Sunday, October 7, 2012

Kembara Berdua Di Bumi Maori 11

LAKE TEKAPO - OAMARU

"It's practically impossible to look at a penguin and feel angry (Secara praktikalnya, rasa marah boleh hilang setelah melihat seekor penguin)" - Joe Moore

Agak-agaknya apakah haiwan comel yang berwarna biru itu, ya? Kalau ada yang jawab Doreamon...memanglah. Memang salah jawapan itu. Haiwan comel yang berwarna biru yang ingin kami lihat itu ialah...penguin!

Nanti dulu. Penguin berwarna biru? Penguin comel? Buang tebiat? Tolong ya. Ini penguin bukan sebarang penguin. Penguin yang dimaksudkan ialah blue penguin yang merupakan spesis penguin yang paling kecil di dunia. Sudah lumrah dunia...apa-apa yang dikaitkan dengan apa sahaja yang kecil pastilah ia comel. Termasuklah penulis "Perempuan Pengembara" ini. Eh? *Tetiba*

Dengan berpandukan GPS, Chik memandu ke Oamaru Blue Penguin Colony. Tidak sabar rasanya hendak melihat blue penguin. Kalau boleh, mahu sahaja saya melompat-lompat dalam kereta. Tetapi dalam kereta mana boleh melompat-lompat. Jadi, duduk diam-diam sahaja sambil mata bergilir-gilir mengerling GPS dan jalan di hadapan; jalan di hadapan dan GPS. Nasib baik tidak sampai sepuluh minit kami sudah sampai di sana, kalau tidak boleh juling mata saya dibuatnya.

Bayaran masuk untuk 'Evening Viewing' adalah NZD25.00 seorang. Seperti biasa Chik akan bayarkan dahulu. Memandangkan acara mengintai penguin hanya akan bermula pada pukul 5:30 petang, kami menghabiskan masa melihat-lihat cenderamata yang dijual di dalam kedai cenderamata. Saya membeli beberapa keping poskad. Kononnya untuk dihantar kepada rakan sekerja, untuk diri sendiri, dan untuk kakak di rumah. Itu pun saya mendapat idea daripada blog-blog kaki jalan yang lain. Tidak lupa juga saya membeli bookmark. Saya mahu beritahu (walaupun mungkin tiada siapa pun yang mahu tahu) bahawa sebelum sampai New Zealand, saya sudah menanam azam untuk mengumpul bookmark dari setiap negara yang saya akan kunjungi nanti. Ini baru namanya pengembara yang cintakan buku. Ewah! Dan kepada rakan-rakan yang pergi ke luar negara dan mahu memberikan saya cenderamata, cukuplah dengan memberikan bookmark kepada saya. Terima kasih. *Tetiba*

Dalam pukul 5:15 petang, kami mula bergerak ke viewing deck yang terletak di belakang bangunan Oamaru Blue Penguin Colony.

Pemandangan di tepi pantai itu memang cantik. Air laut kelihatan berwarna biru. Laut biru dan penguin biru (yang belum muncul)...langit pun biru...ahhh...menarik, bukan? Cuma satu sahaja yang saya kurang senang (mungkin juga Chik) pada masa itu iaitu suhu yang sejuk. Boleh jadi 'biru' kami dibuatnya. *Tetiba*

Sementara menunggu penguin naik ke darat, kami dan juga para pengunjung yang lain bersiar-siar (bukan boleh bersiar-siar jauh pun, depan viewing deck sahaja) sambil menikmati keindahan pantai. Kelihatan beberapa ekor anjing laut yang gemuk-gemuk sedang bersantai di atas batuan yang terdapat di tepian pantai. Jangan risau, faktor kegemukan anjing laut-anjing laut tersebut bukan disebabkan mereka menjadikan penguin yang akan naik ke darat sebagai hidangan mereka. Tidak sama sekali. Itu seperti yang diberitahu oleh petugas di situ. Tidak mengapa. Kita tunggu dan lihat. Sementara menunggu, kami bergambar dan mengambil gambar anjing laut-anjing laut tersebut.  

Pemandangan pantai dari viewing deck.

Cari benda tersembunyi: Di manakah anjing laut?

Cari benda tersembunyi 2: Di manakah anjing laut?

Cari benda tersembunyi 3: Di manakah anjing laut? Kalau tak nampak juga, tak tahulah hendak kata apa.

Tepat pada pukul 5:30 petang, juru acara yang bernama Elaine (merangkap cashier di kedai cenderamata tadi) mula memberikan kata-kata aluan kepada para pengunjung. Juga mengingatkan kami agar tidak menggunakan sebarang alat elektronik yang mengeluarkan cahaya putih. Cahaya putih lagi. Saya ingat di Lake Tekapo sahaja cahaya putih tidak dibenarkan. Rupa-rupanya di sini juga tidak dibenarkan. Cahaya putih akan mengganggu dan menakutkan penguin, katanya. Itu bermakna kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar semasa penguin naik ke darat nanti. Hmm...

