Sunday, June 20, 2010

Cuti-cuti China: Hari Kedua - Bahagian Akhir

Hari Kedua - 24/4/2010

Kempunan lagi 

Setelah puas berjalan dan bergambar di sekitar Stadium Bird's Nest dan Stadium Water Cube, tiba masanya untuk kami beredar dari sana. Dengan lemah longlainya saya berjalan menuju ke Stesyen Olympic Sports Centre. Destinasi kami yang seterusnya ialah Xidan Commercial Centre - salah satu kawasan membeli belah yang agak terkenal di Beijing...errr..itu seperti yang saya baca di internet, tidak tahulah benar atau tidak. Saya tidak teruja sangat hendak ke sana, tetapi disebabkan saya tidak membawa baju yang cukup, saya memaksa diri untuk mengikut Chik ke sana. Shopping memang aktiviti kegemaran Chik tetapi tidak bagi saya. Dan sebenarnya dari semalam Chik hendak pergi shopping tetapi akibat tidak sempat (di Beijing kebanyakan perniagaan ditutup seawal pukul 9 malam), kami menukar rancangan untuk shopping ke hari ini.

Semasa hendak pergi ke kaunter untuk membeli tiket, Chik berpesan kepada saya tidak perlu beritahu kepada penjual tiket ke mana tempat yang hendak dituju. Terus hulurkan duit tambang sahaja kerana dia merasakan bahawa  harga tambang telah ditetapkan pada harga RMB2. Memang benar sekali kerana sebaik saya menghulurkan RMB4 kepada penjual tiket tanpa berkata apa-apa, saya diberikan 2 tiket tren. 

Kagum betul saya dengan sistem pengangkutan awam di China. Sudahlah murah, sangat efisien dan menepati masa pula. Bak kata Chik , kalaulah China tahu apa yang kerajaan buat di Malaysia (mengenai tambang) mesti kami akan ditertawakan...hmmm...

Jadi dari Stesyen Olympic Sports Centre kami mengambil tren hingga sampai ke Stesyen XiDan yang berada di Line 1. Sebaik mendaki anak-anak tangga dan sampai di atas, saya terpandangkan sebuah bangunan besar berwarna coklat yang berada di sebelah kiri saya. Di tengah-tengahnya terpampang nama bangunan tersebut:

BEIJING BOOK BUILDING

Wahhhhhh!!! Saya rasakan mata saya bersinar-sinar seperti mata Spongebob apabila dia melihat atau mendengar benda yang dia suka. Saya pernah terbaca tentang bangunan tersebut dalam buku Lonely Planet: Beijing tetapi saya tidak ingat di mana. Rupa-rupanya ia berada di Xidan...dan sekarang ia berada betul-betul di hadapan mata saya. 

"Inilah Beijing Book Building yang orang cakap hari tu," kata saya kepada Chik. Masa dalam flight menuju ke Tianjin kelmarin, Chik ada bertanya kenapa saya tidak membawa apa-apa buku untuk dibaca. Saya cakap saya malas dan tidak mahu memberatkan beg. Lagipun saya kata di Beijing ada satu bangunan bernama Beijing Book Building yang menjadi tumpuan pecinta buku...kalau boleh saya teringin hendak ke sana tetapi tidak ingat ia terletak di mana.

Chik nampak tidak berminat dan sememangnya dia tidak berminat. Kalau boleh saya hendak mengajak dia ke sana tetapi dia telah terlebih dahulu bertanya di mana shopping complex yang hendak dituju. Nampaknya saya kempunan sekali lagi. Di masa itu saya mengharapkan di sebelah saya bukan Chik tetapi Puan Azrina atau mungkin Encik Zaiful kerana saya yakin belum sempat saya mengajak, mereka akan terlebih dahulu menarik saya untuk ke sana.

Maka dengan kaki yang penat dan lenguh kami menuju ke kanan ke sebuah kompleks membeli belah yang berbentuk empat segi berwarna putih yang tidak menarik langsung. Sebaik masuk melalui pintu berputar (tiba-tiba teringat rancangan 'Roda Impian' - saya putar Halim! Hahaha...), saya sudah merasakan aura orang-orang kaya berlegar-legar di dalam bangunan tersebut. Memang tempat itu tempat orang-orang kaya membeli belah. Melihat tag-tag harga di situ membuatkan saya rasa ingin pengsan. Memang saya dan Chik tidak layak berada di situ. Maafkan kami wahai bangunan-empat-segi-berwarna-putih-yang-tidak-menarik-langsung, kami tersesat! Saya cuma hendak mencari t-shirt yang berharga RMB20, bukan yang berharga RMB200 atau RMB2,000!

Selepas keluar daripada bangunan-empat-segi-berwarna-putih-yang-tidak-menarik-langsung, kami balik semula ke underpass menuju ke Stesyen XiDan. Saya teringat ada satu lagi kawasan membeli belah yang boleh dituju iaitu Wangfujing Street. Jadi kami akan ke sana pula menaiki tren dan berhenti di Stesyen Wangfujing. Saya tidak mahu bercerita panjang tentang Wangfujing Street kerana memang tiada apa-apa yang menarik hati saya di sana.

Pulang, Marilah Pulang Bersama-sama...

Saya tidak dapat juga membeli apa-apa di Wangfujing Street. Begitu juga dengan Chik kerana harga barangan yang masih tidak dapat ditampung bajet kami. Rasa menyesal pula kerana terlalu mendengar kata-kata Chik semasa di kedai cenderamata di Beijing Zoo. Saya sebenarnya hendak membeli sehelai t-shirt  lengan panjang yang dihiasi gambar panda di sana. Tetapi Chik kata tidak berbaloi kerana harganya mahal. Di luar sana kami boleh dapatkan t-shirt yang lebih murah. Yeah, right! Sekarang saya pulang dengan tangan kosong. Nasib baik masih ada sehelai dua baju lagi. Esok kena cari lagi.

Kami pulang ke hostel dengan menaiki tren. Destinasi kami ialah Stesyen Qianmen (Line 2). Semasa melepak menghilangkan lenguh di bangku di tepi sebuah kompleks membeli belah di Wangfujing Street, saya dan Chik berbincang tentang bagaimana hendak membeli tiket keretapi ke Xi'an kerana pada malam esok kami perlu bergerak ke sana. Agak sukar hendak pergi sendiri jadi saya mencadangkan kepada Chik agar kami meminta pihak hostel menempahkan tiket keretapi bagi pihak kami.

Maka, sebaik sampai di hostel, kami terus ke kaunter dan meminta staf hostel yang berada di kaunter pada ketika itu untuk menempahkan tiket bagi pihak kami. Harga tiket keretapi 'soft seat' (kami sebenarnya ingin menempah tiket keretapi 'soft-sleeper' tetapi tiket telah habis dijual) adalah RMB237 seorang tidak termasuk caj servis yang dikenakan oleh pihak hostel iaitu sebanyak RMB60 seorang.

Selesai dengan urusan tempahan, kami naik ke bilik. Kalau ikutkan Chik dia mahu terus pergi makan, tetapi memandangkan waktu itu sudah hampir maghrib saya mengingatkan Chik bahawa saya belum solat.

Namun keluar sahaja dari bilik air saya terus beritahu Chik kami sudah boleh keluar semula. 'Kawan baik' saya datang awal lagi. Arghh!! Risaunya saya...memikirkan keadaan tandas di China yang tiada air...malam esok pula perlu ke Xi'an menaiki keretapi semalaman. Waktu-waktu begini mulalah rasa betapa sukarnya menjadi perempuan. Harap-harap 'kawan baik' saya ini mendengar rayuan agar tidak menyusahkan saya sepanjang berada di sini...huhu...

Hot Pot Lagi?

Malam ini kami makan malam di restoran yang sama. Staf-staf restoran tersenyum gembira menyambut kedatangan kami. Layanan yang diberikan juga lebih mesra daripada semalam. Rasa malu pula. Saya masih terkial-kial melihat menu tetapi tidak tahu hendak makan apa. Ini menambahkan lagi rasa malu saya kepada pelayan yang sedang menunggu order daripada kami dengan penuh sabar. Takkan hendak order hidangan hot pot lagi? Memandangkan Chik order mee (mee rebus agaknya?), jadi saya pun order makanan yang sama.

Seharian tidak makan apa-apa kecuali biskut, jadi malam itu saya makan dengan berselera sekali. Selepas makan kami berjalan-jalan sebentar di lorong kecil yang kami kunjungi semalam. Setelah puas merayau kami pulang semula ke hostel.

Setelah membersihkan diri, seperti biasa orang yang paling awal tidur ialah Chik. Saya masih ada kerja yang perlu dilakukan iaitu mengira baki wang yang kami kongsi bersama sama ada masih cukup atau tidak. Memang menjadi kebiasaan kami untuk mengasingkan wang makan, tambang dan tiket untuk dipegang oleh salah seorang daripada kami sebagai 'pemegang amanah'. Selalunya sayalah yang akan dilantik menjadi pemegang amanah tersebut. Tidaklah saya tahu kenapa saya yang sering dilantik, tetapi saya menerimanya dengan redha.

Dan pada malam ini baharu saya tahu air conditioner di dalam bilik ada fungsi heater. Tiba-tiba saya rasa macam orang bodoh. Mungkin sebab sudah terbiasa dengan air conditioner di Malaysia yang cuma berfungsi sebagai pendingin hawa jadi semalam saya tidak menghidupkannya kerana tidak terfikir langsung  yang air conditioner di sini mungkin ada fungsi heater. Tidak fasal-fasal saya dan Chik kesejukan semalam. Hmmm...tidak mengapalah. Perkara pun sudah berlalu. Yang penting sekarang ialah saya perlu mengikut jejak Chik....saya mahu tidur lena malam ini. Diharapkan segala-galanya akan berjalan dengan lancar pada hari esok...               

