Friday, April 8, 2016

Kembara Berdua di Bumi Maori 16

OAMARU - DUNEDIN

"I think there are ghosts. I haven't seen or heard anything. I've definitely felt something, but it's not scary (Aku rasa hantu itu wujud. Aku tak pernah nampak atau dengar apa-apa. Yang pasti, aku ada rasa sesuatu, tetapi ia tidaklah menakutkan)" - Robbie Williams.

Saya tidak pasti sama ada kami mahu bersiar-siar terlebih dahulu ataupun kami tersesat. Yang saya ingat, sebelum sampai ke hotel, kami ada melalui satu jalan berbukit yang sangat curam. Walaupun curam, di kiri kanan jalan berderet rumah-rumah yang comel. Kawasan kediaman rupanya.

Kagum saya melihat ada orang yang mahu tinggal di kawasan berbukit curam begini (tak sedar diri betul...padahal rumah di kampung saya sendiri terletak di bawah bukit yang curam. Cuma ia tidaklah tinggi seperti di sini). Ah, saya rasa mereka tidak punya banyak pilihan memandangkan bentuk muka bumi Dunedin ini memang begitu.

Oleh kerana bimbang kereta jadi bermasalah jika kami terus mendaki, kami mengambil keputusan untuk berpatah balik sahaja.

Kami tiba di hotel tidak lama kemudian. Berbekalkan peta yang telah diberi semasa check-in tadi, kami mencari kabin bernombor 24 yang akan menjadi tempat perlindungan kami pada malam ini.

Hati terasa tenang dan senang melihat suasana di sini yang tidak ubah seperti sebuah perkampungan kecil. Dan kami menemui 'rumah kampung' kami yang begitu comel terletak di atas bukit. Ya, kawasan hotel ini juga berbukit bukau tetapi tidaklah terlalu tinggi dan curam seperti jalan yang kami lalui tadi.

Kawasan sekitar hotel.

Dalam kabin pula kami berbincang; malam ini hendak masak apa. Kami tidak mengambil masa yang lama untuk mencapai kata sepakat hendak memasak sesuatu yang spesial. Mungkin tak pernah dibuat dek orang. Mungkinlah. Dan oleh kerana spesialnya masakan tersebut, kami perlu keluar semula untuk membeli bahan mentah.

Pukul 7 malam kami bersiap-siap untuk keluar. Malam ini kami membeli-belah di pasaraya Countdown. Antara pasar hiper yang utama di New Zealand.


Saya jumpa kucing ini di depan pintu semasa hendak keluar. DisebabkanChik sedang tunggu saya dalam kereta, tak dapatlah saya nak berlama-lama bermain dengan kucing yang jinak ini. Frust juga bila kami balik, dia sudah tiada di sini.

Setelah membeli bahan mentah yang dikehendaki, kami bergerak ke kereta. Semasa Chik mahu set semula route ke hotel, dia tiba-tiba berkata mahu bersiar-siar terlebih dahulu.

"Apa aje tempat yang kita boleh pergi? Kat sini semua tutup awal." Saya mempersoalkan kemahuan Chik itu.

Ke mana-mana sahaja, katanya.

Saya masih ragu-ragu. 

"Kita tengok dululah apa yang menarik dalam (GPS) ni," cadang Chik lalu terus membuka menu "Places of Interest" dalam GPS. Saya memanjangkan leher untuk melihat sekali apa tempat-tempat menarik yang disenaraikan. Saya nampak banyak tempat yang saya yakin sudah ditutup pada waktu itu. Juga perkataan Playground dan perkataan...

...cemetery!

Cemetery?

"Apalah...cemetery pun boleh masuk places of interest. Apa yang menariknya ntah," ngomel saya sebagai tanda tak puas hati. Sebenarnya saya dan Chik memang sudah perasan yang cemetery ada dimasukkan dalam menu places of interest di setiap tempat yang kami telah lawati. Cuma malam ini terkomplen pula. 

Sudah habis scroll menu, Chik ulang semula melihat dari mula. Entah mengapa dalam rasa tak puas hati, perkataan cemetery itu seolah-olah menggamit hati saya untuk ke sana.

"Jomlah kita pergi melawat kubur," laju pula mulut saya buat cadangan 'ada bran' itu. Tiba-tiba rasa bibir macam tersengih jahat.

