Sunday, February 6, 2011

Cuti-cuti China: Hari Keempat - Bahagian Akhir

Hari Keempat - 26/4/2010

Tempat Persinggahan

Sebenarnya kami tidak terus menuju ke Terracotta Warriors and Horses Museum. Qing Kang membawa kami ke kilang Terracotta di mana replika patung-patung terracotta dibuat daripada yang sekecil-kecil hingga yang sebesar-besar manusia. Juga ada dijual barang-barang cenderahati dan juga perabot. Pendek kata, macam-macam ada...

Harga barang-barang yang dijual di sana agak mahal. Jadi, kalau hendak membeli cenderahati, lebih baik beli di luar di mana harganya jauh lebih murah. Lagipun di kilang itu kita tidak boleh bargain kerana harganya tetap. Kalau boleh bargain pun, tidak banyak harga yang diturunkan. Kenyataan inilah yang terpaksa saya telan semasa membeli beberapa helai T-Shirt untuk dijadikan cenderahati T__T 

Terracotta Warriors and Horses Museum

Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada tour guide di kilang (ya, di kilang tersebut kami diiringi seorang English-speaking tour guide untuk menerangkan tentang bagaimana replika-replika askar-askar dibuat dan juga penerangan mengenai barang-barang yang dijual di sana), kami bergerak ke Terracotta Warriors and Horses Museum yang terletak tidak jauh dari kilang tersebut.

Seperti di Huaqing Hot Springs, Qing Kang meminta wang untuk dia membelikan tiket masuk yang berharga RMB90 seorang untuk kami. Setelah tiket bertukar tangan, kami masuk ke dalam kawasan muzium manakala Qing Kang menunggu di luar. Dia memberikan kami dua jam untuk melawat muzium tersebut.

Untuk melawat muzium ada tiga cara. Pertama, boleh menggunakan khidmat tour guide yang sentiasa menunggu di hadapan pintu masuk (juga ada di Huaqing Hot Springs tadi). Kedua, boleh menyewa alat audio guide. Ketiga, boleh melawat sendiri tanpa bantuan tour guide atau audio guide. Kami menggunakan cara ketiga kerana tidak perlu mengeluarkan wang...hahaha! 

Tentang Terracotta Warriors and Horses

Kalau hendak diikutkan, kawasan Terracotta Warriors and Horses Museum memang agak luas. Tidak tahu hendak bermula dari mana, kami mengikut sekumpulan pelawat/pelancong yang sedang beratur untuk menaiki kenderaan yang akan membawa kami ke salah satu Pit (kalau tidak silap saya kami diturunkan di Pit 3) yang ada di sana.

Ada tiga Pit (tiada kena mengena dengan Brad Pit). Pit ini bolehlah dianggap sebagai tempat penemuan/penggalian askar-askar dan kuda-kuda terracotta tersebut. Kami dapat melihat sendiri kerja-kerja penggalian yang masih lagi dijalankan kerana sebenarnya masih ada lagi askar-askar terracotta yang masih lagi tertanam di bawah sana (dianggarkan ada lebih 8000 kesemuanya). Namun jangan haraplah dapat masuk ke dalam kawasan penggalian. Kalau ada yang bercita-cita hendak bergambar bersebelahan dengan askar-askar tanah liat tersebut, baik lupakan sahaja (saya teringin sebenarnya...huhu) - hanya pemimpin-pemimpin dunia sahaja yang boleh. Pelawat hanya boleh melihat dari tepi kerana kawasan penggalian yang terdapat di tengah-tengah dihadang dengan pagar. Hendak mengambil gambar juga tidak begitu digalakkan sebenarnya. Kalau hendak bergambar, penggunaan flash tidak dibenarkan. Namun ada juga yang ingkar...maklumlah kawasan Pit agak suram.

Di salah satu Pit, bagi yang teringin bergambar 'bersama-sama' dengan askar-askar terracotta, ada disediakan sebuah studio gambar - siap dengan jeneral, askar pemanah dan kuda. Boleh guna khidmat tukang gambar (tidak ingat pula berapa cajnya) di situ. Kalau tidak mahu, boleh guna kamera sendiri. Satu gambar RMB10. Saya dan Chik tidak ketinggalan untuk bergambar di sana dengan menggunakan kamera sendiri.

Masa bagaikan mencemburui kami. Tidak sedar kami sudah berada di Terracotta Warriors and Horses Museum lebih daripada dua jam. Kami kembali semula ke kawasan parkir. Destinasi seterusnya ialah Mount Huashan. 

Perubahan Rancangan

Semasa kami bertolak menuju ke Mount Huashan, jam sudah menunjukkan pukul lima lebih. Jika ikutkan rancangan asal, kami akan menaiki Mount Hushan dengan kereta kabel pada petang ini dan bermalam di hotel di atas sana. Esok pagi-pagi pergi mendaki ke puncak gunung untuk melihat matahari terbit dari atas sana.

Tetapi...rancangan terpaksa diubah kerana kami sudah terlewat. Perjalanan dari Xi'an ke Mount Huashan akan mengambil masa lebih kurang tiga jam. Qing Kang menelefon Melanie supaya dia boleh terangkan kepada kami tentang perubahan tersebut. Kata Melanie, kereta kabel yang paling akhir naik ke atas gunung adalah pada pukul tujuh malam. Kami pula dijangka sampai di sana lebih kurang pukul lapan malam. Memang tidak sempat. Dia mencadangkan agar kami menyewa hotel di kaki gunung dan mendakinya pada esok pagi sahaja. Mahu tidak mahu terpaksalah kami bersetuju (kalau hendak mendaki di waktu malam boleh juga tetapi tidak yakin pula kerana pendakian perlu dilakukan sepanjang malam (baca: kurang stamina)). 