Saturday, June 19, 2010

Cuti-cuti China: Hari Kedua - Bahagian 3

Hari Kedua - 24/4/2010 

Kecelaruan yang Maha Hebat 

Saya dan Chik meneruskan perjalanan ke Stadium Olimpik. Seperti yang dinyatakan dalam episod yang lepas, untuk ke sana, kami akan menaiki tren dari Stesyen Beijing Zoo.

Sebaik sahaja sampai di kaunter tiket, dengan senang hati saya beratur bersama-sama dengan pengguna-pengguna tren yang lain untuk membeli tiket. Tiba sahaja giliran saya untuk membeli tiket, saya terus menyatakan hajat saya kepada si penjual tiket - seorang lelaki muda yang tembam dan merah pipinya.

"Olympic Stadium. Two," kata saya yang seperti biasa tidak lupa menunjukkan isyarat 'peace' disertai dengan senyuman yang sungguh ikhlas.

Namun, senyuman ikhlas saya disambut dengan senyuman bersalah (atau serba salah?) daripada si jejaka penjual tiket. Dia menoleh ke arah rakan sekerja di sebelah kirinya - seorang lelaki muda yang kurus - sambil bercakap dalam bahasa China. Dejavu. Dalam bas tadi lebih kurang begini keadaannya. Di sini juga saya menghadapi situasi yang sama - penjual tiket tidak faham apa yang saya cakap.

'Stadium Olimpik pun takkan tak faham juga?' saya mengomel di dalam hati sampai berkerut-kerut dahi dibuatnya. Geram. Itu yang saya rasa.

Si penjual tiket memandang saya semula sambil menunjuk-nunjuk ke arah rakan sekerjanya tadi sambil berkata, "next counter." Eh, pandai pula dia berbahasa Inggeris. Dia tersipu-sipu malu membuatkan pipinya menjadi lebih merah daripada biasa.

Saya lihat kaunter sebelah sudah ramai orang berbaris hendak membeli tiket. Serba salah juga saya dibuatnya. Perlukah saya masuk di belakang barisan atau terus ke kaunter dengan penuh selamba? Memikirkan  yang orang-orang China memang suka memotong barisan dan tiada siapa sebenarnya yang kisah, saya rasa mereka yang di sini juga tidak akan kisah dan marah sekiranya saya memotong barisan mereka. Jadi, sebaik sahaja seorang lelaki selesai dengan urusan membeli tiketnya, saya yang telah sedia menunggu, terus ke kaunter sambil menunduk kepala sedikit kepada gadis yang sedang beratur di belakang lelaki tadi. Kepada penjual tiket ini sekali lagi saya nyatakan hajat saya. Dia  memberitahu harga tambang iaitu RMB2 seorang lalu menyerahkan dua keping tiket kepada saya. Saya sebenarnya mengharapkan dia akan memberitahu bagaimana cara untuk ke Stadium Olimpik selepas menyerahkan tiket, sebaliknya dia hanya diam membisu sambil menunggu pelanggan seterusnya. Dalam keadaan terpinga-pinga saya beredar daripada kaunter dan pergi mendapatkan Chik yang sedang menunggu di hadapan kaunter.

Saya serahkan sekeping tiket kepada Chik. Sekeping lagi saya pegang sambil membelek-beleknya seperti orang yang baharu belajar membaca.

"So, macam mana nak pergi Stadium Olimpik ni?" tanya Chik.

"Entah," jawab saya sambil mengangkat kedua-dua bahu dan mata pula tidak lekang daripada melihat peta jaringan Beijing Subway yang terdapat di belakang tiket yang kelihatan sangat bercelaru...atau otak saya yang sebenarnya sedang bercelaru pada tika dan saat itu?

Chik juga membelek tiketnya. "Tak nampak pun Stadium Olimpik. Dekat mana..."

Saya juga tidak nampak nama stadium di dalam tiket tersebut. Tulisan yang terdapat di atas tiket pula sangat halus. Terlalu banyak stesyen dan terlalu banyak 'line' yang membuatkan saya rasa seperti mahu menangis dan mood saya jadi sangat-sangat down pada masa itu.

"Macam mana ni Siti? Nak turun platform ke tak?"

"Jomlah," jawab saya ringkas. 

Platform Beijing Subway tidak banyak bezanya dengan platform bagi stesyen-stesyen bawah tanah LRT Putra. Cuma di Stesyen Beijing Zoo ini terdapat banyak tiang. Di tiang-tiang sebelah kanan ditulis nama destinasi terakhir iaitu Gongyixiqiao manakala di tiang-tiang sebelah kiri nama destinasi terakhirnya ialah Anheqiaobei.

"Yang mana satu kita nak naik ni Siti?" Aduhai Chik. Kalaulah saya tahu tidak adalah saya berkerut-kerut dahi cuba memahami peta yang terdapat dalam tiket. Terus terang saya memang terasa betul-betul hendak menangis pada masa itu. Rasa panik juga sudah mula timbul. Tetapi sebagai seorang yang telah dilatih dalam Persatuan Bulan Sabit Merah dari sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi, satu perkara yang saya ingat ialah kita tidak boleh terlalu ikutkan rasa panik. Panik membuatkan kita tidak boleh berfikir dengan baik. Jadi rasa panik itu saya buang jauh-jauh dan saya beritahu Chik bahawa saya perlu sedikit masa untuk 'study' peta tersebut (untuk merujuk peta tersebut bersama-sama dengan saya, silalah klik di sini).

Sebelum itu, saya dan Chik sudah nampak di mana sebenarnya Stadium Olimpik berada iaitu mungkin di Stesyen Olympic Sports Centre atau Olympic Park yang terletak di laluan Line 8. Sebab itu Chik bertanya kepada saya tren menuju ke mana yang perlu kami ambil. Masalahnya sekarang kami berada di Line 4. Saya cuba mencari stesyen-stesyen pertukaran yang akan membawa kami ke Line 8. Bulatan-bulatan yang besar dalam peta merupakan stesyen-stesyen pertukaran.

Lebih kurang sepuluh minit termenung sambil bersandar di tiang, akhirnya saya berjaya juga meleraikan kekusutan fikiran. Saya sudah mula memahami  peta perjalanan tren; bukan sahaja untuk pergi ke Stadium Olimpik, tetapi keseluruhan destinasi. Lega!

Saya dapati terdapat dua cara untuk ke Stadium Olimpik dari Stesyen Beijing Zoo. Cara pertama (nampak macam dekat tetapi perlu banyak bertukar Line tren) ialah kami perlu mengambil laluan Gongyixiqiao lalu turun di Stesyen Xizhimen. Dari sana kami perlu bertukar ke Line 13 menuju ke Stesyen pertukaran Zhichunlu yang terletak di Line 10. Di Line 10 kami perlu mengambil tren menuju ke Jinsong dan turun di Beitucheng yang merupakan stesyen pertukaran Line 8. Dari Line 8 kami boleh terus ke Olympic Sports Centre yang hanya berselang satu stesyen dengan Beitucheng. Cara kedua (nampak lebih jauh tetapi kami boleh skip Line 13) ialah kami boleh terus ke Line 10 dengan menaiki tren yang menuju ke Anheqiaobei dan turun di Stesyen Haidianhuangzhuang. Dari sana kami boleh terus ke Beitucheng dan seterusnya ke Olympic Sports Centre di Line 8. 

Dan sudah tentunya saya mengajak Chik menaiki tren yang menuju ke Anheqiaobei (cara kedua). Semasa di Beitucheng saya bertanya kepada Chik  di stesyen manakah kami perlu turun; di Olympic Sports Centre atau Olympic Park? Chik mencadangkan agar kami turun di Stesyen Olympic Sports Centre. Jika Stadium Olimpik bukan terletak di sana, kami boleh sahaja pergi ke Olympic Park pula. 

Si Tua Peragut 

Saya dan Chik turun di Stesyen Olympic Sports Centre. Berdasarkan kepada papan tanda yang terdapat di stesyen, kami tidak tersalah tempat turun. Memang Stadium Olimpik Bird's Nest dan Water Cube terletak di sini.

Kami berjalan menuju ke tangga untuk naik ke atas. Terdapat dua arah untuk keluar dari stesyen. Di sebelah kiri kami adalah jalan keluar ke Stadium Water Cube manakala di sebelah kanan merupakan jalan keluar ke Stadium Bird's Nest. Kami memilih untuk ke kanan. Setelah sampai di atas, saya terasa seperti hendak melompat dan hendak terduduk pada masa yang sama.

Hendak melompat akibat terlalu gembira kerana akhirnya kami sampai juga ke Stadium Olimpik setelah mengalami sedikit 'tekanan jiwa' sebentar tadi. Dan juga kerana Stadium Water Cube sebenarnya terletak bersebelahan sahaja dengan Stadium Bird's Nest - jadi tidak ada bezanya jika kami memilih untuk ke kiri semasa di berada bawah stesyen tadi di mana kedua-dua arah akan membawa kami kepada kedua-dua stadium yang terkenal itu. Hendak terduduk pula kerana jarak kedua-dua stadium yang agak jauh dari tempat kami berdiri. Rasanya lebih kurang 200 - 300 meter. Entahlah, saya tidak dapat mengagak dengan tepat. Aduhai...terpaksa berjalan jauh lagi. Saya tidak tahu sudah berapa kilometer jarak perjalanan yang saya tempuhi di hari kedua ini. Yang saya tahu dan pasti ialah kaki saya akan menjadi penat dan lenguh semula selepas ini.

