak dapat mengelak daripada asyik melihat barisan giginya semasa dia bercakap kerana saya terfikirkan sesuatu. Tetapi apabila difikir balik, tidak patut saya kongsikan di sini...huhu...). Saya terpegun kerana pakcik tersebut SANGAT fasih berbahasa Inggeris. Saya benar-benar tidak menyangka akan berjumpa dengan seorang rakyat China yang benar-benar boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan lancar di daerah Xi'an ini. Bahasa Inggerisnya sangat bagus sekali!

Dia menawarkan diri untuk menghantar kami ke hotel. Katanya dia hanya akan mengenakan tambang yang paling minima iaitu sebanyak RMB6 sahaja. Hampir tidak percaya kami mendengarnya. RMB6 sahaja? Biar betul! Betul, katanya. Ini adalah kerana tambang yang selebihnya akan ditanggung oleh pihak hotel. Maksudnya jika tambang sebenar ke hotel adalah RMB20, kami cuma perlu membayar RMB6, manakala RMB14 lagi akan dibayar oleh pihak hotel kepada pemandu teksi. Wallawey!

Lalu pakcik tersebut bertanya adakah kami sudah booking hotel dan apa nama hotelnya. Saya kata sudah dan nama hotel itu ialah 7 Sages Youth Hostel. Tiba-tiba wajahnya berubah. Katanya, "the hostel is just outside the Wall. You can just walk there."

Oh! Patutlah pihak hostel tidak mengenakan apa-apa bayaran jika kami mahu mereka menjemput kami di Stesyen Kereta api. Rupa-rupanya hostel tersebut hanya terletak di luar Ancient City Wall (tembok lama yang mengelilingi bandar Xi'an) yang berada di hadapan Stesyen Kereta api. Setelah mengucapkan terima kasih, kami meninggalkan pakcik tersebut meneruskan usaha mencari pelanggan yang lain. 

Melanie si Pemandu Pelancong 

Keluar sahaja daripada kawasan platform, Chik mencadangkan agar kami membeli tiket pulang ke Beijing pada malam esok terlebih dahulu. Melilau juga kami mencari kaunter tiket dalam bangunan Stesyen Kereta api. Agak hampa juga kerana Pegawai-pegawai stesyen kebanyakannya tidak boleh berbahasa Inggeris. Telahan saya bahawa orang-orang di Xi'an boleh berbahasa Inggeris sebaik pakcik tadi rupa-rupanya tidak benar belaka. Namun, akhirnya ada juga seorang pegawai yang faham apa yang kami mahukan dan memberitahu bahawa kaunter tiket berada di luar bangunan. Itupun dengan menggunakan bahasa isyarat (bercakap dengan orang yang tidak 'faham bahasa' di negara asing ini boleh membuatkan kita pandai men'decode' bahasa isyarat secara otomatik. Percayalah).

Sampai sahaja di luar bangunan, Chik menawarkan diri untuk pergi membeli tiket. Saya pula menunggunya di hadapan stesyen sambil menjaga beg-beg kami. Sedang saya menunggu, saya dihampiri oleh seorang wanita China. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Melanie, seorang Pemandu Pelancong. Dia bercerita mengenai pakej lawatan yang ditawarkan oleh syarikatnya. Saya kagum juga dengan Melanie. Seperti pakcik tadi, dia juga sangat fasih berbahasa Inggeris. Kerisauan saya mengenai masalah bahasa yang akan kami hadapi sebentar lagi apabila keluar daripada kawasan Stesyen Kereta api hilang apabila mendengar setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut Melanie. Saya agak berminat juga dengan pakej-pakej yang ditawarkan. Saya bertanya Melanie, adakah pakej yang termasuk lawatan ke Terracotta Warriors and Horses Museum dan Mount Huashan. Dia kata ada. Saya pasti Chik akan tertarik kerana dia begitu berminat untuk ke Mount Huashan selain daripada ke Terracotta Warriors and Horses Museum.

...cuma masalahnya kami sudah tempah bilik hostel terlebih dahulu. Deposit sudah dibayar...dalam matawang Euro pula. Kalau kami ikut pakej yang ditawarkan, kami akan terus dibawa ke tempat-tempat lawatan yang dipilih, manakala hotel akan diuruskan oleh pihak Melanie. Terpaksalah saya korbankan deposit yang sudah dibayar. Walaupun nilainya kurang daripada €10.00, tetapi jika ditukar kepada Ringgit Malaysia, berbelas Ringgit juga saya rugi. Iskh! Berkorban apa saja...

Tidak lama kemudian Chik kembali ke tempat saya menunggu dengan berwajah masam. Pasti ada yang tidak kena. Kata Chik dia tidak dapat membeli tiket kerana kerani tiket tidak boleh langsung berbahasa Inggeris. Melihat kami berbual-bual dengan wajah yang berkerut dan penuh kerisauan, Melanie bertanya kenapa. Kami beritahu masalah kami lalu dia menawarkan diri untuk menolong kami membeli tiket. Thank God for Melanie! 

Tiga Destinasi 

Setelah tiket berada dalam tangan, kami meneruskan perbincangan dengan Melanie mengenai pakej lawatan yang hendak diambil. Kami mengambil keputusan untuk menggunakan khidmat Melanie untuk meneruskan percutian di Xi'an kerana kami sudah kepenatan ditambah pula kami tidak begitu yakin hendak meneruskan perjalanan secara sendirian di sana.

Jadi kami mengambil pakej yang mengandungi lawatan ke tiga destinasi pelancongan yang popular di Xi'an iaitu Terracotta Warriors and Horses Museum (destinasi wajib bagi kami), Huaqing Hot Springs dan Mount Huashan. Harga pakej untuk seorang adalah RMB500; untuk bayaran pengangkutan dan pemandu (termasuk bayaran tol) tetapi tidak termasuk bayaran masuk ke tempat-tempat lawatan dan hotel. Deposit yang perlu dibayar adalah RMB250 seorang, manakala bakinya boleh dibayar pada hari terakhir iaitu pada hari keesokkannya. Kami juga menyatakan keinginan untuk singgah ke Moslem Street terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Melanie bersetuju tetapi sebelum ke sana kami perlu singgah di pejabat Melanie untuk menukar kenderaan daripada van yang dibawa kepada kenderaan lain (kami tidak tahu kenderaan jenis apa. Kami fikir mungkin kereta sedan memandangkan hanya kami berdua sahaja yang mengikuti pakej tersebut).