Mereka bukan main-main apabila mereka mengatakan tidak boleh mengambil gambar, menggunakan telefon bimbit, dan apa sahaja gajet yang mengeluarkan cahaya putih. Mereka memantau setiap pengunjung yang melanggar peraturan tersebut. Sesiapa sahaja yang didapati 'bersalah' akan ditegur dengan segera - termasuklah Chik. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati kepada Chik. Sayalah yang terpaksa mendengar luahan Chik di atas rasa ketidak-puasan hatinya itu. Saya seperti biasa hanya mampu tersenyum walaupun ada rasa tidak puas hati juga. Iyalah...tidak dapat ambil gambar. Nanti saya tiada bukti yang saya pernah datang ke situ untuk melihat blue penguin. Siapa yang akan percaya dengan saya nanti? Isk!

Dalam melayan rasa tidak puas hati, tiba-tiba Elaine memaklumkan kepada kami bahawa kumpulan pertama penguin sedang berenang menghampiri pantai untuk naik ke darat. Semua mata menyorotkan pandangan ke arah pantai. Apabila tiba di tepi pantai, kumpulan penguin itu mula keluar dari air laut dan merehatkan diri sebentar di batuan yang terdapat di tepi pantai. Waduh, waduh...mereka sangat comel! Rasa tidak puas tadi tiba-tiba hilang entah ke mana. Yang ada cuma rasa suka hati. Tersenyum-senyum saya melihat penguin-penguin tersebut seolah-olah sedang melihat kucing-kucing kesayangan saya sendiri.

Mereka bergerak mendaki tebing dengan agak perlahan. Sekejap-sekejap mereka berehat. Mungkin untuk menghilangkan lelah atau mungkin untuk memanaskan badan. Kasihan pula saya melihat penguin-penguin tersebut kerana badan masing-masing sedang menggigil dengan kuat. Anjing laut-anjing laut yang sedang bersantai hanya memandang mereka tanpa berbuat apa-apa. Memang benarlah seperti kata petugas di situ, penguin-penguin tersebut selamat daripada menjadi hidangan anjing laut.

Apabila penguin-penguin tersebut sampai di atas tebing, mereka mula terkedek-kedek berjalan dan berlari-lari penguin menuju ke arah pagar kayu yang memisahkan tebing dengan koloni tempat mereka bermalam. Pada tempat tertentu di pagar tersebut ada pintu masuk kecil. Di situlah penguin-penguin itu meloloskan diri untuk masuk ke dalam koloni mereka.

Beberapa minit kemudian kumpulan kedua pula sampai. Maka, bermulalah sekali lagi proses tadi. Begitulah seterusnya dengan kumpulan-kumpulan penguin yang lain. Pada kumpulan terakhir yang naik sebelum kami pulang, ada seekor penguin yang terpisah daripada ahli kumpulan yang lain. Entah mengapa ia naik menuju ke arah viewing deck. Masing-masing teruja apabila penguin itu masuk ke kawasan viewing deck. Aduh...cair hati saya melihatnya. Penguin itu betul-betul ada dekat dengan kami...berjalan terkedek-kedek seperti seorang kanak-kanak yang kehilangan ibunya (amboi metafora...ahaks).

Kami tidak berlama-lama memerhati penguin tersebut masuk ke dalam koloninya akibat tidak tahan kesejukan. Sebenarnya kami mahu beransur pulang semasa penguin itu masuk ke kawasan viewing deck. Lagipun sudah sejam kami menghabiskan masa di situ. Hari sudah gelap. Perut pula sudah bergelora minta diisi.

Jadi, agenda kami seterusnya adalah makan. Masak atau makan luar? Itu persoalan yang dikemukakan oleh Chik. Rasa seperti mahu makan di luar. Lagipun semasa mula-mula sampai di Oamaru tadi kami ternampak sebuah restoran Turki di pusat bandar. Kami bersetuju untuk makan di situ. Cuma kami tidak ingat di mana lokasi sebenar restoran tersebut. Nasib baik Chik mendapat idea untuk cuba mencarinya dalam GPS. Ada menu untuk Places of Interest dan sub menu Food. Dan kami jumpa satu-satunya restoran Turki di Oamaru - Dilaan Turkish Cafe. Tidak syak lagi itulah restoran yang kami nampak tadi. Maka, ke sanalah arah tujuan kami seterusnya.

-Bersambung-            

4 comments:

niL said...

ct! sekor pun xde ke gambar penguin tu?? Ala..nk tengok..mesti comel lote kan!

Siti R said...

Nan ado...x dibenarkan langsung nk amik gambar.

Tp sebenarnya ada..cuma bkn kat Blue Penguin Colony tp kat Antartic Center kat Christchurch...tp kitorg gi AC tu pada hari terakhir...so, kena tggu la kalo nak tgk..hihihi

Emy Tak Kecik said...

wahh best nye siti...lenkali tulis la pnjang2 hehehe

Siti R said...

Insya-Allah...Jenuh tu nak tulis panjang2...hehehe