Maka dengan perlahan-lahan saya dan Chik berjalan di dataran yang luas menuju ke arah Stadium Bird's Nest. Sekejap-sekejap kami berhenti untuk bergambar sehingga akhirnya kami sampai di hadapan stadium. Chik mengajak saya masuk ke dalam stadium. Chik kata alang-alang sudah sampai, rugi rasanya kalau tidak masuk. Lagipun ini pengalaman pertama kami mengunjungi sebuah stadium Olimpik. Saya bersetuju dengan cadangan Chik kerana saya juga memang teringin hendak melihat keadaan di dalam stadium.

Namun, untuk masuk ke dalam stadium bukanlah percuma. Kami perlu membeli tiket yang berharga RMB50 seorang. Setelah mendapat tiket, kami beratur di security check untuk masuk ke dalam stadium. Adalah menjadi kebiasaan di Beijing kebanyakan tempat tumpuan pelancong akan ada security check di mana beg-beg pelawat akan diimbas di alat pengimbas sebelum dibenarkan masuk (di setiap stesyen Beijing Subway juga begitu).

Chik beratur di hadapan manakala saya berada di belakang Chik. Di hadapan Chik pula ada seorang perempuan China yang sudah tua, mungkin dalam lingkungan 60 tahun. Saya tidak tahu bagaimana dan bila masanya, tiba-tiba saya lihat beg Chik yang baharu keluar dari alat pengimbas telah berada di tangan perempuan tua tersebut dan dia dengan selamba terus berjalan menuju ke pintu masuk stadium. Cepat-cepat saya mengambil beg saya. Chik pula memanggil-manggil perempuan itu sambil berlari anak ke arahnya. Saya lihat pegawai-pegawai sekuriti yang berada di situ tergelak-gelak sesama mereka  apabila melihat Chik 'mengejar' perempuan tua tersebut. Pelik juga saya, bukannya hendak menolong tetapi tergelak pula. Chik sudahpun mendapatkan begnya manakala saya lihat perempuan tua tersebut seperti terpinga-pinga. Namun kemudian dia terus berlalu seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Pelik. Chik kata dia nampak lelaki yang berada di hadapan perempuan tua  tersebut yang mengambil beg Chik dan memberikannya kepada perempuan tua tersebut. Entah apa yang cuba dibuat oleh mereka, tidaklah kami tahu. Yang penting, Chik mendapat semula begnya dan tiada apa-apa yang hilang. Jadi, untuk kali ini kami masih selamat berada di bumi China ini. 

Bird's Nest & Water Cube 

Sekarang kami sudah berada di dalam Stadium Bird's Nest. Saya rasa inilah stadium terbesar yang saya pernah masuk. Sangat mengujakan. Saya lihat ramai juga para pelancong yang masuk ke dalam stadium ini. Dari tingkat bawah hingga tingkat atas kami jelajahi stadium. Kagum juga melihat besi-besi tebal yang telah 'digubah' menjadi sarang burung secara dekat. Tidak sangka pula benda yang kelihatan sangat 'plain & simple' ini boleh kelihatan sangat cantik di mata saya. Mungkin ini yang dikatakan sebagai modern marvel.

Setelah puas melawat Stadium Bird's Nest, kami berjalan pula ke sebelah iaitu ke Stadium Water Cube. Saya sebenarnya yang beria-ia hendak ke sana. Saya hairan juga apabila Chik kata dia tidak pernah dengar tentang stadium ini sedangkan ia juga tidak kurang terkenal. Kalau Stadium Bird's Nest merupakan stadium utama/nasional, Stadium Water Cube merupakan Pusat Akuatik bagi Sukan Olimpik 2008 di Beijing. Disebabkan Chik tidak pernah mendengar tentang stadium ini, jadi dia tidak berminat hendak masuk ke dalamnya. 

"Siti nak masuk ke? Tak payahlah Siti," kata Chik kepada saya.

Terpaksalah saya pendam hasrat saya yang sebenarnya ingin masuk melihat ke dalam Stadium Water Cube. Sebagai seorang yang tinggi budi bahasa, saya perlu mendengar kata orang yang lebih tua daripada saya. Titik. Ngeh, ngeh, ngeh~

~Bersambung lagi~ 

Sunday, June 6, 2010

Cuti-cuti China: Hari Kedua - Bahagian 2

Hari Kedua - 24/4/2010 

Panda Oh Panda! 

Walaupun tiada penaja besar seperti Colgate, Sendayu Tinggi atau Air Asia - hanya pencungkil gigi cap Cikgu Ramlah dan petua awet muda serta tikar terbang sahaja - yang sanggup menaja travelog saya ini, saya tetap akan menyambungnya atas permintaan yang sedikit. Jangan risau.

Kita berbalik kepada keputusan penting yang harus saya buat. Sudah tentunya saya memilih untuk pergi ke Beijing Zoo (BZ) kerana memikirkan bahawa saya perlu merehatkan sebentar kaki yang sudah terlalu lenguh dan saya pasti Chik akan bersetuju 100% dengan keputusan saya ini. Dan memang ternyata Chik bersetuju dengan keputusan saya. Maka kami pun berpatah balik ke arah papan kenyataan tadi dan kemudian menyeberang jalan untuk ke perhentian bas. Di sana sudah ada bukan satu tetapi dua buah bas menuju ke BZ. Oh ya! Bas ke BZ adalah bernombor 103. Tempat perhentiannya pula ialah Dongwu Yuan seperti yang dinyatakan dalam papan kenyataan tadi.

Kami menaiki bas 103 yang berada di belakang bas 103 yang berada di hadapan. Naik sahaja saya agak terpinga-pinga sebab tidak tahu hendak membayar tambang kepada siapa. Bayar kepada pemandu baskah? Atau bayar kepada konduktor baskah? Atau masukkan ke dalam tabungkah? Bas tiada tabung, jadi saya harus beralih kepada pilihan yang pertama dan kedua. Saya  memandang kepada pemandu bas dengan penuh pengharapan agar dia dapat menyelesaikan keresahan di jiwa saya tetapi pemandu wanita itu menuding ke belakang seolah-olah menyuruh saya terus masuk ke perut bas pula. Dengan perasaan hampa saya menuju ke arah yang dimaksudkan tetapi Chik segera menahan saya kerana konduktor bas sebenarnya sedang berdiri di belakang palang yang terletak di sebelah kiri pintu masuk bas. Patutlah saya tidak perasan kerana konduktor bas tersebut kecil orangnya sama seperti saya.

Saya nyatakan hajat saya hendak ke BZ untuk dua orang sambil menunjukkan isyarat 'peace' kepadanya, "Beijing Zoo...two."

Sekarang giliran konduktor bas pula yang terpinga-pinga. Ah, sudah! Tak mungkin dia tidak faham BZ tu apa. Tiba-tiba saya rasa keterujaan saya untuk melihat panda di BZ menurun dengan mendadak. Sudah beberapa kali saya dan Chik mengulang perkataan BZ kepada konduktor - beberapa kali itu juga dia tersengih-sengih sambil memandang ke arah pemandu bas dan bercakap dengannya seolah-olah meminta tolong.

Kemudian Chik meminta saya melihat semula apa yang saya telah salin di dalam kertas tadi. Di sebelah perkataan BZ ada ditulis Dongwu Yuan dalam kurungan. Oh, ini mungkin nama perhentian bas di mana terletaknya BZ. Kami sama-sama menyebut nama perhentian itu kepada konduktor bas.

"Ohhh...Dongwu Yuan. One yuan," kata konduktor bas tertunduk-tunduk sambil menunjukkan isyarat nombor 1. Wah, murahnya! RMB1 sahaja tambangnya? Wow wee~~

Saya membayar tambang dengan hati yang berbunga-bunga. Pada masa yang sama saya juga sudah boleh menarik nafas lega kerana hajat kami hendak melihat panda akan tercapai sebentar lagi. Kenapalah saya tidak terfikir hendak menyebut nama Dongwu Yuan sedari awal tadi? Memang sengaja hendak menyusahkan diri! Ah, biarlah. Jangan diungkit perkara yang sudah berlalu. Yang penting kami mesti sampai ke BZ. Panda, here we come!

Dongwu Yuan merupakan perhentian terakhir bas 103. Saya rasa caj tambang  bas tersebut adalah sama untuk semua destinasi - RMB1. Alangkah bagusnya kalau semua pengangkutan awam di Malaysia caj tambangnya begitu - menggunakan sistem flat rate. Baharulah orang ramai berebut-rebut hendak menggunakannya. Betul tak?

Baiklah, lupakan fasal tambang dan teruskan dengan cerita saya. Seperti biasa, apabila sampai di tempat baharu kami jadi terpinga-pinga tidak tahu ke mana arah yang hendak dituju. Saya harus akui bahawa percutian kali ini memang amat mencabar kerana kami tidak mempunyai peta sebagai rujukan. Sikap orang China yang tidak ramah dengan orang asing (kemungkinan besar kerana kebanyakan mereka tidak boleh berbahasa Inggeris) memburukkan lagi keadaan. Namun, bukan semua begitu. Ini dibuktikan dengan kerjasama yang diberikan oleh dua orang gadis China apabila Chik bertanyakan di mana letaknya BZ. Walaupun kurang fasih berbahasa Inggeris dan mereka sendiri kurang pasti di mana lokasi sebenar BZ, mereka tetap membantu. BZ sebenarnya terletak hanya di seberang jalan dari tempat kami berdiri iaitu di hadapan stesyen bas Dongwu Yuan dan stesyen Subway Beijing Zoo.

Setelah mengucapkan terima kasih, kami menyeberang jalan menuju ke BZ. Sampai di hadapan Zoo, kami tercari-cari pula di mana letaknya kaunter tiket. Di tempat kami mula-mula sampai memang ada bangunan yang kelihatan seperti kaunter tiket, tetapi semua kaunter ditutup. Kami berjalan lagi hingga berjumpa dengan kaunter tiket yang dibuka. Akhirnya dapat juga kami membeli tiket masuk ke BZ. Harganya RMB20 seorang.