"Jom!" Tak sangka pula Chik terus menyatakan persetujuan. Dia terus hidupkan enjin kereta sambil gelak, "hahaha...takde kerja."

Entah apa-apa. Nak pergi kubur pun boleh gelak-gelak. Gembiranya bukan main. Macam nak pergi fun fair. Saya rasa kalau di Malaysia minta maaflah kalau ada sesiapa ajak pergi kubur waktu malam-malam yang sunyi. Seram weh...(lagi sekali tak sedar diri...padahal ada kawasan perkuburan di hadapan rumah di kampung saya. Macamlah tak biasa).

Setelah beberapa minit Chik memandu, kami tiba di sebuah kawasan yang gelap dan sunyi, dan - seperti biasa - terletak di atas bukit. GPS sudah bersuara mengatakan kami telah sampai ke destinasi. Chik pun memberhentikan kereta di bahu jalan yang ada ruang untuk memarkir kenderaan.

Saya dan Chik keluar dari kereta. Dari tempat kami berdiri, iaitu di sebelah kiri jalan, kami boleh nampak bandar Dunedin sayup-sayup di bawah sana. Agak cantik pemandangan kerana di kala itu kebanyakan bangunan di sana kelihatan seolah-olah satu gugusan bintang yang menyinari langit malam. Berbeza dengan pemandangan di sebelah kanan jalan. Gelap gelita. Cahaya daripada lampu jalan pula tidak begitu membantu penglihatan. Setelah mata ini dapat disesuaikan dengan kegelapan, barulah saya perasan paras tanah di situ tinggi sedikit daripada jalan dan terdapat satu atau dua bangunan yang dikelilingi belukar atau hutan kecil.

Terpinga-pinga kami dibuatnya. Apa yang kami mahu lihat langsung tidak kelihatan. Kami sama-sama tertanya, mana kuburnya? 

Puas juga saya besarkan mata mana tahu boleh nampak kubur, tapi tetap tak berjaya. Mahu pergi lebih dekat tak berani kerana bimbang itu kawasan persendirian. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk bergambar dengan berlatar-belakangkan bandar Dunedin sahaja.

Sibuk bergambar hinggakan tak nampak kubur ada di seberang jalan.

Tak lama kami berada di situ, Chik mengajak saya balik. "Jomlah balik Siti. Seram pulak dok sini lama-lama."

Yalah. Saya pun risau kalau tiba-tiba kena 'sergah' dengan vampire ke, drakula ke (hantu-hantu Melayu mungkin tak sampai New Zealand). Boleh tahan seram juga memikirkannya. Maka, cepat-cepat kami masuk semula ke dalam kereta.

Chik membuat u-turn. Sambil itu saya melemparkan pandangan ke kawasan belukar yang sekarang berada di sebelah kiri saya. Berderau darah apabila mata saya bertembung dengan objek berwarna putih yang kurus tinggi. Rupa-rupanya yang saya nampak itu adalah batu nesan (tombstone) berbentuk salib. Kus semangat!

Cepat-cepat saya beritahu Chik. Tak tahulah dia sempat tengok kubur itu ataupun tidak. Yang peliknya ia terletak tidak jauh dari tepi jalan. Macam manalah kami tak nampak tadi?

Nasib baik tiada kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang perjalanan pulang ke kabin. Kami berdua selamat sampai. Alhamdulillah.

Masuk sahaja ke dalam kabin, kami meneruskan projek memasak makan malam iaitu--

Asam pedas ikan salmon. Spesiallah sangat...hohoho~

Saturday, May 30, 2015

Berjalan Seperti Tony Wheeler

Berjalan di blog kenalan aku, Cikpuan Waida yang manis telah menemukan aku dengan entri beliau yang bertajuk "Berjalan Seperti Rolf Potts." Boleh baca entrinya di sini.

Tertarik dengan kuiz yang telah beliau jawab, membuatkan aku juga teringin hendak tahu jenis pengembara yang bagaimanakah diriku ini.

Kalau Cikpuan Waida berjalan seperti Rolf Potts - and I truly believe she fits the descriptions very well - aku pula berjalan seperti...Tony Wheeler! 

I travel like Tony Wheeler !

