Sunday, October 21, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 12

LAKE TEKAPO - OAMARU

"I've a grand memory for forgetting (Saya mempunyai daya ingatan yang kuat untuk lupa)" - Robert Louise Stevenson

Semasa kami meninggalkan Oamaru Blue Penguin Colony, hujan turun renyai-renyai. Dan hujan masih lagi renyai semasa kami sampai di Dilaan Turkish Cafe. Untuk sampai ke sana, berpusing-pusing jugalah. Sekejap belok kanan, sekejap belok kiri, lepas itu belok kanan lagi. Itulah 'untungnya' ada GPS. Kalau ada jalan pintas, jalan jauh juga yang akan ditunjukkan. Nasib baik pemandu kereta a.k.a. Chik sangat tabah dan gigih memandu. Jika tidak, dia terpaksa memasak pada malam itu. Hihihi~

Sebaik memasuki kafe, teragak-agak juga hendak membuat pesanan. Saya manalah biasa makan makanan dari negara Timur Tengah. Dan, rasanya itu kali pertama kami makan di luar sejak sampai ke bumi Maori ini. Saya tidak ingat nama makanan yang kami pesan. Chik memilih untuk makan kebab ayam yang diletakkan dalam roti pita bersama dengan sayur-sayuran. Dia juga diberikan pilihan dua jenis sos. Saya pula memilih kebab kambing yang ditaburkan di atas selonggok kentang goreng yang kemudian disirami sos barbeku dan...oh, tiada dan-dan. Saya cuma boleh pilih satu jenis sos sahaja. Sedih! (Maaf tiada gambar untuk menunjuk-nunjuk. Jadi bayangkanlah menu kami itu mengikut daya imaginasi masing-masing).

Harga keseluruhan makanan termasuk air dalam tin adalah NZD33. Mahal? Memang mahal tetapi saiz makanan sangat besar. Tidak padan langsung dengan saiz perut kami yang rasanya cuma boleh muat lebih kurang separuh daripada jumlah keseluruhan makanan yang dihidangkan.
 
Tuan punya kafe yang bernama Abdullah begitu ramah melayan semasa kami sedang makan. Macam-macam perkara yang diceritakannya. Daripada kisah bagaimana dia memulakan perniagaan di Oamaru sehinggalah kepada keluh kesah beliau terhadap beberapa orang rakan senegara dan seagama yang menetap di New Zealand yang sudah terpesong daripada ajaran agama. Tidak dapat hendak saya menceritakannya satu persatu di sini kerana jika saya ceritakan juga mahunya catatan saya ini akan bertukar menjadi novel pula nanti.

Di samping Tuan Abdullah, ada seorang lagi yang kami lihat bekerja di kafe tersebut. Seorang gadis manis yang kami rasa dia merupakan orang Turki juga. Mungkin anak perempuan Tuan Abdullah. Isteri rasanya tidak mungkin kerana gadis itu kelihatan terlalu muda jika dibandingkan dengan beliau. Untuk mendapatkan kepastian, Chik bertanya, "Is she your daughter?" sambil menunjuk ke arah gadis tersebut.

"Oh, Aishah? No, no. She's my staff. I'm not married yet."

Hahaha! Rupa-rupanya sangkaan kami meleset sama sekali. Tuan Abdullah belum berkahwin lagi rupanya. Patutlah ramah betul dengan kami.

"Dia tengah cari calon tu, Siti. Siti kan suka New Zealand...boleh la tu...hehehe!"

Pandai betul Chik mahu padankan saya dengan Tuan Abdullah. Sebenarnya saya rasa Chik yang berminat sebab dia yang paling rajin melayan Tuan Abdullah bercakap, manakala saya lebih rajin melayan makanan...hehehe! 

Disebabkan kesudian kami mendengar dan melayan cerita Tuan Abdullah, beliau dengan baik hatinya membelanja kami teh Turki (tetapi bukan Apple Tea Turki yang terkenal itu..uhuk!). Apa-apapun saya tetap bersyukur dengan rezeki yang diberikan; walaupun saya syak beliau sebenarnya mahu mengorat Chik...hahaha!

Disebabkan saiz makanan yang besar dan kami tidak dapat menghabiskannya, kami meminta Tuan Abdullah membungkus saki baki makanan yang masih belum dijamah. Semasa kami hendak meninggalkan kafe, sempat Tuan Abdullah mengucapkan, "See you again."

"Macamlah kita akan jumpa dia lagi," kata Chik dengan penuh yakin.