Masuk sahaja ke dalam Zoo kami terus menuju ke Panda House yang memang terletak berdekatan dengan pintu masuk utama. Dalam Panda House ini pula terdapat tempat kurungan - atau dipanggil Hall - Indoor dan juga Outdoor.

Kasihan... 

Indoor Hall terbahagi kepada dua. Yang pertama kalau tidak silap saya dipanggil sebagai Asia Games Panda Hall dan yang satu lagi dipanggil sebagai Olympic Games Panda Hall (maafkan saya kalau tersilap nama sebenar kedua-dua kurungan tersebut...saya ingat-ingat lupa...haih..). Saya tidak tahu apa beza kedua-dua kurungan tersebut. Pada saya panda-panda yang ada di dalamnya kelihatan sama sahaja. Mungkin juga panda-panda tersebut ialah panda-panda sebenar yang menjadi maskot bagi kedua-dua acara sukan Asia dan Olimpik. Entahlah, saya main agak sahaja.

Agak sukar juga untuk orang yang kecil seperti saya untuk melihat panda dengan lebih dekat kerana sebaik sahaja kami sampai di tempat kurungan, cermin kaca yang menjadi dinding kurungan dikerumuni oleh pengunjung-pengunjung Zoo. Ironinya kebanyakan daripada mereka adalah merupakan orang-orang China sendiri. Tak bagi chance langsung! Hendak tengok panda pun terpaksa berebut-rebut. Setelah bertolak-tolak akhirnya dapat juga saya ke depan. Chik awal-awal lagi sudah berada di depan kerana berebut-rebut memang salah satu benda yang Chik sangat suka tetapi tidak bagi saya yang agak lembab sedikit.

Untuk pengetahuan, hall yang pertama agak kecil sedikit (mungkin itu bezanya antara Asia dengan Olympic Games Hall...hmmm...) berbanding dengan hall yang kedua. Apa-apa pun untuk melihat panda-panda yang berada dalam kedua-dua hall tersebut kami terpaksa bertolak-tolak dengan para pengunjung yang lain. Semasa di hall kedua seorang budak lelaki yang berdiri di sebelah kanan saya dengan selambanya telah bersin dan tempiasnya telah terkena tangan dan sedikit di dagu sebelah kanan saya. Bertuah punya budak! Perlukah saya menyumpahnya? Atau perlukah saya menghantuk kepalanya ke dinding kaca? Saya dapati diri saya tidaklah begitu kejam. Maka, cepat-cepat saya mengesat cecair tersebut  daripada tempat yang terkena dengan tisu dan terus mencucinya dengan hand sanitizer yang saya sentiasa bawa di dalam sling bag saya. Risau betul saya kerana pada waktu itu wabak H1N1 sedang mengganas semula. Thanks Allah for the hand sanitizer.

Selepas melawat Indoor Hall kami keluar dan pergi ke Outdoor Hall pula yang lebih merupakan sebuah kandang. Saya merasa agak terkilan dan sedih kerana panda-panda yang berada di dalam kandang tersebut kelihatan seperti tidak mendapat penjagaan yang sempurna. Kasihan betul...

Setelah puas meronda Panda House, kami keluar dari kawasan Zoo. Kami tidak pergi ke seksyen lain Zoo kerana memang tujuan utama kami ke sana hanya untuk melihat panda sahaja. Binatang-binatang yang lain akan kami lawati di Zoo Negara pula...hahaha...

Destinasi Seterusnya

Masalah lagi. Ke mana pula arah tujuan kami selepas BZ? Sekali lagi Chik bertanya kepada saya. Sekali lagi juga kami mempunyai dua destinasi yang perlu dipilih. Mahu ke Stadium Olimpik atau ke Summer Palace? Untuk ke Stadium Olimpik, kami boleh menaiki Beijing Subway di mana stesyennya terletak di seberang jalan bersebelahan dengan stesyen bas Dongwu Yuan. Untuk ke Summer Palace pula, kami perlu menaiki bas bernombor 332.

Saya memilih untuk pergi ke Stadium Olimpik kerana hanya perlu menaiki tren. Ditambah pula saya tidak mahu mengulang semula kecelaruan semasa menaiki bas 103 tadi membuatkan saya memilih Stadium Olimpik.

Adakah mudah menggunakan perkhidmatan tren bawah tanah berbanding dengan bas? Nantikannya di episod akan datang. Sekarang saya mahu tidur. Pagi esok perlu keluar rumah untuk menghadiri kenduri kahwin...maklumlah cuti sekolah...uhuhuhu~

Sunday, May 16, 2010

Cuti-cuti China: Hari Kedua - Bahagian 1

Hari Kedua - 24/4/2010 

Advencer bermula 

Berakhir sudah cabaran hari pertama. Syukur kerana kami masih selamat berada di ibu negara China ini. Hari kedua ini diharapkan segala-galanya berjalan dengan lancar dan mengikut perancangan yang telah disusun rapi malam tadi.

Hari kedua ini kami akan memulakan lawatan mengikut saranan yang telah diberikan oleh Ken semalam. Hari ini kami akan berjalan kaki dari hostel ke Tiananmen Square. Kemudian ke Forbidden City. Selepas itu mungkin ke Bei Hai Park, Beijing Zoo dan juga Stadium Olimpik Bird's Nest dan Water Cube. Kalau sempat boleh juga melawat Summer Palace. Wah! Banyak betul tempat yang hendak dilawati. Entah sempat atau tidak?

Kami keluar lebih kurang pukul 7 pagi dengan tidak bersarapan apa-apa kecuali sekeping butter cake yang saya tapau dari flight semalam (bahagi 2 dengan Chik). Kami berjalan kaki menuju ke Tiananmen Square (TS) berpandukan kepada peta ringkas yang terdapat dalam brosur hostel yang diberikan oleh Ken semasa kami hendak ke Houhai Lake malam tadi.

Kami berjalan meredah kesejukan pagi sambil mengunyah kek. Seperti biasa kami menjadi bahan 'tontonan' mereka yang berselisih dengan kami dan mereka yang sedang menunggu bas/teksi/beca yang begitu jakun melihat kami - mungkin disebabkan kami terlalu jelita mengikut standard mereka. Jadi kami berlagak selamba sahaja. Bak kata pepatah, 'alah bisa tegal biasa.' Dalam masa sepuluh minit berjalan, akhirnya kami sampai di Stesyen Subway Tiananmen, tetapi kami tidak nampak di mana letaknya TS. Namun di seberang jalan saya lihat seperti ada satu kawasan dataran. Adakah TS terletak di situ? Untuk mendapatkan kepastian dan memandangkan ini kali kedua Chik melawat Beijing, saya bertanya kepada Chik adakah yang saya lihat itu merupakan TS? Chik kata dia tidak ingat. Walaupun Chik kata dia tidak ingat, saya yakin memang itulah TS. Sementelah lagi saya lihat begitu ramai orang sedang berarak menuju ke sana sambil ada di antaranya memegang bendera kecil. Tetapi ada satu persoalan timbul di dalam minda saya dan Chik - dari mana mereka datang dan bagaimana kami hendak menyeberang ke sebelah sana?

Saya dapati sepanjang jalan ditutup dengan pagar. Ada satu tempat yang membolehkan kami keluar ke jalan raya iaitu di perhentian bas yang terletak bersebelahan dengan pintu masuk Subway. Namun saya lihat tiada seorang manusia pun yang melintas di atas jalan raya dari situ. Jalan raya pula kelihatannya sangat sibuk dengan kenderaan yang lalu lalang; tiada juga Zebra Crossing atau lampu isyarat untuk melintas diletakkan di situ. Ah! Bagaimana ini? Perlu terbangkah?

Akibat buntu, Chik bertanya kepada seorang pakcik yang sedang berlegar-legar di tempat kami berdiri di mana letaknya TS. Chik menunjuk-menunjuk gambarajah TS yang terdapat dalam brosur hostel kepada pakcik tersebut. Dengan muka tanpa sebarang reaksi apalagi ekspresi, pakcik tersebut mengangkat tangan dan menudingkan jari telunjuknya ke arah seberang jalan - iaitu tempat yang kami agak merupakan TS. Betul rupanya tekaan kami. Chik bertanya lagi dengan menggunakan bahasa isyarat tentang bagaimana hendak ke sana. Pakcik dengan muka tanpa sebarang reaksi apalagi ekspresi menuding jari telunjuknya ke arah stesyen Subway dan ke bawah. Ohhh...rupa-rupanya kami perlu menyeberang menggunakan laluan bawah tanah di stesyen Subway tersebut. Kenapalah kami tidak terfikir langsung sebelum ini?

Sebaik sampai di seberang, kami lihat masih ramai orang berjalan dalam barisan yang besar menuju ke TS. Semasa menyeberang tadi saya perasan (seperti biasa saya seorang yang perasan tetapi Chik tidak) ada satu papan tanda yang mengatakan bahawa laluan terus ke TS ditutup disebabkan ada upacara menaikkan bendera di sana. Tiba-tiba saya merasa amat berbangga kerana kebetulan kami melawat TS pada hari yang istimewa ini (sebenarnya tiada apa yang istimewa kerana sekarang baharu saya tahu bahawa upacara menaikkan bendera kebangsaan China memang merupakan ritual yang dilakukan setiap subuh di TS. Cheh! Namun saya kagum juga dengan semangat patriotik yang ditunjukkan oleh penduduk Beijing ini kerana sanggup datang seawal pagi semata-mata hendak memberi penghormatan kepada bendera mereka. Kalau upacara yang sama dilakukan di Dataran Merdeka, agak-agaknya akan mendapat sambutan atau tidak, ya? Hmmm...).