Tony Wheeler
You are someone who others will come to rely on for their best travel advice and information. With any luck at all, you'll eventually get bought out by the BBC, so you can retire, and then keep traveling anyway.
What type of traveler are you?
Take BootsnAll's Travel Quiz to find out.

Tony dan isterinya, Maureen Wheeler adalah pengasas bersama Lonely Planet, baq hang!

Baiklah...kalau kalian ingin mencuba kuiz di atas, silalah klik pada pautan 'BootsnAll's Travel Quiz' itu, ya.

Have fun!

Saturday, May 23, 2015

Ulasan Travelog "Advantura Pulang Ke Malaya"

Buku comel ini hanya mengandungi 152 halaman. Diterbitkan oleh DuBook Press.

Travelog "Advantura Pulang Ke Malaya" (APKM) ini aku ada sebut dalam entri yang lepas. Boleh rujuk di sini.

Dalam entri tersebut juga aku ada sebut tentang 'sedikit kekecewaan' yang aku rasa selepas membacanya.

Apa dia 'sedikit kekecewaan' yang aku rasakan itu? Aku akan huraikannya di sini.

Kecewa 1. Kisah kembara tuan Badrul Hisham itu tidak ditulis dari A - Z. Untuk kembara yang boleh dianggap sebagai epik, adalah sangat merugikan jika tidak diceritakan kisah dari sebelum, semasa, dan selepas kembara secara terperinci. Maksud aku, bukanlah semua perkara - apa lagi yang remeh-temeh - hendak diceritakan. Memadailah ambil mana-mana pengalaman yang dianggap sesuai untuk bacaan umum. Jadikan ia lebih tebal. Itu sudah cukup mengembirakan bagi aku.

Kecewa 2. Aku rasa bab-bab dalam travelog ini tidak disusun secara kronologi. Aku faham jika tuan penulis hanya mahu menceritakan pengalaman-pengalaman yang menarik dan signifikan dalam kembara berbasikalnya itu. Tetapi lebih molek sekiranya cerita-cerita beliau itu disusun mengikut lokasi negara yang dilalui. Kalian faham kan maksud aku? Aku sering mendapati diri aku tersesat semasa membaca kisah-kisah pendek yang terdapat dalam travelog ini. Lalu ini membawa kepada...

...kecewa 3. Semakin jauh aku membaca, semakin banyak persoalan yang timbul dalam kepala aku. Kalau aku sebut satu persatu persoalan-persoalan yang timbul itu di sini, ia mungkin akan jadi spoiler alert pula kepada yang belum membacanya. Baik aku simpan dalam hati sahaja. Paling mengecewakan, tiada satu pun persoalan itu terjawab walaupun aku telah sampai ke titik terakhir travelog ini.        

Itulah 'sedikit kekecewaan' aku. Sedikit sahaja, kan? Ingin aku tekankan kepada pembaca entri ini dan kepada tuan penulis sendiri (bajet macamlah beliau akan terbaca entri ini...heheheh~) bahawa 'sedikit kekecewaan' yang aku rasa itu tidaklah bermaksud travelog APKM tidak best atau tidak bagus.

Sebenarnya Tuan Badrul Hisham menulis dengan sangat baik. Bahasa Melayunya disusun dengan baik dengan gaya bahasa yang indah. Ada ketikanya beliau menulis dengan gaya yang lebih santai mengikut kesesuaian cerita. Aku juga kagum dengan kebolehan beliau menggambarkan suasana dan keadaan di sekeliling beliau dengan begitu baik sekali - satu kelemahan dalam penulisan yang belum berjaya aku atasi.

Gambar-gambar yang dikongsikan dalam travelog ini juga tersangatlah cantik-cantik belaka...membuatkan aku rasa ingin terbang terus ke tempat-tempat tersebut. Maka, makin bertambahlah wishlist aku dibuatnya.  

Oleh sebab itu, janganlah terpengaruh sangat dengan 'sedikit kekecewaan' aku itu. Setiap orang ada pandangan masing-masing.

Ini cuma pandangan aku, seorang perempuan pengembara yang belum sampai suku dunia pun yang telah dijelajahinya. *face-palm*

Apa lagi nak ada travelog sendiri. *double face-palm

Sekian...izinkan aku membawa diri...(drama je lebih).

