Dalam masa kurang daripada 24 jam, saya dan Chik akan memulakan kembara kami ke Dunia Tengah; walaupun kalau dilihat pada atlas, ia sebenarnya terletak hampir di hujung dunia.
Sepatutnya untuk ke sana, kami perlu menaiki Fell Beasts. Tetapi memandangkan ia tidak wujud lagi, maka terpaksalah kami menggantikannya dengan menaiki kapal terbang sahaja.
Di sana, sekali lagi kami terpaksa menggantikan kenderaan yang sepatutnya kami naiki kepada kenderaan yang lain. Sepatutnya kami mengembara dengan menaiki kuda. Tetapi, alahai...susah sungguh hendak mencari kuda. Kalau ada pun, untuk perjalanan yang pendek-pendek sahaja. Maka, terpaksalah kami menggantikannya dengan kenderaan yang berkuasa kuda sahaja yang dipanggil sebagai kereta.
Jangan ditanya sama ada saya mahu bertemu dengan Frodo Baggins di sana nanti. Saya sendiri tidak tahu. Kalau mahu berjumpa pun, rasanya saya perlu melihat diri saya sendiri. Melihatkan kepada keadaan fizikal, rasanya mungkin saya tidak perlu mencari jauh. Mungkin kami bersaudara atau...mungkin sayalah Frodo itu!
Sebenarnya...sebenarnya...saya ingin sekali bertemu dengan Legolas. Namun, kalau tidak bernasib baik, dapat berjumpa dengan jejaka yang ada iras-iras Legolas pun jadilah. Bukanlah tujuan saya hendak menjadikan beliau sebagai bakal suami. Cuma mahu memastikan apa yang saya lihat sebelum ini bukan sekadar indah khabar dari rupa. Namun, kalau sudah jodoh saya tidak akan menolaknya. Hehehe!
Yang sebenar-benarnya, harapan untuk bertemu dengan Frodo Baggins atau Legolas, bukanlah impian saya dalam pengembaraan ini. Itu cuma angan-angan kosong. Maklumlah, angan-angan itukan percuma? Yang sebetulnya saya mahu berkongsi pengalaman mengembara dengan menuliskannya dalam bentuk travelog. Rasa seronok semasa menulis travelog "Cuti-cuti China," jadi saya ingin mengulangi keseronokan itu semula. Sudah tentunya dalam jangka masa yang lebih pendek. Semoga berjaya. Insya-Allah.
Sebelum meninggalkan Tanah Melayu, dengarkanlah pantun daripada saya yang ditujukan khas kepada anda semua:
Pulau Pandan Jauh Ke Tengah
Gunung Daik Bercabang Tiga
Walau Kembaraku ke Dunia Tengah
Dirimu Tetap Kukenang Jua
Maaf terpaksa menyadur pantun klasik. Saya ini bukanlah seorang yang pandai berpantun-pantun.
Nota: Agak-agaknya apa tajuk travelog yang sesuai, ya? Dalam fikiran saya ada tajuk "Perempuan-perempuan Pemandu: Roadtrip New Zealand." Ada idea lain?
2 comments:
Kenapa Perempuan Pemandu?
Tajuk tu ok jugak.. takpun tajuk ala-ala Dunia Tengah.
Sebab kitorg dua org perempuan yg akan memandu semasa di sana nnti, insya-Allah..Tp mcm apa pulak tajuk ni, kan..
Ok, boleh dipertimbangkan...tq2 :D
Post a Comment