Dalam perjalanan ke pejabat, Melanie menceritakan serba sedikit tentang sejarah awal Xi'an dan Terracotta Warriors yang telah berusia lebih kurang 2 ribu tahun. Bla, bla, bla...(saya memang fail hendak mengingat fakta sejarah. Saya ada cuba untuk mencatat tetapi disebabkan saya tidak pernah belajar trengkas, saya 'ketinggalan kereta api'...jadi, lebih baik cari di internet sahaja). Sampai di perkarangan pejabat, kami turun daripada van untuk menaiki kenderaan lain yang disediakan untuk kami. Sangkaan kami meleset kerana bukan kereta sedan yang jadi gantinya, tetapi sebuah mini van. Wah! Begitu selesa sekali. Kami dapat duduk di single seat di bahagian tengah mini van, manakala tempat duduk belakang boleh memuatkan 3 hingga 4 orang lagi. Sangat berbaloi dengan apa yang dibayar. Setakat ini kami sungguh berpuas hati.

Melanie hanya mengiringi kami sampai di pejabatnya sahaja. Selepas itu kami hanya ditemani oleh pemandu kenderaan kami iaitu Qing Kang. Orangnya sederhana tinggi dan berbadan sedikit gempal. Muka nampak garang, tetapi apabila bercakap dengan kami dia agak 'soft spoken' dan sungguh bersopan sekali. Dengan kami juga dia bercakap sepatah, sepatah kerana tidak begitu fasih berbahasa Inggeris.

Jadi, selepas mengambil kenderaan, kami meneruskan perjalanan ke Moslem Street...

~Bersambung...mengantuk sudah...~   

Saturday, December 25, 2010

China lagi...Lagi, lagi China

Lebih kurang dua minggu yang lepas saya bercuti ke China. Ya, ke China lagi saya tuju walaupun Travelog Beijing - Xi'an belum habis ditulis lagi..hahaha!

Ramai yang bertanya kenapa ke China? Bukankah saya baharu sahaja ke sana pada penghujung April yang lepas? Bukan saya tidak mahu ke negara lain. Tetapi rasanya pengetahuan saya terhadap sejarah negara China masih belum lengkap. Jadi, saya perlu ke sana sekali lagi.

Saya sudah ke Xi'an untuk mengetahui sejarah China lebih kurang 2 ribu tahun yang lepas dan sudah pula ke Beijing untuk mengetahui sejarah China lebih kurang 1 ribu tahun yang lepas. Jadi, tidak lengkaplah jika tidak mengunjungi Shanghai untuk mengetahui sejarah China lebih kurang 100 tahun yang lepas walaupun matapelajaran sejarah bukanlah matapelajaran yang saya gemari semasa di sekolah dahulu. Maka, tidak hairanlah saya masih kurang pasti apa yang saya belajar tentang sejarah China setelah mengunjungi ketiga-tiga tempat tersebut.

Walaupun pengetahuan saya mengenai sejarah China 2 ribu, 1 ribu dan 100 tahun dahulu masih tidak memuaskan, sekurang-kurangnya ada perkara lain yang saya telah belajar dan sangat lekat dalam fikiran sehingga ke hari ini. Kata Pemandu Pelancong, Encik Jack (bukan Jack Sparrow), lelaki Shanghai adalah bakal suami yang terbaik berdasarkan tiga perkara:

Pertama: Mereka patuh kepada isteri.

Kedua: Setiap bulan mereka menyerahkan duit gaji kepada isteri. Maksudnya, isteri mengawal sepenuhnya rumahtangga mereka.

Ketiga: Tidak kira apa pekerjaan dan pangkat yang dipegang, hatta CEO sekalipun, apabila di rumah mereka tetap membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah.

Menarik sungguh. Oleh itu, saya ke Shanghai dengan hati yang berbunga-bunga. Manalah tahu boleh mengayat lelaki Shanghai untuk dijadikan calon suami. Tetapi malangnya tidak seorang pun yang tersangkut. Tidak mengapalah. Yang penting saya dapat melihat keunikan bangunan-bangunan di Shanghai Pudong District terutama sekali Oriental Pearl yang merupakan menara televisyen dan radio yang ketiga tertinggi di dunia; yang sebelum ini hanya dilihat di dalam gambar.

Namun, bukan Shanghai sahaja yang ada keunikan tersendiri. Berdasarkan pemerhatian saya, tiga lagi tempat yang dikunjungi ada keunikan masing-masing.

Hangzhou: Sebaik sahaja pesawat terbang rendah untuk mendarat di Lapangan Terbang, saya sudah nampak kelainan struktur bangunan di muka bumi Hangzhou. Apabila sudah berada di jalan raya, memang dapat dilihat kelainan dan kecantikan bangunan-bangunan yang kebanyakannya rumah-rumah persendirian. Semua dinding luar bangunan tersebut bagaikan dibalut dengan wall paper. Coraknya seperti batu bata yang berwarna terang diselang-seli dengan batu bata gelap dengan warna yang berpadanan (apabila dilihat dari dekat dindingnya bukanlah dibalut dengan wall paper atau diperbuat daripada batu bata, tetapi dindingnya kalau tidak silap saya diperbuat daripada jubin). Bentuk bangunannya yang comel ditambah pula dengan antena TV yang unik juga amat menarik perhatian saya. Tidak puas mata memandang.

Suzhou: Saya tidak pernah mendengar tentang Suzhou. Saya sangkakan Suzhou sebuah daerah yang tidak begitu menonjol...mungkin agak kekampungan sedikit. Tetapi betapa silapnya saya. Suzhou sangat happening dan moden! Di waktu malam ia menjadi sebuah City of Lights. Kalian mungkin kata, KL pun banyak lampu perhiasan juga. No, no, no...di Suzhou lebih banyak, lebih menarik dan lebih cantik. Full stop.

Wuxi: Sebuah daerah yang tenang dan cantik sekali. Di sini terdapat sebuah perkampungan filem/drama epik China - digelar juga sebagai Hollywood China. Antara drama yang difilemkan di sana adalah drama "The Legend of 3 Kingdoms." Saya tidak pernah tonton drama ini. Jadi tidak bolehlah komen lebih-lebih. Yang saya tahu drama ini sedang ditayangkan di Astro tetapi tidak tahu di saluran yang mana.

Sebenarnya kalau hendak menceritakan tentang keunikan dan kecantikan keempat-empat tempat di atas, lebih berkesan kalau disertakan dengan gambar, kan? Tetapi malangnya saya tiada kamera sendiri. Hanya menumpang kamera orang lain. Jadi, tidak dapatlah saya berkongsi cerita secara visual. Sangat-sangat tidak puas hati.

Kesimpulannya di sini, saya mesti beli kamera. Full stop.       