Sunday, May 17, 2015

Kembara Buku di PBAKL 2015

Satu perkembangan yang sangat menarik aku lihat dalam industri buku sekarang ini ialah semakin bertambahnya buku-buku travelog yang diterbitkan oleh rumah-rumah penerbitan tempatan. Jenuh juga hendak pilih tajuk yang mana hendak dibeli memandangkan bajet yang ciput dan kudrat yang terhad untuk mengendong bebanan buku yang boleh tahan beratnya.

Maka, setelah berenang di lautan manusia sebanyak tiga kali di PWTC, inilah buku-buku, komik-komik, dan novel travelog yang sempat aku pancing di sana.

Silalah menjamu mata.

Di antara banyak-banyak buku di atas, cuma travelog yang bertajuk "Advantura Pulang ke Malaya" tulisan Badrul Hisham yang telah habis aku baca. Perasaan aku lepas baca travelog ini? Sedikit kecewa sebenarnya. Mungkin sebab aku ada high expectation terhadapnya. Kalau rajin, aku akan ulas lebih lanjut. Kalau rajinlah...hahaha!

Ok, aku minta diri dulu. Nanti sambung cerita lagi, insya-Allah.

Ciao!

Sunday, March 29, 2015

Kembara Berdua di Bumi Maori 15

OAMARU - DUNEDIN

"I never met a chocolate I didn't like (Tak pernah aku jumpa coklat yang aku tak suka)" - Marina Sirtis sebagai Deanna Troi (Star Trek: The Next Generation).

Setelah memandu lebih kurang 21/2 jam, akhirnya kami sampai di Dunedin. Di sini sukar untuk kita tidak perasan akan bentuk muka buminya yang berbukit bukau. Ya, di New Zealand ini kawasan gunung-ganang dan bukit bukau memang dapat dilihat di mana-mana. Tetapi untuk sebuah bandar itu benar-benar berada di atas kawasan berbukit, mungkin jarang-jarang ada. Sekiranya kita potong Dunedin dan melihatnya secara keratan rentas, saya rasa kita akan mendapati bentuk muka buminya seakan-akan graf ECG (Elektrokardiogram) dengan garisan-garisan yang menaik dan menurun di antara garisan-garisan yang rata; menunjukkan seseorang itu masih bernyawa.

Begitulah suasana yang saya rasakan di sini. Lebih 'bernyawa' berbanding dengan Lake Tekapo dan Oamaru yang telah jauh kami tinggalkan. Cuma saya harapkan kereta yang kami sewa ini masih tetap bernyawa walaupun terpaksa bekerja keras mendaki setiap jalan berbukit di sekitar Dunedin ini. Ini termasuklah semasa kami menuju ke hotel penginapan iaitu "Aaron's Lodge Top Ten Holiday Park."

Kami tiba di hotel lebih kurang dalam pukul 2 petang. Chik menunggu di dalam kereta sementara saya melakukan urusan check-in di pejabat hotel. Rancangannya, dapat sahaja kunci, kami mahu langsung bergerak ke Cadbury World.

Urusan check-in berjalan dengan lancar. Selain diberi kunci, saya dibekalkan dengan peta kawasan hotel supaya senang kami mencari kabin kami nanti. Dengan senang hati saya kembali semula ke kereta untuk meneruskan rancangan kami.

Inilah Cadbury World jika dilihat dari Stesyen Keretapi Dunedin.

Perjalanan dari hotel ke Cadbury World hanya mengambil masa lebih kurang sepuluh minit. Kami membeli tiket untuk tour kilang pada harga NZ20.00 seorang. Sementara menunggu giliran untuk tour, kami menghabiskan masa di kedai Cadbury yang terletak di bahagian belakang lobi.

'Timbunan coklat' yang diletakkan bersebelahan dengan meja cashier di bahagian lobi, menyambut kedatangan para pelawat. Namun ia semua adalah palsu. Palsu!

Kami hanya melihat-lihat; orang kata 'window shopping.' Rambang mata juga melihat begitu banyak jenis coklat yang saya tidak pernah jumpa di tanah air dan cenderamata dengan aneka pilihan. Namun saya sedar bahawa saya harus bertenang terlebih dahulu kerana tour kami akan bermula pada pukul 3 petang iaitu yang terakhir untuk hari itu. Sebab itulah kami terkejar-kejar untuk ke sini. Takut tidak sempat.