Maka, kami pun pulang ke hotel dengan rasa kekenyangan yang amat. Sampai sahaja di hotel, tidak sabar-sabar saya hendak mengeluarkan poskad-poskad dari dalam beg sandang. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini saya ada membeli poskad untuk dihantar kepada diri sendiri, kakak di rumah dan rakan sekerja. Sedang saya seronok-seronok membelek dan memikirkan apa yang hendak ditulis di dalam poskad-poskad itu, tiba-tiba Chik bertanya, "Siti ada nampak beg orang tak?"

Tidak perasan pula saya. Mungkin dalam kereta, tetapi Chik kata tiada. Yang saya ingat semasa balik dari Oamaru Blue Colony tadi Chik ada membawa beg sandangnya itu. Jadi, besar kemungkinan beg Chik tertinggal di kafe tadi. Chik...Chik...'penyakit' pelupanya menyerang lagi. Aduhai...

Namun, dalam hati saya terasa lucu juga. Nampaknya, kuat betul jodoh Chik dengan Tuan Abdullah...ahaks!

"Siti kena teman orang pergi sana balik," pinta Chik dengan penuh harapan lalu memadamkan rasa kelucuan dalam hati saya. Sudah semestinya saya akan temankan Chik. Sebagai seorang sahabat yang baik (puji diri sendiri) tidak mungkin saya biarkan dia memandu seorang diri di bumi yang asing ini.

Namun apabila sampai di kafe, saya tidak menemani Chik masuk ke dalam. Saya cuma melihat apa yang berlaku melalui dinding kaca kafe tersebut. Tidak lama kemudian Chik keluar dari kafe dengan wajah berseri-seri sambil menyandang begnya yang memang sah tertinggal di sana.

Sebaik masuk semula ke dalam kereta, Chik memberitahu bahawa dia telah 'dipermainkan' oleh Tuan Abdullah. Pada mulanya beliau beria-ia kata tidak nampak beg Chik. Setelah nampak Chik gelabah barulah dia mengaku yang beg Chik memang tertinggal di sana dan pergi mengambilnya di belakang kafe. Tidak fasal-fasal Chik terkena penangan gurauan orang Turki...hahaha!

Sebaik sampai di hotel, saya sambung kembali aktiviti yang tergendala tadi.

Ini poskad untuk rakan sekerja di department saya. Saya suka poskad ini sebab...

...ada multiple choice. Jadi tandakan sahaja apa yang hendak disampaikan. Tidak perlu peningkan kepala fikir apa yang hendak ditulis. Hewhewhew~

Dua poskad di atas untuk dikirimkan kepada diri sendiri (atas) dan kakak (bawah).

Setelah berpuas hati dengan apa yang ditulis dan menampal setem untuk kiriman poskad antarabangsa yang setiap satunya bernilai NZD2, saya pun membersihkan diri dan kemudian solat.

Kemudian saya makan makanan yang dibungkus tadi. Tetapi tidak juga dapat dihabiskan. Disebabkan tiada apa yang hendak dibuat - televisyen pun tiada rancangan menarik - kami tidur awal malam itu.

Namun, sukar sungguh hendak tidur kerana badan terasa panas. Saya sangka saya diserang hot flush (salah satu kesan sampingan rawatan yang saya terima pada waktu itu). Tetapi saya perasan Chik pun macam gelisah. Saya periksa heater. Oh, patutlah. Lupa pula semasa mula-mula sampai bilik hotel pada petang tadi, saya telah memasang heater ke laras maksimum. Patutlah panas menggila. Setelah saya turunkan laras suhu, barulah boleh tidur dengan lena...

-Bersambung-

4 comments:

Waida Yusof said...

Aha, saya suka poskad multiple choice itu. Terbaiklah!

Hulubalang said...

hehehe....tactic ngurat org turki tu....rasa cam abdullah tu tau yg beg chik tertinggal tp dia x bgtau...kan? sbb tu dia kata 'see u again' hehehehe...

Kurma said...

haha.. entah2 Chik tu yg sengaja tinggalkan beg dia.. dan Tuan Abdullah tahu taktik Chik.. maka dia pun cakap "See you again" haha..

Poskad tu terbaik dari ladang! Bisa buat orang jeles haha

Siti R said...

Waida Yusof: Memang! Sebenarnya sebelum itu saya sudah pun membeli poskad lain untuk ofis. Tetapi apabila Chik menunjukkan poskad tersebut, terus saya membelinya :D Sekarang saya ada satu poskad extra yang tidak dihantar ke mana-mana..hehe!

Hulubalang: Tak terfikir pula saya...betullah tu kot..hahaha!

Kurma: Macam2 teori dah ni...Kesimpulannya, hanya Chik dan Tuan Abdullah yang tau...kahkah!

Hehe..betul, betl, betul!