Tiada apa-apa yang menarik di TS - ia cuma dataran landai yang luas di mana di tengah-tengahnya terdapat tugu Monument to the People's Heroes yang setinggi 38 meter. Kami meneruskan perjalanan sehingga ke hujung dataran di mana kami dapat melihat dengan jelas gambar Mao Zedong yang tertampal di atas pintu gerbang Tiananmen menuju ke Forbidden City.

Kejutan Budaya

Sebelum meneruskan perjalanan ke Forbidden City, Chik menyatakan hajat besarnya untuk singgah ke tandas terlebih dahulu. Saya bersetuju kerana saya juga berhajat hendak ke sana. Kami temui tandas awam yang terletak beberapa meter dari hujung dataran. 

Masuk sahaja, saya meninjau-ninjau ke dalam tandas. Alamak! Tiada paip dalam semua tandas. Paip cuma ada di sinki. Nasib baik Chik ada bawa botol mineral kosong kerana dia sudah menjangka bahawa tiada paip dalam tandas. Chik kata dia hendak masuk dulu, jadi saya perlu tunggu sebab hendak pinjam botol mineralnya nanti. Tidak sampai beberapa saat Chik keluar semula daripada tandas. Saya memandangnya dengan kehairanan dan bertanya kenapa.

"Tak boleh kunci. Lock dia rosak kot," jawab Chik sambil memeriksa pintu tandas tersebut.

Entah kenapa saya tidak ikut sama memeriksa, cuma memandang Chik cuba memulas-mulas bahagian dalam tombol pintu. Saya juga melihat pengunjung lain yang keluar masuk tandas tanpa rasa hendak menolong Chik. Semasa Chik sedang terkial-kial, makcik pencuci tandas datang dan bercakap dengan kami dalam bahasa China. Saya lihat dia melibas-libaskan tangannya sambil tertawa. Mula-mula saya tidak faham, tetapi kemudian saya dapat mengagak apa yang cuba disampaikan oleh makcik itu. Untuk mendapatkan kepastian bahawa telahan saya tidak salah, saya memeriksa pintu tandas di depan dan di belakang saya yang masih kosong. Sah! Memang betul apa yang saya agak. Dalam hati saya berkata, 'OMG! This is a DISASTER!'

"Chik, pintu tandas ni memang tak boleh kunci," kata saya dengan suara mendatar kepada Chik.

"Eh, taklah. Orang rasa ada 2 pintu memang kunci dia dah rosak."

"Tak. Memang tak ada kunci. Cuba tengok pintu yang lain."

Kami melihat pintu tandas di sebelah. Makcik tadi masih berada di sebelah saya. Sesekali dia bercakap sambil melibas-libaskan tangannya. Libasan tangan makcik itu bermaksud kami cuma perlu tutup pintu sahaja sebab pintu memang tiada kunci. Chik juga sudah dapat menerima kenyataan. Jadi dia menyuruh saya menjaga pintu agar tiada orang yang akan membukanya nanti. Setelah Chik masuk ke dalam tandas, baharulah makcik itu beredar sambil tertawa. Mesti dia rasa kami berdua manusia pelik.

Sepelik-pelik kami, saya rasa mereka lagi pelik. Tandas tidak ada kunci? Ridiculous! Semasa menunggu Chik saya terfikir bagaimana mereka hendak tahu sama ada dalam tandas ada orang atau tidak sekiranya semua pintu tertutup? Tanpa disangka-sangka tidak lama kemudian saya mendapat jawapannya. Semua tandas pada waktu itu penuh. Datang seorang gadis yang hendak masuk ke dalam tandas, tetapi semua pintu tertutup. Jadi, apa yang dia buat? Dengan penuh hati-hati dia membuka sedikit pintu tandas yang pertama (saya menutup mulut yang ternganga sedikit kerana terkejut. Mata pula sudah terbeliak). Kemudian cepat-cepat dia menutupnya semula apabila mendapati di dalamnya sudah ada orang. Dalam masa yang singkat itu, saya dapati orang yang berada di dalam tandas tidak menunjukkan apa-apa reaksi terkejut atau hendak menjerit. Agaknya ini yang dikatakan sebagai alah bisa tegal biasa. Dalam hati saya meratib 'oh my god' (sebab dalam tandas tidak boleh sebut nama Allah) sambil berharap agar Chik segera keluar. Disebabkan itu, saya mengalami trauma (setiap kali ke tandas saya mesti tanya Chik pintunya ada lock atau tidak...hahaha...).

Kita tinggalkan cerita tandas di TS itu. Sungguh trauma apabila saya mengenangnya semula. Namun kepada para pembaca travelog ini janganlah takut kerana bukan semua tempat tandasnya tidak ada kunci. Cuma sesetengah tempat sahaja seperti di atas.

Forbidden City 

Kami meneruskan perjalanan ke Forbidden City (FC) pula. Kaunter tiket terletak di kiri dan kanan courtyard FC. Semasa beratur untuk membeli tiket, saya begitu asyik melihat seorang wanita yang menjual buku mengenai FC yang sedang bercakap di depan kaunter tiket. Cakapnya begitu lancar dan tidak berhenti-henti. Kagum sungguh saya melihatnya. Rupa-rupanya bukan saya seorang sahaja yang rasa kagum, Chik juga berkongsi rasa dengan saya.  Walaupun kami tidak faham apa yang diperkatakan, tetapi kami merasa tertarik untuk membeli buku yang dijual oleh wanita tersebut. Apabila kami sudah hampir kepadanya, Chik bertanya harga buku itu. RMB5 dan buku tersebut dalam dwi bahasa; Chinese - English, kata wanita tersebut. Lalu kami membelinya. Dapat percuma peta FC.

Tiket masuk ke FC atau sekarang dikenali sebagai The Palace Museum adalah RMB60. Kami bergerak dari satu dewan ke satu dewan. Setiap dewan yang ada mempunyai cerita dan fungsinya yang tersendiri. Tidak dapatlah saya hendak ceritakan satu persatu kerana saya sebenarnya kurang berminat hendak tahu. Tambahan pula, jumlah dewan bukan satu atau dua tetapi berpuluh-puluh buah! Cuma kalau pergi ke tempat/bangunan yang telah berusia beratus-ratus atau beribu-ribu tahun seperti FC ini, saya akui saya merasa amat kagum dan antara percaya dengan tidak saya sedang menyaksikan kehebatan tamadun/teknologi zaman dahulukala di depan mata - ia bisa membuat bulu roma meremang. Kemudian mulalah saya merasa menyesal kerana tidak mengambil serius matapelajaran Sejarah semasa di sekolah dahulu (Sejarah merupakan antara matapelajaran yang paling saya tidak suka).

Kami menghabiskan masa lebih kurang sejam di FC. Keluar dari pintu gerbang FC, kaki saya sudah mula berasa sakit dan lenguh-lenguh. Pasti disebabkan penangan berjalan tanpa henti dari TS ke FC. Namun perjalanan harus diteruskan. Ada banyak tempat lagi yang perlu kami lawati.

Seperti tahu-tahu sahaja, kami dapati di luar pintu gerbang terdapat satu papan kenyataan yang menerangkan apakah tempat-tempat yang boleh dilawati selepas ini dan cara untuk ke tempat-tempat tersebut. Ada beberapa tempat yang memang hendak kami lawati ada dicatatkan dalam papan kenyataan tersebut . Antaranya Beijing Zoo dan Summer Palace. Saya menyalinnya ke dalam kertas kosong.

Habis menyalin, kami berjalan pula ke arah sebatang sungai yang terletak di sebelah kiri. Kami sebenarnya hendak pergi ke Beihai Park. Tetapi masalahnya baik Chik atau saya memang tidak tahu di mana sebenarnya lokasi taman tersebut. Kami menyangka mungkin ia terletak di hujung sungai tersebut kerana melihat ramai orang berjalan menuju ke sana. Kami berjalan mengikut gerak hati, namun lebih kurang 5 minit kemudian, saya mengajak Chik duduk berehat sebentar. Kaki saya sangat lenguh. Sama juga dengan Chik. Di kesempatan inilah Chik bertanya kepada saya sama ada mahu terus ke Beihai Park yang tidak kami ketahui sangat lokasinya atau terus ke Beijing Zoo yang kami sudah tahu bagaimana hendak ke sana.

Saya benar-benar berada dalam dilema. Sukar sungguh untuk saya membuat keputusan. Mahu terus mencari Beihai Park atau teruskan perjalanan ke Beijing Zoo? Rasa seperti hendak terus pergi ke Beijing Zoo, tetapi rasa rugi pula hendak tinggalkan tempat ini kerana kami mungkin sudah tidak jauh daripada Beihai Park. Buntu juga saya dibuatnya, tetapi keputusan harus dibuat (Chik ni memang sengaja hendak membuli saya agaknya?). Hendak tahu apa keputusan saya? Kita dengar dulu pesanan penaja...                 

Sunday, May 9, 2010

Cuti-cuti China: Hari Pertama - Bahagian Akhir


Hari Pertama - 23/4/2010

Salah Hotel 

Sampai sahaja di Beijing South Railway Station, kami terus ke tempat menunggu teksi dengan berpandukan kepada papan tanda yang terdapat di dalam stesyen. Nasib baik semua papan tanda dalam dwi bahasa - bahasa Cina dan bahasa Inggeris. Kalau tidak, kami akan 'lost in translation' sekali lagi.

Menunggu teksi tidak mengambil masa yang lama kerana setiap masa ada sahaja teksi tiba untuk mengambil penumpang. Lagi pun ada penjaga yang berlagak seperti tentera yang mengerah para penumpang untuk menaiki teksi-teksi yang baharu sampai.

"Go, go, go, go!" kerah penjaga tersebut. Saya rasa seperti saya salah seorang tentera yang sedang dikerah untuk berperang (walaupun saya tidak pernah menjadi tentera...saya cuma imagine sahaja).