Monday, November 8, 2010

Cuti-cuti China: Hari Ketiga - Bahagian Akhir

Hari Ketiga - 25/4/2010

Silk Market (Xiushui Sinchang)

Payung sudah dibeli, tinggal lagi hendak fikirkan cara untuk pergi ke Silk Market. Kami ada dua pilihan mudah untuk ke sana; sama ada mengambil tren dari Stesyen Qianmen ke Stesyen Yong'anli atau dengan menaiki teksi. Sudah tentulah kami memilih untuk menaiki teksi disebabkan oleh faktor-faktor berikut:
  1. kami kepenatan kerana tidak berhenti-henti berjalan kaki dari hari semalam; jarak perhentian teksi lebih dekat dengan hostel berbanding dengan stesyen subway.
  2. hujan masih turun mencurah-curah.
  3. Chik mahu cepat sampai ke Silk Market kerana dia sudah tidak sabar untuk shopping :D
Perjalanan teksi dari Jalan Qianmen ke Silk Market mengambil masa lebih kurang 20 minit. Teksi tidak berhenti di hadapan bangunan Silk Market yang mengandungi empat tingkat itu, jadi kami perlu melintas jalan untuk ke sana.
Leganya saya dapat masuk ke dalam bangunan Silk Market. Bukan sebab saya seronok hendak ke sana, tetapi disebabkan oleh cuaca di luar yang sangat sejuk. Masuk sahaja ke dalam bangunan kami disambut oleh deretan gerai yang menjual pakaian wanita, T-shirt, beg dan berbagai lagi. Pada pendapat saya inilah 'syurga' bagi Chik. Saya mengikut sahaja. Dalam kepala saya cuma ada satu - saya mahu beli T-shirt untuk diri sendiri. Simple.

Saya lihat Chik seperti seronok dilayan oleh penjual-penjual di situ. Saya pula semakin lama semakin rasa tertekan kerana tidak suka dengan cara layanan penjual-penjual di sana yang boleh dikatakan agak kasar dan kurang ajar. Kalau kita tidak membeli barangan yang sudah susah payah mereka tunjukkan, pasti kita akan jadi mangsa maki hamun mereka. Mereka juga suka menarik tangan pengunjung yang lalu lalang supaya singgah di gerai mereka. Rimas betul! Saya kagum betul bagaimana Chik boleh bersabar dengan sikap mereka. Mood saya pula hilang...terbang entah ke mana. 

Tekanan! Tekanan! 

Akibat tiada mood, saya hanya membeli sehelai T-shirt sahaja. Itupun dengan 'menumpang' Chik. Dalam kepala cuma fikir mahu pulang semula ke hostel, ambil beg dan terus pergi ke Beijing West Railway Station untuk ke Xi'an. Lagipun saya risau jika kami terlambat sampai ke Stesyen Kereta api kerana staf hostel telah berpesan bahawa kami perlu bergerak ke sana selewat-lewatnya pada pukul 19:30 atau hadapi risiko ketinggalan kereta api jika bertolak lewat.

Setelah berpuas hati dengan hasil pembelian, kami pulang semula ke hostel dengan menaiki tren dari Stesyen Yong'anli; tidak mahu menaiki teksi kerana perlu menunggu lagi sedangkan kami sudah terlewat. Sampai sahaja di sana, staf hostel terkejut melihat kami masih lagi belum pergi ke Stesyen Kereta api sedangkan jam sudah melepasi 19:30.

"You would not make it," merupakan kata-kata terakhir dan ucapan selamat tinggal daripada staf hostel semasa kami berlalu meninggalkan kaunter setelah mengambil beg kami.

Hujan masih lagi turun mencurah-curah di bumi Beijing ini. Hati saya sedingin cuaca di sini - cuak mendengar kata-kata staf hostel tadi. Perjalanan biasa untuk ke perhentian teksi dirasakan amat mencabar kerana perlu menggalas backpack dan memegang payung. Sekali-sekala perlu pula menolong Chik mengangkat beg berodanya apabila terdapat lopak air di laluan kami.

Akhirnya dalam kepayahan, kami sampai juga di perhentian teksi. Namun, teksi yang ditunggu tidak berkunjung tiba. Kalau ada pun teksi yang lalu, pasti sudah ada penumpang di dalamnya. Ini menambahkan lagi kerisauan dan tekanan di jiwa kami. 

The Amazing Race 

Dalam pada menunggu itu, kami dihampiri oleh dua orang penarik beca yang cuba menawarkan khidmat mereka. Saya pandang Chik, Chik pandang saya. Akhirnya kami bersetuju untuk bertanya sama ada mereka boleh menghantar kami ke Beijing West Railway Station. Kad bertulisan Cina dihulurkan kepada kepada salah seorang daripada mereka. Dia mengangguk-anggukkan kepala tanda boleh menghantar kami ke sana. Chik bertanya harga tambang. Katanya RMB25. Kami setuju.

Bersyukur saya rasa kerana dapat juga kenderaan yang boleh membawa kami ke Stesyen Kereta api walaupun ia kelihatan agak serba kekurangan. Ini juga merupakan kali pertama kami menaiki beca sepanjang berada di Beijing. Beca di sini tidak banyak bezanya dengan beca yang terdapat di Malaysia. Yang berbeza mungkin basikalnya yang terletak dibahagian tengah hadapan tempat duduk penumpang, bukan di tepi seperti lazimnya di Malaysia. Yang menarik lagi, basikal mereka bukan seperti basikal biasa, tetapi bermotor. Jadi, penarik beca tidak perlu mengayuh sepanjang perjalanan kerana basikal digerakkan oleh enjin motor. Mereka hanya perlu mengayuh semasa hendak memulakan perjalanan atau semasa mendaki jalan berbukit atau jika hendak bergerak laju.

Beca yang kami naiki hanya ditutupi kanvas. Bahagian hadapan pula terbuka dan penarik beca hanya memakai topi dan baju hujan. Kasihan pula saya melihatnya. Namun keadaan kami juga tidak kurang menyedihkan. Disebabkan bahagian hadapan terbuka, kami terdedah kepada tempias hujan. Nasib baiklah saya meriba backpack dalam keadaan tegak, jadi saya terlindung sedikit. Cuma rasa sejuk tetap berjaya hinggap di tubuh. Antara kami berdua, Chiklah yang paling terdedah kepada hujan. Kasihan...

Tidak sampai setengah perjalanan, penarik beca meminta untuk melihat semula kad yang ditunjukkan kepadanya mula-mula tadi. Kelihatan dahinya berkerut-kerut. Dia memulangkan semula kad tersebut kepada saya. Kemudian dia meregang dan merapatkan kedua-dua tapak tangannya secara berulang-ulang seolah-olah ada gelung getah halimunan di tangannya itu sambil berkata-kata dalam bahasa China. Saya dan Chik tidak faham apa yang cuba disampaikannya. Jadi kami menyuruh dia cepat-cepat berkayuh. Dia pun meneruskan kayuhannya.

Kemudian dia berhenti lagi dan berpaling ke arah kami. Sekali lagi dia mengulang perbuatan tadi sambil berkata-kata dalam bahasa China. Ini sudah macam satu permainan teka bahasa isyarat pula!

Setelah berfikir tanpa henti akhirnya saya faham apa yang cuba disampaikan oleh penarik beca tersebut. Dia cuba memberitahu bahawa jarak Stesyen Kereta api itu masih jauh.