Gambar atas dan bawah menunjukkan ruang dalam kedai Cadbury yang dihias secara minimalist...heh!

Apabila masa telah sampai, kami pun dipanggil untuk memulakan tour. Kami diminta keluar ke belakang kedai. Di luar sana sudah menunggu tour guide kami. Seorang wanita yang saya anggar berusia awal 50-an. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Pat. Suhu yang sejuk (mungkin kurang daripada 15Âșc), tidak menghalang dia memakai t-shirt lengan pendek dan overall jeans sahaja.

'Tough betul kulit dia,' bisik saya dalam hati, dengan penuh rasa kagum.

Tidak lama kemudian, 'Sejuknya Pat...bila nak masuk (dalam kilang) ni?'

Saya sudah mula mengomel dalam hati akibat tidak tahan sejuk walaupun cara berpakaian saya lebih tertutup dan tebal jika dibandingkan dengan Pat. Namun sebelum kami dibenarkan masuk ke dalam kilang, Pat meminta kami menyimpan beg ke dalam loker yang disediakan di situ. Semua barang tidak dibenarkan dibawa masuk. Ini termasuklah kamera dan juga telefon bimbit. Baru sahaja saya berangan-angan hendak mengambil gambar dalam kilang. Punah harapan saya dibuatnya...T_T

Setelah pasti semua orang (kami dan beberapa orang pelawat yang lain) telah bersedia, maka bermulalah tour kami.  Pat ternyata seorang yang lucu dan pandai menceriakan suasana. Setiap kali kami sampai di bahagian-bahagian tertentu kilang atau setelah berjaya memanjat tangga-tangga, kami diberi ganjaran coklat. Itu semua orang dapat. Ada cara lain untuk dapat coklat lebih iaitu sekiranya kita berjaya menjawab dengan betul soalan-soalan trivia yang akan Pat berikan pada bila-bila masa sepanjang tour berlangsung.

Setiap orang dalam grup kami berjaya mendapat coklat ekstra kecuali saya dan Chik. Pada mulanya saya tidak perasan. Sehinggalah selepas kami berhenti minum coklat panas yang Pat sediakan, Chik berbisik kepada saya, "Siti perasan tak? Kita berdua je yang belum jawab apa-apa soalan lagi?"

Kami tertawa kecil walaupun saya rasa sangat malu (saya tidak tahu sama ada Chik rasa apa yang saya rasa). Saya pandang setiap seorang ahli dalam grup kami yang datang dari pelbagai negara - Australia, Jerman, Itali, India, dan juga orang tempatan. Memang betul apa yang Chik cakap. Kami berdua sahaja yang belum menjawab apa-apa soalan.

Apa boleh buat, soalan-soalan yang ditanya Pat boleh tahan sukar untuk kami jawab. Contohnya, semasa kami dibawa melawat ke bahagian pemprosesan coklat (hanya melihat dari celah jeriji kerana pelawat tidak dibenarkan masuk), dia bertanya coklat perisa apakah yang sedang diproses (berdasarkan bau) ketika itu? Setiap perisa coklat akan diproses pada hari-hari tertentu. Pada hari tersebut, perisa yang sedang diproses ialah...Turkish Delight. Tengok...macam manalah kami boleh jawab sebab perisa itu tidak dijual di Malaysia...TT_TT


Ini sahajalah coklat-coklat yang berjaya 'disambar' daripada Pat...sob...sob....

Baik. Kita lupakan kekecewaan saya itu kerana ada sesuatu yang membuatkan hati saya melonjak-lonjak apabila tour kami sudah sampai ke kemuncaknya. Tour kami diakhiri dengan melihat 'air terjun' coklat. Yeay!

Berliter-liter coklat cair dicurahkan dari dalam sebuah bekas besar yang dipasang di siling terus ke dalam 'perigi' di bawah tempat kami berdiri. Saya rasa paras endorphine dan serotonin saya meningkat dengan mendadak. Baunya...heaven. Kalau pun saya bukan di syurga (dunia), saya terasa seperti berada di kilang coklat Willy Wonka dan saya adalah Charlie-nya. Gatal rasa hendak hulurkan tangan untuk mencalit sedikit coklat tersebut. Tapi malangnya saya rasa tangan saya tidak akan dapat mencapai walaupun tempias coklat cair tersebut. Lagipun menurut Pat, coklat yang sama telah digunakan berulang-ulang kali sejak lebih daripada setahun yang lalu. Eyeww...coklat dah expired kot! Terbantut terus khayalan saya.