Setelah meletakkan beg-beg kami di bonet, kami lekas-lekas menaiki teksi. Kepada pemandu saya tunjukkan baucer hotel. Saya ingat dia faham kerana di dalam baucer tersebut ada tertulis alamat hotel dalam tulisan Cina. Namun saya lihat air mukanya seperti menunjukkan dia tidak tahu di mana hotel itu berada. Teksi bergerak, namun apabila hendak keluar ke jalan raya, pemandu memberhentikan teksinya di tepi jalan. Berkali-kali dia membaca alamat di baucer tersebut. Mukanya kelihatan tegang. Sekali sekala dia berbicara dalam bahasa Mandarin yang kami tidak faham langsung. Saya dan Chik mula merasa risau. Kemudian dia berpaling kepada saya sambil bercakap Mandarin. Jarinya menunjuk-nunjuk kepada nombor telefon hotel. Dia menyuruh saya menelefon hotel rupanya.

Saya mendail nombor yang tertera. Kemudian saya menghulurkan telefon bimbit saya kepadanya. Setelah selesai bercakap dengan pekerja hotel, dia memulangkan telefon bimbit saya sambil mengangguk-anggukkan kepala menandakan dia sudah tahu di mana lokasi hotel. Fuh! Leganya saya rasa.

Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan bandar Beijing. Pada waktu ini sedang musim bunga (Spring), namun tidak banyak pokok-pokok bunga yang berwarna-warni dapat dilihat. Kebanyakan pokok-pokok yang ada tidak berdaun. Mungkin kerana sekarang ini masa peralihan musim daripada musim bunga kepada musim panas. Entahlah. Saya agak sahaja.

Kemudian kami melalui kawasan di mana terdapat banyak gedung-gedung membeli-belah. Hampir mengangga saya apabila melihat satu gedung membeli-belah - Sogo. Sangat besar...tersangatlah besar! Saya rasa bangunan Sogo di KL sangat kecil jika dibandingkan dengan Sogo di bandar Beijing ini. Mungkin besarnya hanya 1/5 daripada Sogo Beijing. Saya terfikir bolehkah saya menggunakan kad Sogo saya sekiranya saya membeli-belah di sana...hehehe...

Tidak lama kemudian kami pun sampai di Jalan Qianmen. Harga tambang teksi RMB23 (semua teksi menggunakan meter) tetapi tambang sebenar yang perlu dibayar adalah RMB24. RMB1 adalah merupakan 'Bunker Adjustment Factor'. Jadi setiap kali membayar teksi kita perlu menambah RMB1 daripada harga tambang sebenar kepada pemandu. Pemandu teksi menunjuk-nunjuk arah hotel. Seperti dia menunjuk hotel berada dalam lorong kecil di sebelah kanan jalan. Saya pula memandang ke depan iaitu ke arah signboard yang tertulis 'Qianmen Cafe & Hostel.' "Bukan itukah hotelnya?" hati saya tertanya-tanya (tetapi nama hostel tersebut tidak sama dengan nama hotel yang tertera di dalam baucer tadi). Hostel tersebut pula betul-betul terletak di tepi jalan.

Kami pun berjalan menuju ke arah lorong yang ditunjuk oleh pemandu teksi tadi. Semasa kami berjalan memasuki lorong, banyak mata memandang ke arah kami...seolah-olah kami baharu datang dari Planet Zargus yang tidak tersenarai dalam mana-mana planet yang terdapat dalam Galaksi Bima Sakti. Mahu sahaja saya ucapkan, "Greeting, Earthlings. Live long and prosper," sambil mengangkat tangan mengikut gaya  Mr. Spock (salah satu watak dalam Star Trek). Tetapi saya buat-buat tidak tahu sahaja. Beberapa langkah berjalan, kami tidak nampak tanda-tanda adanya Beijing Furun Qianmen (BFQ) Hotel di situ. Saya mengajak Chik berpatah balik dan pergi ke hostel yang kami nampak di depan jalan tadi.

Sebaik sahaja kami memasuki hostel, kami disambut oleh seorang lelaki yang saya kira merupakan pekerja hostel. Kepadanya saya tunjukkan baucer hotel. Dia tersenyum sambil menggelengkan kepala. Dengan bahasa Inggeris yang lancar dia mengatakan bahawa kami sudah salah tempat. Hotel yang tertera dalam baucer itu tidak jauh daripada hostel yang kami masuki. Ah, sudah!

Memandangkan kami sudah berada di situ, lelaki tersebut yang bergelar Ken menawarkan penginapan di hostel tersebut kepada kami. Harganya agak mahal sedikit daripada BFQ Hotel. Dia kata dia akan tunjukkan keadaan bilik kepada kami dan biarkan kami buat keputusan samada mahu menginap di situ atau pergi ke BFQ Hotel (dia sedia menunjukkan di mana letaknya BFQ Hotel sekiranya kami tidak mahu menginap di hostelnya).

Kami mengambil keputusan untuk menginap sahaja di hostel tersebut. Biliknya agak selesa juga dengan tiga katil dan bilik air persendirian. Ada juga bilik yang lebih murah tetapi bilik air kena share dengan penyewa lain. Kami tidak mahu bilik yang begitu. Tidak mengapalah kena bayar lebih asalkan ada privacy.

Setelah membayar sewa bilik, Chik bertanya kepada Ken di mana kami boleh mencari restoran Muslim di sekitar kawasan hostel. Ken kata tidak ada. Tetapi katanya ada satu kawasan di Beijing di mana di situ terdapat penduduk minoriti Muslim, jadi di sana mungkin terdapat banyak restoran Muslim. Dia menunjukkan lokasinya di dalam peta, tetapi malangnya dia tidak tahu bagaimana cara untuk pergi ke sana. Maklumlah dia bukan Muslim jadi dia tidak pernah menjejakkan kaki ke sana. Semangat kami hampir hilang terutamanya Chik yang sedang kelaparan. Tetapi tiba-tiba Ken bersuara. Dia baharu teringat sebenarnya ada satu restoran Muslim tidak jauh dari hostel. Dari hostel kami perlu ke kanan dan berjalan terus. "'It's just around the corner," kata Ken yang membuatkan hati kami berbunga-bunga kembali. 

So Much for a Privacy 

Kami kembali semula ke bilik dengan mengangkat beg-beg yang ditinggalkan di lobi semasa kami melihat-lihat keadaan bilik tadi. Bilik kami berada di tingkat tiga, jadi agak jenuh juga hendak mendaki anak-anak tangga yang agak curam. Saya perlu segera ke bilik kerana waktu Maghrib hampir menjelang tiba. Solat Zohor dan Asar belum ditunaikan lagi (waktu solat dan segala maklumat berkaitan dengan Islam/Muslim di China boleh dirujuk di islamichina.com). Masuk sahaja ke dalam bilik baharu saya perasankan sesuatu. Bilik air kami hanya berdinding kaca! See through, orang putih kata. Erkkk!!!

"Warghh, malunya. Macam mana ni?" saya terjerit kecil.

"Nak masuk bilik air kena beritahu...orang kat luar kena pandang tempat lain," kata Chik.

"Nasib baik orang bawa kain batik," kata saya. Kami tergelak-gelak. Nasib baiklah kami tidak berkongsi bilik dengan orang lain. Gila betul. Saya ingat bilik di Hotel Park Royal yang saya diami masa annual dinner tahun lepas sudah cukup membuatkan saya malu mengenangnya. Rupa-rupanya yang ini lebih teruk lagi. 

Mari Makan Hot Pot 

Usai solat, kami keluar semula dengan misi untuk mencari restoran Muslim yang disebut oleh Ken. Kami berjalan menyusuri kaki lima dan kemudian  lebih kurang 10-20 meter dari hostel, kami membelok ke kanan memasuki sebuah lorong. Di mana-mana kami mendapati kami menjadi tenungan pejalan-pejalan kaki yang berselisih dengan kami. Di sini juga saya mula menyedari bahawa orang-orang Cina mempunyai satu lagi tabiat yang amat menjengkelkan dan menggelikan anak tekak saya. Ya, tabiat suka meludah. Bukan setakat meludah, tetapi meludah merata-rata beserta dengan bunyi sekali. Tahulah saya kenapa penyakit-penyakit berjangkit seperti SARS, selsema burung hatta Influenza A H1N1 begitu senang merebak di bumi China ini; kerana virus-virus tersebut 'dibebaskan' merata-rata. Aihh...risau pula saya sebab gelombang kedua Influenza A H1N1 sedang melanda pada ketika ini. Semoga saya dan Chik dijauhkan daripada ditimpa sebarang penyakit.

Setelah beberapa lama berjalan di lorong tersebut, kami masih tidak berjumpa dengan restoran yang dicari. Restoran memang banyak tetapi bukan restoran Muslim. Kami keluar semula dari lorong tersebut bagi meneruskan pencarian.

...yang tidak mengambil masa yang lama untuk ditemui. Berjaya! Saya dapat mengenal pasti restoran itu merupakan restoran Muslim melalui 2 kalimah syahadah yang digantung di atas pintu masuk restoran. Syukur malam ini kami tidak akan kelaparan. Masalahnya, masa melihat menu, kami tidak tahu hendak memilih makanan apa. Kami ikut apa yang dicadangkan oleh pelayan.

Menu utama di restoran tersebut adalah Hot Pot. Kami memilih daging kambing (ikut cadangan pelayan yang memberikan thumb's up untuk fresh mutton), sayur bayam dan perut lembu (tak tahulah macam mana boleh terpilih perut lembu...mungkin masa kami tunjuk-tunjuk di menu apa yang hendak dipilih, pelayan menyangka kami menunjuk kepada beef's belly barangkali) dengan perencahnya; pes kacang soya. 


Kami makan dengan begitu berselera sekali. Tidak ada langsung yang berbaki. Semuanya licin kami bedal. Kenyang kami dibuatnya. Alhamdulillah... 