Melayan Lagu

Sepanjang perjalanan seperti biasa saya tidak boleh tidur. Hendak melayan lagu, bateri telefon bimbit saya sudah 'kong.' Terpaksalah saya melayan lagu-lagu yang dipasang oleh Qing Kang. Catchy, catchy juga lagu-lagu yang dipasang. Mungkin lagu-lagu tersebut adalah lagu-lagu yang sedang popular di China. Ada satu lagu kalau sekali dengar lirik pada korusnya seperti dinyanyikan dalam bahasa Melayu (dua, tiga kali dengar baharulah macam lagu Mandarin..haha). Lebih kurang begini 'liriknya':

"Dua, dua, dua, dua..aa, tak tau pilih mana satu...uu uu"

Betul. Memang lebih kurang begitulah saya dengar. Tersengih-sengih saya seorang diri kerana merasakan lagu tersebut sesuai dengan Chik (pada masa itu). Tetapi apabila saya berpaling ke arah Chik untuk berkongsi kegelian hati saya...hampeh...dia sudah tidur daa...

Jadi, dalam tiga jam perjalanan, saya terpaksa jadi suka mendengar lagu-lagu yang didendangkan daripada CD Qing Kang dan sekali sekala mendengar dia menyanyi sekali sambil memandu. Qing Kang ini boleh dikira sebagai seorang pemandu berhemah juga. Mini van dipandu tidak laju dan tidak perlahan. Sedang-sedang sahaja. 

Hotel Misteri

Akhirnya kami sampai di Mount Huashan lebih kurang dalam pukul lapan lebih. Qing Kang berhenti di hadapan sebuah hotel. Kami diminta untuk menunggu di dalam mini van terlebih dahulu sementara dia masuk ke dalam hotel untuk bertanya sama ada masih ada bilik kosong atau tidak. Tidak lama selepas itu Qing Kang keluar semula. Tiada bilik kosong. Kami perlu mencuba nasib di hotel lain pula.

Hotel kedua yang kami singgah ada bilik kosong. Alhamdulillah. Setelah membayar sewa bilik yang berharga RMB100, kami dengan penuh confident mengangkat beg untuk dibawa masuk ke dalam hotel. Tetapi kami ditahan oleh staf hotel dan Qing Kang. Mereka menunjuk ke arah sebuah bangunan yang terletak betul-betul di hadapan hotel. Terkejut kami dibuatnya. Masakan tidak, bangunan itu seperti tiada berpenghuni...gelap...menakutkan...macam dalam filem seram...isk!

Kami dibawa ke sana untuk melihat bilik kami yang terletak di tingkat 3 terlebih dahulu. Semasa hendak naik, saya lihat sebuah bilik di sebelah kanan yang mungkin dahulunya sebuah restoran atau dewan kelihatan tunggang langgang (memang macam dalam filem seram). Di sebelah kiri pula adalah tandas dan sinki, juga tempat mencuci pakaian. Kami menaiki tangga untuk ke tingkat atas.

Seperti di hostel di Beijing, bilik ini ada 3 katil. Bilik air ada, tetapi tidak boleh digunakan. Jadi kalau mahu ke tandas, kami perlu ke tingkat bawah tadi. 3 biji katil di dalam bilik membuatkan saya dan Chik terfikir, adakah Qing Kang juga satu bilik dengan kami? Ah, sudah!

Nasib baik. Qing Kang tidur di bilik lain. Setelah berpuas hati dengan keadaan bilik, kami turun semula untuk membersihkan diri dan mengambil beg yang ditinggalkan di bawah. Malangnya kami tidak boleh mandi kerana tiada bekalan air panas di sana (Secara rasmi, sudah lebih 24 jam kami tidak mandi. Nasib baik cuaca sejuk. Tiada peluh atau lekit. Masih boleh dikira wangi lagi..hehehe!). Air yang keluar dari sinki pula tersangatlah sejuk seperti air batu. Kami hanya boleh mencuci muka, gosok gigi dan melepas hajat sahaja. Hendak melepas hajat pula agak 'terseksa' dibuatnya. Dalam banyak-banyak tandas hanya satu sahaja yang boleh dikategorikan sebagai boleh diguna kerana yang lain-lain...isk...tidak sanggup saya hendak perincikan di sini akan keadaannya. Sudahlah suis lampu tandas tidak kami jumpai. Dalam samar-samar, rasa seram menyelinap ke dalam kalbu...tiba-tiba teringat Freddy Kruger dan segala macam hantu yang wujud dalam dunia ini. Kepada Chik saya berkata, "So, we want adventure? This is adventure!"

Setelah selesai urusan di bawah, kami naik semula ke bilik sambil mengangkat beg. Semasa hendak naik, ada seorang lelaki yang juga menginap di bangunan yang sama menawarkan diri untuk menolong mengangkat beg Chik. Oh, ada orang lain rupanya (harap bukan hantu...huhu...). Dalam bilik, kami mengalas perut dengan makanan yang dibeli di Moslem Street pada siang tadi. Kemudian kami mengemas beg. Maklumlah sudah banyak barang dan cenderahati yang dibeli. Perlu disusun elok-elok. Setelah siap semuanya, kami bersiap-siap pula untuk tidur. Dalam hati saya berharap, semoga tiada hantu yang datang mengganggu...huhuhu...    

3 comments:

Kurma said...

eii ada ju on tak? eii ngeri .. mau berbakul2 ayat Kursi baca hehehe

Siti R said...

Mahu tahu ada ke tidak...sila tunggu sambungannya...ahhahahaha!

Kurma said...

argghh tertekan..tertekann.. !!