Dari situlah kami mula memberikan 'kata-kata semangat' kepada si penarik beca.

"Go! Go! Go!"

"Hurry! Hurry!"

Chik kata kami seperti berada dalam rancangan The Amazing Race. Saya setuju sangat. Memang kami sedang berlumba sekarang ini. Berlumba mengejar masa. Itu yang saya katakan kepada penarik beca walaupun saya tahu dia tidak faham sepatah haram apa yang saya cakap, "Hurry! We are in a race. Race against time!"

Akhirnya sampai juga kami di Beijing West Railway Station. Apa yang menakjubkan kami masih ada banyak masa lagi sebelum kereta api kami berlepas ke Xi'an. Nampaknya ramalan staf hostel tidak benar belaka. Penarik beca menurunkan kami di tempat parkir kereta Stesyen Kereta api. Sebagai Pemegang Amanah yang berdedikasi saya mengeluarkan duit sebanyak RMB25 untuk dibayar kepadanya. Tetapi dia menolak bayaran tersebut. Sebaliknya dia meminta lebih iaitu sebanyak RMB100. Chik mula naik angin kerana dia seperti cuba menipu kami dan menyuruh saya hanya membayar RMB25 kepadanya. Penarik beca berkeras mahu kami membayarnya RMB100 sambil membuat isyarat jauh tadi dan menunjukkan keadaannya yang basah kuyup. Chik tidak mahu mengalah juga sambil berkata kami juga basah kuyup kerana becanya yang terdedah tidak bertutup.

Saya mula berasa serba salah. Takut juga saya kalau si penarik beca bertindak ganas. Saya lihat dia memandang Chik dengan penuh benci. Jadi saya bersetuju membayarnya RMB100 kerana takut jika dia mengapa-apakan Chik. Saya pula dimarah oleh Chik. Chik diam apabila saya katakan yang duit yang lebih itu saya gunakan duit sendiri. Kami pun meninggalkan penarik beca tersenyum puas mendapat habuannya pada malam ini. 

Apa Agama Kamu? 

Kami berjalan menuju ke ruang lobi Stesyen Kereta api. Setiap kali memasuki mana-mana Stesyen Kereta api di negara China ini, saya merasa amat kagum - ruang lobinya begitu luas. Ini sudah tentu kerana kereta api merupakan pengangkutan utama rakyat negara ini. Agak mudah juga untuk mengetahui di mana letaknya terminal kereta api yang akan kami naiki berdasarkan kepada papan-papan tanda digital yang terpampang di kiri kanan ruang lobi. No. kereta api kami Z53 akan bertolak pada jam 21:24. Kami perlu naik ke tingkat atas untuk ke terminal. Tiada lif atau eskelator di sini, jadi kami terpaksa memanjat tangga besar yang terdapat di tengah-tengah ruang lobi. Saya sudah jauh ke atas dan hampir terlupakan Chik. Apabila saya berpaling ke belakang, saya lihat dia bersusah-payah mengangkat beg berodanya. Saya rasa beg beroda lebih sesuai untuk percutian mewah atau secara berpakej, bukan seperti kami yang bercuti secara 'indie' ini. Tetapi Chik tetap Chik. She has her own way.

Sebelum ke boarding lounge yang terletak di satu lagi tingkat, kami ke tandas terlebih dahulu. Chik ingin menukar pakaian. Sementara Chik menukar pakaian, saya memasuki tandas. Argh! Pintu tandas tiada selak! Tak sampai hati pula hendak panggil Chik mengawal di luar, jadi saya redha sahaja. Apa nak jadi, jadilah.

Keluar sahaja dari tandas saya lihat Chik sedang bersiap-siap dan mengemas. Ada seorang makcik pencuci tandas sedang memerhatikan Chik dengan penuh minat. Kami sudah tidak peduli dengan pandangan-pandangan curious sebegitu...ia sudah menjadi pandangan yang biasa sepanjang kami berada di Beijing. Tetapi makcik ini berlainan sekali. Apabila saya berdiri di sebelahnya selepas keluar dari tandas, dia mengalihkan pandangannya kepada saya. Dia juga memandang saya dengan penuh minat. Makcik ini mungkin sedang mencari calon menantu gamaknya. Dia tersenyum mesra memandang saya. Sah! Memang dia sedang cari calon menantu.

Eh, tidak. Dia bertanya adakah saya seorang penganut Kristian. Dia tidak boleh berbahasa Inggeris, tetapi daripada isyarat tangannya yang membuat 'cross' di dada saya fahamlah yang dia menyangka saya mungkin seorang rahib Kristian berdasarkan tudung yang dipakai. Dalam bahasa Melayu saya kata bukan sambil mengeleng-gelengkan kepala. Saya katakan saya orang Islam. Dia tidak faham. Saya mengangkat kedua-dua tangan seperti sedang bertakbir dan sekali lagi memberitahu saya orang Islam. Dia masih tidak faham dan masih mengulang membuat 'cross' di dadanya. Saya geleng kepala sambil berkata bukan. Kemudian dia merapatkan kedua-dua belah tapak tangannya di paras dada. Mungkin dia menyangka kalau saya bukan seorang Kristian, mungkin saya seorang penganut Hindu atau Buddha. Saya geleng kepala lagi sambil berkata bukan. Saya cuba lagi memberitahu saya seorang Islam dengan membuat gaya sedang bertakbir. Makcik itu masih tidak faham namun dia masih tersenyum mesra. Saya jadi putus asa dan dengan senyuman yang dibuat-buat saya berkata kepada makcik tersebut, "Saya dah tak tahu nak cakap apa dah makcik."

Chik pun sudah selesai menukar baju dan melepaskan hajat. Jadi kami berdua meninggalkan makcik tersebut dengan pertanyaannya yang belum berjawab. Sebenarnya saya merasa amat frustrated di atas kegagalan saya memberitahu makcik tersebut bahawa saya seorang yang menganut agama Islam. Saya tidak tahu apakah 'universal sign' untuk Islam. Kalau Kristian dengan membuat 'cross' di dada. Hindu atau Buddha pula dengan merapatkan kedua-dua tapak tangan di paras dada. Kalau Islam apa? Agak malang juga apabila umat Islam semakin bertambah bilangannya dari hari ke hari tetapi masih ada lagi manusia yang tidak mengenali Islam atau sekurang-kurangnya mendengar perkataan Islam.

Saya masih memikirkan perkara ini dari masa saya dan Chik meninggalkan tandas, semasa kami menunggu untuk boarding ke dalam kereta api di lounge sehinggalah kami masuk ke dalam kereta api (bahkan sampai sekarang saya masih memikirkannya). 