Houhai Lake 

Setelah menjamu selera kami pulang semula ke hostel. Masuk sahaja ke lobi kelihatan Ken sedang berdiri di hadapan kaunter penyambut tetamu. Kami berbual dengan Ken. Chik sempat bertanya Ken tentang aktiviti yang boleh kami buat sepanjang berada di Beijing. Ken memberikan cadangan kepada kami tentang aktiviti dan tempat-tempat yang menarik yang boleh kami lawati pada hari esok dan lusa.

"What about tonight? Is there any interesting place that we can go tonight?" tanya Chik kepada Ken.

Ken mencadangkan agar kami pergi ke Houhai Lake. Di sana kami boleh melihat 'kehidupan malam' penduduk Beijing. Kiranya ia merupakan tempat yang paling happening di Beijing.

"But you must go now," kata Ken sambil menuliskan nama Houhai Lake dalam tulisan Cina untuk kami tunjukkan kepada pemandu teksi nanti. "And don't forget this. Always carry it with you," sambung Ken lagi merujuk kepada brosur yang mengandungi maklumat, alamat dan peta hostel agar kami boleh tunjukkan kepada pemandu teksi setiap kali kami hendak pulang.

Kami naik semula ke bilik untuk mengambil jaket. Suhu di luar sudah bertambah sejuk.

Tiada apa yang menarik sangat tentang Houhai Lake pada pandangan saya. Di luar pintu gerbang tasik  kami lihat ramai orang berkumpul untuk bermain satu permainan yang saya lihat seperti sepak raga. Cuma bolanya bukan bola rotan, tetapi semacam bulu tangkis (agaknyalah). Tasik ini pula dikelilingi oleh barisan-barisan pub-pub dan kafe-kafe. Kelihatan agak meriah juga. Di samping itu di ada juga kedai-kedai menjual pelbagai jenis barangan seperti cenderamata, baju-baju dan bermacam lagi yang terdapat di tasik ini. Semasa berjalan di deretan kedai-kedai inilah kami ditegur oleh satu pasangan dari Malaysia.

"Eh!! Orang Malaysia, ya? Orang Malaysia, ya?" Sungguh teruja mereka berjumpa dengan kami. Mereka juga sedang bercuti. Agak lucu juga bila wanita Malaysia itu meluahkan rasa seronoknya kepada kami kerana akhirnya dapat berbahasa Melayu - sedangkan dia berbangsa Cina. Suaminya (orang Eropah) juga boleh berbahasa Melayu sikit-sikit (mengikut apa yang dia cakap).

Setelah puas mengelilingi tasik, kami pulang semula ke hostel. Selepas berbincang tentang apa yang hendak dilakukan pada hari esok, Chik terus bersiap-siap untuk tidur. Saya pula bersiap-siap untuk solat. Selepas solat saya fikir hendak mengikut jejak Chik juga, tetapi akibat kesejukan saya mengambil keputusan untuk mandi air panas untuk menghilangkan gigil. Sementelah Chik sudah tidur, saya rasa selamat untuk mandi...hahaha...

Hmm...mandi air panas memang sangat berkesan untuk menghilangkan sejuk. Selamat malam Beijing...Saya dapat tidur dengan selesa sekali walaupun tidak berapa lena.

Monday, May 3, 2010

Cuti-cuti China: Hari Pertama - Bahagian 2

Hari Pertama - 23/4/2010 

Lost in Translation 

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Binhai, Tianjin pada pukul 14:35. Semasa menunggu giliran untuk pemeriksaan imigresen, saya ditegur oleh seorang wanita Cina dari Malaysia yang sedang beratur di belakang saya.  Dia bertanya sama ada saya seorang pelajar. Saya kata bukan. Saya datang ke China untuk bercuti. Dia tanya saya datang dengan siapa. Saya kenalkan Chik kepada dia dan memberitahu bahawa hanya kami berdua datang ke China. Dia bertanya lagi sama ada kami mempunyai kenalan di China? Kami jawab tiada. Dia terus memandang kami seperti tidak percaya dengan apa yang didengar - ditambah pula kami tidak boleh berbahasa Mandarin. Namun, dia tetap menyatakan rasa kagumnya kepada kami. Sesungguhnya ia memberi semangat kepada kami untuk meneruskan perjalanan kami di sini.

Mengikut perancangan, kami akan terus bergerak ke Beijing dengan menaiki Bullet Train dari Stesyen Keretapi Tianjin. Kami bergerak ke sana dengan berpandukan kepada risalah yang telah diedarkan di dalam kapal terbang tentang cara-cara untuk ke Beijing dengan menaiki keretapi:

Langkah pertama:
Dari lapangan terbang, keluar di pintu exit no. 2. Tidak perlu tercari-cari di mana hendak mendapatkan bas kerana sebaik keluar sahaja dari pintu, lebih kurang beberapa meter di depan, telah sedia menunggu shuttle bus untuk ke stesyen keretapi.

Langkah kedua:
Beli tiket di kaunter yang terletak di sebelah parking bay shuttle bus tersebut. Harga tambang ialah RMB10 (lebih kurang RM5). Bas bergerak setelah semua tempat duduk hampir penuh. Perjalanan ke stesyen keretapi mengambil masa kurang daripada sejam. Sepanjang perjalanan, pertama kali saya melihat begitu banyak basikal digunakan sebagai pengangkutan utama di jalan raya. Di mana-mana sahaja saya melihat basikal. Sesungguhnya ini merupakan perkara baharu bagi saya.

Langkah ketiga:
Turun di Stesyen Keretapi Tianjin. Sebenarnya bas tidak berhenti betul-betul di hadapan stesyen. Kami perlu berjalan kaki lebih kurang 100 meter menuju ke stesyen. Mungkin disebabkan ada kerja-kerja pembinaan di sekitar stesyen yang tidak membolehkan bas berhenti lebih dekat.

Langkah keempat:
Beli tiket berdekatan dengan pintu masuk. Arahan jelas dan nyata. Tetapi kami masih samar-samar. Terkial-kial juga kami hendak mencari di mana kaunter tiket Bullet Train ke Beijing. Papan tanda ada terpampang di depan mata, tetapi ia seperti menunjuk kaunter tiket berada di tingkat atas. Kami dengan penuh yakin menaiki eskalator menuju ke tingkat satu bangunan. Namun, di atas sana masih tidak nampak di mana kaunter tiketnya. Kami cuba bertanya dengan pegawai stesyen yang duduk di kaunter informasi. Tetapi dia cuma menggeleng-gelengkan kepala apabila kami bertanya dalam bahasa Inggeris. Aduhai! Dia tidak tahu berbahasa Inggeris pula. Kami cuba pula bertanya dengan seorang lagi pegawai yang berada di kaunter informasi yang lain. Nasib baik pegawai yang satu ini boleh berbahasa Inggeris walaupun tidak berapa fasih. Dia memberitahu bahawa kaunter tiket berada di tingkat bawah.

Terkocoh-kocoh kami turun semula ke tingkat bawah. Rupa-rupanya dari pintu masuk tadi memang ada kaunter tiket yang terletak di sebelah kiri (sebagai panduan, jika hendak membeli tiket Bullet Train, masuk ke stesyen keretapi melalui pintu North Entrance 1. Kemudian terus ke kiri di mana terletaknya kaunter-kaunter tiket ke Beijing. Jangan lost seperti kami). Malangnya semua papan tanda digital bertulisan Cina. Langsung kami tidak faham. Di hujung sebelah kanan bangunan, ada juga kaunter-kaunter tiket. Saya mengajak Chik untuk meninjau ke sana pula. Perkara yang sama menyambut kami di situ. Semua papan tanda bertulisan Cina.

Chik cuba bertanya kepada seorang wanita Cina yang sedang berdiri berhampiran kami di mana kami boleh membeli tiket keretapi ke Beijing. Malangnya wanita tersebut tidak tahu berbahasa Inggeris. Tetapi dia tetap mahu menolong. Chik menyebut Beijing ticket beberapa kali. Wanita tersebut cuba bertanya kepada rakan-rakannya. Nampaknya seperti mereka juga tidak dapat membantu lalu dia terus bertanya kepada penjual tiket di kaunter. Tidak lama kemudian dia menuju ke arah kami dan memberitahu bahawa tiket ke Beijing boleh dibeli di kaunter tiket yang mula-mula kami pergi tadi. Setelah mengucapkan terima kasih kami terus menuju ke sana.

Akhirnya berjaya! Tiket yang dibeli merupakan tiket Business Class yang berharga RMB69. Keretapi akan bergerak pada pukul 16:35.

Semasa beratur untuk boarding, sekali lagi kami terserempak dengan orang Malaysia. Seorang lelaki India yang pekat loghat Penangnya bersama dengan seorang kawan perempuan (teman wanita mungkin?) berbangsa Cina. Dia yang menegur kami terlebih dahulu, "Orang Malaysia, eh?"

"A'ah, orang Malaysia," jawab saya dan Chik serentak. Sekali lagi kami dihujani dengan soalan yang sama yang ditanya oleh wanita Malaysia di lapangan terbang tadi. Dan jawapan yang sama juga yang kami berikan kepada lelaki tersebut.

Apabila pintu gate dibuka sahaja, mulalah orang ramai berebut-rebut hendak masuk ke platform. Saya sungguh rimas dengan perangai orang Cina yang tidak tahu hendak beratur. Mereka dengan sesuka hati memotong barisan. Tetapi yang hairannya, tiada sesiapa pun yang marah (mungkin saya yang sudah menarik muka masam). Hendak buat macam mana? Mungkin itu sudah menjadi kebiasaan mereka. Saya pula seboleh-bolehnya hendak berada di belakang Chik. Saya pun tidak tahu mengapa. Biasanya saya tak kisah kalau dia jauh di depan daripada saya.  Rupa-rupanya, selepas memasukkan tiket ke dalam mesin, Chik tidak mengambilnya semula tetapi terus jalan menonong menuju ke platform. Saya pula yang panik. Apahal Chik tak ambil tiket dia semula? Saya cuba panggil Chik tetapi dia tidak dengar. Maka terpaksalah saya ambilkan tiket itu untuk dia.