Namun khayalan saya untuk membeli berkoyan-koyan coklat selepas tour tamat tidaklah terbantut. Yang sebenarnya tidaklah saya dapat membeli berkoyan-koyan coklat. Untuk beberapa jenis coklat bar, coklat candy, dan beberapa jenis cenderamata sahaja, saya sudah menghabiskan sebanyak NZ43.00 (itu belum termasuk GST lagi). Rabak poket dibuatnya...TTT_TTT

Akhirnya, setelah berpuas hati dan mendapat apa yang dihajati, maka kami berdua pun mula beredar dari Cadbury World. Masa untuk pulang ke hotel semula.

Tak sabarnya....

-Bersambung-

Sunday, March 8, 2015

Perempuan Ini Mengidamkan 'Aiskrim' Magnum Blue di Surabaya Tetapi Impiannya Punah Setelah Terlihat Iklannya di TV

Ada kalanya semasa travel, aku memang suka mencuba sesuatu makanan yang baru. Sesuatu yang tidak pernah aku jumpa di negara ini. Apalagi kalau ia daripada jenis makanan yang aku suka. Dan sudah tentunya jika ia halal dimakan. 

Masa aku berada di Surabaya pada awal bulan lepas, aku tertarik dengan papan-papan iklan Magnum Blue yang selalu aku nampak terpacak di sekitar jalan raya di sana. Melihat perkataan 'Magnum' sudah pasti aku terbayangkan aiskrim Magnum. Berbunga-bunga hati aku dibuatnya. Seingat aku, aiskrim Magnum Blue belum pernah aku nampak dijual di Malaysia. Jadi, aku memasang cita-cita untuk membeli dan merasa sendiri aiskrim tersebut.

Tertanya-tanya juga entah perisa apa agaknya aiskrim Magnum yang ini sehingga ia dinamakan sebagai Magnum Blue? Apalagi setelah melihat tagline-nya yang tertulis di papan iklan yang menambahkan lagi tanda tanya iaitu 'taste the difference.' Rasakan kelainannya. Pergh!

Namun, pelik juga apabila melihat iklannya yang tidak menunjukkan gambar aiskrim sebagaimana lazim kita tengok. Bertambah pelik apabila aku tidak pernah jumpa aiskrim ini apabila kami singgah di mana-mana kedai. Misteri sungguh!

Gambar sekadar hiasan.
Sumber: www.icecreamsource.com

Rasa pelik ini aku simpan dalam hati. Tidak aku luahkan kepada sesiapa. Sehinggalah pada hari terakhir di Surabaya, ketika aku sedang menonton TV. Keluarlah iklan Magnum Blue yang menjadi idaman hati.

Ini rupanya Magnum Blue! Patutlah tak jumpa! Cari salah tempat! Patut cari di tempat rokok!

Terbakar rasa hati. Rupa-rupanya Magnum Blue bukan aiskrim Magnum berperisa baru. Tetapi jenama rokok!

Tipah tertipu...pu...pu...puiii!!!

*Tajuk entri bajet ala-ala The Vocket...kakaka!

Sunday, March 1, 2015

This Meme Wins


Dang! Meme ni memang kena dengan batang hidung aku. Entah siapa yang bijak cipta meme ni, agaknya? Seperti biasa, aku jumpa dalam FB. Dan aku terpanggil untuk share pula dalam blog ini. Kepada sesiapa saja yang cipta meme ni, satu perkara aku nak bagitau. Kita senasib...ahhaha~

Aku rasa dari tahun lepas hingga ke tahun ini ramai orang yang aku kenal telah dan akan menyambut kelahiran cahaya mata masing-masing. Salah seorangnya termasuklah travel partner yang selalu enter frame dalam travelog China dan New Zealand (yang belum habis tulis lagi...omg!) dalam blog aku ni.

Rezeki masing-masing, kan. Aku bersyukur masih diberi rezeki untuk keluar travel walaupun tak sekerap orang lain. Semoga rezeki ini takkan putus sampai bila-bila hinggalah sampai masa Kekasih aku jemput untuk 'travel' ke dunia sana pula nanti. Aamiin...