Bandaraya Purba 

Jadi saya masuk ke dalam kereta api dengan fikiran yang bercelaru. Sudahlah saya dan Chik tidak duduk di kerusi yang sama walaupun kami masih duduk bersebelahan. Saya di kerusi tepi aisle sebelah kiri, Chik di kerusi tepi aisle sebelah kanan.  Di sebelah saya seorang wanita China, di sebelah Chik pula seorang pemuda China. Saya sangkakan dalam keretapi akan dipasang heater, rupa-rupanya yang dipasang adalah pendingin hawa. Terpaksalah saya memakai baju sejuk. Kerusi pula agak keras walaupun ia sebenarnya 'Soft Seater'. Atau mungkin saya yang 'keras' disebabkan pelbagai kejadian yang berlaku  di hari terakhir kami di Beijing ini? Entahlah.

Di permulaan perjalanan saya mendengar penerangan yang dipasang di pembesar suara. Rupa-rupanya Xi'an merupakan salah satu daripada 4 bandaraya purba yang terdapat di dunia ini. Yang 3 lagi ialah Istanbul, Rome dan Athens. Istanbul sudah saya dan Chik jejaki. Dalam masa lebih kurang 11 jam lagi kami akan menjejakkan kaki ke Xi'an pula. 2 lagi bandar akan cuba dijejaki nanti jika ada rezeki (ada berani, Chik?). Saya lihat telefon bimbit. Sudah kehabisan bateri. Tiba-tiba rasa rindu pada tanahair sendiri. Maka, saya melayan perasaan sehinggalah terlena...   

Sunday, October 3, 2010

Cuti-cuti China: Hari Ketiga - Bahagian 3

Hari Ketiga - 25/4/2010

Selamat Tinggal Badaling

Kalau orang bertanya apa yang bagusnya tentang China selain daripada tempat-tempat yang menarik, saya akan jawab saya sangat suka dengan sistem pengangkutan awamnya terutama tren. Sangat menepati masa. Begitu juga dengan perjalanan pulang ke Beijing. Tren bergerak tepat pada masa yang dijadualkan. Jadi, tidak sia-sialah saya dan Chik berkejar-kejar menuju ke stesyen tadi. Tapi apabila kami masuk ke koc dan menuju ke tempat duduk seperti yang tertulis dalam tiket, kami dapati tempat kami telah diduduki oleh orang lain. Bukan kami sahaja, malah tempat duduk dua orang gadis China yang di sebelah kerusi kami juga telah diduduki oleh orang lain. Tidak mahu memanjangkan cerita, dua orang gadis tadi pergi duduk di tempat lain yang masih kosong. Saya dan Chik juga duduk di kerusi di hadapan orang yang duduk di tempat kami. Dalam hati berkata-kata, "kalau tak ada apa-apa yang terjadi memang tak sah!"

Perjalanan pulang akan mengambil masa sejam lebih kerana kami dijangka akan tiba di Beijing pada pukul 14:29. Awal-awal perjalanan Chik sudah melelapkan mata. Saya pula seperti biasa berada dalam keadaan berjaga-jaga. Takut ada pemandangan yang menarik lagi, saya harus menangkap gambarnya. Namun, tidak banyak gambar yang dapat saya tangkap melainkan pemandangan Great Wall dari jauh pada awal perjalanan tersebut. Semakin jauh kami meninggalkan kawasan pergunungan di Great Wall, pemandangan menjadi biasa-biasa sahaja.

Hot Pot Terakhir

Sebaik sahaja sampai di Beijing North Station, kami terus ke stesyen Subway untuk pulang ke hostel. Kami perlu mengambil tiket keretapi ke Xi'an yang ditempah semalam dan seterusnya check out dari hostel. Jadi, sebaik sampai di hostel saya terus ke kaunter penyambut tetamu untuk mengambil tiket.  Sambil-sambil itu saya bertanya cara hendak ke stesyen keretapi  daripada  staf yang bertugas di kaunter. Selain daripada teksi, kami boleh menaiki bas untuk ke Beijing West Railway Station. Nombor bas ialah  673 dan menurut katanya, stesyen keretapi tersebut merupakan perhentian terakhir bas 673. Saya juga meminta dia menulis nama stesyen keretapi dalam tulisan China agar mudah untuk kami meminta pemandu teksi menghantar kami ke sana jika kami tidak menaiki bas.

Sementara saya berurusan di kaunter, Chik pula sibuk melayari internet untuk mencari restoran halal yang ada menghidangkan menu Peking Duck. Perut sudah lapar, tetapi Chik tidak berjaya mencari Peking Duck-nya. Saya pun cuba cari setelah selesai urusan tetapi tidak berjaya juga. Nampak gayanya kami terpaksa makan Hot Pot sekali lagi. Oleh itu, sebaik check out, kami meninggalkan beg di ruang tempat menyimpan bagasi di lobi hostel.  Mula-mula kami ingat hendak pergi ke Summer Palace dahulu, tetapi staf hostel kata kami tidak akan sempat ke sana kerana Summer Palace akan ditutup pada pukul 17:00 dan jaraknya dari hostel pula agak jauh. Jadi kami teruskan niat kami untuk mengisi perut dan terus berjalan menuju ke restoran yang biasa kami kunjungi untuk kali terakhir.

Seperti biasa apabila sampai di sana, kami disambut dengan senyuman mesra. Dan untuk kali terakhir kami berada di Beijing, kami memesan hidangan Hot Pot. Entah mengapa saya rasa hidangan kali ini tidak sesedap semasa pertama kali kami datang ke sini. Mungkin sebab salah memilih hidangan utama atau sebab salah memilih kuah cicah. Kuah cicah mengandungi kisaran bawang putih. Bayangkan betapa pedas kuah tersebut. Pedas cili saya boleh tahan, tapi pedas bawang putih buatkan saya rasa seperti hendak jelirkan lidah. Tapi tak boleh, nanti Chik ingat saya sudah buang tebiat pula jelirkan lidah depan dia. Atau lebih teruk dia ingat saya mengejek dia pula. Maka terpaksalah saya berlagak 'macho' dan menghabiskan makanan yang ada di depan mata. Orang kata rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Betul tak?

Sediakan Payung Sebelum Hujan

Sedang kami asyik menikmati hidangan makanan, hujan tiba-tiba turun. Patutlah cuaca mendung dari pagi tadi. Rupa-rupanya hujan hendak turun pada waktu petang. Risau pula rasa. Saya berharap hujan ini cuma sekejap. Janganlah membawa hingga ke malam. Susah pula kami hendak ke stesyen keretapi nanti. Sudahlah saya tidak membawa payung. Selalunya kalau kemana-mana, termasuk kalau travel ke luar negara saya sentiasa membawa payung setiap kali keluar berjalan-jalan. Entah kenapa kali ini saya tidak membawanya langsung. Saya tidak sangka pula bumi Beijing akan ditimpa hujan kerana sekarang ia sedang berada dalam fasa peralihan dari musim bunga ke musim panas. Nampaknya saya tidak boleh membuat andaian sendiri. Sekarang saya perlu belajar daripada kesilapan ini - saya perlu sentiasa sediakan payung sebelum hujan walau di mana bumi dipijak dan di mana langit dijunjung (walaupun saya rasa tiada sesiapa boleh menjunjung langit).