"Chik, kenapa tak ambik balik tiket ni?"

"Eh, ingatkan dia terus telan."

Astaga. Boleh macam tu? Macamlah dia tak tengok orang-orang di depan dia ada ambil balik tiket atau tidak? Ini mesti berangan fasal boyfriend. Hehehe...

Keadaan dalam keretapi sangat selesa. Apa lagi dengan koc kami yang merupakan koc business class. Pengalaman pertama menaiki Bullet Train sangat mengujakan. Kelajuan maksima yang boleh dicapai oleh keretapi ini adalah 328 km/jam. Dengan kelajuan ini, kami dapat sampai ke Beijing tepat dalam masa 30 minit sahaja berbanding dengan menaiki bas yang mengambil masa 2 jam.

Langkah kelima:
Turun di Beijing South Railway Station. Kami tiba di Beijing tepat pada pukul 17:05. 

Sunday, May 2, 2010

Cuti-cuti China: Hari Pertama - Bahagian 1

Hari Pertama - 23/4/2010

Kalut 

Akhirnya setelah menunggu hampir setahun, sampai juga tarikh yang dinanti-nantikan. Tarikh bermulanya cuti-cuti China. Yay!

Saya dan Chik ke China menaiki penerbangan Air Asia X. Sebaik tiba di LCC Terminal lebih kurang pada pukul 6.45 pagi, kami terus buat self check-in di kiosk yang disediakan oleh pihak Air Asia. Selepas check-in, Chik kata dia hendak check-in beg pula. Saya pada mulanya tidak terlintas hendak melakukan perkara yang sama, namun setelah beratur panjang agak lama bahu saya terasa lenguh mengalas backpack yang sebenarnya bukannya berat mana. Disebabkan itu saya mengambil keputusan untuk check-in beg saya juga. Melayang RM20.00. Tidak mengapa, pasti ada baiknya saya berkorban sedikit - pujuk hati saya.

Selesai check-in beg, kami pergi bersarapan pula di Restoran Taste of Asia. Kami bersarapan nasi lemak. Cukup untuk melepas rindu kerana mungkin di China kami tidak dapat menikmati kemewahan bersarapan seperti di Malaysia. Selepas sarapan Chik mahu bergambar pula. Ada-ada sahaja si Chik ni. Jam sudah menunjukkan pukul 08:00 lebih. Boarding sepatutnya pukul 07:50 dan flight kami pula pukul 08:30. Sudah bergambar dan berposing ala kadar, kami dengan lenggang kangkungnya berjalan menuju ke dewan menunggu.

Sebaik sahaja kami menunjukkan boarding pass kepada penjaga pintu, dengan muka terkejut dia memberitahu bahawa kami sudah lewat untuk boarding. Pintu kapal terbang akan ditutup sekejap lagi. Katanya semua orang sudah naik. Alamak! Matilah! Dia suruh kami cepat-cepat ke gate.

Berlari-larilah saya dan Chik menuju ke gate. Alamak! Di depan ada 'roadblock'. Sebelum sampai ke gate, kami perlu melalui pemeriksaan polis pula. Habislah. Chik dah mengigil-gigil (sebab itu yang dia beritahu kepada encik Polis). Saya? Saya tak tahu apa yang saya rasa kerana ini merupakan pengalaman pertama saya terlewat untuk boarding. Teruja mungkin? Hahaha...saya memang tidak betul. Mungkin sebab saya membayangkan bahawa saya sedang berada dalam salah satu episod The Amazing Race. Saya rasa situasi menjadi bertambah menarik apabila Chik merayu kepada encik Polis agar cepat melepaskan kami kerana kami sudah lewat.

"Kenapa lambat?" tanya encik Polis dengan ramahnya.

Tiba-tiba Chik yang banyak cakap menjadi kelu. Jadi saya tolong jawabkan, "Pergi makan."

"Pergi makan? Kenapa tak tapau?" (Encik Polis ini tidak tahukah Air Asia mengamalkan polisi 'tiada makanan luar' dalam setiap penerbangannya?).

Saya menjawab soalan encik Polis dengan senyuman bersalah. Chik masih lagi pucat mukanya. Selesai memeriksa pasport dan boarding pass, encik Polis melepaskan kami berlari semula menuju ke gate. Tidak sangka saya boleh berlari laju - seperti sedang bertanding dalam acara pecut di Sukan Olimpik lagaknya. Kalau Usain Bolt berlari bersama saya, pasti dia akan ketinggalan jauh di belakang. Nasib baik juga saya terfikir hendak check-in backpack saya. Kalau tidak, Usain Bolt pasti dapat kalahkan saya. Rupa-rupanya itu hikmahnya. Syukur.

Semasa hampir sampai ke pintu gate T16, terdengar final call daripada announcer. Nama Chik dan saya dipanggil untuk boarding. Pintu kapal terbang pula diberitakan akan ditutup dalam masa lima minit sahaja lagi. Bertambah laju larian kami.

Keluar dari pintu gate, Airport Lineman yang sedang berdiri di luar; betul-betul di depan pintu gate, menegah kami daripada berlari. Katanya masih sempat lagi untuk kami naik ke atas kapal terbang. Sambil itu dia menunjukkan kapal terbang yang bakal kami naiki yang berada di hujung barisan. Kami lihat para penumpang masih lagi beratur untuk menaiki tangga masuk ke dalam perut kapal terbang. Masih belum terlambat rupanya. Namun, kami masih berjalan dengan pantas. Lineman tadi bertanya kenapa kami lambat. Saya dan Chik sudah tak terjawab soalan mengapa lambat. Jadi kami hanya tersenyum.

Kemudian Lineman kedua pula menegur kami, "Ha, kapal terbang kat hujung sana. Ni pergi belajar ke?"

"Tak. Bercuti," jawab saya.

"Oh, selamat bercuti."

Kemudian Lineman ketiga dan keempat pula menegur kami. Memang jadi perhatian betul kami berdua pada waktu itu. Walaupun terlambat, sempat lagi kami bergurau dengan kedua-dua Lineman tersebut. Apabila kami sudah menghampiri kapal terbang, terdengar suara mereka mengucapkan selamat jalan kepada kami. Sebaik sahaja saya berpaling ke belakang, saya lihat keempat-empat Lineman tersebut sedang berbaris sambil melambai-lambai ke arah kami. Tergelak saya melihat mereka sambil membalas lambaian dan mengucapkan selamat tinggal kepada mereka.

Sekali lagi saya merasa sangat bersyukur kerana sempat menaiki kapal terbang tersebut. Chik kata syarikat penerbangan ada peraturan di mana jika pintu kapal terbang sudah ditutup, mereka tidak akan buka semula - walaupun setelah kita merayu-rayu. Dia dapat tahu pun setelah menonton salah satu episod The Amazing Race di mana salah satu kumpulan terlewat untuk boarding dan pintu kapal terbang sudah ditutup. Mereka merayu untuk dibenarkan naik, tetapi rayuan mereka tidak dilayan sama sekali disebabkan oleh peraturan di atas. Fuh! Menakutkan. Patutlah Chik mengigil-gigil tadi. Rupa-rupanya dia takut perkara yang sama juga menimpa diri kami. 

Rimas 

Dalam kapal terbang kami duduk di kerusi 3-seater. Tempat duduk di tepi tingkap sudah diisi. Seorang jejaka Cina mungkin. Sekali pandang ada ala-ala muka orang Korea. Dia kelihatan sangat misteri. Berpakaian serba hitam - berjaket kulit dan berseluar hitam sambil meriba beg hitam yang mungkin berisi laptop. Chik duduk di sebelah lelaki tersebut manakala saya duduk di tepi aisle. Kerusi di belakang kami pula diduduki oleh seorang wanita dan seorang lelaki tua Cina yang tidak berhenti-henti bercakap. Bercakap pula bukan perlahan-lahan tetapi dengan suara yang kuat.

Hiburan pula tiada disediakan di dalam kapal terbang. Jika mahu hiburan, perlu membayar RM30 untuk set hiburan X-cite. Jadi saya dan Chik 'berhibur' dengan cara mereka cerita tentang lelaki misteri yang duduk di sebelah Chik. Kapal terbang belum bergerak dia sudah tidur dengan menyembunyikan mukanya di sebalik kolar jaket yang ditegakkan. Jadi kami mengandaikan kononnya yang duduk di sebelah Chik itu merupakan seorang artis (penyanyi mungkin) yang low profile. Dia tidak mahu dikenali sebab itu dia memilih untuk duduk di economy class. Kami panggil dia 'Rain' sebab dia ada gaya seperti Rain; seorang artis Korea yang sangat popular. Kami merasa cukup bertuah kerana dapat duduk bersama-sama dengan 'Rain'. Ingin sekali hendak meminta autograph tetapi malu pula...hehehe...

Dalam masa yang sama kami merasa rimas dengan lelaki tua yang duduk di belakang saya. Cakapnya tidak berhenti-henti. Kalau perlahan tidak mengapa juga. Tetapi dia bercakap dengan kuat sekali. Nasib baik juga dia tidak bercakap sepanjang masa penerbangan. Kalau tidak, boleh gila kami dibuatnya terutama sekali Chik yang sudah merangka beberapa siri 'serangan' yang hendak dilakukan jika lelaki tersebut masih tidak berhenti bercakap. Sangat ganas sekali imaginasi Chik, takut pula saya hendak kongsikannya di sini. Lebih baik saya simpan di dalam hati.