Hujan masih juga tidak berhenti walaupun kami telah lama berhenti makan.  Tidak mahu menunggu lama, Chik mengajak saya meredah hujan. Lalu kami berdua pun meredah hujan yang hendak kata lebat tidak juga, hendak kata  gerimis tidak juga. Sejuk tidak boleh cakaplah...sebab kalau bercakap bibir mengigil-gigil. Nasib baiklah jarak antara restoran dengan hostel tidak berapa jauh. Kata orang putih within walking distance walaupun saya tidak tahu berapa jarak maksimum walking distance yang sebenarnya. Ah, abaikan sahajalah persoalan tersebut kerana belum sempat saya memikirkan berapa jaraknya, kami sudahpun sampai di hostel.

Di lobi hostel sekali lagi kami terserempak dengan pasangan dari Malaysia yang menginap di hostel yang sama. Nampak seperti mereka hendak keluar. Kami bertegur sapa. Chik bertanya kepada wanita Malaysia tersebut (entah mengapa kami tidak teringat hendak bertanya namanya dan nama suaminya) sama ada dia tahu bagaimana hendak ke Silk Market. Tetapi dia tersalah memberitahu kami cara hendak ke Pearl Market dengan merujuk kepada guide book yang dipegangnya. Nasib baik dia menyedarinya tidak lama selepas itu. Kami pula tidaklah seratus peratus berpandu kepada apa yang diberitahunya kerana kami ada juga bertanya kepada staf hostel yang menjaga kaunter dari tadi. Chik juga sempat melayari internet untuk mencari bukan sahaja di mana dan bagaimana hendak ke Silk Market, tetapi dia juga mencari tempat-tempat membeli-belah di Tianjin kerana kononnya dia hendak shopping dahulu di Tianjin sebelum naik kapal terbang balik nanti.

Di luar, hujan masih turun mencurah-curah tanpa ada tanda-tanda menunjukkan ia akan berhenti. Kami bertanya kepada staf hostel di mana kami boleh membeli payung. Mula-mula dia tidak berapa faham apa yang kami mahu. Pelik juga saya rasa...mungkin perkataan umbrella tidak begitu popular di China sehinggakan wanita Malaysia yang berbangsa Cina itu terpaksa masuk campur.

"Ohhh...sal...sal..." kata staf hostel sambil terangguk-angguk. "You can buy it next door," sambungnya lagi.

Bagus juga dia tidak faham. Sekurang-kurangnya sekarang saya tahu dalam bahasa Mandarin, payung disebut sebagai sal (mungkin kena belajar cara sebutan yang betul). Maka kami pun terus ke kedai sebelah untuk membeli payung. Kepada jurujual kami memberitahu hajat kami hendak membeli payung. Dia terpinga-pinga tidak faham apa yang kami mahu kerana Chik menyebut umbrella. Saya rasa lagu Rihanna yang bertajuk 'Umbrella' tidak mendapat tempat langsung di China kerana jurujual tersebut merupakan orang China yang kedua yang tidak faham apa maksud perkataan ini. Kemudian masuk pula orang ketiga yang saya kira tauke kedai tersebut yang juga tersengih-sengih tidak faham apa yang dimaksudkan dengan umbrella. Kemudian saya teringat perkataan 'sal'. Sebaik sahaja saya menyebut perkataan magik tersebut, serta-merta kedua-dua mereka tertawa girang dan menyebut-nyebut perkataan yang sama sambil menunjuk ke arah depan pintu kedai. Rupa-rupanya koleksi payung diletakkan di pintu masuk kedai. Macam manalah kami boleh terlepas pandang semasa masuk tadi sedangkan saya rabun jauh bukan rabun dekat. Manakala Chik pula telah menjalani pembedahan Lasik untuk mengubati masalah rabunnya. Mungkin ini yang dikatakan - kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak. Kasihan... 

Wednesday, August 18, 2010

Cuti-cuti China: Hari Ketiga - Bahagian 2

Hari Ketiga - 25/4/2010 

Baju Sejuk 

Sebelum meneruskan perjalanan ke Great Wall, kami membeli tiket balik ke Beijing. Waktu balik adalah 1.10 petang. Harga tiket sama sahaja dan kami membeli tiket first class sesuai dengan orang yang ada class seperti kami. Disebabkan ada class, paras keegoan turut meningkat naik.

Maka, dengan penuh rasa keegoan saya mengajak Chik meneruskan perjalanan ke Great Wall yang terletak sejauh 800 meter dari stesyen keretapi. Walaupun kesejukan, saya rasa saya masih mampu bertahan berjalan kaki dalam cuaca yang sejuk. Maklumlah, ego...lagipun saya ada shawl. Chik memandang saya dengan penuh curiga apakah saya benar-benar boleh bertahan dalam keadaan sekarang.

"Siti, hidung tu dah merah," kata Chik merujuk kepada hidung mancung saya.

"Hah! Ye ke?" tanya saya buat-buat terkejut. Dalam kepala sudah terbayang wajah badut.

Mungkin kerana risaukan saya, Chik mencadangkan agar kami berpatah balik ke stesyen keretapi. Mungkin di sana ada kedai yang menjual baju sejuk. Saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju dengan cadangan Chik kerana saya memang sedang mengigil dengan kuatnya. Ego ditolak ke tepi. Nyawa lebih penting. Nasib baiklah kami baharu berjalan tidak sampai 10 meter meninggalkan stesyen, jadi hendak patah balik tidaklah jauh sangat.

Di stesyen cuma ada satu sahaja kedai serbaneka. Sebenarnya nak kata kedai, tak macam kedai. Nak kata kiosk, tak macam kiosk juga. Macam kaunter pertanyaan adalah. Cuma dalam 'kaunter' itu ada bermacam-macam barangan yang dijual daripada makanan, cenderahati hinggalah kepada baju sejuk. Ya, baju sejuk. Itulah yang saya cari walaupun terpaksa menunggu mamat-mamat dan minah-minah China yang mengerumuni depan 'kaunter' untuk membeli mee segera selesai dengan urusan mereka.

Sebaik sahaja mereka berlalu, saya dan Chik pun pergi ke depan 'kaunter'. Jurujual di situ merupakan seorang wanita dalam lingkungan umur 40-an. Di atas meja di 'kaunter' memang sudah ada diletakkan contoh baju sejuk. Saya mengambil baju sejuk itu. Perkara pertama yang saya check adalah saiz baju. Kening saya terangkat apabila melihat saiznya. Saya lihat baju dan kemudian saya pandang seorang lelaki caucasian bertubuh besar yang berada di sebelah kiri saya yang sedang mencuba baju sejuk yang mungkin bersaiz sama dengan baju yang sedang saya pegang. Kepada jurujual saya bertanya adakah baju yang bersaiz 'S' sambil menulis huruf 'S' di atas meja menggunakan jari telunjuk saya. Dia juga menulis huruf 'S' di atas meja dengan menggunakan jari telunjuknya. Kemudian tangannya diangkat ke paras dada dan digerakkan ke kiri dan ke kanan sambil mengeleng-gelang kepala. Saya hampa; tiada saiz 'S'. Bagaimana pula dengan saiz 'M'? Saya bertanya dengan cara yang sama. Dengan cara yang sama juga dia kata tiada saiz 'M' dalam stok. Hampa lagi.  Dia kata cuma ada satu saiz sahaja yang tinggal sambil menunjuk baju-baju sejuk yang ada di atas meja dan yang bersusun di belakang 'kaunter'.

Chik menggesa saya membelinya walaupun tiada saiz yang sesuai dengan saya. Katanya lebih baik pakai yang ini dahulu daripada saya mati kesejukan. Sungguh tidak sayang mulut betul si Chik ni. Tapi betul juga apa yang dikatanya. Saya hanya perlu memakai sementara sahaja baju sejuk tersebut. Apabila sampai di Great Wall nanti, pasti ada banyak lagi kedai yang menjual baju-baju sejuk yang mungkin sesuai dengan saiz badan saya. Jadi, mahu tidak mahu saya terpaksa membeli baju sejuk di situ dahulu walaupun saiznya begitu besar - XXXL! 

Akhirnya...Great Wall! 

Baju sejuk yang dibeli terus disarungkan ke badan. Saya rasa diri ini seperti sebiji nangka yang disarung guni untuk diperam sehingga masak. Tetapi tidak mengapa, yang penting saya tidak lagi kesejukan. Jadi perjalanan sejauh 800 meter tidaklah begitu menyeksakan sangat.

Lebih kurang 15 - 20 minit kemudian kami pun sampai di Badaling. Memang benar ada banyak terdapat kedai-kedai di sepanjang jalan menuju ke pintu masuk Great Wall. Sekali lagi saya membeli baju sejuk. Kali ini ada banyak pilihan dan yang penting ada saiz yang sesuai dengan saya. Alhamdulillah.

Setelah membeli dan setelah mengambil gambar-gambar yang sebenarnya tidak patut, kami menuju ke kaunter tiket. Harga tiket masuk ke Great Wall ialah RMB45 seorang. Tiket sudah berada dalam tangan. Dengan penuh rasa teruja (sayalah tu, Chik relaks sahaja sebab ini kali kedua dia ke Great Wall) kami menuju ke sana.

Rasa macam tidak percaya akhirnya saya sampai juga ke Great Wall yang sudah berusia 2000 tahun itu. Kami berjalan di atas tembok sambil sakan bergambar. Binaan Great Wall memang sangat hebat...tetapi pada pendapat saya, pemandangan di sekitar Great Wall adalah berkali-kali ganda hebatnya. Sukar hendak dibayangkan betapa indahnya pemandangan di sana ditambah pula dengan cuaca yang sejuk, menambahkan lagi suasana indah dan nyaman. Apatah lagi apabila kami sampai di puncak antara yang tertinggi di bahagian tembok Badaling ini...pemandangannya sungguh breathtaking, bak kata orang putih.

Panjang Great Wall kalau tidak silap saya adalah lebih daripada 6000 kilometer. Disebabkan masa yang tidak mengizinkan, maka saya dan Chik tidak dapat menghabiskan perjalanan sejauh 6000 kilometer itu. 6000 meter yang bersamaan dengan 6 kilometer (eh, betul ke?) pun tidak mampu dihabiskan, inikan pula 6000 kilometer. Gila apa? Jadi, apabila jam sudah menunjukkan pukul 12, Chik mengajak saya untuk pulang segera ke stesyen keretapi kerana seperti yang telah dinyatakan awal-awal tadi, tren ke Beijing akan bertolak pada pukul 1.10 petang. 

Berada Dalam Kesesatan 

Dengan lenggang kangkung kami beransur pergi dari Great Wall. Tetapi sebelum itu sempat juga saya memberikan pose istimewa untuk seorang lelaki mat salleh yang berminat hendak mengambil gambar saya (nak beritahu juga tu..hahaha). Kami berjalan keluar dari Great Wall dan berjalan terus ke hadapan. Sambil-sambil berjalan, sambil-sambil bergambar. Tak puas-puas bergambar. Setelah berjalan beberapa minit, Chik bertanya adakah jalan yang kami lalui sekarang memang jalan menuju ke stesyen keretapi. Saya pun tidak berapa pasti. Saya bertanya balik kepada Chik, ada nampak jalan yang lainkah? Rasa macam tiada. Chik pun kata macam tiada. Maka, kami pun teruskan juga perjalanan kami.

Namun, semakin jauh terasa seperti jalan tersebut semakin tidak familiar. Seperti lain daripada jalan yang kami lalui semasa hendak ke Great Wall pada pagi tadi. Sehinggalah kami sampai ke sebuah terowong di hujung jalan, baharulah kami sedar yang kami telah tersesat jalan. Oh tidak! Di kiri kanan bahagian dalam terowong berderet peniaga-peniaga memperagakan barangan jualan mereka. Kepada salah seorang peniaga yang gerainya terletak di hadapan pintu terowong, Chik bertanya arah ke stesyen keretapi. Nasib baik peniaga wanita tersebut boleh berbahasa Inggeris, jadi tidak ada masalah untuk dia beritahu bahawa kami sepatutnya mengambil jalan yang satu lagi. Dan untuk berpatah balik ke sana sahaja akan mengambil masa lebih kurang setengah jam lagi. Jam pada waktu itu pula sudah menunjukkan pukul 12.30 tengahari!

Kami berpatah balik. Saya sudah merasa risau...takut ketinggalan tren. Jalan tidak pandang kiri kanan. Chik yang berjalan di belakang pun saya tidak pandang. Takut. Mesti dia marah saya. Tidak lama selepas itu Chik potong saya. Muka masam mencuka. Sah, dia memang marah sayalah tu. Saya biarkan dia. Saya tidak akan tegur dia or else she will burst out. Tapi dalam hati ada rasa tidak puas juga, kenapa hendak marah saya pula sedangkan dia pun sama tidak ingat jalan.

Jadi apabila sampai di luar kawasan Great Wall semula, saya biarkan dia membuat silap. Kami sepatutnya berjalan terus melalui terowong pendek yang berada di hadapan untuk keluar semula dan bukannya belok ke kiri seperti yang dilakukan oleh Chik. Tetapi saya ikut sahaja. Mungkin apabila dia sedar bukan itu jalan yang sepatutnya diambil, dia akan bercakap semula dengan saya. Dan memang betul pun telahan saya. Setelah perasan itu adalah sebenarnya jalan menuju sebuah bangunan, baharulah Chik bersuara.

Kami keluar dari situ dan meneruskan perjalanan pulang. Kali ini kami agak berhati-hati dengan memastikan jalan yang diambil adalah betul berdasarkan kepada papan tanda yang disediakan. Sebagaimana pantasnya kami berjalan semasa berpatah balik tadi, pantas juga kami berjalan menuju ke stesyen keretapi. Ada sekali Chik merasa ragu-ragu. Katanya mungkin kami tidak sempat mengejar tren. Tapi saya berkata-kata dalam hati, 'we will make it, yes we can' sambil mempercepatkan lagi langkah.

Ya, Malaysia boleh! Memang kami sempat sampai ke stesyen keretapi sebelum tren bertolak. Jangan tidak percaya kami sampai di sana lebih kurang dalam pukul 1.00 petang. Tapi penatnya tak boleh nak cakap...rasa seperti mahu tercabut kepala lutut saya. Apa-apapun saya bersyukur sangat-sangat sebab masih sempat sampai...kalau tidak, terpaksalah kami membeli tiket baharu dan menunggu tren seterusnya yang kalau tidak silap saya akan bertolak pada pukul 3 lebih.

So Beijing, we are coming back for our next adventure...

Monday, July 12, 2010

Cuti-cuti China: Hari Ketiga - Bahagian 1

Hari Ketiga - 25/4/2010

Hari Baru Bermula 

Tembok Besar China (Great Wall). Hmmm...siapa yang tidak mahu ke sana ya? Sementelah lagi ia telah disenaraikan sebagai salah satu daripada 7 keajaiban dunia yang baharu pada tahun 2007. Saya juga menyimpan impian untuk ke sana. Pagi ini impian itu akan saya laksanakan dengan izin-Nya. Saya sangat teruja!

Maka seawal pagi iaitu lebih kurang pukul 7 yang tidaklah begitu awal mengikut standard negara China (di sana pukul 5 pagi sudah terang benderang seperti pukul 7 pagi di Malaysia), saya dan Chik turun dari bilik hostel. Sampai di lobi, tidak disangka-sangka kami terserempak lagi dengan pasangan dari Malaysia yang menegur kami di Houhai Lake pada malam pertama kami sampai di Beijing. Dunia ini sederhana kecil (tiada kena-mengena dengan novel Bahruddin Bekri), rupa-rupanya mereka juga menyewa di hostel yang sama. Kuat betul jodoh kami dengan mereka...ahaks...

Setelah berbual ringkas, kami tinggalkan pasangan dari Malaysia tersebut dan berjalan kaki menuju ke Stesyen Qianmen. Destinasi kami ialah Stesyen Xizhimen yang terletak bersebelahan dengan Beijing North Station. Saya merasa sedikit bimbang kerana langit kelihatan mendung dan cuaca pula agak sejuk berbanding dengan dua hari yang lepas. Bimbang juga jika jaket hitam yang saya pakai tidak mampu melindungi tubuh daripada sejuk kerana ia tidak begitu tebal. Selain daripada itu saya tiada baju sejuk yang lain, jadi saya hanya membawa shawl. Agak mengigil juga semasa saya berjalan menuju ke Beijing North Station dari Stesyen Xizhimen.

Sampai di stesyen, kami sudah terlepas tren pukul 7.26 pagi. Jadi, kami membeli tiket untuk tren seterusnya yang dijadualkan bertolak pada pukul 9.33 pagi ke Badaling (salah satu daripada bahagian Great Wall yang menjadi tumpuan pelancong). Harga tiket adalah RMB17 untuk kelas pertama, manakala kelas kedua berharga RMB14.

Ada banyak masa lagi sementara menunggu waktu bertolak. Rasa menyesal pula tidak membawa apa-apa bahan bacaan untuk dibaca untuk mengisi masa yang terluang. Tetapi saya tidak kekok sangat kerana saya perhatikan tiada seorang pun orang China yang berada di ruang menunggu yang menghabiskan masa dengan membaca. Bukan sahaja di sini, malah sepanjang saya menggunakan pengangkutan awam terutama sekali Beijing Subway, saya tidak pernah lagi melihat orang China membaca...cuma sekali sahaja saya melihat seorang wanita membaca surat khabar. Saya rasa saya perlu memperkenalkan aktiviti Baca@Subway kepada masyarakat Beijing. Saya yakin kerajaan China akan menghargai usaha saya itu nanti.

Errr...Ok, saya cuma berangan. Hakikatnya, saya lebih kurang sama sahaja seperti mereka. Tetapi, janganlah pandang serong kepada saya. Saya cuma menyesuaikan diri dengan masyarakat Beijing. Kata orang; masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Begitulah saya lebih kurangnya...hohoho...

Brrrr...Sejukkk!!!

Kami bertolak ke Badaling tepat pada pukul 9.33 pagi. Kami dijangka sampai pada pukul 10.42 pagi di Stesyen Keretapi Badaling. Sepanjang perjalanan, tren cuma berhenti sekali di stesyen yang saya tidak ingat namanya. Pemandangan agak membosankan pada mulanya. Tetapi apabila hampir sampai ke Badaling, saya (tidak termasuk Chik) dan para penumpang yang lain disajikan dengan pemandangan yang sungguh indah dan menakjubkan. Saya sibuk mengambil gambar manakala Chik pula sibuk melayan layar mimpinya (agaknyalah). Jealous sungguh saya dengan Chik, asalkan ada peluang dia tidak akan melepaskan peluang untuk melelapkan mata. Saya tidak boleh, apatah lagi saya sudah tahu (melalui research di internet) yang kami akan disajikan dengan pemandangan yang indah sebaik sahaja tren mula mendaki gunung. Sayang kalau tidak diabadikannya ke dalam kamera di samping memuji kehebatan dan kekuasaan Allah dalam mencipta alam yang begitu indah ini. 

Dalam pada mengagumi ciptaan Allah, saya dilanda kerisauan sekali lagi apabila melihat orang-orang di luar yang memakai baju sejuk yang tebal-tebal. Saya pasti di luar sana sangat sejuk. Ada kemungkinan besar saya akan mati kesejukan sebaik sahaja keluar daripada tren. Ok, saya mengarut lagi. Saya tidaklah mati kesejukan (kalau tidak, tiadalah travelog ini, duh!), cuma mengigil sahaja. Keluar sahaja daripada tren memang sangat terasa kesejukannya. Saya tidak tahu suhu sebenar pada waktu itu, tetapi apa yang boleh saya beritahu; kalau bercakap, wap akan keluar berkepul-kepul dari mulut.

-Akan bersambung- (^__^)V